Tuesday, December 28, 2010

Polis buru ‘Zul Badak’ selesai kes gaduh

KUANTAN 28 Dis. 2010 – Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Zul Badak’ bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah kedai makan di Sungai Isap, dekat sini tengah malam tadi.

Pergaduhan pada pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan dua kumpulan iaitu geng ‘Zul Badak’ dan geng ‘Putra’, berusia 20 hingga 44 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, ‘Zul Badak’ berusia 30-an dipercayai merupakan ketua kumpulan samseng terbabit.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, kedua-dua kumpulan bergaduh sesama sendiri dengan parang.

Katanya, beberapa lelaki dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas cedera di tangan, paha dan badan.

“Kita telah menahan lima daripada suspek itu di HTAA pada pukul 6 pagi ini. Dua daripada mereka dipercayai ahli kumpulan geng ‘Zul Badak’ dan tiga lagi, geng ‘Putra’,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan seorang ahli kumpulan ‘Zul Badak’ berusia 25 tahun ditampar di sebuah restoran nasi kukus di Jalan Beserah di sini, kira-kira pukul 9 malam.

“Kejadian itu menyebabkan ‘Zul Badak’ tidak berpuas hati lalu membalas dendam. Polis kini memburu ‘Zul Badak’ dan beberapa lagi suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

No comments:

Post a Comment