Friday, July 8, 2011

Lelaki ditembak Kamal Affandi pernah mengamuk

KLANG 7 Julai - Seorang lelaki yang mati ditembak penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dalam kejadian amuk di Flat Valencia, Seksyen 25, Shah Alam kelmarin pernah mengamuk di Kampung Jawa di sini lima tahun lalu, dipercayai kerana marahkan jirannya.
Menurut sepupu lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jumaidy, selepas kejadian tersebut, Darwis Dusa, 42, yang berasal dari Kampung Merotai, Tawau, Sabah dan berhijrah di Lembah Klang sejak 2001 untuk bekerja, diminta pulang ke kampung halamannya.
Bagaimanapun, katanya, Darwis datang semula ke sini tanpa pengetahuan keluarganya tahun lalu.
"Arwah dikesan menghidap penyakit sawan sejak berusia 20-an ketika masih di Sabah dan kebiasaannya setiap tahun dia akan didatangi penyakit itu. Setiap kali diserang penyakit itu, dia akan pengsan atau mengamuk.
"Dalam kes yang berlaku lima tahun lalu, arwah tidak dikenakan hukuman kerana mempunyai surat dari hospital. Namun, tidak sangka dia telah meninggal dunia dan kami hanya mengetahuinya melalui akhbar. Saya memang tidak berpuas hati dengan cara kematian arwah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Jumaidy memberitahu, jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halamannya malam ini untuk disemadikan.
Sementara itu Kamal Affandi yang ditemui di Pusat Perubatan KPJ petang ini berkata, beliau turut bersimpati dengan kematian arwah dan berharap orang ramai dapat menghormati hak peribadi keluarganya ekoran kejadian tersebut.
Katanya, beliau memang berniat mempertahankan diri yang cedera akibat dilibas oleh arwah semasa melepaskan tembakan.
Mengenai perkembangan kesihatannya, Kamal Affandi berkata, beliau mungkin dibenarkan pulang dalam masa dua minggu lagi selepas menjalani satu lagi pembedahan di bahunya yang cedera dalam kejadian.
"Buat masa ini, tulang di bahagian tangan kanan yang patah sudah disimen, lutut terkoyak sudah dijahit manakala bahu terkehel masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik daripada hospital dan ia akan dibandingkan dengan keterangan mangsa sama ada konsisten atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment