Thursday, July 14, 2011

Perompak bakar restoran

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 13 Julai - Sekumpulan perompak bukan sahaja sempat makan dan membuang air besar di dalam sebuah restoran yang disamun di Seksyen 19, Jalan 19/3 di sini awal pagi ini, malah membakar premis itu dipercayai kerana marah apabila gagal mendapatkan hasil samun memuaskan.
Suspek yang memasuki restoran itu dengan mengumpil pintu belakang dipercayai berang kerana hanya menemui wang beberapa ribu ringgit sahaja dalam laci di kaunter pembayaran sedangkan mereka menjangka boleh memperoleh habuan lebih banyak.
Pemilik restoran, Yeong Hooi Wing, 50, berkata, dia tidak menyimpan banyak wang di situ kerana mempunyai pengalaman tiga kali premisnya dipecah masuk penjenayah sebelum ini.
"Saya hanya meninggalkan beberapa ribu ringgit dalam laci di kaunter pembayaran dan mungkin kerana jumlahnya yang sedikit, maka penjenayah menjadi marah lalu membakar kaunter tersebut.
"Kebakaran itu kemudian merebak sehingga memusnahkan hampir keseluruhan dua lot kedai di restoran vegetarian tersebut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Hooi Wing berkata, hanya bahagian dapur restoran yang terselamat daripada dijilat api dan pemeriksaan di situ menemui bekas ais krim yang dimakan oleh suspek, malah penjenayah sempat meninggalkan najis di dalam tandas sebelum melarikan diri.
Menurutnya, dia mengetahui restoran yang sudah lebih 20 tahun diusahakan itu terbakar setelah dimaklumkan oleh orang ramai yang melihat kebakaran tersebut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut oleh orang awam pada pukul 6.17 pagi.
Beliau berkata, sekumpulan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Penchala yang dihantar ke tempat kejadian berjaya memadam kebakaran pada pukul 6.37 pagi.
"Punca kebakaran didapati berpunca dari kaunter pembayaran di dalam restoran berkenaan," katanya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment