Wednesday, November 10, 2010

5 anggota Geng Big Bear diberkas

2010/11/10
KUALA LUMPUR: Lima anggota "Geng Big Bear" yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam dan kafe internet di sekitar Wangsa Maju dan Gombak diberkas polis ketika cuba menyamun sebuah kafe internet di Taman Seri Rampai awal pagi ini.

Polis berjaya menggagalkan cubaan menyamun pada 6.15 pagi itu setelah unit rondaan kenderaan terserempak dengan lima lelaki berkenaan yang berusia antara 17 hingga 20 tahun, berkeliaran dengan motosikal berhampiran premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Ketua Polis Daerah Sentul ACP, Zakaria Pagan, berkata polis turut menemui dua bilah parang dan dua belantan besi pada motosikal yang dipercayai dijadikan senjata untuk kegiatan menyamun mereka, ketika pemeriksaan dijalankan. Semua lelaki tersebut termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai "Big Bear" kerana berbadan gempal kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya, katanya.

"Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati semua dipercayai terbabit dalam tujuh kes samun kedai serbaneka dan kafe internet di sekitar Wangsa Maju dan Gombak pada tahun ini.

"Kita percaya penahanan mereka ini akan dapat menyelesaikan kes samun kedai serbaneka dan kafe internet di awal pagi sekitar Wangsa Maju dan Gombak," katanya.

Zakaria berkata, satu laporan polis telah dibuat di Wangsa Maju baru-baru ini yang antara lain menyebut dua remaja lelaki di mana seorang berbadan besar dan kecil telah menyamun sebuah kafe internet.
"Oleh itu kami percaya mereka inilah yang terbabit dalam kes samun yang mana modus operandi mereka adalah menyerbu masuk premis berkenaan dengan bersenjatakan parang di awal pagi.

"Selepas itu mereka akan ke kaunter dan merampas duit, rokok dan telefon sebelum melarikan diri. Kita percaya anggaran kerugian setakat ini hampir RM10,000," katanya.

Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan geng itu adalah pecahan atau mempunyai kaitan dengan kumpulan yang pernah menyamun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini pada 5 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, tujuh lelaki berumur antara 17 hingga 24 tahun yang bersenjatakan parang menyamun premis itu yang kebetulan dikunjungi oleh dua anggota polis yang sedang menjalankan operasi cegah jenayah.

Tuesday, November 9, 2010

Dadah RM800,500 dirampas

Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
2010/11/10
Wanita warga Thai, Togo ditahan ketika pemeriksaan di KLIA

SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis syabu dan kokain dianggarkan bernilai RM800,500 selepas menahan seorang wanita rakyat Thailand dan seorang wanita rakyat Togo dalam dua operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu. Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata dalam operasi pertama pada jam 10.50 pagi itu, Bahagian Narkotik KLIA dengan kerjasama polis Bukit Aman menahan wanita warga Thailand berumur 26 tahun selepas dilihat berkelakuan mencurigakan. Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan ke atas beg yang dibawa wanita berkenaan tidak menemui barang mencurigakan.

“Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang menjalani pemeriksaan badan menerusi ujian sinar X dan mendapati ada 82 kapsul di dalam perut wanita itu, dipercayai kokain yang ditelan menggunakan bahan lilin.

“Pihak hospital mengambil masa tiga hari bagi mengeluarkan dadah berkenaan daripada perut wanita itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor di sini, semalam.

Dadah seberat 1.1 kilogram (kg) dikeluarkan daripada perut wanita terbabit dianggarkan bernilai RM240,000.
Dalam kejadian kedua kira-kira jam 11.40 pagi pada hari sama, Bahagian Narkotik KLIA menahan wanita warga Togo dari Afrika sebaik tiba dari Dubai ketika menolak troli dalam keadaan mencurigakan.

Nordin berkata, pemeriksaan ke atas beg plastik dibawa wanita berusia 32 tahun itu mendapati ia mengandungi makanan kering seperti ikan masin sebelum menemui dua plastik lutsinar tersorok di kiri kanan beg, dipercayai berisi syabu seberat 2.2 kg.

Monday, November 8, 2010

Dagang bayi: Peniaga roti canai ditahan

KUALA LUMPUR 8 Nov. 2010 - Seorang peniaga roti canai dari Jalan Ipoh, Sentul dekat sini hari ini ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan bayi yang dibongkar polis, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan ketika sedang bekerja pukul 9.45 pagi.

"Dia akan direman sehingga 14 November ini untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, polis menahan enam suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual bayi di sebuah hospital swasta sebaik sahaja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000.

Serbuan dijalankan oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menjalankan siasatan dalaman bagi mengesan kemungkinan penglibatan 'orang dalam' dalam kegiatan itu.

Ah long lempar molotov

KUALA LUMPUR 8 Nov. 2010 - Jika sebelum ini, ah long sering dikaitkan dengan perbuatan menyimbah cat merah atau merosakkan kediaman mangsa, nampaknya golongan pemberi pinjaman wang haram ini kian melampau.

Ah long kini tidak lagi berniat untuk menakut-nakutkan, sebaliknya bertindak seolah-olah ingin 'mengambil nyawa' peminjam yang berhutang dengan mereka.

Dalam satu kejadian terbaru pada 27 Oktober lalu, 13 sekeluarga nyaris maut apabila sederet tiga kediaman rumah teres mereka di Taman Desa Rasah di Seremban, Negeri Sembilan, dilempar dua butir bom molotov - dipercayai dilakukan oleh ah long.

Tindakan ini ekoran salah seorang ahli keluarga tersebut dikatakan gagal melangsaikan hutangnya sebanyak RM140,000 kepada seramai 12 ah long, selepas meminjam untuk membiayai tabiat berjudinya sejak awal tahun ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu sendiri telah menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu, namun 13 ahli keluarga termasuk ibu bapanya yang tidak berdosa pula merasai tempiasnya malah hampir terbunuh.

Bapa kepada kaki judi itu yang dikenali sebagai Lim Lai, 63, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan kesemua ahli keluarganya sedang tidur nyenyak pada pukul 1.30 pagi.

"Mujurlah kami semua dikejutkan dengan jeritan jiran yang menjerit api, api. Kami semua terus bergegas keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

"Tanpa pengetahuan kami, anak derhaka ini menggunakan kad pengenalan ibunya sebagai penjamin untuk meminjam daripada ah long,

"Sebelum ini kami berdua telah bantu dia melangsaikan hampir RM70,000. Dia hilangkan diri, maka kami pula yang dicari ah long," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Tambah warga emas itu, 10 hari sebelum kejadian, kediaman mereka turut disimbah cat merah.

Berikutan kejadian itu, keluarga berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Seremban, namun mendakwa tiada tindakan lanjut daripada polis setakat ini.

Pecah rumah: Xavier rugi RM70,000

KLANG 8 Nov. 2010 - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. A. Xavier Jayakumar (gambar) kerugian kira-kira RM70,000 termasuk wang tunai RM20,000 apabila rumah berkembar dua tingkat di Taman Klang Jaya, di sini dipecah masuk hari ini.

Ketika kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari dan 2 petang itu, kediaman Xavier yang juga Exco kerajaan negeri tidak berpenghuni kerana ahli keluarganya keluar bekerja dan bersekolah.

Xavier sendiri sedang menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Annex di Shah Alam dekat sini, manakala pembantu rumahnya dikatakan pergi ke rumah saudaranya.

Difahamkan, selepas dimaklumkan mengenai kejadian oleh keluarganya melalui panggilan telefon, Xavier bergegas pulang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf berkata, siasatan awal pihaknya percaya penjenayah yang memecah masuk rumah Xavier lebih daripada seorang.

Beliau berkata, suspek telah merosakkan besi jeriji di depan dan belakang sebelum memecah masuk rumah mangsa.

"Siasatan awal mendapati satu unit komputer, barangan kemas, kamera dan wang tunai RM20,000 yang berada di dalam rumah mangsa lesap.

"Turut hilang adalah pasport milik Xavier, isterinya, Sheila Devaraj, 53, dan anak, Dev Arul, 20," kata beliau ketika dihubungi di sini petang ini.

Menurut Mohamad, kejadian tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Xavier yang ditemui pemberita di rumahnya hari ini memberitahu, kejadian tersebut merupakan kali pertama selepas beliau menetap di situ sejak 21 tahun lalu.

Katanya, selain komputer dan kamera, sebuah peti besi mengandungi wang tunai dan pasport miliknya dilarikan penjenayah terbabit.

Anak bongsu Xavier, Dev Arul pula berkata, dia menyedari kejadian selepas pulang dari sekolah berdekatan pukul 3.30 petang.

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun pintu pagar pintu utama terbuka.

"Bagaimanapun selepas melihat keadaan empat bilik termasuk bilik saya dan ibu bapa berselerak, semua laci meja terbuka dan peti besi ayah hilang, saya terus hubungi ibu dan ibu memaklumkan kepada bapa," ujarnya.

Difahamkan, rumah semi-D itu tidak mempunyai sebarang kamera litar tertutup atau dipasang alat penggera keselamatan.

Warga tua parah ditetak jiran

2010/11/09


KECEDERAAN yang dialami Mohamad Salleh selepas ditetak jiran sekampung dalam kejadian di Tumpat, semalam.TUMPAT: Seorang warga tua terpaksa memandu dalam keadaan berlumuran darah sejauh 600 meter bagi mendapatkan bantuan keluarganya, selepas ditoreh 15 kali oleh jiran sekampung yang berang ditegur menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik.

Dalam kejadian jam 10.30 malam di Kampung Bahagia dekat Chabang Empat di sini, Mohamad Salleh, cedera di kepala, badan dan lengan akibat diserang dengan senjata tajam dipercayai kelewang oleh penyerang berusia 20-an. Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan selepas polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes itu bersama isterinya. “Mangsa dalam keadaan stabil dengan kesan kecederaan di kepala, muka, belakang badan dan tangan serta tikaman di bahagian badan sebelah pinggang kanan.

“Mangsa dipercayai ditetak dengan kelewang sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan mangsa menegur kegiatan suspek yang selalu menangkap ikan menggunakan renjatan elaktrik serta dendam lama suspek kepada mangsa,” katanya semalam.

Khalid berkata, setakat ini polis sudah merampas baju suspek dan baju mangsa serta senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, anak mangsa, Siti Hajariah, 21, berkata bapanya sudah dipindahkan daripada HRPZII ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam untuk menjalani pembedahan.

“Saya sedang tidur ketika dikejutkan ibu, Faridah Musa, 49, apabila melihat ayah balik ke rumah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Siti Hajariah berkata, walaupun cedera parah, bapanya masih boleh bercakap dan menceritakan kejadian yang berlaku serta individu yang menyerangnya.

“Ayah memaklumkan dia menegur lelaki terbabit yang menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membuang sampah.

“Berikutan teguran itu, lelaki terbabit menyerang ayah dengan senjata tajam,” katanya.

Remaja 15 tahun ditahan edar dadah

Oleh Zarina Abdullah
bhkt@bharian.com.my
2010/11/09
Jadikan rumah pusat pengedaran pil kuda

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berhenti sekolah untuk mencari kerja berpendapatan lumayan, akhirnya terkandas apabila dia ditangkap di rumahnya di Kampung Batu Buruk di sini, kelmarin. Polis yang berjaya menghidu kegiatan gadis itu menjadikan rumahnya pangkalan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit membuat intipan sejak beberapa minggu lalu sebelum melakukan serbuan pada jam 10.45 pagi kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata ketika serbuan, remaja perempuan itu bersama kakak ipar dan dua rakan lelaki sedang khayal dipercayai akibat mengambil pil kuda (methampetamine) dan ujian air kencing kemudian mendapati mereka positif dadah.

Katanya, polis merampas 67 pil kuda bernilai RM2,400 dalam serbuan di rumah itu.

“Remaja perempuan, kakak iparnya dan dua rakan lelaki berusia 20-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memasukkan dadah ke dalam tubuh,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman seminggu bermula semalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.