Wednesday, June 16, 2010

Mangsa bunuh hantar SMS selepas kena tikam

2010/06/17
KERTEH: Seorang mangsa bunuh sempat mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi 'aku kena bunuh' kepada abangnya sejurus selepas ditikam, sebelum mayatnya ditemui di sebuah pondok di kebun buah-buahan di Kampung Pasir Gajah, di sini, Isnin lalu.

Abdul Halim Idrus, 19, yang dikatakan berjanji untuk bertemu dengan teman wanitanya di kebun berkenaan pada hari kejadian ditemui mati dengan kesan tusukan senjata tajam, dipercayai bermotifkan dendam atau cemburu cinta tiga segi. Abang mangsa, Mohd Haris, 27, berkata sebelum SMS yang disangka satu gurauan itu diterima, mangsa turut meminta tambah nilai kredit telefon bimbit RM1 daripadanya, sebelum beberapa SMS yang dihantarnya kepada mangsa tidak berbalas sehingga menimbulkan keresahan keluarganya. “Saya terkejut dan tergamam sebaik menerima SMS itu. Ia dihantar sejurus saya menghantar tambah nilai ke telefon bimbitnya. Selepas menerima SMS pelik itu, saya menghantar SMS berkali-kali bertanyakan keadaannya, namun gagal mendapat sebarang jawapan.

“Disebabkan bimbang, saya bersama bapa, Idris Long dan beberapa rakan mencari adik, tetapi tidak bertemu. Selepas seharian usaha mencarinya gagal, kami membuat laporan di Balai Polis Kampung Pasir Gajah dan kami dihubungi polis pada keesokan harinya memaklumkan mengenai penemuan mayat adik dan diminta membuat pengecaman,” katanya.

“Sebenarnya, adik saya ada memaklumkan untuk pergi menemui teman wanitanya. Selepas menerima panggilan telefon daripada gadis berkenaan, mereka berjanji untuk bertemu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di kampung berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Kerteh Empat dekat Bandar Ketengah Jaya, di sini.

Mohd Haris berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka sekeluarga tidak dapat menahan sebak dan sedih sebaik melihat jenazah mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas sebuah tilam di dalam pondok berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din berkata, polis masih berusaha menjejaki tiga saksi iaitu kenalan mangsa yang dikatakan ada menghantar SMS kepada mangsa sebelum kejadian bagi membantu siasatan.

Tuesday, June 15, 2010

Syabu dirampas, lelaki ditahan

2010/06/16
SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 892 gram dianggarkan bernilai RM225,000, cuba diseludup masuk oleh seorang lelaki warga Iran, yang pertama kali masuk ke negara ini pada 11 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan pada badannya, kita menemui beberapa gumpalan tisu berisi 39 ketulan plastik kecil berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 330 gram, diselitkan pada bahagian kiri dan kanan pinggang seluarnya,” katanya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk ujian imbasan sinar X dan menemui 64 lagi kapsul berisi syabu dalam perutnya. “Dalam masa tiga hari, semua kapsul dadah seberat 562 gram berkenaan berjaya dikeluarkan dari perut suspek selepas membuang air besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Siasatan mendapati suspek diupah RM65 (AS$20) untuk setiap kapsul berisi dadah yang ditelan dan berjaya dibawa masuk ke negara ini seberat 10 kilogram (kg) bernilai hampir RM500,000 yang cuba diseludup masuk oleh tiga warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), dalam tiga tangkapan berasingan, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 5 petang pada 9 Jun di KLIA, membabitkan seorang penumpang lelaki warga India yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika menolak keluar troli membawa sebuah kotak dan sebuah beg pakaian.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik KLIA kemudian membuat pemeriksaan terhadap kotak serta beg pakaian yang dibawa dan menemui 20 paket plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.75 kg bernilai RM145,000 disorok pada dinding kotak terbabit.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu bekerja sebagai pemandu teksi tiga roda di negaranya dan pernah dua kali masuk ke negara ini sejak tahun lalu.

“Suspek dipercayai diupah membawa masuk dadah ke negara ini untuk diproses sebelum diseludup semula ke luar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Katanya, tangkapan kedua pada 11 Jun lalu pula membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 892 gram dianggarkan bernilai RM225,000, cuba diseludup masuk oleh seorang lelaki warga Iran, yang pertama kali masuk ke negara ini.

“Hasil pemeriksaan pada badannya, kita menemui beberapa gumpalan tisu berisi 39 ketulan plastik kecil berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 330 gram, diselitkan pada bahagian kiri dan kanan pinggang seluarnya,” katanya.

Nordin berkata, suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk ujian imbasan sinar X dan menemui 64 lagi kapsul berisi syabu dalam perutnya.

“Dalam masa tiga hari, semua kapsul dadah seberat 562 gram berkenaan berjaya dikeluarkan dari perut suspek selepas membuang air besar. Siasatan mendapati suspek diupah RM65 (AS$20) untuk setiap kapsul berisi dadah yang ditelan dan berjaya dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dibuat pada 13 Jun lalu, membabitkan seorang lelaki warga India berusia 40 tahun di LLCT.

“Pemeriksaan pada beg pertama, polis menemui satu bungkusan plastik dadah disyaki ketamin seberat 2 kg dan kita turut menemui bungkusan dadah jenis sama seberat 1.9 kg pada beg kedua, semuanya bernilai RM120,000,” katanya.

Semua suspek kini direman hingga 19 dan 20 Jun depan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan

Monday, June 14, 2010

Lima pengedar dadah tumpas

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusankota@utusan.com.my



Kang Chez Chiang (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas daripada lima orang suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 14 Jun - Hanya dengan menggunakan seorang pengedar dadah wanita sebagai umpan, polis berjaya memerangkap lima pengedar dadah secara runcit yang aktif di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.

Kejayaan menjerat kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia 30 hingga 38 tahun itu bermula dengan penahanan seorang wanita berusia 30 tahun di Setapak di sini kerana memiliki syabu seberat 125 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, kesemua suspek ditahan dalam tempoh 14 jam pada Khamis lalu.

Menurutnya, setelah menjalankan siasatan terhadap wanita yang merupakan suspek pertama itu, pihaknya menangkap dua lelaki di sebuah hotel di Jalan Haji Hussein yang sedang memproses 1.370 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan tiga gram syabu.

"Daripada penahanan itu, kita mendapat petunjuk bagi menahan seorang lelaki yang juga pemandu teksi limousin berusia 36 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu. Hasil pemeriksaan kita menemui 3 kg. ganja di dalam teksi tersebut.

"Dalam siasatan yang dijalankan terhadap rumah pemandu teksi berkenaan di Batu Caves selepas itu, kita menemui 2 kg. ganja lagi, sebelum menahan isteri suspek berusia 34 tahun yang berada di rumah ketika itu.

"Kita juga percaya pemandu teksi itu menjalankan kegiatan pengedaran ganja dengan menggunakan teksinya untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Chez Chiang menambah, hasil maklumat yang diberikan pemandu teksi terbabit, polis kemudian menahan suspek terakhir berusia 33 tahun kerana membawa lapan ketulan ganja seberat lapan kilogram.

Jelasnya, ganja itu ditemui di dalam kereta Perodua Kelisa yang dipandunya ketika dia berhenti di sebuah stesen minyak di Jinjang.

Beliau berkata, hasil daripada kesemua tangkapan dalam tempoh 14 jam itu, sebanyak 11.7 kg ganja dan 128 gram syabu bernilai RM76,000 telah dirampas.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada penganggur, pemandu sambilan, peniaga dan pelayan restoran terbabit telah direman antara empat dan tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan yang dilakukan terhadap sebuah rumah di Taman Kobena, Cheras, Sabtu lalu, polis berjaya merampas sebanyak 841 gram heroin bernilai RM47,000.

Chez Chiang berkata, rampasan itu berjaya dilakukan setelah polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Maluri di sini.

"Pemeriksaan awal terhadap badan suspek ketika ditahan tidak menemui sebarang dadah yang dibawa, oleh itu kita melakukan pemeriksaan lanjut di rumahnya di Taman Kobena.

"Di situ, kita menemui dua ketulan mampat heroin yang belum diproses dan 194 peket heroin yang telah diproses," ujarnya.

Menurutnya, suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Putus tangan ditetak perompak

2010/06/15
BUKIT MERTAJAM: Seorang eksekutif insurans putus pergelangan tangan kiri ditetak oleh sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang, dipercayai bermotifkan samun di Jalan Maju di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 36 tahun pergi ke keretanya untuk mengambil wang selepas minum sambil menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia bersama rakannya di sebuah restoran. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata sebaik tiba di keretanya, mangsa diserang tiga lelaki. Mangsa cuba menepis serangan itu tetapi tetakan lelaki terbabit terkena pergelangan tangan kiri hingga putus. Usaha mencari tangan mangsa di tempat kejadian menemui jalan buntu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.

“Setakat ini, tangan mangsa yang putus belum ditemui. Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan

Perokok belasah pegawai

Oleh Nahar Tajri

2010/06/15
Tak puas hati kena notis kompaun merokok di surau hospital

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Kesihatan Awam cedera akibat ditumbuk dan ditendang tiga lelaki yang tidak berpuas hati selepas dikenakan notis saman larangan merokok dalam operasi kesihatan awam di sebuah surau di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang sedang menghisap rokok di kawasan larangan terkejut apabila tiba-tiba dihampiri seorang pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah, Yan berusia 25 tahun yang kemudiannya mengeluarkan notis kompaun menghisap rokok di kawasan larangan terhadapnya. Akibat berang dikenakan tindakan itu lelaki berkenaan memanggil dua lagi rakannya yang berusia 40-an dan 50-an sebelum memukul mangsa bertubi-tubi menyebabkan muka dan badannya lebam. Difahamkan mangsa ditumbuk dua kali di muka dan ditendang di badan sehingga tersungkur sebelum menyelamatkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Cheng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu kelmarin.

“Kami menerima laporan daripada seorang Penolong Pegawai Kesihatan Awam, Daerah Yan yang sedang menjalankan operasi larangan merokok di hospital berkenaan ditendang dan ditumbuk oleh tiga lelaki berusia antara 40-an hingga 50-an,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang memukul penjawat awam itu dan sedang menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya

161 rakyat Malaysia hilang di luar negara

Oleh Hardi Effendi Yaacob

2010/06/15
Ramai dikesan diperalat sindiket antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seramai 161 rakyat tempatan, dengan 97 daripadanya gadis dan wanita dilaporkan hilang di luar negara sejak dua tahun, dipercayai diperalatkan sindiket jenayah antarabangsa.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan individu terbabit hanya berjaya dikesan selepas ditahan pihak berkuasa di negara asing atas kesalahan pelbagai jenayah. “Seramai 117 individu berjaya ditemui semula oleh keluarga atau waris mereka hasil usaha sendiri atau dengan bantuan kedutaan dan Wisma Putra. “Seramai 39 individu lagi masih gagal dikesan hingga kini dan dipercayai berada di luar negara berdasarkan laporan dibuat keluarga mereka.

“Bagaimanapun, ada kes orang hilang itu yang hanya berjaya dikesan selepas mereka ditahan kerana melakukan jenayah, terutama membabitkan kesalahan dadah dan pemalsuan kad kredit didalangi sindiket antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan lima kes individu hilang ditahan di China kerana menyeludup dadah.

“Ini termasuk seorang wanita berusia 50-an yang dipenjarakan di Naning, China sejak Disember 2008 selepas dimaklumkan suaminya yang meminta bantuan kami untuk menyelamatkan isterinya,” katanya.
Difahamkan, wanita itu memaklumkan kepada suaminya beliau ke Hanoi, Vietnam untuk bercuti pada Oktober 2008.

Bagaimanapun, apabila suaminya menunggu di lapangan terbang pada tarikh beliau dijadualkan pulang, wanita itu tidak muncul, selain gagal dihubungi sebelum meminta bantuan Biro Pengaduan Awam MCA dua bulan kemudian.

“Atas nasihat kita, mangsa meminta bantuan Wisma Putra sebelum dimaklumkan seorang pegawai bahawa isterinya ditahan di penjara di Naning, China atas kesalahan membawa dadah.

“Dia kini menunggu laporan daripada Wisma Putra untuk membebaskan isterinya,” katanya.

Chong mengesahkan wanita itu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej percutian secara percuma.

Justeru, Chong menasihatkan rakyat negara ini, terutama wanita tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran percutian secara percuma ke luar negara bagi mengelak diperalatkan sebagai keldai dadah atau untuk jenayah lain

Sunday, June 13, 2010

Bunuh bermotif dendam

KUALA LUMPUR 13 Jun 2010 - Siasatan polis percaya kes pembunuhan seorang pekerja restoran nasi kandar di Kota Damansara semalam bermotif dendam yang berpunca daripada satu hubungan sulit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian itu berunsurkan rompakan.

Katanya, ini kerana semua barang berharga milik mangsa tidak dilarikan oleh penjenayah terbabit.

''Kita percaya motif adalah membalas dendam. Mangsa adalah pekerja biasa di restoran nasi kandar itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan menggunakan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai-kedai berhampiran untuk menyiasat kes tersebut.

"Walaupun premis itu ada CCTV, kita berusaha untuk mendapatkan rakaman CCTV dari premis berhampiran.

"Ia supaya dapat mengenal pasti lebih jelas suspek dan nombor pendaftaran kereta digunakan," kata beliau.

Menurutnya, polis juga percaya suspek bukan pekerja dari India kerana berpendapat agak sukar bagi mereka bebas memiliki kereta dan senjata api.

Katanya, polis kini sedang menyiasat latar belakang mangsa yang pernah bekerja di Pulau Pinang.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.

Dalam kejadian tengah malam semalam, mangsa yang dikenali sebagai Rash, 30-an dari Chennai, India, mati akibat ditembak di perut ketika pulang dari tempat kerja.

Ketika kejadian pukul 12.04 tengah malam, mangsa sedang menaiki tangga ke asrama penginapannya di tingkat dua bangunan sederet dengan restoran tempat dia bekerja.

Berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat di premis kejadian, suspek yang bertopi keledar, berjaket biru dan berseluar panjang melepaskan tembakan ke arah mangsa dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Perdana hitam