Sunday, July 31, 2011

Wanita Indonesia dibunuh kekasih

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my


Anggota polis mengangkat mayat wanita Indonesia yang dibunuh di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 31 Julai - Hasrat seorang wanita warga Indonesia untuk pulang berhari raya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mati dibunuh kekasihnya di rumah mereka di Kampung Rumah 10, di sini hari ini.

Dalam insiden pukul 10.30 pagi itu, wanita berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebagai Ana mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dipercayai dipukul oleh suspek juga berusia 28 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Supritendan Saifi Abdul Hamid berkata, pasangan kekasih berkenaan baru sebulan menetap di kampung berkenaan.

"Hingga kini polis masih menyiasat punca kematian dan motif sebenar pembunuhan tersebut. Punca kematian Ana hanya akan diketahui selepas selesai bedah siasat.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai juruelektrik ditahan sejurus selepas pihak polis tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mereka sekeluarga terdengar jeritan Ana yang tidak bekerja meminta tolong.

"Apabila kami keluar, kami dapati lelaki yang dikenali sebagai Edy itu sedang memukul mangsa dan apabila cuba ditenangkan dia memarahi dan minta kami jangan masuk campur urusan mereka.

"Saya dan jiran-jiran cuba pujuk dan menyuruhnya bertenang, namun tidak diendahkan. Tanpa berfikir panjang, anak saya dan beberapa orang lain memegang suspek dan menghubungi polis," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, Ana sempat pergi ke rumah salah seorang jiran mereka dan menyatakan hasrat untuk pulang ke kampungnya di Indonesia sempena Aidilfitri nanti.

Malah, katanya, Ana juga sudah membeli beberapa barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya.

"Walaupun baru sahaja berpindah ke sini, dia sudah mesra dengan masyarakat setempat kerana dia seorang yang ramah dan sepanjang berjiran saya tidak pernah mendengar mereka bertengkar," katanya.

Tuesday, July 26, 2011

Dua anak anggota polis dihukum gantung

Allison Anak Isa (depan) dan Abang Firdaus Abang Jemain dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, semalam.
________________________________________

JOHOR BAHRU 25 Julai - Seorang anak pesara polis dan seorang anak anggota polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.35 kilogram, dua tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, dadah tersebut diselitkan di bahagian pinggang masing-masing dipercayai untuk diseludup ke Indonesia melalui terminal feri di Stulang Laut.
Hakim Samsudin Hassan memutuskan demikian terhadap Abang Firdaus Abang Jemain, 24, dan Allison Anak Isa, 23, yang berasal dari Sarawak setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Kedua-duanya disabitkan bersalah mengedar methamphetamine masing-masing seberat 666 gram dan 681.8 gram di Terminal Feri The Zon Stulang Laut di sini pada pukul 9 pagi, 14 Julai 2009.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azlan Shah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Samsudin berkata, kedua-dua tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu setelah keterangan pembelaan mereka gagal menafikan pemilikan dadah tersebut serta pengedaran dadah yang diikat pada tubuh mereka.
''Jumlah dadah yang dibawa juga adalah besar dan bukan untuk kegunaan sendiri tetapi bagi tujuan pengedaran. Hanya satu hukuman bagi kesalahan ini iaitu hukuman gantung sampai mati,'' katanya.
Kedua-dua tertuduh yang memakai baju kemeja putih dengan masing-masing berseluar biru dan hitam kelihatan tenang semasa hukuman dibacakan, namun air mata Abang Firdaus dan Allison kelihatan bergenangan ketika menoleh ke arah ahli keluarga mereka.
Beberapa anggota keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam turut kelihatan menitiskan air mata, malah ada yang terus melangkah keluar dari mahkamah.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Roy Anak Gingkoi dan dan A. Vasudevan.
Mengikut fakta kes, ketika ditahan Abang Firdaus yang merupakan pekerja kilang memiliki lima paket besar dadah jenis methamphetamine seberat 666 gram manakala Allison seorang penganggur memiliki dadah seberat 681.8 gram yang diselit di bahagian pinggang mereka.

Sunday, July 24, 2011

Empat lelaki dihukum gantung edar dadah

ALOR SETAR 24 Julai - Empat lelaki termasuk seorang warga asing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 93,070 gram dadah jenis kanabis lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Tinggi Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan yang dihadapi tertuduh, Mohd. Sabri Ishak, 36, Muhammad Hasbi Baskaran Abdullah, 41, Jaren Saedtanee, 37, dari Thailand dan Azizan Hamid, 45.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan tersebut di Jalan Taman Seri Temin, Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu pada pukul 7 pagi, 20 Mei 2006.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Norshuhada Mohd. Yatim mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya Mohd. Zaki memberitahu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap keempat-empat tertuduh.
"Hanya satu hukuman atas kesalahan ini iaitu hukuman mandatori, maka keempat-empat tertuduh digantung sampai mati," katanya.
Keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam R.S.N Rayer, Ali Munawir dan Abdul Halim Said kelihatan tenang ketika penghakiman dibacakan.
Mengikut fakta kes, Mohd. Sabri iaitu pekerja kargo; Muhammad Hasbi Baskaran, pemandu lori; Jaren dan Azizan yang masing-masing bekerja sebagai nelayan ditangkap sewaktu berurusan dengan polis yang menyamar sebagai ejen bagi urusan jual beli dadah tersebut.

Rompak nenek sendiri, pemuda dipenjara 7 tahun

KOTA BHARU 24 Julai - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemuda kerana merompak neneknya sendiri Jun lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Shamsul Kahar Mohamad, 30, mengaku bersalah merompak seutas gelang tangan dan rantai leher emas berharga RM6,000 milik neneknya, Rokiah Boto, 78, di Taman Binjai Manis, Ketereh dekat sini pada pukul 1 petang 28 Jun lalu.
Rakannya, Mohd. Ikhwan Abdullah, 30, yang turut terlibat dalam rompakan tersebut juga mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu dan dipenjara 10 tahun dan lima sebatan.
Irwan memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini kerana mahkamah memandang serius kes tersebut dan mahu ia dijadikan pengajaran kepada orang lain.
Menurut fakta kes, Shamsul Kahar dan rakannya itu telah datang ke rumah neneknya pada hari kejadian serta berpura-pura meminta air daripada warga emas terbabit yang kemudiannya telah masuk ke dapur.
Sementara rakan cucunya, Mohd. Ikhwan telah mengekori Rokiah dan bertanyakan tandas.
Pemuda tersebut tiba-tiba menolak dan memeluk mangsa serta menarik barangan kemas yang dipakainya. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Shamsul Kahar bagaimanapun berjaya ditangkap pada 4 Julai lalu, diikuti rakannya empat hari kemudian. Siasatan polis mendapati, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja, telah menjual barang kemas terbabit dan hasilnya dikongsi bersama.
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Shamsul Kahar yang berasal dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, merayu supaya hukumannya diringankan kerana mendakwa, ketika melakukan perbuatan itu dia di bawah pengaruh pil kuda yang menyebabkannya tidak tidur selama seminggu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon supaya kedua-dua tertuduh diberikan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.
"Apabila mangsa meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri," katanya.

Pembantu rumah ditemui mati dicekik

ANGGOTA polis membawa keluar mayat seorang pembantu rumah warga Filipina yang ditemui mati di Jalan Gasing, Petaling Jaya kelmarin. - UTUSAN/Izham Jaafar
________________________________________

PETALING JAYA 24 Julai 2011 - Seorang pembantu rumah warga Filipina ditemui mati dipercayai dicekik di dalam banglo dua tingkat milik majikannya di Jalan 5/50, Jalan Gasing, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 36 tahun ditemui majikannya di dalam keadaan terbaring di bilik tidur yang terletak di tingkat bawah, pukul 11.45 malam.
Ketika kejadian, difahamkan ahli perniagaan yang berusia 30-an serta isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana keluar makan pukul 7 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, polis yang dihubungi majikan mangsa mendapati mangsa dibunuh dipercayai pukul 10 malam.
Katanya, siasatan awal polis menolak kejadian itu bermotifkan samun kerana tiada barang berharga yang hilang selain kesan pergelutan hanya di bilik mangsa.
"Siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam akibat dicekik di leher serta luka di kepala mangsa.
"Kita juga percaya mangsa dibunuh orang yang dikenali kerana tiada kesan pecah masuk rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, awal pagi ini.
Tambah Arjunaidy, ketika ditemui mangsa yang sembilan tahun bekerja dengan majikannya dalam keadaan berpakaian lengkap dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wednesday, July 20, 2011

Sindiket dadah guna hotel dibanteras

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


MAZLAN Lazim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan sejumlah wang yang dirampas dalam operasi di sebuah hotel pada sidang media di Kota Bharu, semalam.
________________________________________

KOTA BHARU 20 Julai - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini yang turut melibatkan negara jiran dengan penahanan lima suspek di sebuah hotel di sini yang dijadikan lokasi urus niaga mereka, semalam.
Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, polis menahan semua suspek termasuk dua kakitangan sebuah hotel dan seorang wanita, kesemuanya berusia 27 hingga 48 tahun.
Menurutnya, seorang lagi suspek maut akibat terjatuh dari tingkat lapan hotel terbabit ketika melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek yang ditahan direman seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Katanya, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md. Saad.
"Suspek-suspek warga tempatan itu juga positif dadah sementara tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
"Polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket jual beli dadah melibatkan dua negara (Malaysia dan Thailand)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut serbuan tersebut, Mazlan berkata, suspek yang maut itu ialah Tengku Mohd. Habib Tuan Yazid, 24, dari Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini.
Beliau memberitahu, polis turut menemui lima jenis dadah di dalam bilik hotel berkenaan iaitu dua botol heroin, 12 peket syabu, 235 biji ekstasi, 140 biji methamphetamine dan empat biji eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000.
Polis juga, katanya, menemui mata wang ringgit berjumlah RM26,600 dan bath Thailand bernilai 640,000 (RM64,000).
"Kegiatan itu dikesan sejak empat bulan lalu. Selepas intipan dan risikan dilakukan, polis mendapati kegiatan urus niaga dadah itu sering berpindah lokasi sehinggalah mereka mendaftar masuk ke hotel tersebut pada sebelah pagi sebelum serbuan dilakukan," katanya.
Mazlan memberitahu, pihaknya akan turut menjalankan siasatan sama ada kesemua suspek mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah di negara jiran.
"Polis tidak akan berhenti setakat ini dan siasatan akan dijalankan termasuk mengesan sekiranya terdapat rakan-rakan suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah itu," katanya.

Kecoh: Ibu mangsa maki tertuduh

KLANG 20 Julai 2011 - Prosiding sebutan kes pekerja ladang warganegara India yang didakwa membunuh peguam dan ahli perniagaan, Datuk R. Anbalagan di Mahkamah Majistret di sini menjadi kecoh apabila ibu mangsa bertindak memarahi tertuduh.
Wanita yang dikenali sebagai Valliamah itu masuk ketika mahkamah berhenti rehat dan memarahi R. Narayanan, 24, yang berada di kandang tertuduh dengan nada tinggi dalam bahasa Tamil.
''Saya beri anak saya pelajaran sehingga dia jadi peguam, awak datang ke sini dan sekelip mata bunuh anak saya,'' kata wanita itu sambil meraung-raung.
Ketika Valliamah mengangkat tangan seolah-olah cuba memukul tertuduh, dia ditegur oleh anggota polis mahkamah manakala beberapa orang wanita dilihat segera menariknya keluar dari bilik bicara.
Semasa tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, Valliamah turut memarahi para petugas media yang berada di situ sambil berkata: ''Kalau mak ayah awak yang kena bunuh, apa perasaan awak?"
Dia bagaimanapun ditenangkan sambil dipimpin oleh beberapa orang saudara mara sebelum meninggalkan mahkamah.
Terdahulu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Narayanan memohon agar anak guamnya dirujuk ke hospital berikutan terdapat kesan-kesan kecederaan yang dikatakan berlaku sebelum dia ditahan.
''Semasa saya dan peguam S. Selvam menemubual tertuduh, kami dapati ada kesan-kesan luka termasuk sembilan jahitan di tangannya.
''Demi keadilan, kecederaan perlu direkodkan untuk tujuan perbicaraan. Ini kes memperdagang manusia. Kecederaan tersebut patut disiasat,'' kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim memohon tarikh sebutan berikutan laporan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kes itu masih belum diperoleh.
Majitret Azlinda Mohd. Sharif membenarkan permohonan peguam serta menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan kes itu.
Narayanan didakwa membunuh Anbalagan, 56, dengan menetak majikannya itu menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, Kapar di sini pada pukul 9.30 malam, 13 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bomoh didakwa lakukan kelucahan melampau

PETALING JAYA 20 Julai - Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang pesakitnya, April lalu.
Mohd. Salimin Ismail, 32, didakwa melakukan perbuatan itu ketika menjalankan rawatan ke atas mangsa terbabit di sebuah pangsapuri kos rendah di Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang di sini antara pukul 4.30 petang, 17 April dan 12 tengah hari, 20 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Ravindran mengikut Seksyen 377(c)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Hakim Hayatul Akma Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Mohd. Salimin turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul mangsa tersebut pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Majistret Nor Afidah Idris membenarkan permohonan pendakwa raya agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan bersama-sama kes melakukan kelucahan melampau.
Beliau juga menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh

Thursday, July 14, 2011

Perompak bakar restoran

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 13 Julai - Sekumpulan perompak bukan sahaja sempat makan dan membuang air besar di dalam sebuah restoran yang disamun di Seksyen 19, Jalan 19/3 di sini awal pagi ini, malah membakar premis itu dipercayai kerana marah apabila gagal mendapatkan hasil samun memuaskan.
Suspek yang memasuki restoran itu dengan mengumpil pintu belakang dipercayai berang kerana hanya menemui wang beberapa ribu ringgit sahaja dalam laci di kaunter pembayaran sedangkan mereka menjangka boleh memperoleh habuan lebih banyak.
Pemilik restoran, Yeong Hooi Wing, 50, berkata, dia tidak menyimpan banyak wang di situ kerana mempunyai pengalaman tiga kali premisnya dipecah masuk penjenayah sebelum ini.
"Saya hanya meninggalkan beberapa ribu ringgit dalam laci di kaunter pembayaran dan mungkin kerana jumlahnya yang sedikit, maka penjenayah menjadi marah lalu membakar kaunter tersebut.
"Kebakaran itu kemudian merebak sehingga memusnahkan hampir keseluruhan dua lot kedai di restoran vegetarian tersebut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Hooi Wing berkata, hanya bahagian dapur restoran yang terselamat daripada dijilat api dan pemeriksaan di situ menemui bekas ais krim yang dimakan oleh suspek, malah penjenayah sempat meninggalkan najis di dalam tandas sebelum melarikan diri.
Menurutnya, dia mengetahui restoran yang sudah lebih 20 tahun diusahakan itu terbakar setelah dimaklumkan oleh orang ramai yang melihat kebakaran tersebut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut oleh orang awam pada pukul 6.17 pagi.
Beliau berkata, sekumpulan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Penchala yang dihantar ke tempat kejadian berjaya memadam kebakaran pada pukul 6.37 pagi.
"Punca kebakaran didapati berpunca dari kaunter pembayaran di dalam restoran berkenaan," katanya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Suspek kes curi kereta mati ditembak polis

KUALA LUMPUR 13 Julai - Seorang daripada dua suspek kes curi kereta mati ditembak selepas cuba menyerang sepasukan polis dengan parang yang cuba menahannya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 2 petang itu berlaku selepas suspek warga Bangladesh dan rakannya dikesan sedang memandu sebuah kereta Proton Waja yang dicuri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua lelaki itu dikesan di kawasan terbabit oleh pemilik kereta Proton Waja tersebut.
Menurutnya, pemilik kereta tersebut kemudian melaporkan penemuan itu kepada polis lalu dihantar sepasukan peronda yang terdiri daripada sebuah kereta dan dua buah motosikal.
"Terkejut dengan kehadiran polis, suspek itu keluar kereta dan cuba menyerang polis dengan parang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Tambahnya, bagi melindungi diri, seorang daripada anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang terkena pada suspek.
Katanya, suspek yang parah melarikan diri ke arah kawasan perumahan sebelum ditemui pasukan peronda sama.
"Ketika ditemui, suspek berada dalam keadaan lemah sambil memegang sebilah parang," katanya.
Chin Wah berkata, berikutan itu, polis telah membawa suspek ke Hospital Kuala Lumpur untuk diberi rawatan tetapi meninggal dunia.
"Maklumat lengkap tentang suspek dan rakannya masih dalam siasatan dan polis masih memburu rakannya yang melarikan diri dengan kereta dicuri itu," ujarnya.

Tukang masak tetak pelanggan enggan jamah makanan

SEREMBAN 13 Julai - Gara-gara terlalu marah terhadap pelanggannya yang enggan makan makanan dimasak setelah memesannya, seorang tukang masak menetak mangsa di sebuah restoran dekat Temiang di sini kelmarin.
Berikutan insiden yang berlaku pukul 9.25 malam itu, mangsa berusia 39 tahun cedera di tangan kanannya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ia bermula apabila mangsa yang dipercayai mabuk pergi ke restoran berkenaan lalu memesan satu hidangan.
"Tukang masak itu yang berusia 36 tahun lalu memasak makanan tersebut. Bagaimanapun, apabila makanan yang dipesan sampai, mangsa enggan makan hingga berlakunya pertengkaran.
"Berang dengan mangsa, tukang masak itu mengeluarkan sebilah pisau lalu menetak tangan kanan lelaki itu sehingga cedera," katanya di sini hari ini.
Saiful memberitahu, orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi pihak polis bagi meleraikan pergaduhan antara mereka.
"Beberapa anggota polis yang tiba di tempat kejadian menahan tukang masak itu dan mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan," katanya sambil memberitahu keadaan mangsa kini dilaporkan stabil.
Menurutnya, tukang masak itu ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Wednesday, July 13, 2011

4 ditahan bawa parang panjang

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/07/13

MOHD MOKHTAR (dua dari kanan) melihat sebahagian parang yang ditemui dalam sebuah kereta milik empat remaja pada sidang media di IPK Johor, semalam.
Suspek dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap naik kereta dalam keadaan curiga

JOHOR BAHRU: Empat pemuda berusia 18 hingga 23 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan bersama sembilan parang panjang dalam pemeriksaan polis dekat Taman Daya di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira warna hitam dalam keadaan mencurigakan itu, ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit kira-kira jam 1 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata anggota polis bermotosikal yang meronda di kawasan itu mengesan kereta berkenaan yang dipandu laju sebelum memintas kenderaan terbabit serta mengarahkan pemandunya supaya berhenti.

Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu terkejut apabila menemui tiga parang panjang di tempat duduk bahagian belakang, manakala enam lagi tersorok dalam bonet kereta itu.

"Berdasarkan senjata bahaya yang dibawa, kita percaya mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap. Seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Amer Awal.
Mohd Mokhtar berkata, polis masih menyiasat motif sebenar suspek membawa senjata itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang sengaja ingin menimbulkan huru hara di negeri ini.

"Polis memberi jaminan akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh kerana kita tidak mahu wujudnya kumpulan kongsi gelap di negeri ini yang boleh mendatangkan keadaan tidak selamat di kalangan masyarakat," katanya. Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Mokhtar berkata, polis menyelesaikan kes samun sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila seorang pemandu lori yang sedang tidur dalam kenderaannya itu disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah stesen minyak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa suspek dan ditinggalkan di kawasan Perindustrian Tebrau 2 sebelum mereka melarikan lori terbabit bersama dokumen serta telefon bimbit milik mangsa.

Dua suri rumah disamun ketika berborak, sidai pakaian

2011/07/13
KUANTAN: Seorang suri rumah yang sedang berbual dengan jirannya dan seorang lagi yang sedang menyidai pakaian kerugian hampir RM30,000 selepas disamun seorang lelaki bermotosikal.

Dalam kejadian berasingan semalam, suspek yang bersenjatakan parang bertindak nekad menyamun barang kemas kedua-dua mangsa terbabit.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata pada kejadian 11 pagi itu, mangsa pertama, 58, sedang berbual dengan seorang jirannya di Taman Shahbandar, Raub.
"Ketika sedang berborak di luar rumah jirannya, suspek yang menaiki motosikal bertindak meluru ke arah mangsa dan mengacukan sebilah parang sebelum bertindak melarikan gelang yang dipakai mangsa," katanya di sini, hari ini.

Gelang mangsa dianggarkan bernilai RM3,000. Suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal dan melakukan samun terhadap seorang lagi wanita berusia 55 tahun di Taman Intan, Raub kira-kira setengah jam kemudiannya.

"Ketika kejadian, mangsa sedang menyidai pakaian di luar pagar rumahnya," katanya.

Suspek turut mengacukan sebilah parang sebelum bertindak menyamun empat jenis barang kemas yang dipakai mangsa, didakwa bernilai RM26,600, kata Noor Asyikin.
Polis sedang mengesan suspek terbabit dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Enggan tutup lampu, 2 warga Vietnam dibunuh rakan

13/07/2011 11:49am

Oleh ROZIANAH RISMAN
HULU SELANGOR 13 Julai – Hanya kerana enggan menutup lampu ketika hendak tidur seorang lelaki warga Vietnam sanggup membunuh dua rakannya di sebuah rumah kedai yang terletak di Jalan Orkid tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, seorang lagi rakan mereka yang juga warga Vietnam mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat tindakan suspek yang memukul mangsa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, pergaduhan di antara mereka bermula apabila seorang rakannya diarahkan untuk menutup lampu ketika hendak tidur bagaimanapun dia enggan melakukannya.
“Ekoran keengganan rakannya itu, suspek kemudian naik berang lalu tercetus pergaduhan di antara keempat-empat warga Vietnam terbabit menyebabkan dua daripadanya maut kerana ditikam menggunakan pisau.
“Mangsa pertama, 36, ditikam di perut sepanjang 5.5 Sintimeter manakala mangsa kedua, 25, ditikam di dada dan seorang lagi hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, polis yang menerima panggilan kemudian menjejaki suspek yang melarikan diri selepas insiden pembunuhan itu.
“Polis akhirnya berjaya menahan suspek dan menemui pisau yang digunakannya selepas diberitahu lokasi senjata tersebut dibuang iaitu kira-kira 2 Kilometer dari rumah sewa mereka,” katanya.
Norel memberitahu, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 330 iaitu menyebabkan kecederaan. - Utusan

Tuesday, July 12, 2011

Empat lelaki menculik dijel, sebat

Empat lelaki dihukum penjara dan sebatan atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak bersama ibunya di Johor Bahru, semalam. Gambar digital : RAJA JAAFAR ALI
________________________________________

JOHOR BAHRU 11 Julai - Empat lelaki terselamat daripada hukuman gantung sampai mati apabila dihukum penjara antara enam dan 13 tahun selain sebatan kerana menculik seorang wanita dan anak lelakinya bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM2.03 juta, tiga tahun lalu.
Ng Kim Low, 38; Tan Kok Peng, 53; Lim Cheng Yong, 40; Ching Siong Huat, 44, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini setelah masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan pilihan berkaitan kes berkenaan.
Mereka pada asalnya didakwa atas dua tuduhan menculik seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dan ibunya berumur 45 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM2.03 juta di hadapan sebuah rumah di Jalan Bulat, Taman Abad di sini pada pukul 11.40 pagi, 6 Oktober 2008.
Kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Bagi tuduhan pilihan pertama dan kedua, keempat-empat lelaki itu mengaku menculik dua beranak tersebut dengan niat untuk menyembunyi dan mengurung mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan pilihan itu dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan berturut-turut mulai tarikh mereka ditahan pada 8 Oktober 2008.
Kim Low dan Kok Peng masing-masing juga dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan tiga kali setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan ketiga mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa dengan niat menerima wang tebusan berjumlah RM2.03 juta di tepi pagar kilometer 130, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada pukul 12.30 tengah hari, 7 Oktober 2008.

Friday, July 8, 2011

Drama tebusan tadika Sungai Abong

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my


LELAKI yang cedera ditembak oleh sepasukan Unit Tindakan Khas kerana menjadikan kanak-kanak dan guru Tadika Serikids sebagai tebusan di Taman Sungai Abong Cemerlang, Muar, Johor, semalam.
________________________________________

MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.
Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.
Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.
Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.
Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.
Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu.
"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.
"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.
Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.
Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.
Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.
"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Lelaki ditembak Kamal Affandi pernah mengamuk

KLANG 7 Julai - Seorang lelaki yang mati ditembak penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dalam kejadian amuk di Flat Valencia, Seksyen 25, Shah Alam kelmarin pernah mengamuk di Kampung Jawa di sini lima tahun lalu, dipercayai kerana marahkan jirannya.
Menurut sepupu lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jumaidy, selepas kejadian tersebut, Darwis Dusa, 42, yang berasal dari Kampung Merotai, Tawau, Sabah dan berhijrah di Lembah Klang sejak 2001 untuk bekerja, diminta pulang ke kampung halamannya.
Bagaimanapun, katanya, Darwis datang semula ke sini tanpa pengetahuan keluarganya tahun lalu.
"Arwah dikesan menghidap penyakit sawan sejak berusia 20-an ketika masih di Sabah dan kebiasaannya setiap tahun dia akan didatangi penyakit itu. Setiap kali diserang penyakit itu, dia akan pengsan atau mengamuk.
"Dalam kes yang berlaku lima tahun lalu, arwah tidak dikenakan hukuman kerana mempunyai surat dari hospital. Namun, tidak sangka dia telah meninggal dunia dan kami hanya mengetahuinya melalui akhbar. Saya memang tidak berpuas hati dengan cara kematian arwah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Jumaidy memberitahu, jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halamannya malam ini untuk disemadikan.
Sementara itu Kamal Affandi yang ditemui di Pusat Perubatan KPJ petang ini berkata, beliau turut bersimpati dengan kematian arwah dan berharap orang ramai dapat menghormati hak peribadi keluarganya ekoran kejadian tersebut.
Katanya, beliau memang berniat mempertahankan diri yang cedera akibat dilibas oleh arwah semasa melepaskan tembakan.
Mengenai perkembangan kesihatannya, Kamal Affandi berkata, beliau mungkin dibenarkan pulang dalam masa dua minggu lagi selepas menjalani satu lagi pembedahan di bahunya yang cedera dalam kejadian.
"Buat masa ini, tulang di bahagian tangan kanan yang patah sudah disimen, lutut terkoyak sudah dijahit manakala bahu terkehel masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik daripada hospital dan ia akan dibandingkan dengan keterangan mangsa sama ada konsisten atau sebaliknya.

Pelajar trauma selepas dibelasah rakan sekolah

CHE Roshanafizah Che Nik menunjukkan kecederaan di pipi dan dagu Aiman Aizuddin Zahari akibat dibelasah beberapa pelajar sekolahnya, di Kuantan semalam.
________________________________________

KUANTAN 7 Julai - Seorang pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini patah tulang dagu selepas mendakwa dibelasah beberapa pelajar sekolah itu semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku berhampiran kuarters guru yang terletak di luar sekolah tersebut menyebabkan Aiman Aizuddin Zahari, 15, kini trauma untuk ke sekolah itu selepas ini.
Ibunya, Che Roshanafizah Che Nik, 35, memberitahu, anaknya mendakwa, sebelum kejadian dia dipanggil seorang rakan seusia dengannya dengan memberitahu ada seseorang mahu berjumpa.
"Aiman dengan rela hati mengikut rakannya itu tanpa sebarang rasa syak. Bagaimanapun, sebaik sahaja sampai berhampiran kuarters guru, dia terus dipukul sehingga tidak sedarkan diri.
"Sejurus kemudian, anak saya sedar dan mendapati dia berada di dalam kawasan sekolah dengan baju berlumuran darah selain sakit di muka dan mulut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Che Roshanafizah berkata, anaknya kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Balok oleh seorang rakannya sebelum dimaklumkan patah tulang dagu sebelah kiri dan rahangnya tercabut.
Berikutan kecederaan itu, katanya, Aiman Aizuddin terpaksa dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut.
"Anak saya disahkan patah tulang dagu dan terpaksa mendapatkan rawatan lanjutan. Akibat itu juga dia hanya boleh makan makanan yang dikisar sahaja selama sebulan," ujarnya.
Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Beserah kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat kes itu.

Polis buru wanita bawa dadah bernilai RM766,450

JOHOR BAHRU 29 Jun – Polis memburu seorang wanita yang melarikan diri setelah dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM766,450 dibawanya bertaburan di atas jalan selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Muar-Pagoh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya yang mengenal pasti suspek kini turut mengesan pemilik kenderaan Toyota Vios itu yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.
Katanya, heroin dirampas itu seberat 22.22 kilogram dengan nilai RM666,450 manakala syabu pula seberat 500 gram bernilai RM100,000.
“Heroin itu boleh digunakan untuk seramai 74,050 penagih manakala syabu tersebut untuk 1,700 penagih.
“Kita percaya dapat menahan suspek dalam masa terdekat kerana identitinya dikenal pasti walaupun berjaya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta membawa dadah berkenaan terbabas selepas hilang kawalan kira-kira 100 meter dari tol Lebuh Raya Pagoh, Muar.
Suspek yang dikatakan tidak sempat mengutip dadah tersebut dan bimbang perbuatannya itu terbongkar bertindak melarikan diri.
Mohd. Mokhtar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988.
Dalam perkembangan berlainan, pihaknya menahan seramai 10 pekerja warga Bangladesh dan Vietnam kerana terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah rumah di Tanjung Agas, Sungai Mati, Muar, Ahad lalu.
Menurut beliau, pihaknya merampas dua bilah pisau pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda.