Monday, September 20, 2010

Petani bunuh guna cangkul digantung

2010/09/21
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang petani yang didapati bersalah membunuh bekas suami teman wanitanya, kira-kira tiga tahun lalu.

Aboys Saon, 28, didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Mupug anak Sat, 42, menggunakan cangkul di sebuah kebun sayur di Kampung Tebia Maras, Padawan, jam 5.30 petang, 14 Oktober 2007. Pesuruhjaya Kehakiman, P Ravinthran membuat keputusan itu selepas 12 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan. Aboys yang diwakili peguam Osman Ibrahim, hanya mengangguk sebaik mendengar keputusan itu dan kelihatan sugul ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah
Di mahkamah sama, enam lelaki berusia 18 hingga 24 tahun didakwa kerana membunuh rakan mereka selepas perselisihan faham dipercayai berkaitan hutang.

12 nelayan rugi RM100,000 enjin bot dicuri

2010/09/21
MELAKA: Dua belas nelayan di Tanjung Nibong, Telok Mas, dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 apabila 12 enjin bersama tiga bot menangkap ikan milik mereka dilarikan pencuri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pencuri berkenaan dikatakan melarikan 12 bot ke beberapa pulau berhampiran dan mengambil enjinnya bersama tiga bot tetapi meninggalkan sembilan bot lain terapung di kawasan berkenaan. Seorang mangsa, Mohd Nazri Abdullah, 44, mendakwa kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi tetapi menyedari mengenai kehilangan itu pada jam 6 pagi selepas dimaklumkan seorang rakan. Katanya, sebaik dimaklumkan, beliau dan beberapa rakan nelayan bergegas ke jeti terbabit sebelum dimaklumkan kepada polis Marin yang kemudian melakukan rondaan bagi mengesan bot terbabit di laluan kapal.

Kami juga membantu membuat rondaan dan usaha itu berhasil apabila berjaya menemui semula sembilan daripada 12 bot itu. Empat ditemui terapung berhampiran Pulau Mendatang dalam kawasan Telok Mas.

Empat bot lagi dijumpai di kawasan Pulau Besar, manakala sebuah lagi ditemui di kawasan teluk di luar muara pangkalan nelayan di sini. Bagaimanapun kesemua enjin bot berkenaan hilang, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Nazri berkata, kejadian kelima itu membabitkan enjin bot yang hilang dari jenis kuasa kuda 15HP, 30HP, 40HP dan 115HP yang setiap satu bernilai antara RM3,000 hingga RM10,000 itu.

Thursday, September 9, 2010

Perompak hentak dua peniaga Pasar Borong Menglembu dengan pistol

2010/09/09
IPOH: Dua peniaga pasar borong cedera di kepala selepas dihentak dengan senjata dipercayai pistol oleh sekumpulan lelaki yang merompak mereka di Pasar Borong Menglembu di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan. Kejadian berlaku pada jam 8 malam ketika lima peniaga pasar borong di Menglembu sedang makan dan minum apabila dihampiri empat perompak, dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala dua lagi parang. ”Seorang daripada perompak itu melepaskan satu das tembakan ke udara menyebabkan tiga peniaga terbabit melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, dua peniaga terbabit yang tidak sempat melarikan diri telah dicederakan oleh suspek dengan menghentakkan senjata itu di kepala mereka.

Beliau berkata, empat perompak kemudian melarikan beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 serta sebuah beg lagi yang juga mengandung wang tunai tetapi tidak diketahui jumlahnya.

Katanya, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Nissan.
Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - Bernama

6 warga asing ditahan, dipercayai terbabit kes samun

2010/09/09
JOHOR BAHRU: Enam warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di kawasan setinggan di Majidee semalam, dipercayai terbabit dalam kes samun ke atas tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana pada 3 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Shariff, berkata hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah terbabit petang semalam dan menemui pelbagai peralatan termasuk pemain DVD, telefon bimbit, pelbagai beg duit serta sejumlah mata wang asing. "Kesemua suspek yang berusia antara 21 dan 56 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 2.30 petang pada 3 September lalu, sekumpulan lelaki Indonesia bersenjatakan pisau menyamun tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana dan melarikan wang tunai RM14,250 serta komputer riba, telefon bimbit, dokumen bank dan dokumen diri mangsa.

Mengulas kes lain, Mokhtar berkata, polis di Yong Peng sudah menahan empat lelaki tempatan pada jam 3 pagi Jumaat lalu dipercayai sedang bersedia untuk melakukan samun berkumpulan.

Kumpulan lelaki itu yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan di Parit Yaani dan apabila dihampiri kereta peronda polis mereka bertindak memecut melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kereta tersebut berjaya dipintas di lampu isyarat di Taman Kota dan kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 36 tahun ditahan.
“Polis menjumpai sebilah pedang samurai, sebilah parang, tiga playar, sebilah pisau lipat dan empat topeng ski dari kereta tersebut,” katanya.

Dua daripada lelaki berkenaan juga didapati mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan jenayah kekerasan membabitkan kes samun dan pernah ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan. - Bernama

Peromak larikan RM80,000 dari bank di Bandar Baru Nilai

09/09/2010 4:36pm


NILAI 9 Sept — Seorang perompak berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira hampir RM80,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah bank CIMB cawangan Bandar Baru Nilai, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban,. ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek terbabit yang dipercayai seorang lelaki memasuki bank berkenaan dengan memakai topeng mulut, cermin mata gelap dan bertopi sebelum melakukan rompakan itu.

"Difahamkan, sebaik memasuki premis tersebut, lelaki itu yang dipercayai membawa satu objek berbentuk pistol telah bertindak melompat ke belakang kaunter bank sebelum menakutkan kakitangan bank berkenaan dan melarikan diri dengan wang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya ketika kejadian, terdapat empat pekerja bersama seorang pengurus termasuk dua pengawal keselamatan turut berada dalam bank tersebut, namun tiada pelanggan berada di dalamnya.

"Siasatan awal mendapati, kami mempercayai objek yang dibawa oleh suspek itu bukannya senjata api atau pistol, sebaliknya lelaki terbabit telah menggunakan objek tersebut untuk menakutkan kakitangan bank sebelum mengambil wang tunai dari tiga kaunter bank berkenaan,” katanya.

Katanya, ini kerana salah seorang pengawal keselamatan cuba mengejar suspek yang melarikan diri ke arah lorong di bangunan berhampiran, namun perompak itu tidak melepaskan tembakan.

"Kalau suspek itu mempunyai pistol sudah pasti dia sudah melepaskan tembakan ke arah pengawal itu ketika dia dikejar,” katanya.

Katanya polis kini sedang meneliti rakaman kamera Litar Tertutup (CCTV) selain menahan salah seorang pengawal tersebut bagi membantu siasatan. — Bernama

Wednesday, September 8, 2010

Utara: Menyamar kesan warga asing keluar secara haram

2010/09/09
PADANG BESAR: Jabatan Imigresen akan menempatkan anggota khas untuk menyamar di dalam kereta api ke Thailand pada musim perayaan ini, bertujuan mengesan sebarang cubaan warga asing untuk menyusup keluar secara haram melalui pintu sempadan negara.

Kaedah dipraktikkan itu semalam, nyata membuahkan hasil apabila pasukan diketuai Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Zahirul Fahmi Zaini, yang menyamar di dalam Ekspress Senandung Langkawi ke Hatyai, Thailand berjaya mengesan cubaan licik tiga lelaki warga Thai untuk keluar secara haram ke negara asal mereka. Zahirul ketika ditemui, berkata semua tiga warga Thai berkenaan ditahan ketika cuba menyelinap keluar melalui celahan rakan senegara mereka yang berpusu-pusu di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini, kira-kira jam 8.45 pagi. Katanya, dua daripada suspek ditahan selepas dikesan tinggal melebihi tempoh waktu dibenarkan, manakala seorang lagi kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) serta 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000," katanya ketika ditemui ketika mengetuai Ops Kutip di KIK, di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau bersama beberapa anggota Jabatan Imigresen negeri menaiki Ekspress Senandung Langkawi di Hentian Arau, di sini, yang menjadi tumpuan utama warga Thai, sebelum turun di Hentian Padang Besar, untuk menyertai Ops Kutip.

Mengulas taktik penyamaran berkenaan, Zahirul berkata operasi berkenaan membabitkan 35 anggota dengan dibantu enam anggota Rela yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan, termasuk pasukan khas untuk tujuan penyamaran di dalam kereta api

Kastam gagalkan cubaan seludup 51kg ketamine

2010/09/09
NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ketamine seberat 51 kilogram yang disorok dalam bungkusan pakaian menggunakan kontena melalui Pelabuhan Klang, Selangor, Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) KDRM, Datuk Ismail Ibrahim, berkata dadah bernilai RM565,530 yang cuba diseludup menggunakan dua kontena itu beralamat di Cheenai, India dan dialamatkan kepada pengimport tempatan. “Pemeriksaan ke atas kontena pertama pada mulanya menemui 281 bungkusan pakaian tradisional masyarakat India termasuk sari, punjabi, blaus dan kain, manakala empat bungkusan lagi adalah mesin pengisar. “Bagaimanapun, cubaan mengaburi mata pihak berkuasa gagal kerana kita berjaya menemui satu bungkusan pakaian yang mempunyai dua bungkusan 50 paket dadah jenis ketamin,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Narkotik, Ibu Pejabat KDRM Kampung Jijan, di sini.

Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kontena kedua tidak menemui apa-apa barang larangan, tetapi siasatan lanjut akan diteruskan.

“Ini percubaan pertama pihak berkenaan menyeludup dadah dengan membawa bersama pakaian menggunakan kapal tetapi gagal. Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan tetapi siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ismail berkata, sepanjang tahun ini, KDRM berjaya menggagalkan 49 cubaan menyeludup dadah dengan nilai rampasan RM34.7 juta dan menahan 35 warga asing serta tiga rakyat tempatan yang terbabit dengan kes berkenaan