Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
MAZLAN Lazim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan sejumlah wang yang dirampas dalam operasi di sebuah hotel pada sidang media di Kota Bharu, semalam.
________________________________________
KOTA BHARU 20 Julai - Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini yang turut melibatkan negara jiran dengan penahanan lima suspek di sebuah hotel di sini yang dijadikan lokasi urus niaga mereka, semalam.
Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, polis menahan semua suspek termasuk dua kakitangan sebuah hotel dan seorang wanita, kesemuanya berusia 27 hingga 48 tahun.
Menurutnya, seorang lagi suspek maut akibat terjatuh dari tingkat lapan hotel terbabit ketika melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek yang ditahan direman seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Katanya, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md. Saad.
"Suspek-suspek warga tempatan itu juga positif dadah sementara tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
"Polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket jual beli dadah melibatkan dua negara (Malaysia dan Thailand)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut serbuan tersebut, Mazlan berkata, suspek yang maut itu ialah Tengku Mohd. Habib Tuan Yazid, 24, dari Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini.
Beliau memberitahu, polis turut menemui lima jenis dadah di dalam bilik hotel berkenaan iaitu dua botol heroin, 12 peket syabu, 235 biji ekstasi, 140 biji methamphetamine dan empat biji eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM60,000.
Polis juga, katanya, menemui mata wang ringgit berjumlah RM26,600 dan bath Thailand bernilai 640,000 (RM64,000).
"Kegiatan itu dikesan sejak empat bulan lalu. Selepas intipan dan risikan dilakukan, polis mendapati kegiatan urus niaga dadah itu sering berpindah lokasi sehinggalah mereka mendaftar masuk ke hotel tersebut pada sebelah pagi sebelum serbuan dilakukan," katanya.
Mazlan memberitahu, pihaknya akan turut menjalankan siasatan sama ada kesemua suspek mempunyai rangkaian dengan pengedar dadah di negara jiran.
"Polis tidak akan berhenti setakat ini dan siasatan akan dijalankan termasuk mengesan sekiranya terdapat rakan-rakan suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah itu," katanya.
Wednesday, July 20, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment