Sunday, April 10, 2011

Lelaki rogol budak kena belasah

Lelaki rogol budak kena belasah


2011/04/11
YAN: Tindakan seorang lelaki merogol seorang daripada dua beradik perempuan berusia 12 dan 13 tahun selepas melarikan mereka, mengundang padah apabila dibelasah hingga lembik sekumpulan orang awam di sebuah stesen minyak di Tebengau di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu suspek berusia 21 tahun diberkas bapa dua beradik perempuan berkenaan dan penduduk kampung yang mencari mereka sejak jam 8.30 malam kelmarin. Selepas menahannya, penduduk kampung yang marah dengan perbuatan suspek membelasahnya sehingga cedera di badan dan muka. Suspek dikatakan melarikan dua beradik terbabit selama lebih 15 jam selepas mengheret mereka ke dalam kereta PERODUA Kancil ketika pergi ke kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepat, Kota Sarang Semut, jam 5.30 petang kelmarin.

Pada mulanya suspek membawa dua beradik terbabit ke rumah rakannya, tetapi terpaksa berpatah semula ke arah Alor Setar selepas mendapati rakannya tiada di rumah.

Dalam perjalanan itu mangsa dan adiknya dikatakan merayu supaya lelaki terbabit menghantar mereka pulang ke rumah, tetapi tidak diendahkan suspek yang kemudian membawa mereka ke kawasan pantai di Kuala Sala, jam 10 malam kelmarin.

Mereka bertiga dikatakan tidur dalam kereta dan ketika itu suspek dipercayai merogol kakak mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Azaman Mohd Jan, berkata usaha bapa mangsa mencari anaknya berhasil apabila ternampak mereka di dalam kereta dipandu lelaki tidak dikenali di kawasan Kuala Sala, pada jam 10 pagi semalam.

Azaman berkata, bapa mangsa kemudian mengekori kereta berkenaan yang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tebengau

Dirogol jaga janji carikan kerja

Dirogol jaga janji carikan kerja


2011/04/11
JITRA: Hasrat seorang gadis berusia 16 tahun untuk mencari kerja bagi membantu menyara keluarganya berkecai apabila dirogol seorang pengawal keselamatan bank yang berjanji mencari pekerjaan sesuai baginya, Ahad lalu.

Pengawal keselamatan itu ialah jirannya menyebabkan mangsa yang sudah berhenti sekolah, tidak mengesyaki lelaki berusia 55 tahun terbabit mempunyai niat tidak baik ke atasnya. Kejadian dilaporkan berlaku jam 8.30 pagi di sebuah bank di Changlun dekat sini dan suspek dipercayai mengambil kesempatan berikutan hari itu cuti. Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata mangsa mengikut suspek dengan membonceng motosikal lelaki itu menuju ke bank selepas pengawal keselamatan terbabit menawarkan bantuan untuk mencari kerja.

Suspek memberitahu dia boleh mencari kerja sebagai pengawal keselamatan di bank tempat dia bekerja menyebabkan mangsa dan keluarga mempercayainya.

“Suspek dipercayai merogol mangsa beberapa kali di premis itu sebelum menghantarnya pulang. Mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada bapanya lalu membuat laporan polis,” katanya semalam.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Tidak serik!

Tidak serik!
Oleh Azida Shaharuddin

2011/04/11


PEGAWAI Imigresen menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan dalam operasi di Johor Bahru.Rumah kedai terbabit kegiatan pelacuran terus aktiviti walaupun pernah diserbu

JOHOR BAHRU: Tidak sampai setahun selepas diserbu kerana menjalankan kegiatan pelacuran, sebuah rumah kedai dekat Jalan Dobi di sini, didapati kembali menjalankan operasi haramnya.

Dalam serbuan terbaru, Khamis lalu, 10 pelacur warga Indonesia yang menunggu pelanggan mereka terkedu apabila ‘pelanggan’ yang datang adalah penguat kuasa Jabatan Imigresen yang melancarkan operasi membanteras kegiatan tidak bermoral itu di rumah berkenaan. Ketika serbuan jam 10.20 malam diketuai Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Johor, Masri Adol, 10 wanita terbabit yang berpakaian seksi, sedang duduk di sofa disyaki menunggu pelanggan. Masri berkata, pemeriksaan di rumah kedai itu mendapati ia dilengkapi dua bilik tidur di tingkat bawah serta empat bilik di tingkat atas. Pelacur dipercayai bergilir menggunakan bilik berkenaan setiap kali melayan pelanggan.

Katanya, pemeriksaan pihaknya mendapati setiap bilik dalam premis itu menyediakan mangkuk dilekatkan pada dinding, berisi kondom belum dipakai, manakala di lantai pula bersepah dengan kondom yang sudah digunakan.

“Kami pernah menyerbu rumah kedai sama tahun lalu, namun didapati beroperasi kembali. Selepas mendapat aduan orang awam, kami melakukan risikan dan mendapati ia kembali beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Siasatan juga mendapati kumpulan wanita terbabit dipercayai berulang alik keluar masuk negara ini dari Indonesia dengan memperbaharui pas lawatan sosial mereka.
"Kami menahan 10 wanita itu selepas siasatan mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

"Malangnya, bapa ayam berusia 30-an yang 'menjaga' wanita terbabit melarikan diri menerusi lubang seluas kira-kira 0.24 meter dibuat khas sebagai laluan memboloskan diri ke rumah kedai bersebelahan premis itu.

"Kita percaya bapa ayam itu melarikan diri ketika serbuan, menerusi lubang khas di bawah katil salah sebuah bilik di tingkat atas, membolehkan lelaki ini menyusup ke bilik sebelah," katanya.

Semua pelacur terbabit berusia 25 hingga 36 tahun kini ditahan mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, dan kini sudah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk dihantar pulang ke negara mereka.

"Dua pelanggan yang diambil keterangan mengaku sudah beberapa kali melanggan pelacur di kedai itu pada kadar RM80 setiap seorang sejak beberapa bulan lalu. Malah, seorang daripada mereka mengaku sudah melanggan pelacur di situ sebanyak empat kali," katanya.

mati dengan kesan tembakan

mati dengan kesan tembakan
KUALA LUMPUR 10 April - Luluh hati seorang kakak apabila usaha memecahkan pintu rumah adiknya itu berakhir dengan penemuan mayat lelaki tersebut yang bertugas sebagai seorang konstabel di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pagi ini.

Kejadian pada pukul 8 pagi di Kuarters Salak Selatan Baru itu disedari oleh jiran mangsa yang terdengar satu das tembakan dari arah rumah konstabel tersebut.

Pelik dengan bunyi tembakan, jiran tersebut kemudian bertindak memaklumkan perkara itu kepada kakak mangsa yang kebetulan berkunjung ke situ.

Setelah gagal mendapatkan jawapan mangsa walaupun dipanggil beberapa kali, jiran dan kakak konstabel itu kemudian bertindak memecahkan pintu bagi melihat apa yang berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, pihak polis menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati ada satu kesan tembakan di kepala mangsa selain menemui sepucuk pistol berukuran 0.38 milimeter berhampiran mangsa.

"Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan tiada kesan pergelutan atau pecah masuk rumah dan polis percaya tiada unsur jenayah berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Chin Wah memberitahu, mangsa sebelum ini dilaporkan sepatutnya menyerahkan pistol sebaik selesai bertugas bagaimanapun gagal berbuat demikian

Bunuh: Dua beranak dihukum gantung

Bunuh: Dua beranak dihukum gantung
ALOR SETAR 10 April - Dua beranak yang bekerja sebagai penarik kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki pada 7 Februari 2003.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhi hukuman itu ke atas Hashim Arifin, 56, dan Hishamuddin Hashim, 31, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah.

Kedua-dua tertuduh yang berkemeja dan berkemeja T kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman itu dijatuhkan setelah mereka didapati bersalah membunuh seorang penarik kereta, Mohamad Rafi Che Ani, 37, di Kulim pada tarikh itu.

Zamani dalam penghakiman lisannya menyebut, pada sesi pembelaan terdapat percanggahan fakta saksi mengenai tarikh bertemu dengan tertuduh pertama.

"Seorang saksi memberitahu berjumpa dengan saksi pertama pada 6 Februari tetapi kenyataan kepada polis berjumpa pada 5 Februari. Mahkamah tidak dapat menerima saksi pembelaan ini kerana keterangan bercanggah," katanya.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas berhimpun secara haram di hadapan kedai buah Majlis Perbandaran Kulim, Jalan Kulim- Kelang untuk mencapai tujuan bersama menyebabkan kematian ke atas Mohamad Rafi Che Ani kira-kira pukul 12.30 tengah malam 7 Februari 2003.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukan hukuman sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim manakala tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer.

Menurut Rayer, pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama adiknya menikmati makanan di gerai berkenaan sebelum didatangi sekumpulan lelaki termasuk kedua-dua tertuduh.

Sejurus kemudian berlaku bertengkaran dan pergaduhan antara mangsa serta tertuduh.

Ketika pergaduhan itu ada antara saksi melihat kedua-dua tertuduh menikam anggota badan mangsa dengan objek tajam.

Kemewahan dua warga Iran terbongkar

Kemewahan dua warga Iran terbongkar
KUALA LUMPUR 10 April - Rahsia kemewahan dua lelaki warga Iran yang mampu membeli sebuah kereta BMW M3 dan sebuah rumah kondominium terbongkar selepas mereka ditahan polis ketika sedang mengedar dadah jenis syabu di Seri Kembangan di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 47 dan 38 tahun itu ketika tiba di negara ini setahun lalu dikatakan hanya mampu menginap di hotel bajet.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, warga Iran tersebut antara empat suspek termasuk seorang warga Pakistan dan India yang ditahan kerana dipercayai sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Menurutnya, keempat-empat suspek itu ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah hotel bajet di pekan Seri Kembangan di sini pada pukul 8.15 malam.

"Dalam risikan di hotel tersebut, kita mendapati dua warga Iran yang menaiki sebuah kereta BMW telah memberi satu bungkusan berisi tin biskut dan kotak makanan ringan kepada lelaki Pakistan dan India di hadapan hotel.

"Apabila bungkusan itu dibawa ke bilik oleh suspek masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, kita telah membuat serbuan dan menemui kedua-dua bungkusan berkenaan yang berisi syabu seberat 680 gram," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati warga Iran tersebut telah membeli kereta BMW M3 dan sebuah rumah sepanjang berada di sini walaupun pekerjaan mereka tidak menentu.

Katanya, kedua-dua warga Iran terbabit dipercayai menggunakan warga Pakistan dan India itu untuk melakukan pengedaran dadah kepada penagih-penagih di sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, dadah yang dirampas bernilai RM60,000 manakala keempat-empat suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

mayat wanita yang dipercayai dibunuh

Oleh NORAZMAN ABDUL RAHIM
utusanjohor@utusan.com.my



ANGGOTA polis membawa mayat wanita yang dipercayai dibunuh sebelum dibakar di Pantai Sekakap, Mersing, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MERSING 10 April – Hajat dua anggota tentera untuk menangkap ikan di Pantai Sekakap di sini, terbantut apabila mereka menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan rentung pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota tentera terbabit kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan penemuan mayat tersebut.

Menurutnya, mayat itu ditemui ketika kedua-dua anggota tentera itu mencari kayu untuk memasang jaring ikan di belukar pantai berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Jalan Mersing-Sekakap.

“Mayat berkenaan dikenal pasti sebagai wanita berdasarkan jam tangan dan gelang kaki pada tubuh mangsa yang 95 peratus hangus terbakar.

“Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain kurang 24 jam lalu sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian lalu dibakar di kawasan pantai yang terletak kira-kira 50 meter dari Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sekakap dan satu kilometer dari Kem Iskandar, dekat sini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd. Nor berkata, mangsa dipercayai berumur lingkungan 25 tahun berdasarkan keadaan fizikalnya manakala bahagian kaki yang tidak terbakar menunjukkan mangsa berkulit cerah.

Selain itu, katanya, terdapat seutas rantai pada leher mangsa yang tertera perkataan Suemzar.

“Pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan berkenaan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan akan ditempatkan di bilik mayat hospital berkenaan sementara menunggu pengecaman ahli keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Nor meminta waris atau ahli keluarga yang kehilangan anak perempuan terutama remaja di bawah umur 25 tahun kurang daripada 24 jam lalu menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Abd. Aziz Che Embong di talian 07-7993507 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, 07-7994222 atau mana-mana balai polis berhampiran.