Friday, July 8, 2011

Pelajar trauma selepas dibelasah rakan sekolah

CHE Roshanafizah Che Nik menunjukkan kecederaan di pipi dan dagu Aiman Aizuddin Zahari akibat dibelasah beberapa pelajar sekolahnya, di Kuantan semalam.
________________________________________

KUANTAN 7 Julai - Seorang pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini patah tulang dagu selepas mendakwa dibelasah beberapa pelajar sekolah itu semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku berhampiran kuarters guru yang terletak di luar sekolah tersebut menyebabkan Aiman Aizuddin Zahari, 15, kini trauma untuk ke sekolah itu selepas ini.
Ibunya, Che Roshanafizah Che Nik, 35, memberitahu, anaknya mendakwa, sebelum kejadian dia dipanggil seorang rakan seusia dengannya dengan memberitahu ada seseorang mahu berjumpa.
"Aiman dengan rela hati mengikut rakannya itu tanpa sebarang rasa syak. Bagaimanapun, sebaik sahaja sampai berhampiran kuarters guru, dia terus dipukul sehingga tidak sedarkan diri.
"Sejurus kemudian, anak saya sedar dan mendapati dia berada di dalam kawasan sekolah dengan baju berlumuran darah selain sakit di muka dan mulut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Che Roshanafizah berkata, anaknya kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Balok oleh seorang rakannya sebelum dimaklumkan patah tulang dagu sebelah kiri dan rahangnya tercabut.
Berikutan kecederaan itu, katanya, Aiman Aizuddin terpaksa dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut.
"Anak saya disahkan patah tulang dagu dan terpaksa mendapatkan rawatan lanjutan. Akibat itu juga dia hanya boleh makan makanan yang dikisar sahaja selama sebulan," ujarnya.
Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Beserah kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat kes itu.

No comments:

Post a Comment