Wednesday, December 29, 2010

Taktik peragut perdaya mangsa

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my



INSPEKTOR Edwin anak Sanji (tengah) menunjukkan kertas iklan serta dua utas rantai emas yang diragut oleh suspek di IPD Kota Tinggi, Johor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA TINGGI 29 Dis. - Hanya menggunakan taktik menghulurkan kertas iklan seperti membeli rumah untuk mendekati mangsa, dua penjenayah berjaya meragut ramai mangsa di lima kawasan di negeri ini.

Lima kawasan terbabit adalah di Pontian, Felda Taib Andak, Teluk Sengat, Felda Air Tawar 4 dan Felda Semenchu.

Terbaru, seorang suri rumah rugi RM700 apabila rantai lehernya diragut suspek di hadapan rumahnya di Kampung Kempas Menang, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, 22 Disember lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang berehat sebelum didatangi seorang lelaki yang menghulurkan sekeping kertas iklan tawaran membeli rumah baru.

Ketua Polis daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, suspek yang menggunakan motosikal Honda Wave berwarna hitam kemudian melarikan diri ke arah Kluang.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Ampat di sini, selepas kejadian.

"Bertindak atas maklumat, polis mengesan dan menahan suspek berusia 28 tahun di Bandar Tenggara keesokan harinya.

"Hasil soal siasat polis menyerbu sebuah rumah di Kulaijaya dan menahan seorang lagi rakannya, seorang penganggur berusia 23 tahun," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga menemui dua resit jual-beli barang kemas daripada sebuah kedai emas di Jalan Jaafar di sini.

Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Felda Linggiu di sini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment