Monday, November 29, 2010

3 ditahan, dadah RM165,000 dirampas

AMAR Singh Ishar Singh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPKL, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 29 Nov. - Polis menahan tiga pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM165,000 ketika suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Khamis lalu.

Serbuan kira-kira pukul 7 malam itu dilakukan oleh unit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi berdasarkan maklumat orang awam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga mereka berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, antara yang dirampas adalah jenis pil Eramin 5 berjumlah 10,022 biji, ekstasi (50 biji), syabu (tujuh peket) dan ganja (satu peket).

Difahamkan, ada di antara dadah-dadah itu diletakkan di dalam tisu lembap dan kotak kecil biskut.

"Saringan ujian air kencing mendapati, kesemua mereka yang berusia 26 hingga 40 tahun itu positif dadah," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, siasatan ke atas kenderaan yang digunakan juga adalah milik salah seorang daripada mereka.

"Kita juga percaya kumpulan ini aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu untuk pasaran pusat-pusat hiburan di ibu negara.

"Kesemua mereka ditahan reman tujuh hari sehingga 2 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, Amar Singh memberitahu, pihaknya menahan tiga remaja warga Nigeria di sebuah kondominium di Taman Connaught di sini, kelmarin kerana kesalahan membabitkan pemilikan dadah.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia 19 hingga 32 tahun dan merupakan pelajar di kolej swasta di ibu negara.

16 makmal dadah dibongkar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Polis mencatat sejarah apabila berjaya membongkar 16 makmal memproses dadah dan merampas dadah seberat 3.5 tan yang dianggarkan bernilai RM220 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kejayaan itu boleh dianggap satu rekod kerana ia merupakan rampasan tertinggi dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini, malah meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, kejayaan besar itu adalah hasil usaha pembanterasan bersepadu dan berterusan yang dijalankan oleh anggotanya terutama terhadap kumpulan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, seramai 61 anggota sindiket dadah antarabangsa berjaya diberkas.

"Kita membongkar 16 makmal memproses dadah iaitu meningkat 40 peratus berbanding hanya 11 makmal yang diserbu sepanjang tahun lalu.

"Kumpulan sindiket itu memilih bandar-bandar besar yang sibuk dan menjadi tumpuan orang ramai seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk mendirikan makmal operasi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan anggota sindiket dadah diberkas bukanlah di kalangan ahli kimia atau pakar tetapi rakyat tempatan, manakala penyeludup pula majoriti warga Iran.

Berdasarkan maklumat, kata Othman, sindiket dadah terbabit tidak sukar menghasilkan dadah di makmal tersebut kerana mudah mendapatkan bahan-bahan asas dan cara-cara untuk memprosesnya melalui Internet atau resipi sedia ada yang dibekalkan oleh sindiket itu sendiri.

"Ia (proses dadah) tidak ubah seperti memasak mee segera yang hanya perlu memasukkan air panas dan perencah," ujarnya.

Menurut Othman, setakat ini, sebanyak 3,559 jenis dadah berjaya dirampas termasuk 2.2 juta pil khayal termasuk pil psikotropik dan ekstasi yang mendapat permintaan tinggi di kalangan penagih tempatan.

Sehingga kini, katanya, kira-kira 1,000 rakyat asing ditangkap kerana kesalahan menyeludup dadah di negara ini sedang menunggu untuk menjalani hukuman termasuk digantung sampai mati.

Daripada 1,000 orang menunggu hukuman itu, ujarnya, warga Myanmar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 283 orang, diikuti Iran 100 orang dan selebihnya dari lain-lain negara.

"Jika dicampur tangkapan rakyat tempatan dan warga asing, keseluruhannya terdapat 8,195 anggota sindiket penyeludupan dadah berjaya diberkas PDRM sejak Januari hingga September lalu, berbanding 6,381 orang ditangkap dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Thursday, November 25, 2010

Polis tahan 4 lelaki curi komponen cip elektronik RM2.7 juta

2010/11/26
IPOH: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen pembuat cip elektronik yang diimport dari Taiwan dan Amerika Syarikat bernilai RM2.7 juta yang dilaporkan hilang pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata keempat-empat lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lalu di sekitar bandar raya ini hasil maklumat orang awam.
"Susulan tangkapan lelaki berkenaan, polis menemui semua komponen berkenaan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ringan, Silibin, di sini," katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan sempena pertukaran Ketua Polis Perak, di sini hari ini. Zulkifli akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 1 Disember ini dan tempatnya akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof.

Kehilangan komponen itu dilaporkan sebuah syarikat pengangkutan di sini ketika ia dibawa sebuah treler dari Gudang Kargo KLIA di Sepang ke Ipoh.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati seorang lelaki, yang juga pemandu treler berkenaan, telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan bertanggungjawab membawa komponen itu ke sini.

Beliau berkata, seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kes membabitkan kesalahan mencuri, menipu, pecah amanah, samun dan kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Hukuman Berat) yang dilaporkan di negeri ini, Selangor, dan Kuala Lumpur.
Mereka ditahan reman sejak ditahan sehingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh pembawa barang) yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang peguam di sini.

Katanya, suspek berusia 35 tahun itu ditahan semalam di sebuah rumah di sini dan setakat ini tujuh suspek ditahan, katanya.

"Suspek itu direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Pada 16 November lalu, peguam G Balasunderam, 57, diserang dua lelaki bertopeng ketika turun dari kereta di hadapan rumahnya dai Taman Desa Rishah, Buntung di sini dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9 malam hari yang sama.

Susulan kes pembunuhan itu, polis memberkas enam lelaki berusia 21 hingga 30 tahun pada Isnin lepas di sebuah hotel di Menglembu.

Zulkifli berkata, dengan penangkapan tujuh lelaki itu polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam waktu terdekat ini. - BERNAMA

Lelaki keturunan siam dipenjara 12 tahun, terbabit kes bunuh

2010/11/25
KANGAR: Seorang lelaki berketurunan Siam dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati salah terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki dalam satu pergaduhan di tepi Lebuhraya Changloon-Kuala Perlis, pada Mei tahun lalu.

Wednesday, November 24, 2010

Bomba selamatkan dua peragut

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Seremban 24 Nov. – Gara-gara takut diberkas polis yang datang ke rumahnya, dua suspek kes ragut bertindak memanjat bumbung rumah jiran mereka sebelum menyorok di sebalik tangki air.

Namun usaha kedua-duanya sia-sia apabila mereka gagal pula untuk turun sehingga polis terpaksa memanggil pasukan bomba dan penyelamat.

Itulah berlaku terhadap dua suspek yang juga merupakan adik-beradik di Taman Bukit Kepayang, di sini kira-kira pukul 2 pagi ini.

Kedua-dua mereka ditahan polis sebaik sahaja operasi menyelamatkan mereka selesai dilakukan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin memberitahu, kedua-dua suspek berusia 20-an, sebelum itu dipercayai melakukan jenayah ragut di sebuah rumah di sekitar Jalan Tan Sri Manickavasagam, pukul 6.15 petang.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek menyamar sebagai pemungut hutang sebelum melarikan beg pinggang mangsa. Suspek-suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Ford Laser,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, bertindak hasil daripada maklumat, pihaknya berjaya mengesan rumah kedua-dua suspek di taman perumahan berkenaan, beberapa jam kemudian.

Katanya, namun ahli keluarga suspek dikatakan enggan memberikan kerjasama sebelum anggota terbabit menyedari kedua-dua mereka menyusup di atas bumbung rumah dua tingkat itu.

“Bagaimanapun mereka tidak boleh turun dari bumbung berkenaan sehingga kita terpaksa memanggil bomba bagi menurunkan suspek.

“Pihak bomba mengambil masa beberapa jam untuk menurunkan kedua-dua suspek sebelum mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tiga ditembak penyamun syarikat pengurup wang

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

2010/11/25


ANGGOTA polis memeriksa kawasan kejadian kes samun bersenjata di Kuala Lumpur, semalam.2 lelaki bertopi keledar larikan wang tunai RM200,000

KUALA LUMPUR: Dua pekerja syarikat pengurup wang dan seorang pengunjung gedung pakaian beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, cedera terkena tembakan dalam kejadian samun bersenjatakan pistol dan parang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang di Chow Kit itu, dua lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh dan mulut ditutup dengan kain memasuki gedung berkenaan dan menyamun pejabat pengurup wang yang terletak di tingkat dua gedung itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek mengacukan senjata ke arah seorang pekerja pengurup wang itu dan mengarahkannya memasukkan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM200,000 ke dalam sebuah beg. “Suspek kemudian melarikan diri melalui tangga gedung itu dan salah seorang pekerja syarikat terbabit mengejar suspek, namun suspek bertindak melepaskan tembakan mengenai tangan dan perut mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Beliau berkata, seorang pengunjung wanita gedung itu terkena tembakan rambang dan mengenai kaki kanannya, manakala seorang lagi pekerja syarikat itu cuba mengejar suspek namun terkena tembakan di bahagian paha kiri.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai berusia lewat 20-an melarikan diri dengan menaiki motosikal dan siasatan polis mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam gedung berkenaan.

“Seorang pekerja syarikat pengurup wang itu parah, manakala dua lagi mangsa cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Semua mangsa berusia lingkungan 30-an,” katanya.
Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata

Tuesday, November 23, 2010

Rahsia makmal dadah terbongkar

Seorang anggota polis dari Unit Forensik memeriksa sebahagian dadah serta pelbagai bahan membuat dadah di Lorong Lima, Air Itam, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 23 Nov. – Taktik sindiket dadah menjadikan sebuah rumah teres di Lorong Lima, Jalan Matang Kucing di Ayer Itam di sini sebagai makmal memproses dadah akhirnya terbongkar.

Ia berikutan salah sebuah bilik di rumah berkenaan yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu terbakar, menyebabkan penghuni rumah tersebut melarikan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 8 pagi apabila dua lelaki yang dipercayai tinggal di rumah tersebut sedang rancak memproses dadah sebelum insiden itu berlaku.

Difahamkan, ketika usaha memadamkan kebakaran, anggota-anggota bomba mendapati ia bukan sebuah rumah biasa tetapi dijadikan makmal memproses dadah.

Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian pada pukul 2 petang mendapati sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan pasukan forensik sedang sibuk menjalankan siasatan di rumah tersebut.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan seekor anjing dipercayai digunakan sindiket berkenaan untuk mengawal kawasan rumah itu.

Ketua JSJN negeri, Supritendan S. Batumalai ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu polis berjaya menemui dadah seberat kira-kira empat hingga lima kilogram.

“Rumah tersebut dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu bernilai lebih RM1 juta,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Zurizan Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden berkenaan pada pukul 8.12 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Kita berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di salah sebuah bilik rumah tersebut pukul 8.25 pagi dan operasi selesai sepenuhnya pada 10.18 pagi sebelum kita serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan awal mendapati, semasa kejadian berlaku penghuni tiada di rumah dan kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada gas memasak di bilik terbabit yang kita tidak mengetahui untuk kegunaan apa,” ujarnya.