Monday, December 20, 2010

10 ahli Geng Kangkar ditahan

JOHOR BAHRU 20 Dis. 2010 - Polis Johor berjaya menahan 10 anggota 'Geng Kangkar' yang disyaki terlibat dalam 46 kes jenayah termasuk samun, ragut dan curi motosikal di sekitar bandar raya ini Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dua daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau di sini manakala lapan yang lain ditahan di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, geng terbabit dipercayai menyasarkan motosikal yang diletakkan di sekitar pusat beli-belah dan tepi jalan.

Motosikal curi tersebut kemudian digunakan oleh kumpulan penjenayah berkenaan untuk melakukan samun dan ragut, katanya.

"Selain sembilan buah motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri, turut dirampas daripada kumpulan terbabit termasuk sebatang besi berbentuk T, tujuh batang besi tajam dan dua besi berbentuk L yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Kita percaya penahanan ahli kumpulan ini berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi di sekitar negeri ini.

Menurutnya, kesemua 10 suspek berusia 18 hingga 27 tahun kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut.

Polis juga telah mengenal pasti saki-baki ahli geng terbabit dan akan melakukan tangkapan susulan dalam tempoh terdekat, katanya.

No comments:

Post a Comment