Tuesday, December 14, 2010

Wilayah: Program Bandar Selamat diperluas

Oleh Haryani Ngah
aryani@bharian.com.my
2010/12/15
Usaha capai matlamat NKRA kurangkan jenayah dilihat tunjukkan petanda positif

BERDASARKAN laporan akhbar pada 2004, kadar jenayah di Kuala Lumpur terutama jenayah ragut meningkatkan dan menyumbang kepada 18 peratus daripada indeks jenayah. Secara puratanya ia menyumbang sebanyak sembilan kes yang dilaporkan setiap hari dan peragut boleh mendapat hasil sehingga RM2,051 setiap kali meragut sehingga kegiatan tidak bermoral ini dikatakan “satu profesion yang sangat mudah dan lumayan di mata penjenayah”. Mengikut laporan sebuah akhbar pada Mei 2004, kawasan pelancongan yang dikunjungi pelancong antarabangsa contohnya Jalan Bukit Bintang dan KLCC adalah kawasan sasaran peragut.

Berikutan keadaan jenayah yang membimbangkan itu terutama di kawasan bandar besar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Januari 2004 mencadangkan agar diwujudkan bandar dan pekan yang selamat dengan mewujudkan Program Bandar Selamat (PBS) sebagai langkah mencegah jenayah, contohnya mengelakkan lorong-lorong sunyi dan gelap.

Pelan pembangunan pekan dan bandar baru yang dirancang perlu mengambil kira aspek-aspek keselamatan.

Penyediaan PBS membabitkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JBPD), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama polis, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Persatuan Penduduk.
Konsep Bandar Selamat di Malaysia mempunyai empat komponen utama iaitu;

•Bandar yang bebas daripada keganasan seperti curi, ragut, pecah rumah dan sebagainya yang menyebabkan kehilangan nyawa dan trauma, kerosakan harta benda dan sosial.

•Bandar yang bebas dari bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh;

•Bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral seperti penagihan dadah, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, integriti dan kerosakan moral;

•Bandar yang bebas dari segala jenis kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kebakaran dan kemalangan jalan raya.

Strategi PBS

PBS mempunyai tiga strategi yang merangkumi 23 langkah pencegahan iaitu;
n Merekabentuk persekitaran fizikal yang berkesan dan bersesuaian bagi mengelak dan menyukarkan kegiatan jenayah. Langkahnya ialah pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan ber-motor, penyediaan bollard, tanaman landskap, Pencegahan Jenayah Melalui Rekabentuk Persekitaran (CPTED), perkongsian maklu-mat jenayah dan pemetaan GIS serta penyemakan Garis panduan susun atur perumahan.


•Memperkasakan kawasan sasaran iaitu memastikan kemudahan dan kawasan awam dilindungi daripada kecurian dan vandalisme melalui langkah berikut:


•Penyediaan pondok polis di tempat yang strategik

•Penyediaan papan tanda peringatan jenayah

•Penyediaan cermin keselamatan

•Penyediaan penggera keselamatan

•Membersih kawasan semak dan terlindung

•Penyediaan tempat motorsikal berkunci

•Pemasangan CCTV

•Pemasangan lampu di premis perniagaan

•Tidak menghalang pandangan di laluan awam

•Pencahayaan di kawasan sasaran jenayah atau gelap

•Tidak membenarkan perniagaan dan meletak kenderaan di kaki lima bangunan

•Menjana pelbagai aktiviti di kawasan sunyi/lengang

•Perkhidmatan pengawal keselamatan


•Melaksanakan kegiatan sosial atau kemasyarakatan dan pendidikan serta kesedaran awam melalui pendidikan dan kesedaran awam, pemasangan lampu di luar rumah pada waktu malam, penyediaan risalah jenayah untuk komuniti dan orang awam serta meningkat rondaan di kawasan perumahan.

Lima langkah segera

Lima daripada 23 langkah dijadikan langkah utama yang perlu dilaksanakan segera oleh semua PBT ialah pengasingan laluan pejalan kaki dan bermotor, penyediaan bollard, membersih kawasan semak dan terlindung, tidak menghalang pandangan di laluan awam dan pencahayaan di kawasan sasaran jenayah.

Takrifan semula PBS

Pada awal 2010, kesemua 23 di bawah PBS ditakrifkan semula kepada 15 langkah bertujuan memudahkan pelaksanaan PBS dengan memberi pilihan kepada PBT untuk melaksanakan langkah bandar selamat mengikut kesesuaian tempat.

Sehubungan itu, PBT tidak perlu melaksanakan semua 15 langkah PBS 2010 kerana apa yang penting langkah dipilih dan dilaksana PBT berkesan menangani jenayah.

Langkah satu

Pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor digabungkan dengan langkah penyediaan bollard dan mengawal tanaman landskap di laluan pejalan kaki.

Langkah dua

Melaksanakan Crime Prevention Through Enviromental Design (CPTED) bagi menggantikan langkah penyemakan garis panduan susun atur perumahan.

Langkah tiga

Penyediaan peta GIS jenayah dan PBS menggantikan langkah perkongsian maklumat jenayah melalui GIS-based mapping.

15 langkah PBS

Pengenalan PBS memberi impak dan kesan positif terhadap indeks jenayah di mana di antara 2007 hingga 2008, secara amnya kes jenayah harta benda hanya menurun sedikit iaitu 0.33 peratus, manakala kes ragut menurun dengan agak ketara iaitu sebanyak 26 peratus terutama di bandar yang melaksanakan pencegahan jenayah. Langkah berkenaan adalah:


•Pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor yang dilaksanakan dengan menyediakan laluan pejalan kaki khusus, rel penghadang, tanaman landskap atau laluan motosikal khas.


•Pelaksanaan reka bentuk persekitaran yang selamat (CPTED)


•Pemetaan GIS Jenayah dan Program Bandar Selamat


•Penyediaan balai polis tetap atau bergerak


•Penyediaan cermin keselamatan


•Penyediaan papan tanda peringatan jenayah


•Penyediaan penggera keselamatan


•Penyediaan tempat motosikal berkunci


•Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perniagaan dan tempat awam


•Pencahayaan di kawasan sasaran iaitu di tepi, hadapan dan belakang rumah/bangunan dan di kaki lima premis perniagaan, tempat awam dan kawasan perumahan


•Laluan awam tidak terlindung dari pandangan awam dengan membersihkan/mengemaskan kawasan semak dan terlindung, tidak membenarkan perniagaan dan meletak kenderaan di laluan pejalan kaki atau jejantas tidak terlindung dari pandangan awam.


•Penjanaan aktiviti bersesuaian di kawasan yang terdedah dengan jenayah


•Pendidikan kesedaran awam dan publisiti melalui media massa seperti surat khabar, risalah, televisyen, radio, seminar, internet atau pelancaran projek bandar selamat, penyediaan papan iklan luar, mewujud atau memperluaskan laman web PBT dengan memasukkan PBS dan penyertaan awam dalam merancang dan melaksanakan langkah-langkah bandar selamat.


•Meningkatkan rondaan di kawasan perumahan


•Agenda tetap bulanan Mesyuarat Majlis Penuh PBT dengan melaporkan status kadar jenayah dan keberkesanan pelaksanaan Program Bandar Selamat pada setiap bulan dan mengemukakan cabutan minit mesyuarat Penuh PBT kepada KPKT dan JPBD.

Daripada 15 langkah PBS 2010, enam langkah segera dikenal pasti untuk dilaksanakan ialah pencahayaan, pengasingan laluan pejalan kaki dari jalan bermotor, penggera keselamatan, cermin keselamatan, pemetaan GIS jenayah dan pemasangan CCTV.

Status pelaksanaan PBS 2004

Menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan keseluruhan indeks jenayah sebanyak 5 peratus dan Jenayah Jalanan Negara sebanyak 20 peratus sebelum Disember 2010.

Bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah jalanan itu, sebanyak 55 inisiatif diperakukan di bawah NKRA.

Untuk itu JBPD KPKT dipertanggungjawab melaksanakan tindakan mengurangkan jenayah dan pencegahan jenayah jalanan melalui inisiatif PBS yang juga satu daripada 55 inisiatif NKRA Lab.

Inisiatif berkenaan membabitkan dua program iaitu mengaktifkan semula dan memperluaskan program PBT sedia ada kepada semua PBT di seluruh negara perlu dilaksanakan dengan segera dan langkah kedua adalah menyediakan panduan CPTED.

Tindakan mengaktifkan semula dan memperluaskan PBS kepada 149 PBT di seluruh negara perlu dilaksanakan dengan serta-merta sebelum Disember 2010 bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah jalanan negara sebanyak 20 peratus.

Usaha untuk mencapai matlamat NKRA dilihat menunjukkan petanda positif menerusi laporan PDRM sehingga Julai lalu yang menunjukkan penurunan kadar jenayah jalanan secara keseluruhan pada 37 peratus, manakala kadar keseluruhan pula menurun 14 peratus.

Sehingga Jun 2009, tiga PBT iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kuantan telah berjaya melaksanakan 23 langkah.

No comments:

Post a Comment