ABDUL Razak Ahmad cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di dalam rumahnya di Kampung Pedas Hilir di Rembau, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
REMBAU 30 Dis. - Seorang peniaga getah cedera parah setelah ditetak oleh sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pedas Hilir, dekat sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ahmad, 56, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh penjenayah terbabit.
Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Abdul Razak memberitahu, dia dan isteri yang sedang tidur menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising akibat dulang disandarkan pada pintu rumahnya terjatuh.
"Lantas saya bangun dan segera mencapai senapang patah milik saya kerana mengesyaki kehadiran pencuri, namun saya tidak sempat mengisi peluru apabila perompak terbabit bertindak menendang pintu bilik tidur saya.
"Apabila mereka melihat saya memiliki senjata, beberapa perompak itu menerkam ke arah saya untuk merampas senjata itu," katanya di sini hari ini.
Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia terpaksa bergelut dan menyebabkan dirinya ditetak di bahagian kepala, muka dan tangan kanan ketika perompak itu ingin merampas senapang.
"Saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan nekad bergelut dengan enam perompak bersenjatakan parang itu, saya tetap melawan walaupun mereka berulang kali menetak parang pada tubuh saya.
"Namun saya rebah akibat terlalu banyak kehilangan darah ketika pergelutan itu dan penjenayah tersebut juga berjaya merampas senjata saya," ujarnya.
Katanya, perompak terbabit dipercayai warga Indonesia itu kemudian bertindak mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain yang dikoyakkan.
Tambahnya, perompak terbabit yang tidak bertopeng kemudian menggeledah rumahnya dan melarikan senapang patah serta peluru.
"Mereka juga melarikan barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM40,000," ujarnya.
Dalam pada itu, isteri mangsa, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang turut cedera di tangan kanannya akibat dipukul dengan pemutar skru berkata, salah seorang perompak turut bersikap aneh apabila mandi di bilik air selepas mengikat keluarganya.
"Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Hasil siasatan awal, kami mendapati suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.
"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan," katanya
Thursday, December 30, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment