Wednesday, May 5, 2010

Dua ditahan selepas 15 minit merompak

SUNGAI SIPUT 4 Mei 2010 - Tindakan pantas seorang lelaki memaklumkan kejadian samun melibatkan diri dan keluarganya, membolehkan polis berjaya memberkas dua daripada tiga penjenayah, kira-kira 15 minit selepas menyamun mereka.

Kejadian berlaku pada pukul 4.35 pagi ini, apabila rumah mangsa di Taman Aman di sini, dipecah masuk oleh tiga lelaki.

Mangsa, isteri dan anaknya diikat sebelum penjenayah-penjenayah itu melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish miliknya.

Namun, sebaik sahaja berjaya melepaskan diri, mangsa yang berusia 26 tahun telah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Sungai Siput.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, tiga buah kereta peronda telah bergegas ke Sungai Siput dan berjaya mengesan kenderaan itu.

Katanya, bagaimanapun ketika cuba menahannya, suspek memecut menghala ke Ipoh sebelum terlanggar tembok di Jalan Khantan lalu terbabas.

"Pemandu kereta itu dapat melarikan diri manakala dua lagi rakannya berusia 33 dan 39 tahun berjaya ditahan.

"Kedua-dua penjenayah itu termasuk seorang daripadanya pernah ditahan kerana merusuh, positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui sebatang pemutar skru, dua buah komputer riba, sebuah beg duit syiling, wang tunai RM200 dan enam telefon bimbit.

Katanya lagi, selain itu, tiga dompet, tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) dan empat kunci kereta yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM30,000.

"Operasi memburu suspek yang berjaya melepaskan diri sedang dijalankan," ujar beliau.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit akan direman selama enam hari sehingga 10 Mei ini dan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan mangsa yang tidak panik dan segera melaporkan kepada polis.

"Tindakan seperti itulah yang kita mahu kerana ia membantu polis menyelesaikan kes jenayah," katanya.

Tuesday, May 4, 2010

Perompak pesan anak buka ikatan sebelum lari

2010/05/05
KUANTAN: Seorang peniaga kerugian kira-kira RM30,000 selepas rumahnya dipecah masuk lima lelaki dipercayai warga Indonesia yang sempat berpesan kepada seorang anak mangsa supaya melepaskan ikatan lima ahli keluarganya sebelum melarikan diri, di Kampung Pahang, Sungai Soi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa, Abdul Ghani Uyop, 41, isterinya, Rosmawati Rashid, 39, dan empat anaknya berusia antara lapan hingga 15 tahun sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki bersenjatakan parang. Rosmawati berkata, beliau menjerit sebaik melihat kelibat penyamun bersenjatakan parang itu memasuki bilik sebelum diarahkan diam. "Kami berlima diikat kecuali anak ketiga saya, Mohd Azril, 11, dan ditempatkan dalam sebuah bilik sambil seorang daripada mereka mengawasi kami.

"Seorang daripada mereka sempat mengambil botol air minuman di dalam bilik itu dan saya terdengar dia membaca `Bismillah' sebelum minum," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rosmawati berkata, sebelum penyamun itu melarikan diri, mereka sempat berpesan kepada Mohd Azril supaya membuka ikatan tangan mereka.

Katanya, sebaik penyamun beredar mereka memeriksa rumah sebelum mendapati barang kemas, wang tunai, komputer riba serta lima telefon bimbit dengan anggaran RM21,000 dilarikan.

"Kerugian dianggarkan sekitar RM30,000 termasuk kenderaan Proton Wira turut dilarikan dan anak sulung, Nursyazwani, 15, cedera di kepala selepas diketuk dengan besi ketika dikejutkan seorang daripada lelaki terbabit," katanya.

Beliau menghubungi polis jam 6 pagi menggunakan telefon bimbit Nursyazwani yang disembunyikan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan

Warga emas disamun mati kena sembelih

2010/05/05
AMPANG: Mayat seorang wanita warga emas ditemui berlumuran darah, dengan keadaan lehernya hampir putus dipercayai disembelih dalam satu kejadian samun di rumahnya di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di sini malam tadi.

Dalam kejadian antara jam 7.30 malam hingga 9.30 malam itu, Isnati Sahid, 58, dipercayai baru saja menutup kedai runcitnya dan sedang mengambil air sembahyang sebelum disamun penjenayah. Ketika kejadian, mangsa berseorangan di rumahnya yang dijadikan kedai runcit kerana suaminya, Suratman Sulaiman, 62, sedang menunaikan solat berjemaah di masjid berhampiran. Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan nazak oleh suaminya kira-kira jam 9 malam sebelum mengejarkannya ke Hospital Ampang dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah dialaminya.

Berikutan itu, suami mangsa membuat laporan di Pondok Polis Hospital Ampang.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 kanun yang sama iaitu masing-masing atas kesalahan samun bersenjata serta membunuh

Fakhry ditangkap, Tengku Anis diawasi

Mei 5, 10 11:08am

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang memakai topeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, malam semalam.


Menurut Kosmo, Tengku Fakhry (kanan) ditahan bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Akhbar tabloid itu yang memetik sumber istana memberitahu, putera Sultan Kelantan itu ditahan ketika beliau bersama dua orang doktor dan sekumpulan pengawal peribadi sultan menaiki beberapa buah kenderaan.

Mereka dikatakan baru keluar kira-kira 50 meter dari Istana Mahkota.

Kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam.

Semasa kejadian, turut berada dalam sebuah daripada kenderaan rombongan itu ialah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Sunday, May 2, 2010

Sarjan patah kaki akibat dirempuh

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
jenayah@utusan.com.my

Roslan Bachik yang patah kaki kanan akibat dirempuh motosikal kelmarin menerima kunjungan rakan-rakan setugas di Hospital Serdang, Serdang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SERDANG 2 Mei 2010 - Tindakan seorang lelaki dan anaknya yang menaiki sebuah motosikal melarikan diri dari satu sekatan jalan raya, memberi impak yang cukup menyeksakan seorang anggota polis trafik apabila dia patah kaki kanan akibat dirempuh oleh motosikal itu.

Hanya kerana tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan cukai jalan, penunggang berusia 30 tahun itu sanggup menggadaikan nyawanya melarikan diri dari satu sekatan polis di Lebuh Raya Damansara Puchong petang semalam.

Akibatnya, dalam kejadian yang berlaku pukul 5.10 petang, Sarjan Roslan Bachik, 49, cedera di kaki kanan setelah dilanggar oleh motosikal jenis Honda EX-5 dinaiki dua beranak terbabit.

Roslan yang kini dirawat di Hospital Serdang berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia bersama lima rakan sejawatnya sedang mengadakan sekatan jalan raya di lebuh raya itu.

"Tiba-tiba muncul sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki bersama seorang budak dipercayai anaknya menuju ke arah saya dan terus merempuh kaki kanan saya.

"Berikutan kejadian itu, saya terus terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya yang bertugas di Cawangan Trafik, Balai Polis Seri Kembangan sejak tahun 2004.

Roslan, yang mula menyertai Polis Diraja Malaysia sejak tahun 1981 kini stabil dan dirawat di Wad Ortopedik hospital tersebut.

Beliau akan menjalani beberapa pembedahan selepas ini akibat kaki kanannya patah dan dijangka terpaksa terlantar di hospital selama enam bulan.

Penunggang motosikal terbabit ditahan oleh polis sejurus selepas kejadian itu.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Deputi Supritendan Tengku Anuar Raja Husin turut mengunjungi Roslan di hospital itu hari ini.

Beliau ketika ditemui menasihatkan orang ramai supaya jangan lari daripada sekatan jalan yang dilakukan pihak polis bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sindiket judi terbesar di Lembah Klang tumpas

KUALA LUMPUR 2 Mei - Polis berjaya mematahkan sindiket perjudian loteri haram terbesar di Lembah Klang membabitkan pertaruhan mencecah RM2.4 juta sebulan selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Perindustrian Kepong di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.45 petang itu, lima wanita termasuk tiga beradik yang dipercayai penyewa rumah tersebut bagi menguruskan pertaruhan dari ejen-ejen perjudian turut ditahan.

Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, siasatan pihaknya mendapati, rumah itu disewa sejak setahun lalu.

Beliau berkata, rumah itu hanya dijadikan sebagai pusat operasi mengumpul keseluruhan pertaruhan yang dibuat melalui ejen di Lembah Klang.

"Kita melakukan intipan selama dua minggu di pangsapuri ini selepas menerima maklumat bahawa satu unit rumah terletak di tingkat 16 dijadikan sebagai pusat perjudian.

"Bertindak atas maklumat itu, saya bersama tiga pegawai dan tujuh anggota polis menyerbu rumah terbabit dan menemui lima wanita dalam sebuah bilik sedang sibuk mengendalikan pusat pengiraan pertaruhan loteri haram," katanya ketika ditemui selepas serbuan itu, malam tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat perjudian haram itu mengendalikan pertaruhan RM150,000 untuk satu permainan.

Ini bermakna, dalam tempoh sebulan, sindiket itu mampu meraih keuntungan sebanyak RM2.4 juta atau RM28.8 juta setahun.

Maszely berkata, pertaruhan dibuat secara terus oleh orang ramai kepada ejen dan ia boleh dibuat sehingga pukul 7 petang setiap hari.

Dalam serbuan itu, katanya, wang tunai RM291.40, 462, nombor pertaruhan, enam mesin faksimili, lima telefon bimbit, empat komputer riba dan satu mesin pencetak yang digunakan untuk mengendalikan pertaruhan turut dirampas.

Kata Maszely, kelima-lima suspek berusia antara 21 hingga 38 tahun, kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM200,000 atau lima tahun penjara.

Kapten bot rasuah didenda RM10,000

JOHOR BAHRU 30 April 2010 - Akibat menawarkan rasuah RM400 kepada seorang pegawai penguat kuasa maritim, seorang kapten bot tunda hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Lui Yaw Min, 49, dari Sarawak turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hakim Aliman Musri menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki itu mengaku bersalah cuba merasuah Abdul Lateb Romli di Pelabuhan Pasir Gudang pada pukul 10.45 malam, 22 April lalu.
Dia didakwa menawarkan suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap empat awak-awak yang ditahan kerana berjudi di atas botnya.

Yaw Min didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorfazlin Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh membayar denda tersebut.