Monday, August 16, 2010

Terselamat jadi mangsa ragut

RAMLAH Baba menceritakan kejadian cemas menjadi mangsa ragut di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 16 Ogos - Seperti kebiasaan pada waktu pagi, pasangan suami isteri warga emas, Ramlah Baba dan Khamis Awang akan berehat di anjung rumah mereka di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang di sini.

Setelah berehat, Ramlah, 67, meneruskan rutin hariannya di rumah seperti menjemur pakaian dan membersihkan halaman rumah.

Bagaimanapun, ketenangan kedua-duanya hari ini dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki yang cuba meragut gelang tangan dipakai oleh Ramlah.

Tanpa mengetahui gelang tangan dipakai wanita itu bukan tulen tetapi hanya bersadurkan emas, suspek bertindak terus menyerangnya.

Akibatnya, wanita malang itu menerima tiga jahitan di tangan kirinya setelah penyerangnya merentap dengan kuat gelang tangan tersebut.

Ramlah berkata, dia tidak mengsyaki apa-apa ketika terlihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal berulang-alik di hadapan rumahnya pada pukul 9.30 pagi.

"Sewaktu sedang mencuci ikan, saya terkejut apabila tiba-tiba muncul seorang lelaki dari belakang dan bertindak merentap gelang tangannya.

"Rupa-rupanya, pembonceng motosikal tadi bersembunyi di belakang mak cik manakala rakannya menunggu di tepi rumah.

"Dia cuba tarik gelang tangan hingga mak cik terjatuh dan oleh kerana terlalu takut dan terkejut, mak cik menjerit dan mujurlah, pak cik menyedari kejadian itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Khamis yang berada di anjung rumah kemudian menjerit dan berjaya menakutkan penyerang Ramlah yang kemudiannya melarikan diri tanpa memperoleh gelang tangan tersebut.

Kedua-dua penjenayah terbabit melarikan diri bersama penunggang motosikal terbabit tanpa memperolehi gelang tangan tersebut.

Ramlah yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi itu kemudian dibawa oleh salah seorang anaknya mendapat rawatan di Klinik Mawar Ayer Molek di sini.

Selepas itu dia membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kandang pada pukul 11.30 pagi.

Isteri, sepupu diserang kerana cemburu

2010/08/16
KUANTAN: Seorang suri rumah warga Indonesia dan sepupunya cedera selepas diserang oleh suami wanita berkenaan yang cemburu dalam satu kejadian di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.

Mangsa wanita yang berusia 25 tahun itu cedera di lengan dan badan manakala sepupu lelakinya, 25, menerima tujuh jahitan di bahagian kepala selain cedera di bahu dan mulut selepas diserang dengan sebilah pisau.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, dalam kejadian jam 1 tengah hari Jumaat lalu itu, wanita terbabit dikatakan baru saja pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya berdekatan. "Mangsa dikatakan telah keluar untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya berdekatan sebelum terjumpa sepupunya yang kemudian menemaninya pulang ke rumah.

"Ketika itu juga suami mangsa yang baru balik dari kerja dipercayai naik angin secara tiba-tiba kerana cemburu selepas melihat isterinya berada bersama lelaki itu di ruang tamu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan marah, suspek terus ke dapur mengambil sebilah pisau sebelum menyerang kedua-dua mangsa.

"Wanita dan sepupunya itu kini dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Abdul Razak berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh ladang di kawasan berkenaan telah melarikan diri.

"Siasatan awal dikatakan kerana cemburu. Pihak masih memburu suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Bernama

Polis tahan 9 individu termasuk suami isteri, dipercayai sindiket proses dan edar heroin

2010/08/16
BATU PAHAT: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin di Johor selepas menahan sembilan individu termasuk sepasang suami isteri dalam tiga serbuan di sini dan Muar, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib, berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Sri Penggaram yang dipercayai turut menjadi makmal memproses dadah.
"Dalam serbuan itu polis merampas 15.18 kilogram (kg) heroin nombor tiga, 1.15 kg heroin nombor empat, 25 kg kafein, 940 pil eramin 5 serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses heroin," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini, hari ini. Susulan itu, katanya, polis membuat dua lagi serbuan dan menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia di sini dan Muar.

Beliau berkata, polis turut menemui 100 gram ketamin, 152 gram syabu dan 11.4 gram heroin ketika menahan tujuh lelaki berkenaan.

Hasil siasatan, mereka membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Indah, Muar yang didapati dijadikan stor simpanan dadah dan menemui 4.41 kg heroin nombor tiga, 109.58 kg kafein, 13 botol cecair kimia dan 12 botol serbuk eno.

"Semua heroin yang dirampas itu mencecah harga pasaran sehingga RM500,000. Polis turut menyita lima kereta termasuk Toyota Estima, Honda, Saab, Proton Iswara dan Wira serta dua motosikal.
"Turut disita adalah wang tunai dengan matawang Malaysia, Indonesia dan Singapura, tiga jam tangan berjenama, dua komputer notebook serta sejumlah barangan kemas," katanya.

Kesemua yang ditahan itu berumur antara 22 dan 38 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Thursday, August 12, 2010

Remaja lari dikesan di Afrika

Oleh Hardi Effendi Yaacob

2010/08/13
KUALA LUMPUR: Selepas 72 jam dilaporkan hilang, seorang gadis remaja berusia 19 tahun dikesan berada di Cape Town, Afrika Selatan kerana mengikut seorang lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di ibu negara.

Mangsa, Nur Dhiya Ain Rosman dari Jalan Tun Sambanthan 4, Brickfields yang sedang mencari pekerjaan dikatakan mula mengenali lelaki itu sejak pertengahan bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya. Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata anak perempuannya itu tidak pernah menimbulkan masalah, malah sering menghabiskan masa di rumah membantu menjaga adiknya. Kelakuannya sedikit berubah selepas mengenali lelaki itu. Dia tidak lagi mendengar kata dan lebih suka menghabiskan masa di luar. Dhiya pernah menyatakan hasratnya mahu melancong ke luar negara tetapi saya melarang kerana bimbang sesuatu buruk berlaku ke atasnya, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu menemui Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh, di pejabatnya di sini bagi meminta bantuan mengesan dan menyelamatkan anak perempuannya itu.

Kali terakhir beliau mendengar suara anak gadisnya itu melalui panggilan telefon pada awal pagi hari kehilangannya.

Dhiya menghubungi saya kira-kira jam 12.10 pagi, ketika saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Melaka. Dalam panggilan telefonnya itu, Dhiya memberitahu sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bersama kenalannya, seorang lelaki warga Afrika, katanya.

Lagi gadis tempatan diperalat sindiket dadah antarabangsa

2010/08/12
KUALA LUMPUR: Seorang gadis Malaysia dilaporkan hilang sejak 9 Ogos lalu dan dipercayai diperalatkan sebagai penyeludup dadah antarabangsa di Capetown, Afrika Selatan.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh mendedahkan perkara itu dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tuesday, August 10, 2010

Pemilik pasar raya rugi RM165,000 disamun empat lelaki

KUANTAN 10 Ogos 2010 - Seorang pemilik sebuah pasar raya bersama seorang pekerjanya cedera di kepala selepas dibelasah empat lelaki dalam kejadian samun di hadapan premis perniagaannya di Kampung Padang 2 dekat sini semalam.

Mereka dipukul dengan cota kayu apabila cuba mempertahankan wang tunai hasil kutipan perniagaannya kira-kira RM273,000 dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu.

Mangsa dan pekerjanya yang berusia lingkungan 40-an bagaimanapun gagal mempertahankan sebahagian wang miliknya apabila sempat disamun kumpulan penyamun terbabit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, semasa pergelutan itu, suspek hanya sempat melarikan RM165,000 manakala selebihnya berjaya diselamatkan.

"Ketika berada di hadapan pasar raya itu, kedua-dua mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah kereta.

"Mangsa kemudian bergelut dengan suspek untuk mempertahankan wangnya sebelum suspek bertindak ganas membelasah mereka dengan kayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Jasmani, mangsa dan pekerjanya itu membawa wang tunai hasil kutipan perniagaannya selama tiga hari untuk disimpan di sebuah bank di sini.

"Walaupun mangsa cuba bergelut untuk mempertahankan wang itu namun mereka tidak berdaya menghalang serangan suspek seramai empat orang," katanya.

Tambah beliau, keempat-empat penyamun terbabit melarikan diri manakala mangsa yang cedera ringan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Pemuda ke tali gantung

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my



T. Manimaran dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh majikannya.

--------------------------------------------------------------------------------



RASAH 10 Ogos – Seorang pemuda termangu-mangu seketika apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini, hari ini setelah disabitkan dengan tuduhan membunuh majikannya yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya, tiga tahun lalu.

T. Manimaran, 22, didapati bersalah membunuh V. Raju, 58, di rumah pekerja di Kilometer 16, Ladang Cheng Kiau, Jalan Kepis Dangi, Kuala Pilah antara pukul 10 dan 12 tengah malam, 22 Disember 2007.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dia sebelum ini dibicarakan atas tuduhan itu bersama rakannya, A. Supramaniam, 35, yang juga merupakan menantu kepada mangsa.

Supramaniam bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan berkenaan pada Julai lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Manimaran.

‘‘Tertuduh telah mengaku kepada saksi (isteri Supramaniam) bahawa dia telah memukul mangsa dengan kayu. Dia juga mengaku bahawa ketika kejadian dia sedang mabuk bagaimanapun ia tidak dibuktikan oleh pihak pembelaan,’’ katanya.

Ahmad Nasfy juga menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima keterangan yang kedua-dua tertuduh bersama-sama melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.

Berdasarkan fakta kes, Raju dikatakan sedang tidur ketika diserang oleh Manimaran yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada.

Terdahulu, Wan Shaharuddin yang berhujah di akhir kes pembelaan menyatakan, walaupun tidak ada saksi yang melihat kejadian berkenaan namun tertuduh telah mengaku melakukan pembunuhan itu kepada isteri Supramaniam.

‘‘Tertuduh juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa dan seluar jeansnya juga mengandungi kesan darah,’’ katanya.

Peguam bela, S. Puspanathan yang mewakili Manimaran ketika ditemui oleh pemberita memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.