Wednesday, July 20, 2011

Kecoh: Ibu mangsa maki tertuduh

KLANG 20 Julai 2011 - Prosiding sebutan kes pekerja ladang warganegara India yang didakwa membunuh peguam dan ahli perniagaan, Datuk R. Anbalagan di Mahkamah Majistret di sini menjadi kecoh apabila ibu mangsa bertindak memarahi tertuduh.
Wanita yang dikenali sebagai Valliamah itu masuk ketika mahkamah berhenti rehat dan memarahi R. Narayanan, 24, yang berada di kandang tertuduh dengan nada tinggi dalam bahasa Tamil.
''Saya beri anak saya pelajaran sehingga dia jadi peguam, awak datang ke sini dan sekelip mata bunuh anak saya,'' kata wanita itu sambil meraung-raung.
Ketika Valliamah mengangkat tangan seolah-olah cuba memukul tertuduh, dia ditegur oleh anggota polis mahkamah manakala beberapa orang wanita dilihat segera menariknya keluar dari bilik bicara.
Semasa tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, Valliamah turut memarahi para petugas media yang berada di situ sambil berkata: ''Kalau mak ayah awak yang kena bunuh, apa perasaan awak?"
Dia bagaimanapun ditenangkan sambil dipimpin oleh beberapa orang saudara mara sebelum meninggalkan mahkamah.
Terdahulu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Narayanan memohon agar anak guamnya dirujuk ke hospital berikutan terdapat kesan-kesan kecederaan yang dikatakan berlaku sebelum dia ditahan.
''Semasa saya dan peguam S. Selvam menemubual tertuduh, kami dapati ada kesan-kesan luka termasuk sembilan jahitan di tangannya.
''Demi keadilan, kecederaan perlu direkodkan untuk tujuan perbicaraan. Ini kes memperdagang manusia. Kecederaan tersebut patut disiasat,'' kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim memohon tarikh sebutan berikutan laporan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kes itu masih belum diperoleh.
Majitret Azlinda Mohd. Sharif membenarkan permohonan peguam serta menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan kes itu.
Narayanan didakwa membunuh Anbalagan, 56, dengan menetak majikannya itu menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, Kapar di sini pada pukul 9.30 malam, 13 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment