Monday, December 13, 2010

Polis teruskan siasatan lelaki ditembak

KUANTAN 13 Dis. 2010 - Polis masih menyiasat identiti mayat lelaki yang ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badannya di Kilometer 46.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, lelaki berkenaan juga dipercayai ditembak dua hingga empat tembakan.

Menurut beliau, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam, mendapati lelaki tersebut ditembak dengan menggunakan pistol jenis semi automatik.

"Kita percaya lelaki berkulit cerah itu berusia lewat 30 hingga 40-an, mempunyai ketinggian 172 sentimeter dengan berat badan 60 hingga 70 kilogram.

"Mangsa juga mempunyai tatu matahari dan seekor harimau sedang melompat dengan air terjun di belakang badannya," katanya ketika ditemui pemberita di HTAA di sini, hari ini.

Katanya, hasil bedah siasat tersebut juga mendapati mangsa berkemungkinan mati lebih daripada 24 jam.

Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan dan identiti mangsa juga belum dikenal pasti kerana tiada sebarang pengenalan ditemui.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Laporan akhbar semalam melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badannya di Kilometer 46.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Mangsa ditemui berpakaian lengkap dengan kemeja-T berwarna coklat berjenama Milano dan berseluar jean jenama YXL tanpa kasut dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Sementara itu, kata Narenasagaran, pihaknya juga masih belum mengenal pasti mayat gadis yang di kerat enam di Kilometer 2.3 jalan menghala ke Gohtong Jaya, Sabtu lalu.

"Polis masih menunggu hasil bedah siasat. Bagaimanapun kita percaya gadis itu berbangsa India, berusia lingkungan belasan tahun.

"Kita percaya mangsa orang kurang upaya (OKU) berikutan kepalanya agak besar dari biasa, manakala tangan kanan pula kecil," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini juga polis masih belum menemui tangan kiri dan kaki kanan mangsa.

No comments:

Post a Comment