Monday, January 10, 2011

'Pengawal keselamatan' larikan wang RM300,000

Van milik syarikat keselamatan yang dirompak tiga penjenayah dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Jan. - Sekumpulan tiga penjenayah berpakaian pengawal keselamatan melarikan sebuah van keselamatan membawa wang tunai RM300,000 dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, di sini petang ini.

Kejadian berlaku pada pukul 6.10 petang, ketika van yang dinaiki tiga pengawal keselamatan itu berhenti di hadapan sebuah premis syarikat telekomunikasi di sini untuk memungut wang perniagaan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika itu muncul tiga lelaki berpakaian pengawal keselamatan berwarna biru gelap lalu mengacukan pistol.

"Ketiga-tiga suspek yang memiliki pistol mengugut ketiga-tiga pengawal keselamatan itu serta meminta mereka keluar dari van berkenaan.

"Akibat panik, tiga pengawal keselamatan terbabit terpaksa membiarkan suspek-suspek melarikan van tersebut bersama wang tunai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, penjenayah terbabit bagaimanapun meninggalkan van tersebut di sebatang lorong yang terletak 120 meter dari tempat kejadian sebelum melarikan wang tunai.

Menurut Khairi, hasil siasatan awal, polis menemui sepucuk pistol dan selaras senapang milik pengawal keselamatan tersebut yang ditinggalkan suspek di dalam van tersebut.

"Polis kini giat mengesan arah suspek melarikan diri selepas mereka meninggalkan van tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan lakaran wajah suspek dengan bantuan tiga mangsa bagi mengesan mereka secepat mungkin," jelas beliau.

PGM rampas kretek RM1.2 juta

2011/01/10
PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang merampas 2,700 kartun rokok kretek bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dan menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam satu operasi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pulau Banting, Teluk Bunut, Banting dekat sini.

Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said, berkata kejayaan itu dicapai hasil operasi khas yang dilakukan unit risikan PGM di kawasan ladang itu kira-kira 12.30 tengah malam tadi hasil maklumat orang ramai.
Beliau berkata, unit itu terserempak dengan sebuah PROTON Wira serta lori satu tan dalam keadaan mencurigakan semasa di kawasan ladang itu dan mereka terus menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 25 dan 48 tahun untuk diperiksa.
"Mereka kemudiannya menemui muatan rokok kretek pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam lori berkenaan yang dipercayai untuk diseludup masuk dan dijual di pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Antara rokok yang dirampas ialah Gudang Garam Nusantara Hijau (1,500 kartun), Gudang Garam Surya (720 kartun) dan Gudang Garam Nusantara Merah (480 kartun).

Norzaid berkata, semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PGM di Pulau Indah di sini untuk disita, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (A) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, ketika menjalankan operasi itu anggota PGM diekori beberapa individu yang dipercayai "tonto" yang cuba mengganggu dan mengertak kerana tidak berpuas hati dengan rampasan rokok kretek berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, anggota PGM tetap meneruskan operasi itu dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kami akan teruskan operasi, tidak kira melalui darat atau perairan dalam usaha menangani membendung aktiviti penyeludupan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang tiba musim perayaan," katanya. - BERNAMA

Kastam Pulau Pinang tahan warga Iran, rampas dadah RM875,000

2011/01/10
BUTTERWORTH: Kastam Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) semalam dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.5 kilogram bernilai RM875,00.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, R Mariappa, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi selepas imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan. "Hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan Penguatkuasa Narkotik berjaya menemui sekeping kertas keras berwarna putih yang disorokkan di ruang khas dalam beg itu. "Pemeriksaan lanjut ke atas kertas keras itu kita menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu yang telah beberapa kali memasuki Pulau Pinang, terbang dari Doha, Qatar.

"Penerbangannya transit di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) sebelum tiba di PIA," katanya.

Mariappa berkata, pihaknya percaya lelaki itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa berdasarkan jumlah dadah yang besar.
Katanya, lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, mengulas isu berbeza Mariappa berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis barang larangan dan barang bercukai bernilai kira-kira RM28.8 juta dengan nilai cukai sebanyak RM55.4 juta.

"Bagi tempoh yang sama, Kastam Pulau Pinang juga merekodkan 385 kes yang membabitkan pelbagai kesalahan menurut Akta Kastam 1967 dan menahan 310 orang yang disyaki terbabit dalam kesalahan penyeludupan," katanya. - BERNAMA

Sunday, January 9, 2011

Abang maut, adik parah ditikam

2011/01/10

FAIZAL menerima rawatan selepas terbabit dalam pergaduhan di Pekan Inanam, semalam.
KOTA KINABALU: Kunjungan dua beradik ke sebuah pusat hiburan di Pekan Inanam, di sini, awal pagi semalam, berakhir tragedi apabila seorang mati ditikam, manakala seorang lagi parah.

Herman Abdul Rahman, 22, mati akibat cedera parah di rusuk kanannya, selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di pusat hiburan itu, manakala adiknya, Faizal, 19, parah ditikam dua kali di pinggang, dalam kejadian pada jam 1 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata polis sedang mengesan beberapa suspek yang dikenal pasti terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
“Kita percaya lebih seorang yang melakukan serangan, Kita juga yakin dapat melakukan tangkapan dalam masa terdekat kerana identiti beberapa suspek sudah diketahui,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.50 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita menemui seorang lelaki terdampar di atas jalan dengan kesan darah di bahagian rusuk kanan dipercayai akibat ditikam dengan menggunakan benda tajam,” katanya

990 meter kabel TM dirampas, 14 ditahan

MOHD. Yatim Osman (kiri) bersama Penyelia Teknik Telekom RNO Rawang, Rosli Waruah Matollah (dua dari kiri) menunjukkan kabel-kabel yang berjaya dirampas di Balai Polis Bukit Sentosa, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



HULU SELANGOR 9 Jan. - Kegiatan sekumpulan 14 lelaki mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) Berhad sejak dua tahun lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan polis kelmarin.

Kesemua suspek ditahan di Sungai Buaya di sini ketika sedang bersiap-sedia untuk membakar kabel yang baru dicuri di Gadek, Melaka, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hulu Selangor, Asisten Supritendan Mohd. Yatim Osman pada pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan semua suspek sedang memunggah sejumlah kabel yang telah dipotong daripada sebuah lori seberat tiga tan untuk dibakar.

"Hasil pemeriksaan, polis telah menemui 148 batang kabel di atas lori berkenaan. Panjang semua kabel tersebut adalah 990 meter.

"Siasatan lanjut mendapati suspek-suspek mencuri kabel tersebut yang ditanam sejauh hampir satu kilometer di Gadek, Melaka," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu menambah, pegawai Telekom Malaysia (TM) yang diminta memberi bantuan mengesahkan kabel tersebut milik syarikat berkenaan.

Jelasnya, menurut pegawai TM, kesemua kabel yang dicuri bernilai RM120,000.

"Polis percaya sindiket tersebut telah menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu berdasarkan kesan pembakaran kabel bagi mendapatkan tembaga di lokasi serbuan.

"Mereka juga dianggap licik kerana menggunakan lori yang mempunyai kren untuk menarik keluar kabel dari tanah sebelum mengangkat kabel ke atas lori," ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan jumlah keseluruhan kabel yang pernah dicuri sindiket tersebut sebelum ini.

Thursday, January 6, 2011

Waspada individu menyamar pemeriksa meter TNB

2011/01/06
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menyamar sebagai pemeriksa meter syarikat utiliti negara berkenaan, berikutan terdapat laporan kes samun yang dilakukan pihak yang menyamar.

Menurut TNB, pemeriksa meter syarikatnya boleh dikenal pasti melalui pakaian yang dipakai mereka serta kad kuasa yang mereka miliki. "Anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa baju T berwarna merah yang mempunyai logo TNB beserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja tersebut. "Anggota kerja TNB yang perlu memeriksa meter hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa," menurut TNB menerusi satu kenyataan.

Kad kuasa itu adalah kad pengenalan diri pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja beserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja berkenaan.

Dalam kejadian terbaru semalam, dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja TNB dilaporkan menyamun seorang wanita warga emas di Teluk Kemang.

TNB juga menyatakan pemeriksaan oleh anggotanya hanya dapat dibuat setakat meter di luar premis dan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa petugas syarikat berkenaan. - BERNAMA

Wednesday, January 5, 2011

Pengawal bank didakwa curi RM203,400

SEREMBAN 5 Jan. 2010 - Seorang pengawal keselamatan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan wang RM203,400 daripada peti besi premis tersebut bulan lalu.

Tertuduh, Suliman Saliban, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Suliman didakwa mencuri wang tersebut daripada peti besi milik majikannya di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Ampangan, Seremban, antara pukul 12 tengah malam dan 6.30 pagi, 22 Disember lalu.

Tertuduh yang berasal dari Sikamat di sini, di dakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan akhbar, kira-kira pukul 1 petang pada tarikh itu, polis dan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bank berkenaan yang ketika itu musnah akibat kebakaran.

Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua wang berkenaan yang terdapat dalam peti besi premis itu lesap tanpa sebarang kesan umpil.

Berikutan itu, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap kakitangan dan pekerja kontrak yang melakukan kerja mengubah suai bank berkenaan sebelum menahan Suliman bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan, seorang suspek yang juga merupakan seorang polis bantuan dikatakan mengambil wang berkenaan secara bersendirian selepas melihat pintu peti besi tempat simpanan wang tidak berkunci.

Suspek juga dikatakan telah membelanjakan sejumlah wang berkenaan untuk memperbaiki motosikal dan basikal, membayar hutang dan bermain mesin judi mesin slot di sekitar bandar ini.

Dalam pada itu, polis juga berjaya menemui baki wang berjumlah RM196,400 setelah tangkapan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Marsilawati Mohd. Shah menetapkan 8 Februari ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan Suliman diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin.