Wednesday, April 7, 2010

Lelaki mahu jumpa anak maut dibelasah menantu

Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Polis tahan dua suspek kes tumbuk mangsa sehingga pengsan

SHAH ALAM: Hajat seorang bapa untuk menemui anak perempuannya tidak kesampaian apabila maut dibelasah oleh menantunya di Subang Jaya dekat sini, Isnin lalu.
Pekerja kilang, Mohd Nasir Abdullah, 54, yang datang dari Pulau Pinang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuannya dikatakan ditumbuk di bahagian badan oleh menantunya itu sehingga pengsan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke sebuah klinik berhampiran tempat kejadian. Pemangku Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang sudah hampir setahun tidak berjumpa anak perempuannya yang berusia awal 20-an itu pergi ke gerai rojak milik menantunya di Subang Jaya di sini.

“Sebaik sampai di gerai rojak milik suspek berusia 29 tahun itu, mangsa tidak dibenarkan berjumpa dengan anak perempuannya.

“Pergelutan tercetus sebaik mangsa menarik tangan anak perempuannya itu sebelum mangsa kemudian dipukul sehingga pengsan,” katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian bapa suspek berusia 52 tahun yang berada di tempat kejadian, turut campur tangan.
“Mangsa yang pengsan kemudian dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Omar berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu menahan suspek dan ayahnya untuk membantu siasatan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bedah siasat juga dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan sakit jantung,” katanya.

Lelaki didenda RM 2 ribu, ugut,cedera teman wanita

07/04/2010 2:46pm


KUALA LUMPUR 7 April 2919 - Gara-gara mengugut dan mencederakan teman wanitanya seorang lelaki dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd. Azali Ibrahim mengenakan denda itu terhadap Cheah Ui Tiong, 34, selepas dia mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Cheah, kemudiannya membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, Cheah didakwa mengugut Yeap Pik Woon, 28, dengan berkata akan menyebarkan video lucahnya di internet dan membuat DVD untuk dijual di pasar malam serta memanggil orang memecahkan cermin kereta teman wanitanya itu di A1-134 Plaza Medan Putra Bandar Manjalara Kepong, Sentul, pada pukul 5.30 petang, 30 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Cheah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Yeap pada waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran.

Terdahulu, dalam rayuannya Cheah memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana dia telah berkahwin dan perlu menyara dua anaknya yang masih bersekolah, menyara ibu bapanya yang tidak bekerja dan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis di samping ini merupakan kesalahan pertamanya. - Bernama

Bekas pengawal ke tali tali gantung bunuh tiga anak

2010/04/07
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pindaan membunuh tiga anaknya di Taman Muhibbah, Saleng, Kulaijaya di sini, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, P Vellertore, 52, didakwa membunuh tiga anaknya Rudraa Kumar, 6; Keseprata, 5 dan Harini, 3, dengan mencekik leher mereka sebelum menggantung diri bersama seorang lagi anak perempuannya, Revathi, 14, pada 20 November 2004.

Pelajar perempuan cedera dibuli `geng kapak'

07/04/2010 2:58pm

PEKAN 7 April 2010 - Seorang pelajar perempuan cedera di muka dan punggung selepas dibuli sekumpulan pelajar lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai `geng kapak' di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 tengah hari itu menimpa Norizan Janal Abidi, 15, pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Mat di sini selepas dia dikatakan enggan menyerahkan wang yang diminta oleh `geng kapak' itu yang juga merupakan rakan sekelasnya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut. - Utusan

Tuesday, April 6, 2010

Benjy bongkar aktiviti proses dadah

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my



Muhammad Sabtu Osman menunjukkan sebahagian kelengkapan memproses dadah yang dirampas hasil maklumat yang diperoleh daripada Benjy semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 6 April - Tindakan polis menahan semula Khairell Benjamin Ibrahim atau Benjy pada 25 Mac lalu berjaya membongkar kegiatan memproses dadah yang dipercayai dilakukan oleh pelakon itu sejak enam bulan lalu.

Malah, Benjy, 32, sendiri pada 31 Mac lalu membawa beberapa anggota polis ke sebuah kondominium di Jalan Segambut. Di sana, pelakon itu menunjukkan peralatan untuk memproses dadah jenis syabu yang disembunyikan di sebuah stor di tingkat 10 kondominium tersebut.

Difahamkan, Benjy tinggal di tingkat enam kondominium yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya turut merampas satu unit pen-drive mengandungi 11 topik yang menerangkan mengenai cara-cara menghasilkan dadah jenis syabu. Kandungan itu turut dilengkapi dengan penjelasan berbentuk video.

Beliau memberitahu, pihak forensik kini dalam proses mendapatkan kesan-kesan cap jari yang terlekat pada peralatan itu bagi mengenal pasti penglibatan individu lain.

"Kita juga sedang menganalisis bahan-bahan kimia serta sisa-sisa pada beberapa peralatan itu bagi mendapat kepastian sama ada ia pernah digunakan suspek untuk memproses syabu atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Benjy, anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty ditahan semula oleh beberapa anggota polis berpakaian preman, kira-kira lapan minit selepas dibebas dengan ikat jamin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 25 Mac lalu.

Sebelum itu, pada 12 Mac lalu, pelakon itu ditahan bersama teman wanitanya di sebuah unit kondominium disewanya di Kepong.

Diminta mengulas mengenai tindakan polis menahan semula Benjy selepas pertuduhan pertama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibenarkan ikat jamin, Muhammad Sabtu berkata;

"Hasil risikan mendapati pelakon tersebut perlu ditahan semula bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membolehkan dia ditahan selama 60 hari.

"Kita yakin ada sesuatu perkara yang boleh dibongkarkan dengan penahanannya itu dan tindakan kita terbukti berhasil."

Ditanya mengenai kesahihan kandungan kimia seberat 800 gram yang dikatakan dadah sebelum ini, beliau berkata, Jabatan Kimia mengesahkan bahan tersebut kalsium karbonat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika diajukan soalan sama ada kalsium karbonat mampu menghasilkan dadah atau sebaliknya.

Berdasarkan beberapa sampel yang diambil daripada badan Benjy, beliau berkata, Jabatan Patologi mengesahkan pelakon itu turut positif mengambil dadah.

Berikutan itu, kata beliau, polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menghantar pelakon itu ke pusat pemulihan dadah.

Dengan penahanan Benjy, Muhammad Sabtu yakin polis berjaya menyekat suspek daripada terus melakukan aktiviti memproses dadah jenis syabu dan menjalankan pengedarannya di sekitar Lembah Klang.

Sunday, April 4, 2010

Gadis Brunei mangsa pembawa dadah warga Afrika

KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika kini dikesan memperalatkan gadis dari Brunei sebagai kurier membawa dadah selepas beberapa cubaan mereka memperdayakan wanita Malaysia berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa negara ini.

Sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit mengedar dadah itu menggunakan laman sembang Internet untuk berkenalan dengan mangsa sebelum memujuk mereka datang ke negara ini.

Dalam pertemuan tersebut, mangsa yang biasanya sudah jatuh cinta dengan suspek akan dipujuk membawa 'barang' ke negara dunia ketiga tanpa menyedari ia sebenarnya dadah.

Difahamkan, anggota sindiket yang menyamar sebagai anak hartawan untuk memikat mangsa sanggup mengeluarkan wang untuk membeli pelbagai hadiah menarik kepada gadis itu bagi meyakinkan tentang 'keikhlasan' dalam percintaan.

Akibatnya, mangsa yang termakan pujuk rayu dan kata-kata manis jejaka Afrika terbabit sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyeludup dadah tanpa pengetahuan mangsa.

Dalam beberapa kes, ada mangsa diperdaya kononnya diberikan percutian percuma di luar negara tetapi dalam masa sama diarahkan menghantar 'barang' kepada individu yang akan menunggunya di lapangan terbang.

Sumber polis Bukit Aman berkata, pihaknya menerima beberapa laporan dari Biro Kawalan Narkotik Brunei beberapa kes tangkapan warga Brunei di luar negara selepas diperdaya oleh sindiket rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, maklumat diterima mengatakan kebanyakan mangsa diperdaya dengan kaedah halus iaitu diumpan menggunakan wang ringgit dan hadiah sehingga akhirnya terperangkap dan setuju bertemu suspek di Malaysia.

Katanya, terbaru, antara rakyat Brunei yang dilaporkan menjadi mangsa ialah seorang wanita berusia 41 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Coolangatta, Australia pada Disember lalu bersama heroin seberat 470 gram.

"Suspek yang menelan dadah terbabit dalam perutnya kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan denda sebanyak 50,000 Dollar Australia (RM149,382) jika disabitkan kesalahan.

"Sebulan sebelum itu, seorang lelaki Brunei berusia 29 tahun dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh kerajaan China selepas ditahan di Lapangan Terbang Tianjin kerana cuba menyeludup dadah heroin seberat 995 gram," katanya.

Pada Mei tahun lalu, seorang lagi wanita Brunei berusia 29 tahun ditahan di Australia selepas dikesan cuba menyeludup dua kilogram dadah heroin ke negara berkenaan menggunakan bagasi yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah terbabit.

Pada Januari lalu, seorang gadis Brunei berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas dikesan cuba menyeludup dadah seberat 894.05 gram ke Shanghai, China.

Beberapa bulan sebelum itu, seorang lelaki Brunei berusia 26 tahun ditahan di Santiago, Chile selepas didapati cuba menyeludup dadah heroin seberat 5.73 kilogram yang disembunyikan di dalam bagasi miliknya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, ketika dihubungi memberitahu, sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika tidak lagi berminat dengan gadis tempatan selepas kegiatan mereka berjaya dihalang oleh pihak berkuasa negara ini.

"Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memandang serius dan sentiasa bekerjasama dengan lain-lain negara untuk menangani masalah pengedaran dadah.

"Usaha kita menampakkan hasil apabila jumlah kes pengedaran dadah membabitkan gadis tempatan dan asing yang diperdayakan oleh sindiket dadah Afrika dapat dikurangkan," katanya

Perompak larikan pistol ADUN Sugut

KOTA KINABALU 4 April 2010 – Sekumpulan perompak melarikan pistol dan peluru milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk Surady Kayong, selepas memecah masuk rumah wakil rakyat tersebut di Taman Hills Top, Kepayan, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, penjenayah tersebut turut melarikan wang tunai RM40,000, barang kemas, jam dan pen berjenama serta barang lain.

Ketika kejadian, Surady yang pernah memegang jawatan sebagai pembantu menteri dalam Kabinet Sabah dan ahli keluarganya tiada di rumah kecuali abang iparnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak disedari oleh abang ipar wakil rakyat itu sehingga bangun tidur kira-kira pukul 6 pagi.

“Mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 10 pagi ini. Berdasarkan siasatan awal, suspek memecah masuk rumah itu melalui bahagian dapur dan polis percaya dilakukan lebih daripada seorang.

“Bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kes tersebut masih lagi dalam siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.