Sunday, May 2, 2010

Jaga sekolah cabul murid dipenjara empat tahun

KUALA LUMPUR 30 April 2010 - Baru sehari bertugas menggantikan rakannya, seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah sudah berkelakuan keji dengan mencabul seorang murid perempuan tahun satu di sekolah tersebut.

Tindakan tidak bermoral lelaki berusia 64 tahun itu menyebabkannya dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Majistret Rini Triany Muhammad Ali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas R. Perumal selepas lelaki itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Beliau yang menyifatkan perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan turut berharap hukuman itu boleh menginsafkan tertuduh serta memberi pengajaran kepada masyarakat umum.

Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun terlepas hukuman sebat yang diperuntukkan bagi kesalahan itu memandangkan usianya yang sudah lanjut.

Perumal mengaku menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di tandas perempuan sebuah sekolah rendah kebangsaan di Batu Arang di sini antara pukul 5 dan 5.15 petang, 21 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah dan dibantu pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Koh Teck Chew.

Terdahulu, Rohaiza memohon agar hukuman berat dikenakan atas alasan kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh yang sepatutnya dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan murid-murid di situ.

Teck Chew pula memohon mahkamah mengambil kira stigma dan trauma yang ditanggung oleh mangsa berdasarkan cara kesalahan itu dilakukan.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan dia berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan sebelah kakinya sering sakit.

Menurut fakta kes, mangsa telah ke tandas untuk membuang air kecil dan secara kebetulan telah bertemu dengan tertuduh.

Kejadian cabul itu diceritakan mangsa kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis pada malam hari kejadian. Tertuduh berjaya ditangkap tiga hari kemudiannya

Melaka&Negeri Sembilan: Serbu premis judi

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/05/03
Tauke tak letak papan tanda perniagaan, pilih pelanggan

JELEBU: Menggunakan taktik tidak meletakkan papan tanda perniagaan dan hanya membenarkan pelanggan tertentu saja masuk ke pusat perjudian dalam talian di Simpang Pertang di sini, ternyata tidak berkesan apabila premis berkenaan diserbu polis selepas hanya tiga minggu beroperasi. Dalam operasi kira-kira jam 9 malam Khamis lalu, pasukan polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang mendapat maklumat mengenai kegiatan berkenaan membuat serbuan dan merampas 45 komputer. Pegawai Turus D7 IPK Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Habibi Majinji, berkata operasi itu dijalankan selepas polis mendapat maklumat awam dan melakukan pemantauan sejak dua minggu lalu.

"Kita mendapati premis itu tidak mempunyai sebarang tanda perniagaan atau logo seperti yang biasa terdapat di premis perniagaan lain dan kita percaya ia bertujuan menyembunyikan aktiviti haram yang berlaku di dalamnya.

"Selain itu, siasatan mendapati hanya pelanggan tertentu saja dibenarkan masuk ke premis yang dilengkapi sistem keselamatan canggih berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya pusat perjudian berkenaan mula aktif sejak dua minggu lalu dan masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Empat lelaki berusia dalam lingkungan lewat 20-an dipercayai penjaga premis berkenaan serta beberapa pelanggan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Habibi berkata, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM2,000 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian.

Katanya, polis akan melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi menghapuskan kegiatan itu di negeri ini dan meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan

19 ditahan polis ketika sabung ayam

2010/05/03
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seramai 19 orang lelaki berusia antara 18 hingga 55 tahun ketika berjudi sabung ayam di kawasan hutan Bukit Sah, Nerang, Kemaman, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata polis merampas 14 ekor ayam sabung dan wang tunai RM102 di tempat kejadian. Beliau berkata pihaknya melancarkan Operasi Dadu yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Hisyam Abdullah, bersama 12 anggota dari cawangan jenayah IPD Kemaman setelah mendapat maklumat orang awam. Katanya, kaki judi daripada kalangan penduduk tempatan serta dari Kuantan, Sarawak dan Indonesia dikesan memasuki kawasan itu mulai jam 11 pagi dengan membawa ayam laga dan kegiatan bermula jam 12.30 tengah hari.

"Sebaik kegiatan judi itu dimulakan, polis menyerbu tempat berkenaan menyebabkan kaki judi dan penonton kegiatan tidak bermoral itu bertempiaran lari sambil memegang ayam masing-masing,”katanya.

"Kawasan ini dikenal pasti menjalankan operasi judi laga ayam sejak sebulan lalu," katanya sambil menambah kaki judi membuat pertaruhan untuk laga ayam antara RM500 hingga RM1,000.

Katanya, mereka yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 7 Akta Rumah Judi Terbuka 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali

Jurugambar jumpa mayat terapung

2010/05/03
SHAH ALAM: Seorang jurugambar amatur yang sedang bersiar-siar di tepi Tasik Setia Wawasan, Setia Alam, dekat sini, bersama-sama isteri dan anaknya tengah hari semalam, terkejut apabila mengetahui satu objek yang dilihat terapung di permukaan tasik itu, sebenarnya mayat seorang lelaki.

Mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu terapung dengan kedua-dua tangannya diikat dengan tuala dan pita pelekat di belakang badannya manakala mulut dan matanya juga turut diikat dengan tuala serta pita pelekat. Difahamkan, tubuh mangsa juga diikat ke batu besar menggunakan tali nylon hijau.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata jurugambar amatur itu membuat laporan kira-kira jam 12.50 tengah hari dan kemudian sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa mungkin dibunuh dan dicampakkan ke dalam tasik itu sejak dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah busuk.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua tangan mangsa diikat ke belakang manakala kakinya diikat bersama sebuah batu besar dipercayai bagi memastikan tubuh mangsa tidak terapung.

“Kita bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Noor Azam berkata, keadaan mayat mangsa yang sudah reput dan hitam menyukarkan polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian iaitu baju T warna kuning dan seluar jean biru tetapi tidak memakai kasut manakala tanda pelalian tidak ditemui di bahunya.

Pemeriksaan terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal dan mayat berkenaan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Empat pelacur warga asing dicekup polis

2010/05/03
BATU PAHAT: Polis menahan empat wanita warga Indonesia, Rabu lalu, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sebuah rumah di pinggir bandar ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata mereka ditangkap dalam serbuan sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat yang diketuai Cif Inspektor Mohd Ismail Syed Merah. Katanya, semua wanita warga Indonesia yang berusia antara 22 hingga 37 tahun itu dicekup dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Megah, kira-kira jam 12.15 pagi. Beliau berkata, ketika serbuan, polis percaya mereka sedang melayan beberapa pelanggan, termasuk dua warga Bangladesh yang mahu mendapatkan khidmat seks ditawarkan.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut, polis turut menemui satu kotak mengandungi 48 kondom, termasuk yang sudah digunakan daripada salah seorang wanita berkenaan.

“Selain menahan penganjur kegiatan pelacuran itu, selain menahan dua lelaki penduduk tempatan serta dua warga Bangladesh, berusia antara 30 hingga 35 tahun yang disyaki melanggani pelacur terbabit untuk siasatan.

“Lelaki berusia 40-an yang dipercayai menjadi penganjur rumah pelacuran berkenaan turut ditahan dan bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan.
“Bagi wanita yang ditahan, semua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ibrahim mengingatkan semua pemilik rumah supaya tidak menjadikan atau membiarkan kediaman mereka diguna untuk kegiatan pelacuran dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan.

Polis juga mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam menangani kegiatan tidak bermoral itu.

Lelaki mahu lupus mayat ditahan

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/05/03


POLIS memeriksa kereta suspek selepas menemui mayat seorang perempuan warga Indonesia dalam kereta di Nilai Spring, malam kelmarin.Wanita Indonesia ditemui mati dengan kesan jerutan di kerusi hadapan

BANDAR BARU NILAI: Cubaan seorang lelaki memperdayakan polis dengan mengatakan teman wanitanya pengsan ketika ditahan di Nilai Spring di sini, malam kelmarin, gagal apabila pemeriksaan mendapati wanita itu sudah mati dipercayai akibat dibunuh. Terdahulu, suspek berusia dalam 30-an dikesan memandu sebuah Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan dan dikejar sebuah kereta peronda polis menyebabkannya cuba melarikan diri sebelum terbabas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh, berkata suspek kelihatan cemas apabila polis yang membuat pemeriksaan menemui seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi hadapan.

“Dia kemudian memberitahu teman wanitanya pengsan namun pemeriksaan lanjut mendapati wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an itu sudah mati dengan kesan jerutan pada lehernya.

“Selepas soal siasat, dia mengaku bergaduh dengan wanita itu di Bangi, Selangor dan membunuh mangsa sebelum memandu ke Nilai untuk membuang mayat wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor kerana kejadian dipercayai berlaku di kawasan terbabit

Pengawal Istana Kelantan masih koma, tidak stabil

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2010/05/03

TENGKU Muhammad Faris Petra keluar dari wad ICU HRPZII, Kota Bharu selepas meluangkan masa hampir setengah jam melawat Ramli yang cedera ditembak, semalam.Pembedahan keluar peluru dalam badan belum boleh dilakukan

KOTA BHARU: Peluru dalam badan pengawal Istana Kelantan yang parah akibat terkena tembakan dalam serangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah awal pagi kelmarin, masih belum dapat dikeluarkan. Pagi semalam, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, turut berkenan menziarahi Ramli Mohd, 50, yang kini dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) serta bertemu keluarga mangsa. Isteri mangsa, Maznah Mustafa, 50, berkata suaminya masih koma sejak dimasukkan ke ICU.

“Beliau masih dalam keadaan koma, tetapi tahap kesihatannya belum lagi stabil untuk membolehkannya menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru berkenaan.

“Setakat ini, peluru yang berada dalam badannya masih belum dapat dikeluarkan, perlu menunggu masa yang sesuai dan bergantung kepada keadaannya terlebih dulu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Wad ICU-HRPZII di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Ramli parah ditembak individu tidak dikenali dalam satu kejadian dekat Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, pada jam 12.25 pagi, selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian, jam 12 malam.

Mangsa adalah pesara tentera yang berkhidmat secara kontrak sebagai pengawal keselamatan di Istana Mahkota dan Istana Negeri sejak 17 tahun lalu, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dengan antara tugasnya ialah mengawal keselamatan keluarga diraja dan membantu tugas pengawal peribadi.

Maznah turut melahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tengku Muhammad Faris meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi suaminya.

“Ketika kunjungannya, doktor memberitahu baginda mengenai keadaan suami saya yang kini beransur stabil walaupun masih dalam koma,” katanya yang berharap polis dapat mengesan penyerang suaminya itu.

“Saya berharap polis dapat menjejaki mereka yang menyerangnya kerana selama ini suami saya tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa,” katanya.