Thursday, July 29, 2010

4 lelaki, 1 wanita didakwa culik 2 along

2010/07/29
KULAI JAYA: Empat lelaki dan seorang wanita warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menculik dua "along" awal bulan ini, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM30,000 bagi setiap mangsa.

Rasman Ahmad, 42; Ismail Jaafar, 39; Wan Karmizi Muhamad, 28; Mohamad Awan A.Bakar, 23; dan Aida Jamhalie Samson, 32; didakwa menculik Leow Own Keong, 30; dan Lew Wei Your, 19; di kawasan Danga Bay, Johor Baharu pada 11.15 malam, 5 Julai lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Tiada sebarang pengakuan dicatatkan dan Majistret Siti Aishah Ab Rashid memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tanpa menetapkan sebarang tarikh untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua lelaki dicari bagi membantu siasatan kes culik berkenaan.

"Kedua-dua mereka adalah Al Annaz Wahid @ Anas, bernombor kad pengenalan 921122-01-5283 yang beralamat terakhir di No 32, Felda Tenggaroh 2, Jemaluang, Mersing dan Mohd Hadi Hamdan @ Bai, bernombor kad pengenalan 811011-01-6497 dan beralamat terakhir di 199F, Felda Tenggaroh 3, Jemaluang, Mersing," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Beliau meminta, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu, menghubungi polis. - BERNAMA

3 lelaki dituduh bunuh pengurus kafe

PETALING JAYA 28 Julai 2010 - Seorang pekerja syarikat telekomunikasi dan dua lelaki warga Sri Lanka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengurus kafe, pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada E. Mahendran Pilly, 32; S. Jeyarupan, 27; dan D. Sivaingkaran, 22, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat bersama membunuh A. Anson Hemathilaka, 29, antara pukul 3 petang, 14 Julai lalu dan pukul 2 pagi keesokan harinya.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen dan Nur Aifaa Chee Abdullah, manakala Mahendran diwakili peguam bela, Puan Sri N. Saraswathy.

Kedua-dua lelaki warga asing itu tidak diwakili peguam bela.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam pemerhati, N. Ganesarajah bagi pihak keluarga mangsa.

Majistret Aishah Huriah Arshad menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Menurut laporan media sebelum ini, mayat Hemathilaka ditemui dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat serta lehernya dililit pita pelekat.

Mangsa yang merupakan pengurus Dome Cafe di pusat beli-belah Subang Parade dekat sini dikatakan cuba membantu kedua-dua lelaki warga asing itu untuk memperbaharui visa masing-masing.

3 pelajar dibelasah geng kongsi gelap

2010/07/29
AMPANG: Tiga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai, di sini, cedera apabila dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota kongsi gelap di depan sekolah mereka kira-kira jam 1.30 petang ketika mahu pulang, pada 26 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, C J Han, T C Fook dan N W Hao, masing-masing berumur 15 tahun, cedera di kepala, badan dan tangan apabila dipukul lebih 20 lelaki menggunakan kayu dan rotan selama kira-kira 30 minit hingga mereka pengsan. Petugas Khas kepada Ahli Parlimen Pandan, Cindy Leong, berkata tiga pelajar itu dipukul apabila enggan menyerahkan sejumlah wang yang diminta lelaki terbabit. Katanya, pada 22 Julai lalu, sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap memukul mereka di perkarangan sekolah apabila mereka enggan menyerahkan wang yang diminta.

Dalam kejadian 26 Julai lalu, dua pelajar ketika pulang didatangi sekumpulan lelaki menunggang dua motosikal serta lima kereta dan terus memukul mangsa di depan sekolah hingga tidak sedarkan diri.

Seorang rakan mangsa yang datang membantu turut dibelasah hingga patah tangan. Mereka dibawa polis ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, katanya di pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan, di sini, semalam.

Berikutan insiden itu, beliau berkata, tiga pelajar terbabit trauma untuk ke sekolah kerana bimbang menjadi mangsa kumpulan terbabit sekali lagi.
Kita meminta supaya pihak Kementerian Pelajaran dan polis menyiasat serta mengambil tindakan segera, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, pelajar itu dipukul apabila sekumpulan be-
kas pelajar sekolah terbabit enggan memberikan yuran perlindungan yang diminta.

Pelajar perempuan terselamat bila kereta penculik kemalangan

2010/07/29
JERTIH: Seorang pelajar perempuan terselamat daripada menjadi mangsa penculik apabila kereta yang digunakan penjenayah terbabit terbabas semasa membawa lari pelajar berkenaan di Kampung Limbongan, dekat sini, petang semalam.

Pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nur Zahirah (SMKNZ), Besut, itu diculik dua lelaki ketika berada di luar pagar sekolah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Besut,DSP Noor Zainy Mohd Nor, berkata ketika kejadian jam 4.30 petang itu, pelajar terbabit sedang menunggu ibunya mengambil beliau pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolah berkenaan. "Bagaimanapun, ketika mangsa sedang menunggu ibunya, dua lelaki berusia 23 dan 15 tahun yang memandu Perodua Kenari memberhentikan kenderaan lalu turun mengheret pelajar terbabit ke dalam kereta.

"Namun, kereta yang dipandu seorang daripada lelaki terbabit terbabas lalu terjatuh ke dalam parit kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Noor Zainy berkata, polis yang sampai ke tempat kemalangan lima belas minit kemudian mendapati suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsang dalam kereta terbabit.

Katanya, pelajar itu yang cedera parah di kepala dan leher dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 8.30 malam tadi.
"Berikutan kejadian itu, polis melancarkan gerakan mencari dan mengesan suspek dan bertindak atas maklumat awam polis berjaya menangkap dua lelaki berkenaan sejam kemudian di sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut," katanya.

Kerani wanita diikat, wang syarikat lebih RM3,000 dilarikan penyamun

29/07/2010 2:58pm


KUANTAN 29 Julai — Rutin seorang kerani wanita di sebuah syarikat pengeluar barangan elektronik yang tidak keluar makan tengah hari mengundang padah apabila dia diikat dalam satu kejadian samun di kawasan perindustrian Semambu di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Haris Daud berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun tinggal bersendirian selepas lima lagi rakan sepejabatnya keluar makan tengah hari.

Beliau berkata, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang cuba menyamun wang syarikat yang berada di dalam laci meja wanita berkenaan.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum tangan dan kaki wanita berkenaan diikat serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat yang diambil di pejabat itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil wang syarikat itu yang berjumlah RM3,852 sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - Bernama

Tuesday, July 27, 2010

Makmal dadah diserbu, peralatan senjata api turut ditemui

27/07/2010 5:01pm



Oleh TAN MING WAI

HULU LANGAT 27 Julai – Polis menemui 11 penutup bom tangan dan 30 butir kelongsong peluru M-16 selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Taman Paling Jaya, Semenyih, semalam.

Turut ditemui, 803 gram dadah jenis ketamin dan 791 gram pil ekstasi bernilai RM23,000 di rumah yang dihuni seorang duda berusia 40 tahun itu. – Utusan

Monday, July 26, 2010

UPP tahan pengedar dadah bersama 550 biji pil kuda

26/07/2010 4:01pm



Oleh AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my

PENGKALAN KUBOR 26 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah bersama 550 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah kawasan perkuburan Islam di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baru dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan anggota UPP telah membuat intipan di kawasan kubur berkenaan sebelum menahan suspek berusia 27 tahun.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, ketika melakukan pemeriksaan pihaknya telah menemui kira-kira 410 biji pil berwarna kemerah-merahan milik lelaki berkenaan.

Beliau berkata, selepas membuat pemeriksaan lanjut pihaknya menemui

140 biji pil lagi pada motosikal lelaki berkenaan.

"Kesemua pil tersebut disyaki dadah jenis methamphetamine atau pil kuda dianggarkan bernilai RM13,750, dan lelaki tersebut yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai pengedar dadah.

"Berdasarkan siasatan awal, dadah tersebut adalah untuk pasaran sekitar kawasan Pengkalan Kubor dan Wakaf Baru. Suspek dipercayai mengambil dadah itu daripada pembekal di Pasir Mas," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. - Utusan