Thursday, April 28, 2011

Pemandu lori ke tali gantung

Pemandu lori ke tali gantung
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
ALOR SETAR 28 April – Setelah hampir dua tahun seorang gadis maut akibat ditikam dan dihentak objek keras oleh teman lelakinya, pemuda itu hari ini menerima pembalasan apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Mohamad Adnan Abdul Rahim, (gambar) 29, dijatuhi hukuman tersebut oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Norbahiran Ishak, 22.
Mohd. Zaki memutuskan demikian setelah mendapati keterangan bela diri tertuduh yang diwakili peguam bela, K. Padmanathan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohamad Adnan yang bekerja sebagai pemandu lori dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh Norbahiran di 157 Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim antara pukul 10.30 pagi dan 10.45 pagi, 17 Mei 2009.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd. Yatim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Mohd. Zaki mengetepikan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak berniat untuk membunuh mangsa, berikutan terlalu banyak kecederaan dialami oleh mangsa.
‘‘Selain itu, keterangan tertuduh bahawa dia tidak sengaja melakukan kecederaan ke atas mangsa kerana mempertahankan diri setelah mangsa membangkitkan kemarahannya sebagai tidak berasas.
‘‘Walaupun tertuduh memberitahu bahawa dia tidak berniat membunuh mangsa namun keterangan saksi jelas menunjukkan bahawa dia mempunyai niat untuk mencederakan gadis itu sehingga menyebabkan kematiannya,’’ kata beliau.
Tertuduh yang berkemeja hitam dan berseluar biru kelihatan tenang namun sekali-sekala dilihat menggeleng-geleng kepala ketika mendengar hukuman dijatuhkan.
Pada 18 Mei 2009, akhbar melaporkan seorang gadis maut selepas dipercayai dijerut dan ditikam oleh kenalan lelakinya dalam satu perselisihan faham di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim.
Mangsa juga dikatakan dihentak dengan objek keras oleh lelaki tersebut selepas berlaku pergelutan. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik rumah terbabit.

Murid perempuan ketua curi motosikal

Murid perempuan ketua curi motosikal
Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my
2011/04/29

FAH HIN (kanan) menunjukkan motosikal yang dicuri pada sidang media di Balik Pulau, semalam.
Guna pisau kecil hidupkan jentera untuk bersiar

BALIK PULAU: Meskipun masih di bangku sekolah, dua murid berusia 11 dan 12 mula berjinak-jinak dengan jenayah serta disyaki terbabit dalam tiga kes curi motosikal di sekitar kawasan perumahan mereka di Teluk Kumbar, di sini.
Malah, murid perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 11 tahun itu juga mempunyai kemahiran melarikan motosikal tanpa kunci dengan hanya menggunakan pisau kecil.
Difahamkan, selepas mencuri motosikal, murid perempuan itu yang dikatakan menjadi ‘ketua’ akan menunggangnya, manakala murid lelaki akan membonceng untuk bersiar-siar di sekitar taman perumahan mereka.

Apabila motosikal berkenaan kehabisan minyak, kenderaan berkenaan akan ditinggalkan dan mereka akan menyasarkan motosikal lain.

Bagaimanapun, perbuatan mereka yang dikatakan bermula kira-kira dua minggu lalu tidak bertahan lama apabila ditahan polis ketika menaiki sebuah motosikal curi di Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini, Selasa lalu.

Ketika ditahan, murid perempuan itu menunggang motosikal, manakala murid lelaki menjadi pembonceng.
Susulan penahanan kedua-dua murid itu, polis menemui dua motosikal model Honda Wave yang ditinggalkan oleh pasangan terbabit selepas kehabisan minyak di kawasan berhampiran taman mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata pihaknya menerima tiga laporan kehilangan motosikal sekitar kawasan Flet Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, awal bulan lalu.

“Berikutan laporan itu, polis melakukan intipan di kawasan disyaki dan mengesan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang, dinaiki sepasang juvana yang lengkap bertopi keledar sambil bersiar-siar.

“Anggota kami menghampiri motosikal berkenaan dan mendapati penunggangnya hanya berusia 12 tahun dan pembonceng berumur 11 tahun serta masih belajar di sebuah sekolah rendah di daerah ini,” katanya.

Ganja: Dua pegawai kastam ditahan

Ganja: Dua pegawai kastam ditahan
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my
KANGAR 28 April - Polis menahan dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini dan merampas tujuh kilogram ganja mampat di tempat letak lori di kilang simen Bukit Keteri, Padang Besar di sini malam tadi.
Kedua-dua pegawai berusia 42 dan 44 tahun itu ditahan pukul 9.30 malam, dipercayai sedang menunggu pembeli di kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Tajudin Md. Isa, selepas diserbu, polis menemui dadah tersebut di dalam sebuah kereta Honda Accord milik salah seorang suspek.
"Polis melakukan intipan selama setengah jam sebelum menyerbu kawasan itu dan suspek dipercayai berada di situ untuk menjalankan urus niaga dengan pembeli," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, pembeli dadah tersebut tidak datang berurus niaga pada ketika itu.
"Kita yakin ganja tersebut diperoleh dari negara jiran dan setiap ketulan seberat sekilogram mempunyai harga pasaran RM2,500 dan percaya kedua-dua suspek aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak sebulan lalu," katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Wednesday, April 27, 2011

Kertas siasatan kematian Sarbani dipulang semula

Kertas siasatan kematian Sarbani dipulang semula


2011/04/28
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) , Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang diserahkan Jumaat lalu kepada pejabat Peguam Negara dipulangkan semula kepada polis untuk siasatan lanjut, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, pihak pejabat Peguam Negara mengarahkan polis mengambil semula keterangan seorang saksi berhubung kes berkenaan secara terperinci.
“Proses memulangkan kertas siasatan ini prosedur biasa. Polis hanya dimaklumkan supaya mengambil semula keterangan seorang saksi saja secara terperinci sebelum kertas siasatan itu diserahkan semua kepada jabatan itu.
“Bagaimanapun, tidak perlu saya mendedahkan siapa saksi berkenaan dan dari jabatan mana individu itu. Biar polis jalankan siasatan dan dijangka keterangan daripada saksi berkenaan akan diambil hari ini (semalam),” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sekolah Angkat Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur.

Akhbar sebelum ini melaporkan mangsa, Ahmad Sarbani, bertugas cawangan Import Eksport dan Kawalan Sempadan KDRM Selangor datang ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan bersendirian menunggang motosikal, pagi 6 April lalu, sebelum ditemui mati di tingkat satu bangunan agensi berkenaan.

Allahyarham antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu dalam Operasi 3B untuk membantu siasatan kes rasuah tetapi dilepaskan dengan jaminan keesokan hari.

Dalam operasi itu, 62 pegawai kastam ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.
Bagaimanapun, dalam sidang media yang dilakukan baru-baru ini, polis mengesahkan misteri kematian Sarbani terjawab selepas polis mengesahkan kes itu tiada unsur jenayah.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut berdasarkan siasatan dan hasil ujian makmal yang dilakukan polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Jabatan Kimia.

Zulkifli berkata, sebaik kertas siasatan itu dilengkapkan, polis akan menghantar semula kepada pejabat Peguam Negara secepat mungkin sebelum proses pendakwaan dilakukan

Kembar seiras didakwa edar heroin

Kembar seiras didakwa edar heroin


Pasangan kembar Muhammad Asmadi (kanan) dan Muhammad Asmawi Majid dibawa keluar daripada mahkamah majistret Alor Setar selepas pertuduhan mengedar dadah semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR SETAR 27 April - Hidup pasangan kembar seiras yang didakwa mengedar 18.56 gram heroin kini dibayangi hukuman mati setelah mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh Muhammad Asmadi dan Muhammad Asmawi Majid, 23, bagaimanapun kelihatan tenang dan mampu tersenyum ketika didakwa atas tuduhan mengedar lima paket plastik lutsinar berisi heroin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah No. 81, Kampung Kuala Lanjut, Lesong di sini pada pukul 2.50 pagi, 21 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan, manakala Majistret Norazah Idris tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada adik beradik terbabit dan menetapkan 27 Jun depan bagi sebutan semula kes

Guru cederakan guru besar didenda

Guru cederakan guru besar didenda



--------------------------------------------------------------------------------



ALOR SETAR 27 April - "Guru adalah tugas yang mulia. Kamu seharusnya menunjukkan teladan kepada anak murid dan orang awam. Sepatutnya kamu mengawal kemarahan kamu itu".

Demikian teguran seorang majistret sebelum menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 ke atas seorang guru yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan guru besar, lima tahun lalu.

Majistret Norazah Idris turut memerintah Norazman Abdul Wahab (gambar), 43, dari Jalan Datuk Kumbar di sini dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Beliau memutuskan demikian setelah mendapati pihak pembelaan yang diwakili oleh peguam G. Ravinsankar gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

Norazman disabitkan bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Halim Saad, 52, dengan menumbuk muka dan menyepak pahanya di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis Jalan Langgar di sini kira-kira pukul 8.30 pagi, 20 Disember 2006.

Dakwaan terhadap guru itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam keputusannya, Norazah mengetepikan hujahan pihak pembelaan bahawa mangsa cedera akibat terjatuh secara tidak sengaja manakala isu-isu yang ditimbulkan di saat-saat akhir pula disifatkan sebagai difikirkan kemudian.

"Ini termasuk isu bahawa mangsa cedera kerana jatuh akibat gelabah kerana menyangka akan dipukul oleh tertuduh. Persoalannya, kenapa isu ini tidak ditimbulkan di awal pendakwaan yang membolehkan mangsa disoal?," katanya.

Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon dia dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah digantung tugas sejak tiga tahun lalu dan menanggung empat anak yang masih belajar termasuk dua orang yang akan meneruskan pengajian di universiti.

Ana Rozana pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal demi kepentingan awam dengan mengambil kira tertuduh merupakan seorang guru.

Tiga lelaki ditembak mati selepas rompak rumah peneroka FELDA

Tiga lelaki ditembak mati selepas rompak rumah peneroka FELDA


2011/04/28
MARAN: Tiga lelaki dipeecayai pendatang asing warga Indonesia ditembak mati selepas merompak sebuah rumah peneroka di FELDA Jengka 18, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tiga suspek terbabit yang melarikan diri menaiki sebuah Perodua Viva dikejar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Pahang. Beliau berkata, suspek yang bersenjatakan parang kemudian cuba menyerang polis sebelum ditembak mati di ladang kelapa sawit berhampiran FELDA Jengka 18.