Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/12/27
Mangsa dijadikan hamba majikan selepas gagal lunas hutang
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima keluarga lagi dipercayai dikurung dan dijadikan hamba di Bahau, Negeri Sembilan kerana tidak mampu membayar hutang mereka. Maklumat itu didedahkan seorang mangsa yang berjaya melarikan diri bersama isteri dan tiga anaknya sebelum membuat aduan kepada Astivaaram Foundation, 19 Disember lalu. Ketua Biro Pengaduan Awam Astivaaram Foundation, Sri Sanjeevan, berkata kegiatan itu dipercayai sudah lama berlaku, terutama membabitkan mangsa di kalangan kaum India yang bekerja sebagai buruh ladang.
“Biasanya, gaji buruh estet memang rendah dan terpaksa meminjam wang tauke (kontraktor) untuk meneruskan hidup. Difahamkan, mangsa kebanyakannya tahu pinjaman itu dikenakan kadar bunga yang tinggi.
“Namun, apa pilihan yang mereka ada untuk menyara isteri dan anak-anaknya. Bila hutang bertambah dan tidak mampu dibayar, mereka akhirnya diperangkap menjadi hamba,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa dikurung bersama isteri dan anak mereka di lokasi tertentu sebelum dipaksa bekerja sebagai buruh ladang tanpa gaji.
Tidak cukup dengan itu, katanya, ada antara mangsa turut ‘dijual’ kepada kontraktor lain bagi menebus hutang, sekali gus menguntungkan majikan asal mereka.
“Mangsa memberitahu, kebanyakan mangsa dan isteri mereka akan dijadikan buruh paksa, manakala anak dipaksa melakukan kerja rumah, termasuk memandi dan memberi makan anjing pengawal yang menjaga rumah tempat mereka dikurung.
“Difahamkan, anak-anak itu ada didera. Ini perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menentang hak asasi manusia. Tidak sangka dalam keadaan moden hari ini, masih wujud kegiatan perhambaan di Malaysia,” katanya.
Sanjeevan berkata, aktiviti perhambaan itu sukar dikesan kerana berlaku di kawasan terpencil, selain keengganan mangsa membuat laporan berikutan bimbang dengan ancaman dalang kegiatan berkenaan, termasuk ugutan bunuh.
“Mangsa sebenarnya lebih bimbangkan keselamatan anak yang dijadikan tebusan. Lagipun, bagaimana mereka boleh buat laporan jika sentiasa dikurung dan pergerakan diawasi,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan dan pihak berkaitan, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera dalam membanteras kegiatan itu, termasuk menyelamatkan mangsa
“Selepas Berita Harian mendedahkan kegiatan ini, dalang utama dipercayai cuba memindahkan mangsa ke beberapa lokasi lain bagi memastikan pergerakan mereka tidak mudah dikesan.
“Justeru, kita berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelamatkan mangsa, terutama anak yang teraniaya itu. Astivaaram Foundation yang memperjuangkan hak asasi manusia sedia bekerjasama dalam usaha itu,” katanya.
Sunday, December 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment