Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/31
Pura-pura tarik kereta guna teksi konon rosak
KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang pemandu teksi hanya sempat melarikan sebuah Proton Wira yang dicuri mereka selama beberapa minit sebelum ditahan polis dalam kejadian berdekatan hentian Puduraya di sini, malam kelmarin. Pada kejadian jam 7 malam itu, dua suspek terbabit juga cuba melanggar seorang anggota polis trafik yang mengejar mereka menyebabkan anggota itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta berkenaan sebelum mereka berjaya ditahan dengan bantuan beberapa anggota polis di Pondok Polis tidak jauh dari tempat kejadian. Ketika kejadian, kedua-dua suspek berusia 22 dan 32 tahun itu berpura-pura menggunakan teksi milik salah seorang suspek untuk menarik Proton Wira yang dicuri dari tingkat lima Kompleks Sun, kononnya kereta itu rosak.
Bagaimanapun, taktik dua penjenayah itu terbongkar selepas helah mereka disedari pemilik kereta berkenaan yang segera memaklumkannya kepada seorang anggota trafik yang sedang bertugas di persimpangan Jalan Pudu dan Bukit Bintang.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sebaik menerima maklumat itu, anggota trafik terbabit segera mengejar suspek sebelum cuba menahan mereka di hadapan hentian Puduraya.
“Menyedari kegiatan mereka dikesan, suspek cuba melanggar anggota polis terbabit menyebabkannya terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar belakang Proton Wira sebelum mereka berjaya diberkas,” katanya di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersangkutan kes samun dan mereka ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 379A dan 307 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana memiliki kenderaan curi dan cubaan membunuh
Thursday, December 30, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment