Thursday, December 30, 2010

Peniaga getah cedera ditetak perompak

ABDUL Razak Ahmad cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di dalam rumahnya di Kampung Pedas Hilir di Rembau, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



REMBAU 30 Dis. - Seorang peniaga getah cedera parah setelah ditetak oleh sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pedas Hilir, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ahmad, 56, mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh penjenayah terbabit.

Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Abdul Razak memberitahu, dia dan isteri yang sedang tidur menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik sahaja terdengar bunyi bising akibat dulang disandarkan pada pintu rumahnya terjatuh.

"Lantas saya bangun dan segera mencapai senapang patah milik saya kerana mengesyaki kehadiran pencuri, namun saya tidak sempat mengisi peluru apabila perompak terbabit bertindak menendang pintu bilik tidur saya.

"Apabila mereka melihat saya memiliki senjata, beberapa perompak itu menerkam ke arah saya untuk merampas senjata itu," katanya di sini hari ini.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia terpaksa bergelut dan menyebabkan dirinya ditetak di bahagian kepala, muka dan tangan kanan ketika perompak itu ingin merampas senapang.

"Saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan nekad bergelut dengan enam perompak bersenjatakan parang itu, saya tetap melawan walaupun mereka berulang kali menetak parang pada tubuh saya.

"Namun saya rebah akibat terlalu banyak kehilangan darah ketika pergelutan itu dan penjenayah tersebut juga berjaya merampas senjata saya," ujarnya.

Katanya, perompak terbabit dipercayai warga Indonesia itu kemudian bertindak mengikat mereka sekeluarga menggunakan kain yang dikoyakkan.

Tambahnya, perompak terbabit yang tidak bertopeng kemudian menggeledah rumahnya dan melarikan senapang patah serta peluru.

"Mereka juga melarikan barang kemas, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan pemain cakera video digital (DVD) yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM40,000," ujarnya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Selamah Mohd Yusuf, 51, yang turut cedera di tangan kanannya akibat dipukul dengan pemutar skru berkata, salah seorang perompak turut bersikap aneh apabila mandi di bilik air selepas mengikat keluarganya.

"Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Hasil siasatan awal, kami mendapati suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari rumah mangsa.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak dan menyebabkan kecederaan," katanya

Tiga kena cekup cuba curi kereta

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/31
Pura-pura tarik kereta guna teksi konon rosak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang pemandu teksi hanya sempat melarikan sebuah Proton Wira yang dicuri mereka selama beberapa minit sebelum ditahan polis dalam kejadian berdekatan hentian Puduraya di sini, malam kelmarin. Pada kejadian jam 7 malam itu, dua suspek terbabit juga cuba melanggar seorang anggota polis trafik yang mengejar mereka menyebabkan anggota itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta berkenaan sebelum mereka berjaya ditahan dengan bantuan beberapa anggota polis di Pondok Polis tidak jauh dari tempat kejadian. Ketika kejadian, kedua-dua suspek berusia 22 dan 32 tahun itu berpura-pura menggunakan teksi milik salah seorang suspek untuk menarik Proton Wira yang dicuri dari tingkat lima Kompleks Sun, kononnya kereta itu rosak.

Bagaimanapun, taktik dua penjenayah itu terbongkar selepas helah mereka disedari pemilik kereta berkenaan yang segera memaklumkannya kepada seorang anggota trafik yang sedang bertugas di persimpangan Jalan Pudu dan Bukit Bintang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sebaik menerima maklumat itu, anggota trafik terbabit segera mengejar suspek sebelum cuba menahan mereka di hadapan hentian Puduraya.

“Menyedari kegiatan mereka dikesan, suspek cuba melanggar anggota polis terbabit menyebabkannya terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar belakang Proton Wira sebelum mereka berjaya diberkas,” katanya di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersangkutan kes samun dan mereka ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 379A dan 307 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana memiliki kenderaan curi dan cubaan membunuh

Wednesday, December 29, 2010

Taktik peragut perdaya mangsa

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my



INSPEKTOR Edwin anak Sanji (tengah) menunjukkan kertas iklan serta dua utas rantai emas yang diragut oleh suspek di IPD Kota Tinggi, Johor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA TINGGI 29 Dis. - Hanya menggunakan taktik menghulurkan kertas iklan seperti membeli rumah untuk mendekati mangsa, dua penjenayah berjaya meragut ramai mangsa di lima kawasan di negeri ini.

Lima kawasan terbabit adalah di Pontian, Felda Taib Andak, Teluk Sengat, Felda Air Tawar 4 dan Felda Semenchu.

Terbaru, seorang suri rumah rugi RM700 apabila rantai lehernya diragut suspek di hadapan rumahnya di Kampung Kempas Menang, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, 22 Disember lalu.

Ketika kejadian, mangsa sedang berehat sebelum didatangi seorang lelaki yang menghulurkan sekeping kertas iklan tawaran membeli rumah baru.

Ketua Polis daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, suspek yang menggunakan motosikal Honda Wave berwarna hitam kemudian melarikan diri ke arah Kluang.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Ampat di sini, selepas kejadian.

"Bertindak atas maklumat, polis mengesan dan menahan suspek berusia 28 tahun di Bandar Tenggara keesokan harinya.

"Hasil soal siasat polis menyerbu sebuah rumah di Kulaijaya dan menahan seorang lagi rakannya, seorang penganggur berusia 23 tahun," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga menemui dua resit jual-beli barang kemas daripada sebuah kedai emas di Jalan Jaafar di sini.

Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Felda Linggiu di sini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tuesday, December 28, 2010

Warga emas maut ditetak dalam kejadian samun

29/12/2010 12:10pm


GOPENG 29 Dis. - Seorang warga emas maut dalam kejadian samun sekumpulan empat lelaki di Taman Gopeng Jaya di sini awal pagi ini.

Mayat mangsa, V. Perumal, 67, mati di tempat kejadian akibat cedera parah dipukul dengan besi paip.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Utusan

Polis buru ‘Zul Badak’ selesai kes gaduh

KUANTAN 28 Dis. 2010 – Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Zul Badak’ bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah kedai makan di Sungai Isap, dekat sini tengah malam tadi.

Pergaduhan pada pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan dua kumpulan iaitu geng ‘Zul Badak’ dan geng ‘Putra’, berusia 20 hingga 44 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, ‘Zul Badak’ berusia 30-an dipercayai merupakan ketua kumpulan samseng terbabit.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, kedua-dua kumpulan bergaduh sesama sendiri dengan parang.

Katanya, beberapa lelaki dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas cedera di tangan, paha dan badan.

“Kita telah menahan lima daripada suspek itu di HTAA pada pukul 6 pagi ini. Dua daripada mereka dipercayai ahli kumpulan geng ‘Zul Badak’ dan tiga lagi, geng ‘Putra’,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan seorang ahli kumpulan ‘Zul Badak’ berusia 25 tahun ditampar di sebuah restoran nasi kukus di Jalan Beserah di sini, kira-kira pukul 9 malam.

“Kejadian itu menyebabkan ‘Zul Badak’ tidak berpuas hati lalu membalas dendam. Polis kini memburu ‘Zul Badak’ dan beberapa lagi suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Monday, December 27, 2010

Isteri, penarik kereta dituduh belasah suami sampai koma

28/12/2010 12:52pm


SHAH ALAM 28 Dis. – Isteri seorang anggota polis dan penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membelasah suaminya sehingga koma selama sebulan pada pertengahan November lalu.

S. Kasturi, 27, dan A. Stevan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal G. Vimal Raj di tempat letak kereta Hulu Yam, Selayang dekat sini pada pukul 1 pagi, 11 November lalu.

Kedua-duanya dibenarkan dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula pada 28 Januari tahun depan. - Utusan

Trauma cuba diragut lelaki bermotosikal

SEREMBAN 27 Dis. 2010 - Seorang peniaga trauma apabila tercedera selepas menjadi mangsa cubaan ragut oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Jalan Rahang berhampiran Stesen Komuter Seremban dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Ho Ken Jee, 54, cedera di kaki dan kepala selain patah tulang rusuk akibat terjatuh dari motosikal yang ditungganginya.

Menurut mangsa, ketika kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Rahang menuju ke gerainya di Pasar Besar Seremban di sini.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ken Jee memberitahu, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikalnya dihampiri sekumpulan lelaki yang menunggang kira-kira 10 buah motosikal.

"Tiba-tiba, salah sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghimpit motosikal saya sebelum pembonceng motosikal itu cuba meragut beg yang disangkut di pinggang saya.

"Saya bertindak menepis tangan lelaki itu beberapa kali menyebabkan suspek hanya dapat menarik jaket saya. Mungkin berang dengan tindakan saya, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya sehingga saya terjatuh," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Seremban di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, selepas terjatuh dan terbaring di atas jalan, kumpulan lelaki bermotosikal itu kemudian cemas sebelum bertindak melarikan diri.

"Mereka melarikan diri dan tidak sempat mengambil apa-apa barang milik saya. Mujurlah ada penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut membantu membawa saya ke hospital.

"Pemeriksaan x-ray mendapati tujuh tulang rusuk saya patah selain beberapa kecederaan pada kepala dan kaki," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak dapat mengecam rupa serta wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar dan keadaan ketika itu masih gelap.

Kata Ken Jee, kejadian itu merupakan kali pertama buat dirinya sejak berniaga di pasar berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih berada dalam keadaan trauma dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.