Friday, July 8, 2011

Polis buru wanita bawa dadah bernilai RM766,450

JOHOR BAHRU 29 Jun – Polis memburu seorang wanita yang melarikan diri setelah dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM766,450 dibawanya bertaburan di atas jalan selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Muar-Pagoh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya yang mengenal pasti suspek kini turut mengesan pemilik kenderaan Toyota Vios itu yang didaftarkan di atas nama seorang lelaki.
Katanya, heroin dirampas itu seberat 22.22 kilogram dengan nilai RM666,450 manakala syabu pula seberat 500 gram bernilai RM100,000.
“Heroin itu boleh digunakan untuk seramai 74,050 penagih manakala syabu tersebut untuk 1,700 penagih.
“Kita percaya dapat menahan suspek dalam masa terdekat kerana identitinya dikenal pasti walaupun berjaya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, kereta membawa dadah berkenaan terbabas selepas hilang kawalan kira-kira 100 meter dari tol Lebuh Raya Pagoh, Muar.
Suspek yang dikatakan tidak sempat mengutip dadah tersebut dan bimbang perbuatannya itu terbongkar bertindak melarikan diri.
Mohd. Mokhtar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988.
Dalam perkembangan berlainan, pihaknya menahan seramai 10 pekerja warga Bangladesh dan Vietnam kerana terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah rumah di Tanjung Agas, Sungai Mati, Muar, Ahad lalu.
Menurut beliau, pihaknya merampas dua bilah pisau pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda.

No comments:

Post a Comment