Sunday, June 13, 2010

Mati ditikam rakan senegara

KLANG 13 Jun 2010 - Akibat perselisihan faham, seorang warga Nepal sanggup menikam rakan senegaranya sehingga mati di Pangsapuri Bandar Sultan Sulaiman, di sini malam semalam.

Mangsa yang juga rakan serumahnya ditikam dengan pisau di rusuk kiri, meninggal dunia pada pukul 11.50 malam itu.

Difahamkan, suspek yang berusia 20 tahun dan mangsa, 31, berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan itu daripada seorang awam.

Katanya, namun sejurus tiba, polis mendapati mangsa telah tidak bernyawa.

"Kita menahan suspek di situ dan menemui sebilah pisau di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Mohamad menambah, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

''Kita akan memanggil tiga saksi yang juga rakan serumah mangsa untuk membantu siasatan," ujarnya

Guna kemeja sorok dadah

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2010/06/14
Polis patahkan taktik sembunyi 15 botol heroin dalam poket

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang pengedar dadah tegar untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menyorokkan bahan terlarang itu dalam baju korporatnya yang digantung dalam kereta gagal apabila dia ditahan berhampiran Dataran Shahbandar di sini, Jumaat lalu. Ketua Jabatan Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata pengedar berasal dari Bukit Rambai, Melaka berusia 38 tahun itu menyorokkan 15 botol heroin nombor empat seberat 66 gram bernilai RM21,000, dipercayai bagi diedarkan di beberapa kawasan di bandar raya ini. Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis menahan kereta suspek di hadapan sebuah bangunan dan pemeriksaan dalam kereta Proton Wira dipandu suspek membawa kepada penemuan bahan terlarang itu.

“Suspek juga dipercayai aktif mengedar dadah di beberapa kawasan iaitu di Pulau Duyong, Losong dan Batu Rakit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Roslan berkata, suspek yang memiliki rekod jenayah narkotik lampau pernah dikenakan tahanan dua tahun pada 1998 di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor dan didapati masih meneruskan kegiatan pengedaran dadah.

“Selepas dibebaskan, suspek kembali aktif mengedar dadah tahun lalu sehingga ditangkap Jumaat lalu. Pada Mac lalu, dia yang juga penagih ditangkap kerana memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
“Selepas tamat tempoh Langkah-Langkah Pencegahan Khas di Simpang Renggam, suspek dikenakan sekatan di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman selama seminggu sehingga 18 Jun ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, Roslan berkata sepanjang tempoh dua minggu ini, polis berjaya menahan 273 orang yang terbabit dengan pelbagai kesalahan dadah

Friday, June 11, 2010

4 lelaki bersenjata larikan barang kemas RM150,000

TAMPIN 11 Jun 2010 - Empat lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi mengambil kesempatan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat merompak sebuah kedai emas di pekan Gemas di sini tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang, penjenayah itu sempat melarikan sejumlah barangan kemas bernilai kira-kira RM150,000.

Ketua Polis daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheng memberitahu, ketika kejadian, terdapat tiga orang pekerja dan seorang pelanggan di dalam premis berkenaan.

"Empat lelaki bertopeng yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna kelabu berhenti di hadapan kedai itu.

"Tiga daripada mereka, masing-masing bersenjatakan parang dan tukul besi kemudian menyerbu ke dalam premis berkenaan lalu memecahkan cermin pameran sebelum melarikan sejumlah barangan kemas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Kooi Cheng memberitahu, kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan kereta sebelum kenderaan yang mereka naiki itu ditinggalkan di satu lokasi kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, polis percaya penjenayah itu bertindak menukar baju mereka sebelum melarikan diri menaiki dua buah kereta lain, iaitu Honda City berwarna hitam dan Honda Stream putih.

"Berdasarkan siasatan, kesemua kereta yang digunakan oleh penjenayah berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kita juga sedang menyiasat kemungkinan kenderaan itu juga adalah kereta curi," ujarnya.

Tambahnya, polis juga menjumpai beberapa helai baju dan dua bilah parang yang ditinggalkan di dalam kereta Proton Wira berkenaan.

Menurutnya, kejadian rompakan kedai emas tersebut merupakan yang pertama dalam tempoh tujuh tahun di daerah itu. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu untuk mengenal pasti suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan," jelasnya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata

Rumah ahli majlis dibom

Oleh Rasmi Abdullah
pengarang@utusan.com.my



KESAN terbakar di hadapan pintu masuk rumah S. Selvadurai akibat dilontar dengan bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur, Pelabuhan Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 11 Jun - Seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan ahli keluarganya terselamat walaupun rumah mereka dilempar dengan dua bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur Off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang di sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 12.10 tengah malam ketika ahli majlis terbabit, S. Selvadurai (gambar), 48, sedang menonton televisyen manakala isterinya, V. Kanniamah, 45, dan anak lelaki mereka, S. Dhivagar, 13, berada di ruang lain di rumah tersebut.

Selvadurai memberitahu, kejadian itu disedarinya apabila terdengar bunyi benda pecah dan tiba-tiba dia ternampak api di hadapan pintu rumahnya.

"Namun api itu berjaya dipadamkan dengan alat pemadam api. Kami sekeluarga terselamat cuma bahagian belakang kereta saya yang terbakar dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Selvadurai yang sudah 28 tahun terlibat dalam politik memberitahu, beliau tidak pernah menerima ugutan atau apa-apa ancaman daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggotanya yang tiba di tempat kejadian menemui dua botol kaca berisi petrol dan salah satu daripadanya mengenai kereta mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis kini sedang memburu dua lelaki yang menaiki motosikal, dipercayai suspek bagi kejadian tersebut.

"Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih belum diketahui," tambahnya

Dua beranak diacu pedang penyamun

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/06/12
KUANTAN: Dua beranak berdepan detik cemas apabila diikat kaki, tangan dan mulut serta diugut dengan pedang sepanjang satu meter oleh enam lelaki yang memecah masuk rumah mereka, di Felcra Seri Makmur, Paloh Hinai, dekat Pekan, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa berusia 35 tahun dan ibunya, 65 tahun turut dikurung dalam bilik di rumah mereka selepas diikat enam lelaki dipercayai warga asing. Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata enam perompak yang memakai penutup muka merampas barang kemas dipakai warga emas itu bersama telefon bimbit membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM12,000. Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak itu tidur dalam dua bilik berasingan.

Katanya, anak lelaki mangsa menyedari suis lampu bilik dibuka, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ibunya yang masuk, tetapi sangkaan itu meleset sebaik saja ternampak kelibat seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pedang meluru ke arahnya.

“Mangsa tidak sempat bertindak sebaliknya terpaksa mengikut arahan perompak itu kerana bimbang dicederakan sebelum tangannya diikat dan diheret masuk ke dalam bilik tidur ibunya.

“Ketika itu ibunya turut diikat, " katanya di sini, semalam. Noor Asyikin berkata, bimbang lelaki itu melawan, seorang daripada suspek terbabit turut mengikat kaki mangsa.

“Ketika itu masuk lima lagi rakan perompak memakai penutup muka sebelum mereka menggeledah rumah dan mencari barang berharga, manakala seorang daripada mereka merampas barang kemas dipakai wanita terbabit," katanya.

Katanya, selepas mendapat habuan mereka, perompak terbabit melarikan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan.

Kerugian RM1 juta rumah diceroboh

KOTA KINABALU 11 Jun 2010 - Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM1 juta selepas rumahnya di Taman Golden Hill, Kepayan di sini dipecah masuk petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang ketika mangsa dan keluarganya tiada di rumah dan berada di Beaufort menguruskan persiapan kenduri kahwin adiknya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Abudzar berkata, antara yang dilarikan ialah kereta mewah BMW Z4, barang kemas dan peralatan rumah.

"Saya hanya dimaklumkan rumah saya dirompak pada pukul 6 petang oleh jiran.

"Ketika kejadian, saya sekeluarga menguruskan persiapan kenduri kahwin adik yang akan berlangsung di Beaufort tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abuzar menambah, sejurus menerima panggilan itu, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati kenderaan mewahnya itu hilang.

Selain itu, dia berkata, bahagian dalam rumahnya dalam keadaan berselerak manakala pintu pagar dan rumah dibiarkan terbuka.

Pemangku Ketua Polis daerah, Supritendan Rowell Marung berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian itu dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek.

"Anak mangsa membuat laporan polis tengah malam tadi dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Rowell turut menasihatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama ketika cuti sekolah ini supaya memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan pihaknya membuat rondaan di kawasan rumah mereka

Pengurus kelab malam, teman wanita mati ditembak

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/06/12
sebelum - selepas

ANGGOTA forensik PDRM mencari bahan bukti pada kereta CRV pengurus kelab malam.CCTV rakam 2 lelaki tunggu mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kelab malam bersama teman wanitanya mati ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta kondominium di Taman Maluri di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan baru pulang dari bekerja sebelum didatangi dua lelaki ke arah kenderaan jenis Honda CRV milik mereka. Difahamkan, sebaik menghampiri kenderaan terbabit kedua-dua lelaki berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa melalui tempat duduk bahagian pemandu sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata mayat pengurus kelab berusia 52 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun ditemui pengawal keselamatan kondominium berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

“Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dipercayai ditembak menggunakan pistol jenis automatik. Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

“Pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui 13 kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, ada dua lelaki dilihat sedang menunggu dalam tempoh lama sebelum bertindak menembak mangsa.

“Difahamkan, seorang pengawal keselamatan juga ternampak dua suspek melarikan diri dengan memanjat pagar belakang kondominium selepas mendengar beberapa das tembakan,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak ia bermotifkan dendam.

“Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh walaupun siasatan awal mendapati dompet dan dua utas rantai emas milik kedua-dua mangsa itu dilarikan suspek.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran