Thursday, April 8, 2010

Remaja lelaki mati ditikam

08/04/2010 4:11pm


SANDAKAN 8 April- Seorang remaja lelaki maut akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Tiga, Bandar Sandakan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rosli Mohd. Isa berkata, mangsa yang dikenali sebagai Asdi Anwar, 18, seorang warga Indonesia ditemui terbaring di lantai berhampiran sebuah kedai pakaian dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan tetapi meninggal dunia dua jam kemudian akibat cedera parah di perut.

Siasatan masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh. - Bernama

Wednesday, April 7, 2010

Benjey kemukakan permohonan habeas corpus

08/04/2010 1:38pm


KUALA LUMPUR 8 April - Peguam Benjey, Amer Hamzah

Arshad hari ini memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah

Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan perintah supaya anak

guamnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim dibebaskan serta merta.


Benjey yang kini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah

Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selaku

pemohon memohon perisytiharan bahawa penangkapan dan

penahanannya adalah tidak sah, salah dan bersifat berniat jahat.

Amer Hamzah bersama ibu Benjey, seniwati Azean Irdawaty

hadir di Pejabat Pendaftaran Jenayah mahkamah tersebut pada

pukul 12.15 tengah hari.

Menurut Amer, beliau telah memfailkan sijil perakuan segera

agar notis usul permohonan tersebut dapat didengar secepat

mungkin.

Pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam

Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku

responden. - Utusan

Sebutan semula kes Benjy 16 Mei depan

2010/04/08
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, pagi ini menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang menghadapi tuduhan memiliki dadah.

Majistret Hafizza Sauni menetapkan tarikh itu selepas peguam Benjy, Amer Hamzah Arshad memohon tarikh sebutan untuk menghantar representasi kepada pihak pendakwaan bagi mendapatkan sebahagian dokumen berkaitan kes seperti gambar bewarna dan gambar rajah kasar.

Majistret juga membenarkan Amer berjumpa anak guamnya selepas beliau mendakwa dihalang pihak polis untuk bertemu Benjy dan hanya dapat menemui tertuduh selama 10 minit, Isnin lalu. Benjy menghadapi tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2 Jalan 1/38B, Jalan Segambut di sini pada jam 4 petang, 11 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dadah: pengimpal besi dihukum gantung

08/04/2010 1:39pm


KUANTAN 8 April 2010 - Seorang pengimpal besi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 10.12 gram heroin dan 14.23 gram monoacetylmorphines pada Julai tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian terhadap Tan Teck Yong, 49, selepas mendapati tertuduh dalam keterangan pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu. - Utusan

Tertuduh ubah pengakuan, mahkamah tangguh hukum

KUALA LUMPUR 7 April 2010 - Akibat menyamun dua buah telefon bimbit milik seorang doktor menggunakan parang dan pisau, dua lelaki kini berhadapan dengan kemungkinan meringkuk di penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ahmad Fikri Husman, 27, dan Azim Mazlan, 21, terpaksa menunggu sehingga 6 Mei ini bagi mengetahui hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka.

Ini kerana peguam bela mereka, Maznah Kamaruddin memohon penangguhan bagi menyediakan rayuan untuk kedua-dua tertuduh yang menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menyamun tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tersebut.

Hari ini, Ahmad Fikri, seorang pekerja katering dan Azim, penjaga kedai sepatutnya dibicarakan atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 2 April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyamun Othman Zakaria kira-kira pukul 11.02 malam, 23 Mac 2009 di Internet Cafe Powerlink Station, &0, Blok B, Plaza Sinar Apartment, Jalan 8/38D, Taman Sri Segambut di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama.

Menurut fakta kes, mangsa berada di tempat kejadian bersama-sama isterinya ketika tiga lelaki secara tiba-tiba menyerbu masuk ke premis tersebut.

Ahmad Fikri kemudian telah mengacukan sebilah pisau ke arah Othman sambil meminta kedua-dua telefon bimbit mangsa sementara tertuduh kedua yang berada di pintu masuk mengacukan pisau ke arah penjaga kafe siber itu.

Selepas menyamun mangsa, kesemua tertuduh melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Pelajar dakwa diculik tuntut RM15,000 kena tahan polis

2010/04/08
SHAH ALAM: Helah pelajar perempuan sebuah kolej swasta menggunakan alasan diculik dengan menuntut RM15,000 daripada keluarganya gagal selepas ditahan polis bersama teman lelaki dan rakan teman lelakinya di Gombak, dekat sini, kelmarin.

Pelajar jurusan Diploma Farmasi sebuah kolej kejururawatan itu ditahan bersama teman lelakinya di Gombak pada jam 8 malam manakala rakan teman lelakinya ditahan di lokasi sama pada jam 11.50 malam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata semua suspek berumur 21 tahun itu ditahan sebaik polis mengesyaki tujuan pelajar mahu memperdayakan ibu dan bapanya bagi menuntut wang. "Bapa suspek bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya tidak bekerja menerima satu panggilan telefon pada 3 April lalu daripada seorang suspek meminta wang tebusan sejumlah RM15,000 selain mengarahkan ia dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sleangor di sini, semalam.

Berikutan itu, abang pelajar terbabit membuat laporan polis di balai polis berhampiran kerana khuatir dengan kehilangan adiknya yang didakwa diculik suspek di belakang sebuah pasar raya di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar itu berbuat demikian kerana mahu membantu teman lelakinya yang menghadapi masalah kewangan.

Ibu, anak jadikan rumah pusat dadah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com
2010/04/08
Polis rampas heroin, ganja bernilai RM128,883

KUANTAN: Tindakan licik seorang ibu berusia 65 tahun bersama anak lelakinya yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat pengedaran dadah sejak setahun lalu, terbongkar apabila polis menemui sejumlah heroin dan ganja bernilai kira-kira RM128,883 dalam serbuan di Jalan Makbar, di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan hasil maklumat awam kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menangkap warga emas dan anak lelakinya berusia 38 tahun terbabit sebelum menemui dadah yang disembunyikan dalam bilik dan mesin pemotong rumput di rumah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata pemeriksaan menemui dadah jenis heroin seberat 1,375.5 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 381.3 gram yang masing-masing diisi dalam kotak dan plastik lutsinar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati heroin yang dirampas bernilai RM116,173 manakala ganja terbabit bernilai kira-kira RM12,710 dan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran.

“Polis turut menyita harta milik suspek termasuk barang kemas, wang tunai, kenderaan dan wang simpanan dalam bank dengan kesemuanya berjumlah kira-kira RM117,800.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini mereka direman selama enam hari bermula kelmarin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, Sharifuddin berkata, seorang pengedar dadah wanita berusia 25 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di persimpangan Lorong Alor Akar 2, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam beg sandang dibawa suspek menemui 73 paket lutsinar berisi heroin dengan berat kasar sejumlah 154 gram.

“Harga pasaran dadah yang dirampas bernilai RM18,250 dan siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif sejak tiga bulan lalu.

“Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya