Thursday, July 14, 2011

Suspek kes curi kereta mati ditembak polis

KUALA LUMPUR 13 Julai - Seorang daripada dua suspek kes curi kereta mati ditembak selepas cuba menyerang sepasukan polis dengan parang yang cuba menahannya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 2 petang itu berlaku selepas suspek warga Bangladesh dan rakannya dikesan sedang memandu sebuah kereta Proton Waja yang dicuri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua lelaki itu dikesan di kawasan terbabit oleh pemilik kereta Proton Waja tersebut.
Menurutnya, pemilik kereta tersebut kemudian melaporkan penemuan itu kepada polis lalu dihantar sepasukan peronda yang terdiri daripada sebuah kereta dan dua buah motosikal.
"Terkejut dengan kehadiran polis, suspek itu keluar kereta dan cuba menyerang polis dengan parang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Tambahnya, bagi melindungi diri, seorang daripada anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan yang terkena pada suspek.
Katanya, suspek yang parah melarikan diri ke arah kawasan perumahan sebelum ditemui pasukan peronda sama.
"Ketika ditemui, suspek berada dalam keadaan lemah sambil memegang sebilah parang," katanya.
Chin Wah berkata, berikutan itu, polis telah membawa suspek ke Hospital Kuala Lumpur untuk diberi rawatan tetapi meninggal dunia.
"Maklumat lengkap tentang suspek dan rakannya masih dalam siasatan dan polis masih memburu rakannya yang melarikan diri dengan kereta dicuri itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment