Sunday, July 24, 2011

Rompak nenek sendiri, pemuda dipenjara 7 tahun

KOTA BHARU 24 Julai - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemuda kerana merompak neneknya sendiri Jun lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Shamsul Kahar Mohamad, 30, mengaku bersalah merompak seutas gelang tangan dan rantai leher emas berharga RM6,000 milik neneknya, Rokiah Boto, 78, di Taman Binjai Manis, Ketereh dekat sini pada pukul 1 petang 28 Jun lalu.
Rakannya, Mohd. Ikhwan Abdullah, 30, yang turut terlibat dalam rompakan tersebut juga mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu dan dipenjara 10 tahun dan lima sebatan.
Irwan memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini kerana mahkamah memandang serius kes tersebut dan mahu ia dijadikan pengajaran kepada orang lain.
Menurut fakta kes, Shamsul Kahar dan rakannya itu telah datang ke rumah neneknya pada hari kejadian serta berpura-pura meminta air daripada warga emas terbabit yang kemudiannya telah masuk ke dapur.
Sementara rakan cucunya, Mohd. Ikhwan telah mengekori Rokiah dan bertanyakan tandas.
Pemuda tersebut tiba-tiba menolak dan memeluk mangsa serta menarik barangan kemas yang dipakainya. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Shamsul Kahar bagaimanapun berjaya ditangkap pada 4 Julai lalu, diikuti rakannya empat hari kemudian. Siasatan polis mendapati, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja, telah menjual barang kemas terbabit dan hasilnya dikongsi bersama.
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Shamsul Kahar yang berasal dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, merayu supaya hukumannya diringankan kerana mendakwa, ketika melakukan perbuatan itu dia di bawah pengaruh pil kuda yang menyebabkannya tidak tidur selama seminggu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon supaya kedua-dua tertuduh diberikan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.
"Apabila mangsa meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment