Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my
Anggota polis mengangkat mayat wanita Indonesia yang dibunuh di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 31 Julai - Hasrat seorang wanita warga Indonesia untuk pulang berhari raya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mati dibunuh kekasihnya di rumah mereka di Kampung Rumah 10, di sini hari ini.
Dalam insiden pukul 10.30 pagi itu, wanita berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebagai Ana mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dipercayai dipukul oleh suspek juga berusia 28 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Supritendan Saifi Abdul Hamid berkata, pasangan kekasih berkenaan baru sebulan menetap di kampung berkenaan.
"Hingga kini polis masih menyiasat punca kematian dan motif sebenar pembunuhan tersebut. Punca kematian Ana hanya akan diketahui selepas selesai bedah siasat.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai juruelektrik ditahan sejurus selepas pihak polis tiba di tempat kejadian.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mereka sekeluarga terdengar jeritan Ana yang tidak bekerja meminta tolong.
"Apabila kami keluar, kami dapati lelaki yang dikenali sebagai Edy itu sedang memukul mangsa dan apabila cuba ditenangkan dia memarahi dan minta kami jangan masuk campur urusan mereka.
"Saya dan jiran-jiran cuba pujuk dan menyuruhnya bertenang, namun tidak diendahkan. Tanpa berfikir panjang, anak saya dan beberapa orang lain memegang suspek dan menghubungi polis," katanya.
Katanya, sebelum kejadian, Ana sempat pergi ke rumah salah seorang jiran mereka dan menyatakan hasrat untuk pulang ke kampungnya di Indonesia sempena Aidilfitri nanti.
Malah, katanya, Ana juga sudah membeli beberapa barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya.
"Walaupun baru sahaja berpindah ke sini, dia sudah mesra dengan masyarakat setempat kerana dia seorang yang ramah dan sepanjang berjiran saya tidak pernah mendengar mereka bertengkar," katanya.
Sunday, July 31, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment