Thursday, December 30, 2010

Peniaga getah cedera ditetak perompak

ABDUL Razak Ahmad cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di dalam rumahnya di Kampung Pedas Hilir di Rembau, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



REMBAU 30 Dis. - Seorang peniaga getah cedera parah setelah ditetak oleh sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pedas Hilir, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ahmad, 56, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh penjenayah terbabit.

Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Abdul Razak memberitahu, dia dan isteri yang sedang tidur menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising akibat dulang disandarkan pada pintu rumahnya terjatuh.

"Lantas saya bangun dan segera mencapai senapang patah milik saya kerana mengesyaki kehadiran pencuri, namun saya tidak sempat mengisi peluru apabila perompak terbabit bertindak menendang pintu bilik tidur saya.

"Apabila mereka melihat saya memiliki senjata, beberapa perompak itu menerkam ke arah saya untuk merampas senjata itu," katanya di sini hari ini.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia terpaksa bergelut dan menyebabkan dirinya ditetak di bahagian kepala, muka dan tangan kanan ketika perompak itu ingin merampas senapang.

"Saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan nekad bergelut dengan enam perompak bersenjatakan parang itu, saya tetap melawan walaupun mereka berulang kali menetak parang pada tubuh saya.

"Namun saya rebah akibat terlalu banyak kehilangan darah ketika pergelutan itu dan penjenayah tersebut juga berjaya merampas senjata saya," ujarnya.

Katanya, perompak terbabit dipercayai warga Indonesia itu kemudian bertindak mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain yang dikoyakkan.

Tambahnya, perompak terbabit yang tidak bertopeng kemudian menggeledah rumahnya dan melarikan senapang patah serta peluru.

"Mereka juga melarikan barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM40,000," ujarnya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang turut cedera di tangan kanannya akibat dipukul dengan pemutar skru berkata, salah seorang perompak turut bersikap aneh apabila mandi di bilik air selepas mengikat keluarganya.

"Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Hasil siasatan awal, kami mendapati suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan," katanya

Tiga kena cekup cuba curi kereta

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/31
Pura-pura tarik kereta guna teksi konon rosak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang pemandu teksi hanya sempat melarikan sebuah Proton Wira yang dicuri mereka selama beberapa minit sebelum ditahan polis dalam kejadian berdekatan hentian Puduraya di sini, malam kelmarin. Pada kejadian jam 7 malam itu, dua suspek terbabit juga cuba melanggar seorang anggota polis trafik yang mengejar mereka menyebabkan anggota itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta berkenaan sebelum mereka berjaya ditahan dengan bantuan beberapa anggota polis di Pondok Polis tidak jauh dari tempat kejadian. Ketika kejadian, kedua-dua suspek berusia 22 dan 32 tahun itu berpura-pura menggunakan teksi milik salah seorang suspek untuk menarik Proton Wira yang dicuri dari tingkat lima Kompleks Sun, kononnya kereta itu rosak.

Bagaimanapun, taktik dua penjenayah itu terbongkar selepas helah mereka disedari pemilik kereta berkenaan yang segera memaklumkannya kepada seorang anggota trafik yang sedang bertugas di persimpangan Jalan Pudu dan Bukit Bintang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sebaik menerima maklumat itu, anggota trafik terbabit segera mengejar suspek sebelum cuba menahan mereka di hadapan hentian Puduraya.

“Menyedari kegiatan mereka dikesan, suspek cuba melanggar anggota polis terbabit menyebabkannya terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar belakang Proton Wira sebelum mereka berjaya diberkas,” katanya di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersangkutan kes samun dan mereka ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 379A dan 307 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana memiliki kenderaan curi dan cubaan membunuh

Wednesday, December 29, 2010

Taktik peragut perdaya mangsa

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my



INSPEKTOR Edwin anak Sanji (tengah) menunjukkan kertas iklan serta dua utas rantai emas yang diragut oleh suspek di IPD Kota Tinggi, Johor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA TINGGI 29 Dis. - Hanya menggunakan taktik menghulurkan kertas iklan seperti membeli rumah untuk mendekati mangsa, dua penjenayah berjaya meragut ramai mangsa di lima kawasan di negeri ini.

Lima kawasan terbabit adalah di Pontian, Felda Taib Andak, Teluk Sengat, Felda Air Tawar 4 dan Felda Semenchu.

Terbaru, seorang suri rumah rugi RM700 apabila rantai lehernya diragut suspek di hadapan rumahnya di Kampung Kempas Menang, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, 22 Disember lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang berehat sebelum didatangi seorang lelaki yang menghulurkan sekeping kertas iklan tawaran membeli rumah baru.

Ketua Polis daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, suspek yang menggunakan motosikal Honda Wave berwarna hitam kemudian melarikan diri ke arah Kluang.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Ampat di sini, selepas kejadian.

"Bertindak atas maklumat, polis mengesan dan menahan suspek berusia 28 tahun di Bandar Tenggara keesokan harinya.

"Hasil soal siasat polis menyerbu sebuah rumah di Kulaijaya dan menahan seorang lagi rakannya, seorang penganggur berusia 23 tahun," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga menemui dua resit jual-beli barang kemas daripada sebuah kedai emas di Jalan Jaafar di sini.

Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Felda Linggiu di sini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tuesday, December 28, 2010

Warga emas maut ditetak dalam kejadian samun

29/12/2010 12:10pm


GOPENG 29 Dis. - Seorang warga emas maut dalam kejadian samun sekumpulan empat lelaki di Taman Gopeng Jaya di sini awal pagi ini.

Mayat mangsa, V. Perumal, 67, mati di tempat kejadian akibat cedera parah dipukul dengan besi paip.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Utusan

Polis buru ‘Zul Badak’ selesai kes gaduh

KUANTAN 28 Dis. 2010 – Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Zul Badak’ bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah kedai makan di Sungai Isap, dekat sini tengah malam tadi.

Pergaduhan pada pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan dua kumpulan iaitu geng ‘Zul Badak’ dan geng ‘Putra’, berusia 20 hingga 44 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, ‘Zul Badak’ berusia 30-an dipercayai merupakan ketua kumpulan samseng terbabit.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, kedua-dua kumpulan bergaduh sesama sendiri dengan parang.

Katanya, beberapa lelaki dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas cedera di tangan, paha dan badan.

“Kita telah menahan lima daripada suspek itu di HTAA pada pukul 6 pagi ini. Dua daripada mereka dipercayai ahli kumpulan geng ‘Zul Badak’ dan tiga lagi, geng ‘Putra’,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan seorang ahli kumpulan ‘Zul Badak’ berusia 25 tahun ditampar di sebuah restoran nasi kukus di Jalan Beserah di sini, kira-kira pukul 9 malam.

“Kejadian itu menyebabkan ‘Zul Badak’ tidak berpuas hati lalu membalas dendam. Polis kini memburu ‘Zul Badak’ dan beberapa lagi suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Monday, December 27, 2010

Isteri, penarik kereta dituduh belasah suami sampai koma

28/12/2010 12:52pm


SHAH ALAM 28 Dis. – Isteri seorang anggota polis dan penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membelasah suaminya sehingga koma selama sebulan pada pertengahan November lalu.

S. Kasturi, 27, dan A. Stevan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal G. Vimal Raj di tempat letak kereta Hulu Yam, Selayang dekat sini pada pukul 1 pagi, 11 November lalu.

Kedua-duanya dibenarkan dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula pada 28 Januari tahun depan. - Utusan

Trauma cuba diragut lelaki bermotosikal

SEREMBAN 27 Dis. 2010 - Seorang peniaga trauma apabila tercedera selepas menjadi mangsa cubaan ragut oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Jalan Rahang berhampiran Stesen Komuter Seremban dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Ho Ken Jee, 54, cedera di kaki dan kepala selain patah tulang rusuk akibat terjatuh dari motosikal yang ditungganginya.

Menurut mangsa, ketika kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Rahang menuju ke gerainya di Pasar Besar Seremban di sini.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ken Jee memberitahu, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikalnya dihampiri sekumpulan lelaki yang menunggang kira-kira 10 buah motosikal.

"Tiba-tiba, salah sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal saya sebelum pembonceng motosikal itu cuba meragut beg yang disangkut di pinggang saya.

"Saya bertindak menepis tangan lelaki itu beberapa kali menyebabkan suspek hanya dapat menarik jaket saya. Mungkin berang dengan tindakan saya, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya sehingga saya terjatuh," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Seremban di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, selepas terjatuh dan terbaring di atas jalan, kumpulan lelaki bermotosikal itu kemudian cemas sebelum bertindak melarikan diri.

"Mereka melarikan diri dan tidak sempat mengambil apa-apa barang milik saya. Mujurlah ada penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut membantu membawa saya ke hospital.

"Pemeriksaan x-ray mendapati tujuh tulang rusuk saya patah selain beberapa kecederaan pada kepala dan kaki," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak dapat mengecam rupa serta wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar dan keadaan ketika itu masih gelap.

Kata Ken Jee, kejadian itu merupakan kali pertama buat dirinya sejak berniaga di pasar berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih berada dalam keadaan trauma dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Sunday, December 26, 2010

Samun: Perompak ugut cedera kanak-kanak perempuan

KUALA TERENGGANU 26 Dis. 2010 - Seorang perompak sempat mengugut untuk mencederakan seorang budak perempuan sebelum melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM5,000 dalam kejadian samun di Kampung Binjai Manis, Manir dekat sini, awal pagi ini.

Salah seorang daripada penjenayah bertopeng itu yang memecah masuk rumah dan meletakkan pisau di leher budak berusia 4 tahun agar ibunya, Nor Azlina Jaafar, 43, membiarkan mereka menggeledah rumah itu.

Menurut Nor Azlina, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi setelah dia terjaga dari tidur dan mendengar bunyi pelik di bahagian belakang rumahnya namun dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyambung tidur.

"Tidak lama kemudian saya terkejut apabila muncul dua lelaki bertopeng di depan pintu bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bangun dari tidur dan segera memeluk anaknya sebelum salah seorang penyamun memegangnya dari belakang dan mengacu pisau pada belakang leher anaknya.

Jelasnya, pada masa yang sama, seorang lagi penjenayah menggeledah seluruh bahagian rumah dan mengambil barang-barang berharga untuk diisi ke dalam sebuah beg mengkuang miliknya.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu kemudian melarikan diri melalui pintu belakang rumah tersebut.

Berikutan kejadian itu, Nor Azlina kerugian kira-kira RM5,000 apabila penjenayah itu melarikan wang tunai RM800, seutas rantai dan sebentuk cincin emas serta sebuah telefon bimbit.

Dia mengesyaki penjenayah itu berasal dari sekitar kawasan tersebut berdasarkan dialek percakapan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Supritendan Zani Che Din memberitahu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan penjenayah berkenaan.

Lima keluarga masih dikurung

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/12/27
Mangsa dijadikan hamba majikan selepas gagal lunas hutang

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima keluarga lagi dipercayai dikurung dan dijadikan hamba di Bahau, Negeri Sembilan kerana tidak mampu membayar hutang mereka. Maklumat itu didedahkan seorang mangsa yang berjaya melarikan diri bersama isteri dan tiga anaknya sebelum membuat aduan kepada Astivaaram Foundation, 19 Disember lalu. Ketua Biro Pengaduan Awam Astivaaram Foundation, Sri Sanjeevan, berkata kegiatan itu dipercayai sudah lama berlaku, terutama membabitkan mangsa di kalangan kaum India yang bekerja sebagai buruh ladang.

“Biasanya, gaji buruh estet memang rendah dan terpaksa meminjam wang tauke (kontraktor) untuk meneruskan hidup. Difahamkan, mangsa kebanyakannya tahu pinjaman itu dikenakan kadar bunga yang tinggi.

“Namun, apa pilihan yang mereka ada untuk menyara isteri dan anak-anaknya. Bila hutang bertambah dan tidak mampu dibayar, mereka akhirnya diperangkap menjadi hamba,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa dikurung bersama isteri dan anak mereka di lokasi tertentu sebelum dipaksa bekerja sebagai buruh ladang tanpa gaji.
Tidak cukup dengan itu, katanya, ada antara mangsa turut ‘dijual’ kepada kontraktor lain bagi menebus hutang, sekali gus menguntungkan majikan asal mereka.

“Mangsa memberitahu, kebanyakan mangsa dan isteri mereka akan dijadikan buruh paksa, manakala anak dipaksa melakukan kerja rumah, termasuk memandi dan memberi makan anjing pengawal yang menjaga rumah tempat mereka dikurung.

“Difahamkan, anak-anak itu ada didera. Ini perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menentang hak asasi manusia. Tidak sangka dalam keadaan moden hari ini, masih wujud kegiatan perhambaan di Malaysia,” katanya.

Sanjeevan berkata, aktiviti perhambaan itu sukar dikesan kerana berlaku di kawasan terpencil, selain keengganan mangsa membuat laporan berikutan bimbang dengan ancaman dalang kegiatan berkenaan, termasuk ugutan bunuh.

“Mangsa sebenarnya lebih bimbangkan keselamatan anak yang dijadikan tebusan. Lagipun, bagaimana mereka boleh buat laporan jika sentiasa dikurung dan pergerakan diawasi,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan dan pihak berkaitan, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera dalam membanteras kegiatan itu, termasuk menyelamatkan mangsa
“Selepas Berita Harian mendedahkan kegiatan ini, dalang utama dipercayai cuba memindahkan mangsa ke beberapa lokasi lain bagi memastikan pergerakan mereka tidak mudah dikesan.

“Justeru, kita berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelamatkan mangsa, terutama anak yang teraniaya itu. Astivaaram Foundation yang memperjuangkan hak asasi manusia sedia bekerjasama dalam usaha itu,” katanya.

Friday, December 24, 2010

Kenderaan KPDNKK Perak disembur cat ketika operasi

2010/12/24
IPOH: Sebuah kenderaan pacuan empat roda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak disembur cat hitam di bahagian belakang dan kanan dalam satu kejadian malam tadi ketika pegawai penguatkuasanya sedang membuat pemeriksaan di sebuah premis di Greentown di sini.

Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor, berkata ia dipercayai dilakukan oleh kumpulan ''tonto'' yang mengekori operasi pemeriksaan premis di Pusat Perniagaan Greentown dari 8 hingga 10 malam tadi. Beliau berkata operasi itu dilakukan bagi mengumpul maklumat berkaitan pemilik premis dan aduan penjualan cakera optik tanpa pelekat hologram, tanda harga, nama dan alamat pengeluar. Mohd Hilmi berkata kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Ipoh dan kali kedua di Perak selepas insiden serupa di Taiping, Ogos lalu. - BERNAMA

Geng pecah kilang warga Vietnam diberkas

24/12/2010 5:32pm



Oleh KAMIL MASLIH

MUAR 24 Dis. – Polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di sekitar daerah ini apabila memberkas lima warga Vietnam dalam satu sekatan di persimpangan lampu isyarat di Bukit Pasir di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 30 tahun itu yang menaiki sebuah teksi cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menangkap mereka.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam jenayah pecah kilang di daerah ini sejak tiga bulan lalu. – Utusan

Thursday, December 23, 2010

Polis rampas pistol, 2 ditahan

Zainuddin Yaacob menunjukkan pistol pada sidang akhbar di Balai Polis Central, Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 23 Dis. - Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata api dan merampas sepucuk pistol serta lapan butir peluru di Jalan Permas 11, di sini pada Selasa lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan dua anggota polis yang ketika itu menjalankan rondaan di Permas Jaya pada pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sewaktu meronda, anggota polis terbabit menahan sebuah kereta jenis Honda Stream dalam keadaan mencurigakan yang dinaiki kedua-dua suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan tersebut dilaporkan hilang November lalu.

"Semasa melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan itu, polis menemui sepucuk pistol jenis Caliber bersama lapan butir peluru .38 dan sepasang gari. Turut dijumpai, empat sarung muka berwarna hitam, enam utas kabel pengikat, dua sarung tangan berwarna putih dan empat telefon bimbit jenis Nokia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Siasatan lanjut, katanya mendapati salah seorang daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau iaitu memiliki wang palsu.

Tambah Zainuddin, segala peralatan yang dijumpai di dalam kereta berkenaan digunakan untuk tujuan jenayah samun.

Malah, katanya, dengan penahanan dua suspek tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes samun yang berlaku di sekitar bandar raya ini.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengesan saki baki kumpulan berkenaan

Kontraktor mati ditetak di tengkuk akibat diserang

23/12/2010 3:59pm



Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB

KUANTAN 23 Dis. – Seorang kontraktor ditemui mati ditetak di bahagian tengkuk di rumahnya di Lorong Sekilau di sini hari ini.

Mayat Chan Kin Wai, 45, ditemui oleh rakannya kira-kira pukul 7.30 pagi dan mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak itu dipercayai diserang ketika berseorangan di rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, hasil maklumat beberapa orang penduduk, mereka nampak dua lelaki melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Kita percaya mangsa ditetak oleh dua suspek itu yang memasuki rumahnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini. – Utusan

Wednesday, December 22, 2010

Penjual bunga dihukum mati bunuh penghantar surat

SHAH ALAM 22 Dis. 2010 - Seorang penjual bunga melur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang penghantar surat dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap M. Nagarajan, 39, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak menyedari berlakunya tikaman ke atas B. Elanko, 31, semasa cuba merampas pisau dalam pergelutan tersebut selain tidak mempunyai niat untuk mencederakan mangsa.

Hakim Mohd. Yazid sebaliknya menerima keterangan tiga saksi pendakwa iaitu sepupu Elanko, G. Mogan dan isteri, T. Nancy serta ibu saudara mereka yang melihat bagaimana mangsa ditikam dalam kejadian itu.

"Mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh ialah orang yang telah datang ke rumah Mogan dengan bersenjata dan masuk ke rumah walau dihalang dan disuruh pulang oleh Mogan.

"Tertuduh telah datang dengan niat untuk mendatangkan kecederaan. Saya berpuas hati tertuduh mengetahui ketiga-tiga tikaman di rusuk kanan, leher kanan dan paha dalam keadaan biasa boleh mendatangkan kematian," katanya.

Tertuduh yang berkemeja putih bercorak dan berseluar gelap dilihat tenang serta masih sempat tersenyum kepada saudara-maranya yang berada di galeri awam.

Sementara itu, Nancy dan adik mangsa yang turut hadir mengikuti prosiding dilihat berpelukan kegembiraan sebaik sahaja mendengar hukuman itu.

Nagarajan didakwa membunuh Elanko di No. 147, Rumah Setinggan Pandan Jaya, Ampang Jaya dekat sini pada pukul 8.30 malam, 30 Disember 2007.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam James George.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 13 saksi pendakwa dipanggil memberi keterangan sementara di peringkat pembelaan hanya tertuduh memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mengikut keterangan saksi-saksi, Nagarajan telah berjumpa Elanko dan Mogan di sebuah kedai sebelum berlaku pergaduhan antara tertuduh dan mangsa.

Tertuduh yang tidak berpuas hati telah mengekori mangsa dan sepupunya pulang ke rumah serta sempat mengambil sebilah pisau di sebuah kedai besi buruk semasa dalam perjalanan.

Walaupun disuruh pulang, tertuduh masuk ke rumah yang tidak berkunci itu dan bertindak menikam mangsa pada bahagian rusuk serta leher meskipun cuba dihalang oleh Mogan dan Nancy.

Semasa kedua-duanya terjatuh serta berlaku pergelutan, ibu saudara Mogan datang dan melihat tertuduh menikam mangsa pada bahagian paha

Tuesday, December 21, 2010

Pemandu lori dicampak ke ladang sawit sebelum disamun

21/12/2010 3:23pm



Oleh YUSRI SAHAT

KUANTAN 21 Dis. – Seorang pemandu mengalami detik cemas apabila diikat dan dicampak ke ladang sawit sebelum lori treler dipandunya membawa muatan bahan plastik bernilai RM90,000 dilarikan dua lelaki bersenjata parang di Chengal Lempong, Beserah di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Chengal Lempong turut mengalami kecederaan di leher dan tangan. – Utusan

Monday, December 20, 2010

10 ahli Geng Kangkar ditahan

JOHOR BAHRU 20 Dis. 2010 - Polis Johor berjaya menahan 10 anggota 'Geng Kangkar' yang disyaki terlibat dalam 46 kes jenayah termasuk samun, ragut dan curi motosikal di sekitar bandar raya ini Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dua daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau di sini manakala lapan yang lain ditahan di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, geng terbabit dipercayai menyasarkan motosikal yang diletakkan di sekitar pusat beli-belah dan tepi jalan.

Motosikal curi tersebut kemudian digunakan oleh kumpulan penjenayah berkenaan untuk melakukan samun dan ragut, katanya.

"Selain sembilan buah motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri, turut dirampas daripada kumpulan terbabit termasuk sebatang besi berbentuk T, tujuh batang besi tajam dan dua besi berbentuk L yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Kita percaya penahanan ahli kumpulan ini berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi di sekitar negeri ini.

Menurutnya, kesemua 10 suspek berusia 18 hingga 27 tahun kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut.

Polis juga telah mengenal pasti saki-baki ahli geng terbabit dan akan melakukan tangkapan susulan dalam tempoh terdekat, katanya.

Suami isteri guna anak tipu mangsa

SEBAHAGIAN barangan yang berjaya dirampas daripada keluarga yang dipercayai memukau dan memperdayakan mangsanya pada sidang media di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 20 Dis. - Ibu bapa seharusnya menjadi pelindung kepada anak-anak, namun sebaliknya yang dilakukan oleh sepasang suami isteri ini apabila menggunakan anak perempuan mereka berusia lima tahun untuk menipu dan menyamun orang ramai.

Bagaimanapun, kegiatan kedua-dua suspek berusia 44 tahun itu terbongkar apabila mereka bersama anak perempuannya ditahan polis di dalam sebuah kereta di sekitar Jalan Wong Ah Fook di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, modus operandi pasangan itu adalah meminta simpati orang ramai termasuk menggunakan anak perempuannya sebelum menyamun mangsa.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa seolah-olah 'dipukau' oleh kedua-dua suspek sebelum barang berharga miliknya dilarikan.

"Setakat ini, kita syak pasangan itu terlibat dalam tujuh kes memperdayakan orang ramai di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, susulan penahanan pasangan berkenaan, pihaknya merampas tiga utas rantai emas, lima cincin emas, dua subang emas, seutas jam tangan berjenama, dua utas gelang emas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM2,100 dipercayai milik mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati suspek lelaki memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk kes samun.

Pasangan itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala anak mereka diserahkan kepada ahli keluarga terdekat, katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun kerana disyaki terlibat dalam 27 kes pecah kereta di negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kerana mencuri itu ditahan dalam kereta Perodua Viva pukul 3.50 petang di Jalan Pantai Lido di sini semalam.

Polis turut menemui sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah berkenaan termasuk pemutar skru, katanya.

Anak Ketua Pemuda MCA Kuantan dibebaskan 2 jam selepas diculik

2010/12/20
KUANTAN: Anak perempuan Ketua Pemuda MCA Kuantan yang dipercayai diculik oleh dua lelaki ketika sedang bermain di hadapan rumahnya di Bukit Pelindung di sini petang semalam ditemui semula kurang dua jam selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata kejadian itu berlaku pada 5.45 petang ketika kanak-kanak itu bersama abangnya berusia 11 tahun sedang bermain di hadapan rumah mereka. "Ketika sedang leka bermain, dua lelaki bertopi yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva secara tiba-tiba berhenti dan melarikan budak perempuan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, 45 minit selepas kejadian, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis dan budak perempuan itu ditemui sedang menangis oleh orang awam pada 7.30 malam, tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya budak itu tidak dicederakan tetapi terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangannya.

Sehingga kini motif penculikan masih dalam siasatan, kata Narenasegaran.

Bapa kanak-kanak itu, Chiew Yoke Theng, berkata beliau mengetahui mengenai penculikan itu daripada isterinya pada pukul 5 petang semalam dan terus membuat laporan polis.
Katanya beliau gembira dan bersyukur sebaik menerima panggilan telefon mengenai penemuan anaknya itu daripada satu keluarga dari Bukit Setongkol di sini.

"Anak saya ingat nombor telefon saya, dia berikan kepada keluarga tersebut yang terus hubungi saya. Anak saya dalam keadaan baik dan tidak diapa-apa oleh penculik," katanya.

Sunday, December 19, 2010

Peniaga cedera dipukul pencuri

2010/12/20
SEREMBAN: Seorang peniaga cedera dipukul sekumpulan perompak yang cuba merampas wang hasil jualannya dalam satu kejadian di Kampung Baru Rasah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, mangsa yang hanya dikenali sebagai Chong, 23, cedera di kepala akibat dipukul menggunakan batang besi, manakala wang sebanyak RM500 bersama 10 karton kotak rokok dan telefon bimbit isterinya dilarikan perompak ketika dia mahu menutup restoran miliknya. Bagaimanapun, isteri Chong dan dua adik ipar yang berada dalam restoran itu tidak dicederakan perompak yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang dan batang besi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek terbabit.

Thursday, December 16, 2010

Wanita enggan beri nombor telefon ditikam

2010/12/16
KUANTAN: Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata ketika kejadian 9.30 pagi semalam itu, suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan. "Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa. "Mangsa enggan memberi dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan.

"Mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, mangsa kemudian meminta suspek membawanya ke hospital.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke hospital, namun wanita berkenaan menyedari suspek cuba melencong ke tempat lain dan bertindak terjun dari motosikal berkenaan sebelum suspek lari meninggalkan mangsa," katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tiga hadapi tuduhan culik pelajar kolej

2010/12/16
KUALA LUMPUR: Tiga orang, seorang daripadanya wanita, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang pelajar kolej, awal bulan ini.

Penganggur I Shatiruben, 22, dan pekerja kilang, Mujahidin Nazardin, 18, dan wanita itu, G Vasantha Kumari, 22, didakwa bersama-sama menculik dan mengurung M Vijaiya, 23, untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM30,000. Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Nurul Hafizah Kamaluddin menetapkan 21 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan Rumah No 10 A, Jalan 8A, Selayang Baru, pada jam 5.45 pagi, 1 Disember 2010.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Raihan Md Nasir manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Wednesday, December 15, 2010

Dua beranak curi dipenjara

Oleh Norliza Wasilan

2010/12/16


CHE ROSNANI (kanan) dan anaknya, Shazrina Shariz keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.Ibu, anak perempuan belajar jadi penyamun melalui majalah

KOTA BHARU: Seorang ibu dan anak perempuannya menangis selepas dijatuhi hukuman penjara semalam, setelah mengaku bersalah dan memberitahu mahkamah belajar menyamun daripada sebuah majalah mingguan tempatan.

Tertuduh, Che Rosnani Mohd Rawi, 47, dan anak sulungnya, Shazrina Shariz Kamaruzaman, 29, masing-masing dipenjara lima dan enam tahun selepas mengaku bersalah merompak dua rantai tangan, dua cincin, tiga rantai leher emas, sebuah telefon dan wang tunai bernilai RM20,000 daripada seorang pemilik kedai jahit, Asmah Ibrahim, 61. Dua beranak itu menyamun mangsa di Rumah Tamu Impiana dekat Flat Hijau Bandar Baru Kubang Kerian, antara jam 3 hingga 3.30 petang pada 1 Disember lalu. Mereka didakwa melakukan jenayah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hazimah Ghazali, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dasuki Ali, manakala dua beranak itu tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, jam 2.40 petang 1 Disember lalu, ketika mangsa berada di kedai jahitnya, tertuduh kedua yang memperkenalkan diri sebagai Juriah, mengajaknya ke rumah di Flat Hijau untuk mengukur langsir.

Mangsa kemudiannya pergi ke rumah berkenaan untuk mengukur tingkap dan pintu bilik dan ketika itu, tertuduh kedua menyemburkan sesuatu ke arah mata sehingga menyebabkan pengadu tidak dapat melihat.
Tertuduh pertama kemudiannya menyumbat mulut mangsa dengan kain, manakala anaknya mengikat tangan sebelum menyerkup kepala dengan baldi dalam bilik air.
Dasuki ketika penghakimannya berkata, tertuduh tidak seharusnya menjadikan majalah atau bahan bacaan sebagai bahan untuk mencontohi perlakuan jenayah.
Che Rosnani yang mempunyai sembilan anak memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya dengan alasan perbuatannya itu dilakukan dalam keadaan terdesak kerana dibebani hutang.

Sementara itu, Shazrina Shariz yang mempunyai enam anak mengemukakan alasan terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup selepas suaminya ditahan di pusat tahanan Simpang Renggam, Johor

Tuesday, December 14, 2010

OKU didenda RM1,000 ugut kawan melalui SMS

2010/12/15
KUALA LUMPUR: Gara-gara menghantar SMS berbentuk ugutan jenayah kepada seorang rakan, Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Rizal Ahmad, 30, dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zulkipli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizal yang cacat pendengaran selepas beliau mengaku bersalah terhadap tuduhan menakutkan Mohd Khairul Shafri Abdul Aziz, 26, dengan menghantar SMS: "Ahh berlagak ar tu, haha aku datang senyap2 ar ko tunggu je ar, kaw anak haram!" pada 6.45 pagi 28 April 2008. Mohd Rizal yang bekerja sebagai penghantar surat dan tidak diwakili peguam, merayu supaya hukuman yang ringan dikenakan terhadapnya dengan mengambil kira latar belakang keluarga. "Saya adalah penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara seorang anak yang masih kecil serta isteri yang sedang mengandung lima bulan yang tidak bekerja," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri, memohon hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, kejadian itu berpunca apabila Mohd Rizal yang pergi ke rumah Mohd Khairul, diminta membayar ganti rugi selepas didakwa mencuri telefon bimbit milik adik pengadu.

Bagaimanapun, dia melarikan diri dan dua minggu kemudian, menghantar SMS berkenaan kepada Mohd Khairul yang membuat laporan polis.
Isteri Mohd Rizal membayar denda itu. - BERNAMA

Wilayah: Program Bandar Selamat diperluas

Oleh Haryani Ngah
aryani@bharian.com.my
2010/12/15
Usaha capai matlamat NKRA kurangkan jenayah dilihat tunjukkan petanda positif

BERDASARKAN laporan akhbar pada 2004, kadar jenayah di Kuala Lumpur terutama jenayah ragut meningkatkan dan menyumbang kepada 18 peratus daripada indeks jenayah. Secara puratanya ia menyumbang sebanyak sembilan kes yang dilaporkan setiap hari dan peragut boleh mendapat hasil sehingga RM2,051 setiap kali meragut sehingga kegiatan tidak bermoral ini dikatakan “satu profesion yang sangat mudah dan lumayan di mata penjenayah”. Mengikut laporan sebuah akhbar pada Mei 2004, kawasan pelancongan yang dikunjungi pelancong antarabangsa contohnya Jalan Bukit Bintang dan KLCC adalah kawasan sasaran peragut.

Berikutan keadaan jenayah yang membimbangkan itu terutama di kawasan bandar besar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Januari 2004 mencadangkan agar diwujudkan bandar dan pekan yang selamat dengan mewujudkan Program Bandar Selamat (PBS) sebagai langkah mencegah jenayah, contohnya mengelakkan lorong-lorong sunyi dan gelap.

Pelan pembangunan pekan dan bandar baru yang dirancang perlu mengambil kira aspek-aspek keselamatan.

Penyediaan PBS membabitkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JBPD), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama polis, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Persatuan Penduduk.
Konsep Bandar Selamat di Malaysia mempunyai empat komponen utama iaitu;

•Bandar yang bebas daripada keganasan seperti curi, ragut, pecah rumah dan sebagainya yang menyebabkan kehilangan nyawa dan trauma, kerosakan harta benda dan sosial.

•Bandar yang bebas dari bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh;

•Bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral seperti penagihan dadah, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, integriti dan kerosakan moral;

•Bandar yang bebas dari segala jenis kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kebakaran dan kemalangan jalan raya.

Strategi PBS

PBS mempunyai tiga strategi yang merangkumi 23 langkah pencegahan iaitu;
n Merekabentuk persekitaran fizikal yang berkesan dan bersesuaian bagi mengelak dan menyukarkan kegiatan jenayah. Langkahnya ialah pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan ber-motor, penyediaan bollard, tanaman landskap, Pencegahan Jenayah Melalui Rekabentuk Persekitaran (CPTED), perkongsian maklu-mat jenayah dan pemetaan GIS serta penyemakan Garis panduan susun atur perumahan.


•Memperkasakan kawasan sasaran iaitu memastikan kemudahan dan kawasan awam dilindungi daripada kecurian dan vandalisme melalui langkah berikut:


•Penyediaan pondok polis di tempat yang strategik

•Penyediaan papan tanda peringatan jenayah

•Penyediaan cermin keselamatan

•Penyediaan penggera keselamatan

•Membersih kawasan semak dan terlindung

•Penyediaan tempat motorsikal berkunci

•Pemasangan CCTV

•Pemasangan lampu di premis perniagaan

•Tidak menghalang pandangan di laluan awam

•Pencahayaan di kawasan sasaran jenayah atau gelap

•Tidak membenarkan perniagaan dan meletak kenderaan di kaki lima bangunan

•Menjana pelbagai aktiviti di kawasan sunyi/lengang

•Perkhidmatan pengawal keselamatan


•Melaksanakan kegiatan sosial atau kemasyarakatan dan pendidikan serta kesedaran awam melalui pendidikan dan kesedaran awam, pemasangan lampu di luar rumah pada waktu malam, penyediaan risalah jenayah untuk komuniti dan orang awam serta meningkat rondaan di kawasan perumahan.

Lima langkah segera

Lima daripada 23 langkah dijadikan langkah utama yang perlu dilaksanakan segera oleh semua PBT ialah pengasingan laluan pejalan kaki dan bermotor, penyediaan bollard, membersih kawasan semak dan terlindung, tidak menghalang pandangan di laluan awam dan pencahayaan di kawasan sasaran jenayah.

Takrifan semula PBS

Pada awal 2010, kesemua 23 di bawah PBS ditakrifkan semula kepada 15 langkah bertujuan memudahkan pelaksanaan PBS dengan memberi pilihan kepada PBT untuk melaksanakan langkah bandar selamat mengikut kesesuaian tempat.

Sehubungan itu, PBT tidak perlu melaksanakan semua 15 langkah PBS 2010 kerana apa yang penting langkah dipilih dan dilaksana PBT berkesan menangani jenayah.

Langkah satu

Pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor digabungkan dengan langkah penyediaan bollard dan mengawal tanaman landskap di laluan pejalan kaki.

Langkah dua

Melaksanakan Crime Prevention Through Enviromental Design (CPTED) bagi menggantikan langkah penyemakan garis panduan susun atur perumahan.

Langkah tiga

Penyediaan peta GIS jenayah dan PBS menggantikan langkah perkongsian maklumat jenayah melalui GIS-based mapping.

15 langkah PBS

Pengenalan PBS memberi impak dan kesan positif terhadap indeks jenayah di mana di antara 2007 hingga 2008, secara amnya kes jenayah harta benda hanya menurun sedikit iaitu 0.33 peratus, manakala kes ragut menurun dengan agak ketara iaitu sebanyak 26 peratus terutama di bandar yang melaksanakan pencegahan jenayah. Langkah berkenaan adalah:


•Pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor yang dilaksanakan dengan menyediakan laluan pejalan kaki khusus, rel penghadang, tanaman landskap atau laluan motosikal khas.


•Pelaksanaan reka bentuk persekitaran yang selamat (CPTED)


•Pemetaan GIS Jenayah dan Program Bandar Selamat


•Penyediaan balai polis tetap atau bergerak


•Penyediaan cermin keselamatan


•Penyediaan papan tanda peringatan jenayah


•Penyediaan penggera keselamatan


•Penyediaan tempat motosikal berkunci


•Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perniagaan dan tempat awam


•Pencahayaan di kawasan sasaran iaitu di tepi, hadapan dan belakang rumah/bangunan dan di kaki lima premis perniagaan, tempat awam dan kawasan perumahan


•Laluan awam tidak terlindung dari pandangan awam dengan membersihkan/mengemaskan kawasan semak dan terlindung, tidak membenarkan perniagaan dan meletak kenderaan di laluan pejalan kaki atau jejantas tidak terlindung dari pandangan awam.


•Penjanaan aktiviti bersesuaian di kawasan yang terdedah dengan jenayah


•Pendidikan kesedaran awam dan publisiti melalui media massa seperti surat khabar, risalah, televisyen, radio, seminar, internet atau pelancaran projek bandar selamat, penyediaan papan iklan luar, mewujud atau memperluaskan laman web PBT dengan memasukkan PBS dan penyertaan awam dalam merancang dan melaksanakan langkah-langkah bandar selamat.


•Meningkatkan rondaan di kawasan perumahan


•Agenda tetap bulanan Mesyuarat Majlis Penuh PBT dengan melaporkan status kadar jenayah dan keberkesanan pelaksanaan Program Bandar Selamat pada setiap bulan dan mengemukakan cabutan minit mesyuarat Penuh PBT kepada KPKT dan JPBD.

Daripada 15 langkah PBS 2010, enam langkah segera dikenal pasti untuk dilaksanakan ialah pencahayaan, pengasingan laluan pejalan kaki dari jalan bermotor, penggera keselamatan, cermin keselamatan, pemetaan GIS jenayah dan pemasangan CCTV.

Status pelaksanaan PBS 2004

Menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan keseluruhan indeks jenayah sebanyak 5 peratus dan Jenayah Jalanan Negara sebanyak 20 peratus sebelum Disember 2010.

Bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah jalanan itu, sebanyak 55 inisiatif diperakukan di bawah NKRA.

Untuk itu JBPD KPKT dipertanggungjawab melaksanakan tindakan mengurangkan jenayah dan pencegahan jenayah jalanan melalui inisiatif PBS yang juga satu daripada 55 inisiatif NKRA Lab.

Inisiatif berkenaan membabitkan dua program iaitu mengaktifkan semula dan memperluaskan program PBT sedia ada kepada semua PBT di seluruh negara perlu dilaksanakan dengan segera dan langkah kedua adalah menyediakan panduan CPTED.

Tindakan mengaktifkan semula dan memperluaskan PBS kepada 149 PBT di seluruh negara perlu dilaksanakan dengan serta-merta sebelum Disember 2010 bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah jalanan negara sebanyak 20 peratus.

Usaha untuk mencapai matlamat NKRA dilihat menunjukkan petanda positif menerusi laporan PDRM sehingga Julai lalu yang menunjukkan penurunan kadar jenayah jalanan secara keseluruhan pada 37 peratus, manakala kadar keseluruhan pula menurun 14 peratus.

Sehingga Jun 2009, tiga PBT iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kuantan telah berjaya melaksanakan 23 langkah.

Banglo datuk pusat dadah

Oleh Faizul Azlan Razak
bhkt@bharian.com.my
2010/12/15


ROSLAN menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam. 3 direman sehingga 19 Disember

KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah mempunyai perniagaan chalet di Cherating, Pahang, ia tidak dapat menampung gaya hidup mewah seorang lelaki bergelar datuk dari Pahang berusia 46 tahun dan isterinya warga Britain di Taman Muhibah, Chukai, hingga menjadikan banglo mereka sebagai pusat pengedaran dadah di daerah Kemaman dan Cherating. Bagaimanapun, kemewahan mereka tidak kekal lama apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 dan menyita harta bernilai RM246,000 merangkumi wang tunai, kereta Mercedes-Benz, Proton Gen2 dan Honda Civic serta barang kemas. Dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, polis turut menahan wanita berusia 18 tahun yang juga anak angkat pasangan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan itu membolehkan polis merekodkan rampasan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun di kawasan Terengganu Selatan.

Katanya, ketika diserbu hanya isteri suspek berada di rumah bersama anak angkat mereka dan pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik, manakala lima batang pokok ganja ditanam dalam beg plastik hitam dan diletakkan di balkoni rumah itu.

Roslan berkata, tidak lama kemudian, lelaki itu pulang ke rumah dan pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah lagi dadah yang disimpan di dalam biliknya.
“Siasatan awal mendapati pasangan ini penagih tegar sejak 15 tahun lalu dan membelanjakan RM10,000 sebulan untuk membeli dadah.

“Polis percaya kos menagih mereka tidak dapat dipenuhi daripada hasil perniagaan chalet itu. Mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu di kawasan Kemaman dan Cherating, Pahang.

“Tiga suspek itu direman sehingga 19 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; 39 A(2) 12(2); 6, 6(b), 15(1)(a),” katanya

Monday, December 13, 2010

Polis teruskan siasatan lelaki ditembak

KUANTAN 13 Dis. 2010 - Polis masih menyiasat identiti mayat lelaki yang ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badannya di Kilometer 46.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, lelaki berkenaan juga dipercayai ditembak dua hingga empat tembakan.

Menurut beliau, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam, mendapati lelaki tersebut ditembak dengan menggunakan pistol jenis semi automatik.

"Kita percaya lelaki berkulit cerah itu berusia lewat 30 hingga 40-an, mempunyai ketinggian 172 sentimeter dengan berat badan 60 hingga 70 kilogram.

"Mangsa juga mempunyai tatu matahari dan seekor harimau sedang melompat dengan air terjun di belakang badannya," katanya ketika ditemui pemberita di HTAA di sini, hari ini.

Katanya, hasil bedah siasat tersebut juga mendapati mangsa berkemungkinan mati lebih daripada 24 jam.

Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan dan identiti mangsa juga belum dikenal pasti kerana tiada sebarang pengenalan ditemui.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Laporan akhbar semalam melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badannya di Kilometer 46.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Mangsa ditemui berpakaian lengkap dengan kemeja-T berwarna coklat berjenama Milano dan berseluar jean jenama YXL tanpa kasut dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Sementara itu, kata Narenasagaran, pihaknya juga masih belum mengenal pasti mayat gadis yang di kerat enam di Kilometer 2.3 jalan menghala ke Gohtong Jaya, Sabtu lalu.

"Polis masih menunggu hasil bedah siasat. Bagaimanapun kita percaya gadis itu berbangsa India, berusia lingkungan belasan tahun.

"Kita percaya mangsa orang kurang upaya (OKU) berikutan kepalanya agak besar dari biasa, manakala tangan kanan pula kecil," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini juga polis masih belum menemui tangan kiri dan kaki kanan mangsa.

Curi duit ATM RM844,850

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusansabah@utusan.com.my



HAMZA Taib (tengah) dan Hock Seng (kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam operasi membanteras kegiatan ah long pada sidang media di IPK Kota Kinabalu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 13 Dis. - Tugasnya sebagai pengawal keselamatan adalah memasukkan wang ke dalam mesin juruwang automatik (ATM) di empat buah bank di sekitar Lahad Datu.

Namun setiap kali menjalankan urusan terbabit, dua pengawal berusia 23 dan 32 tahun itu akan mencuri sejumlah wang, sejak dua tahun lalu.

Sehingga kini, mereka berjaya mencuri sebanyak RM844,850. Kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila pihak bank yang membuat semakan audit mengesan kehilangan sejumlah wang.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hamza Taib berkata, berikutan itu, pihak bank membuat laporan polis pada 18 November lalu dan tujuh orang ditahan bermula keesokannya.

"Berdasarkan keterangan, dua suspek telah dituduh manakala lima lagi sebagai saksi," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Soh Hock Seng dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Abdul Rahim Dolmat.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek telah melakukan kegiatan berkenaan di empat buah ATM di daerah berkenaan.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.

'Saya tidak akan maafkan dia'

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my



G. Vimalraj sambil ditemani kakaknya, G. Muniswari menceritakan kejadian bagaimana dia dipukul oleh tiga individu termasuk isterinya ketika ditemui di Kulim, Kedah, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din

--------------------------------------------------------------------------------



KULIM 13 Dis. - Anggota polis berpangkat lans koperal yang dipukul oleh isteri dan kekasihnya sehingga koma, November lalu, akibat cinta tiga segi, sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan wanita itu.

"Apa pun terjadi saya tak akan maafkan dia (isteri)," kata Lans Koperal G. Vimal Raj ketika ditemui di rumahnya di Lunas dekat sini hari ini.

Menurut Vimal Raj, dia tidak menyangka isterinya, Kasturi yang dikahwininya Mac tahun lalu sanggup melakukan tindakan hampir meragut nyawanya hingga terlantar koma selama sebulan di Hospital Ipoh, Perak.

Dia yang bertugas di Balai Polis Rawang juga kini mengalami masalah hilang daya ingatan selain sukar bercakap akibat kecederaan dialami.

Mengimbas kembali detik-detik malang itu, katanya, dia dipukul oleh isterinya dan dua lelaki yang dipercayai kekasih isterinya dan seorang rakan.

Vimal Raj berkata, dia dibawa keluar oleh isterinya kononnya untuk mendapatkan rawatan sakit belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 9 November lalu.

"Kasturi beritahu saya yang penyakit saya agak teruk dan mahu membawa saya pulang ke rumah ibu bapa saya di Kulim untuk berehat.

"Tapi tanpa saya sedari, dia bawa saya ke satu lorong sebelum tiba-tiba dipukul oleh dua lelaki lain dikenali sebagai Danish dan Steven yang sedia menunggu di situ menggunakan kayu hoki," katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan kejadian seorang anggota polis dipukul isterinya angkara cinta tiga segi sehingga koma selama sebulan dengan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Dia sebelum itu dihantar ke Hospital Slim River dipercayai oleh isterinya sebelum wanita tersebut membuat laporan polis yang mendakwa suaminya hilang sejak sebulan lalu.

Tambah Vimal Raj, dia tidak mampu melawan apabila mereka bertubi-tubi memukulnya di kepala dan badan malah Kasturi sendiri tergamak menumbuk mukanya.

Akibat dipukul berulang kali dan mukanya ditekup bantal, dia akhirnya pengsan dan hanya sedar dari koma selepas sebulan berada di hospital.

Dia kemudian memberikan alamat rumah dan nama ibunya kepada polis di hospital itu.

Abang mangsa, G. Sashikumar, 27, berkata, mereka sekeluarga tidak akan memaafkan perbuatan Kasturi sehingga adiknya menderita seperti itu.

Jelasnya, anak ketiga daripada empat beradik itu amat rapat dengan ibunya, C. Jayaletchumy dan mereka amat sedih melihat keadaannya yang terpaksa bergantung harap kepada keluarga untuk menguruskan diri.

"Biarpun dia ingat kejadian itu tapi keadaannya belum pulih sepenuhnya dan percakapannya pun masih tak lancar akibat kecederaan di kepala.

"Sekarang, kakaknya, G. Muniswary yang banyak membantu untuk makan, ke tandas atau bergerak di rumah ini," katanya.

Mereka sekeluarga juga berharap pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa Kasturi dan dua yang lain serta berharap dikenakan hukuman setimpal.

"Ini bukan perkara main-main kerana mereka berani mengambil tindakan seperti itu kepada anggota polis sendiri," katanya.

Wednesday, December 8, 2010

Seorang suspek dikenal pasti

BATU GAJAH 8 Dis. 2010 - Polis telah mengenal pasti salah seorang daripada dua suspek yang melepaskan 11 das tembakan ke arah sebuah kereta sehingga mengakibatkan pemandu dan seorang penumpangnya cedera di Taman Sri Wangsa kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, perkembangan terbaru itu memberi keyakinan kepada pihak polis bahawa kedua-dua suspek akan berjaya ditangkap dalam tempoh terdekat.

"Kita yakin suspek akan ditangkap dalam masa terdekat. Polis mendapat maklumat bahawa motif kejadian itu adalah kerana dendam," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam Isnin lalu, pemandu kereta, K. Raja, 31, cedera di bahu kanan manakala rakannya, M. Paramsivan, 24, yang duduk sebelahnya cedera di paha kiri.

Difahamkan, sebelum kejadian, dua kumpulan yang dianggotai suspek dan mangsa, bergaduh.

Siasatan awal juga mendapati, salah seorang mangsa mempunyai rekod jenayah lampau.

Najib berkata, kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaan mereka adalah stabil.