Wednesday, October 6, 2010

Penggembala lembu edar dadah dihukum gantung

embala lembu edar dadah dihukum gantung


ABDUL Rashid Abdul Rahman (kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TAIPING 6 Okt. - Seorang penggembala lembu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 5.89 kilogram, tiga tahun lalu.

Hakim Ridwan Ibrahim memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas mendapati Abdul Rashid Abdul Rahman, 37, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

"Pihak pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah dan saya berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

"Oleh kerana Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan satu hukuman sahaja, maka kamu selepas disabitkan, dihukum gantung sehingga mati," katanya.

Abdul Rashid dituduh mengedar ganja di tepi jalan besar, Jalan Kampung Dew, Simpang di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 1 April 2007.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mengikut fakta kes, penggembala lembu terbabit bersetuju menjual enam kilogram ganja berkenaan dengan harga RM1,700 bagi setiap kilogram kepada seorang pegawai polis yang menyamar.

Tertuduh yang masih bujang itu bagaimanapun ditahan pegawai polis terbabit bersama ketulan ganja berkenaan selepas proses jual beli tersebut selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah dan Mohd. Amril Johari sementara tertuduh diwakili peguam Manjit Singh

Sindiket ugut, ganggu pegawai imigresen baru

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2010/10/07
Kakitangan di Jeti Pulau Ketam terima ancaman, kereta dirosak

PUTRAJAYA: Sindiket yang turut membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, untuk membawa masuk dan keluar pendatang tanpa izin dikesan menggunakan taktik menakut-nakutkan kumpulan pegawai yang baru ditukarkan ke situ. Menyifatkan kumpulan 20 kakitangan imigresen yang baru ditukarkan ke jeti berkenaan sebagai penghalang kegiatan itu, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kaedah ugutan menerusi telefon, selain memecahkan cermin kereta kakitangan imigresen baru berkenaan. Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam yang berkata beliau menerima aduan daripada kakitangannya di jeti berkenaan bahawa mereka menerima ugutan dan ada kejadian cermin kereta dipecahkan beberapa hari selepas melaporkan diri di tempat baru itu.

Kumpulan kakitangan baru imigresen itu mula bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam pada 27 September lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu dilakukan oleh sindiket berkenaan atau orang tengah yang berasa terdesak selepas gerakan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu dan menganggap kakitangan baru yang ditukarkan pula menjadi penghalang.

"Ugutan dan gangguan itu mula dilaporkan beberapa hari selepas kakitangan baru bertugas. Mereka (sindiket) hanya memerlukan tiga hari untuk mengenal pasti kakitangan mana yang perlu diganggu atau diugut," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, imigresen menganggap kumpulan berkenaan mahu memberikan mesej bahawa mereka tidak akan beralah dan menghentikan kegiatan itu dengan mudah.

Bagaimanapun, katanya, imigresen belum membuat aduan polis kerana masih menyifatkan ia sebagai gangguan biasa yang belum menggugat keselamatan anggotanya.

Menjawab soalan kemungkinan ada orang dalam turut terbabit memaklumkan kepada anggota sindiket mengenai identiti serta kenderaan milik kakitangan yang perlu diganggu, Abdul Rahman berkata:

"Apabila ia membabitkan wang yang lumayan seperti dilaporkan media, meja dan kerusi di sekeliling kita pun boleh bercakap," katanya.

Berita Harian dalam beberapa siri laporan sebelum ini mendedahkan mengenai kegiatan rasuah di kalangan kakitangan imigresen di jeti berkenaan yang mendapat habuan sehingga RM20,000 seminggu selepas bersekongkol dengan orang tengah supaya melepaskan warga asing keluar dan masuk negara ini tanpa dokumen sah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ini menahan tujuh kakitangan imigresen, lima di jeti berkenaan manakala dua di Port Dickson berhubung skandal itu, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menimbang untuk mengambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka terbabit.

Abdul Rahman berkata, jabatan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu.

Mengenai cadangan KDN mengenakan tindakan ISA terhadap pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu, Abdul Rahman berkata mereka yang belot terhadap keselamatan negara wajar menerima hukuman setimpal.

"Apa pilihan yang kita ada, tindakan tegas perlu dilakukan kerana isu ini membabitkan keselamatan negara dan tidak boleh tolak ansur.

"Saya akan melakukan apa saja untuk memastikan mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan," katanya

Tuesday, October 5, 2010

Mahkamah perintah warga Indonesia diusir kerana menyamun

2010/10/05
KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga buruh ladang warga Indonesia diusir dari negara ini sebaik selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyamun sebuah keluarga di Felda Bukit Kuantan di sini membabitkan nilai kira-kira RM150,000 pada Mei lalu.

Tertuduh, Idris, 44, dan Denni Irawan, 37, masing-masing dari Berakit dan Ceribon, Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut manakala seorang lagi rakan mereka, Zakaria Mohammad, 31, dari Makasar dikenakan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan. Hakim Irwan Suainbon memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 10 Mei lalu. "Selepas meneliti kes dan mengambil kira keselamatan orang awam, mahkamah memerintahkan supaya ketiga-tiga tertuduh diusir dari negara ini selepas selesai menjalani hukuman," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan di sebuah rumah bersebelahan stesen minyak BHP yang didiami empat beranak di Felda Bukit Kuantan, kira-kira 3.30 pagi pada 10 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati merampas barang milik keluarga berkenaan termasuk tiga gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas, dua subang, empat rantai leher emas, lima telefon bimbit, pelbagai kad tambah nilai serta wang tunai lebih kurang RM87,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh yang melakukan perbuatan menggugat keselamatan orang ramai.
"Tertuduh yang baru datang ke negara ini sejak Mei lalu menyalahguna kebenaran bekerja dengan melakukan jenayah sehingga mengancam keselamatan orang awam," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Rosal Azimin Ahmad.

Monday, October 4, 2010

Bunuh kenak-kanak: Bekas konstabel ke tali gantung

05/10/2010 11:47am


SHAH ALAM 5 0kt. 2010 - Bekas konstabel polis, Mohd. Nahar Abu bakar, 33, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak bekas Setiausaha UMNO Klang dan pengasuhnya tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.

Mohd. Nahar didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, 3 dan Siti Rohana Baharom, 34, di rumah No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang dekat sini pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003.

Tiga lagi kejadian ragut di RTP Bukit Goh

KUANTAN 4 Okt. 2010 - Selepas kejadian ragut yang menimpa seorang kerani, Wan Noresah Mat Isa, 24, pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan mangsa parah di kepala, tiga lagi kes berlaku tidak jauh dari lokasi yang sama di Taman Impian di sini kelmarin.

Salah seorang mangsa, Sarina Abdul Basid, 31, dari Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di sini berkata, dia turut menjadi mangsa ragut sehari selepas kejadian yang berlaku kepada Wan Noresah.

"Ketika kejadian pada pukul 5.30 petang, saya sedang menunggang motosikal dari Taman Impian melalui jalan kebun menuju ke rumah bersama anak ketiga saya yang baru berusia 11 bulan.

"Kira-kira dua kilometer dari rumah, sebuah motosikal jenis Yamaha Sport berwarna merah yang dinaiki dua lelaki cuba menghampiri saya.

"Sebaik sahaja diarahkan supaya memberhentikan motosikal, saya segera mengikut kerana bimbang dilanggar atau ditendang," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, dia yang merupakan seorang ibu tunggal merayu kepada dua lelaki berkenaan sambil memeluk anaknya agar tidak diapa-apakan.

Namun, katanya, dua peragut itu merampas dompet yang diletakkan di bawah baju sejuk dalam bakul motosikal sebelum melarikan diri.

"Ekoran kejadian itu, saya segera membuat laporan polis kerana kehilangan kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai RM40," jelasnya.

Sehari sebelum itu, Wan Noresah dari Kampung Sungai Pinang di sini parah selepas dihentak dengan topi keledar sebelum diragut dalam kejadian pada pukul 9 malam Jumaat lalu selepas pulang dari tempat kerjanya.

Sementara itu, Nor Emylia Niza Zahid, 21, dari Taman Impian di sini turut mengalami kejadian yang sama ketika sedang menunggang motosikal bersama anak dan adiknya.

"Saya percaya penjenayah yang cuba meragut beg saya merupakan lelaki yang sama meragut Sarina. Ini kerana kejadian berlaku di tempat yang sama kira-kira sejam kemudian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menjerit dan adik saya, Nor Zuriati, 19, memeluk erat anak saya, Wan Mazrizan Hakim Wan Mazran, 10 bulan ketika peragut itu menarik beg yang berada dalam bakul motosikal.

"Akibat jeritan saya, peragut itu melepaskan tali beg tersebut kerana bimbang dipukul penduduk yang mendengar jeritan saya," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norhasmida Abdul Kadir, 20, dari kawasan perumahan yang sama turut menjadi mangsa apabila rantai emas yang dipakainya turut diragut ketika menunggang motosikal.

"Selain merentap rantai, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Legenda turut mengambil beg duit yang diletakkan di dalam bakul kira-kira pukul 12 tengah hari di tempat dan hari sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

Warga Indonesia di rumah kongsi miliki Mercedes-Benz

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Walaupun memasuki negara ini secara haram dan tinggal di rumah kongsi, seorang lelaki warga Indonesia mampu hidup mewah termasuk memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz.

Kenderaan model E200 yang bernilai lebih RM100,000 itu digunakan oleh suspek hasil kegiatan jenayah curi motosikal yang dilakukan bersama rakan senegaranya sejak beberapa tahun lalu.

Namun, rahsia kemewahan lelaki terbabit terbongkar apabila dia ditangkap polis dalam serbuan di Ladang Taman Tasik Puteri, Batu Arang dekat sini semalam.

Hasil tangkapan tersebut, polis mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis berjaya memberkas suspek dalam 'Ops Lejang' yang diadakan di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit pada petang semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis telah merampas sebuah kereta Mercedes-Benz E200 dan enam motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala nombor casis pula sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan rumah kongsi terbabit kemudian menemui enam buah motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

Katanya, empat daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang di Petaling Jaya, manakala masing-masing sebuah dicuri di Klang dan Brickfields.

Selain kenderaan terbabit, Abdul Rahim berkata, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek semasa menjalankan kegiatan jenayah.

"Suspek merupakan pekerja di ladang kelapa sawit terbabit namun pada masa yang sama dia turut terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

"Kita kini sedang memburu saki baki rakan senegaranya yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut. Polis percaya motosikal itu dicuri sebelum dijual satu demi satu kepada pembeli yang dikenalpasti," jelas beliau.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, kata Abdul Rahim

Polis lumpuh kumpulan curi motosikal di Terengganu

2010/10/04
MARANG: Polis menahan 12 lelaki dari kawasan Hulu Terengganu yang dipercayai anggota satu kumpulan pencuri motosikal dalam operasi sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata berikutan penahanan mereka yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun itu, polis menemui enam motosikal, dua rangka motosikal dan satu enjin motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Kuala Terengganu dan Marang. "Kita masih memburu saki baki kumpulan ini yang kita percayai terbabit dengan lebih 60 kes curi motosikal di dua daerah tersebut sepanjang tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini. Mohd Shukri berkata, kumpulan itu sangat cekap menjalankan aktiviti itu dan
dikatakan berupaya mampu menghidupkan enjin motosikal dalam masa 40 saat dengan menggunakan alat khas sebelum melarikannya. -