Sunday, May 15, 2011

Culik: Bantuan Interpol, Filipina

Culik: Bantuan Interpol, Filipina
SHAH ALAM 11 Mei - Polis akan mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Filipina bagi mengesan seorang ahli perniagaan negara ini yang dilaporkan diculik oleh 10 orang lengkap bersenjata api ketika berada di Pulau Jolo, Selatan Filipina, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, bantuan tersebut juga bagi mendapatkan maklumat latar belakang mangsa dan keadaan sebenar yang berlaku selain kemungkinan lelaki tersebut mempunyai masalah perniagaan atau sebaliknya.
"Setakat ini kita telah dapatkan laporan daripada Kedutaan Filipina di Malaysia untuk membantu kita. Kita juga akan berurusan dengan Interpol dan pihak berkuasa republik itu untuk membantu kita dari segi sudut penyiasatan," katanya.
Laporan akhbar pada 9 Mei lalu memetik Ketua Pengarah Polis Wilayah (Selatan Filipina), Felicisimo Khu sebagai berkata, Mohammad Nasaruddin Bensaidin, 38, diculik di sebuah bandar kecil di Pulau Jolo, Sabtu lalu.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang pula berkata, Mohammad Nasaruddin merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan.
Penyiasatan awal mendapati Mohammad Nasaruddin terlibat dengan perniagaan dagangan cicak.

Wanita 80 tahun kena rompak, rogol

Wanita 80 tahun kena rompak, rogol


2011/05/12
NIBONG TEBAL: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun trauma selepas dibelasah, dirompak dan dirogol lelaki yang memecah masuk rumahnya berhampiran ladang kelapa sawit dekat sini, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan terkejut apabila disergah seorang lelaki menutup muka menggunakan kain.
Sumber berkata, lelaki itu yang memecah masuk rumah mangsa kemudian mengugutnya menggunakan pisau sebelum menyelongkar barang peribadi mangsa.
“Mangsa cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan, namun tidak berjaya apabila lelaki itu berjaya menangkapnya dan membelasahnya di muka sehingga cedera sebelum merogolnya.

“Selepas merogol mangsa yang tidak berdaya untuk melawan, suspek melarikan diri dengan mengambil seutas jam tangan dan telefon bimbit wanita itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dan lebam di beberapa bahagian muka kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Risau akan keselamatan mangsa, seorang anaknya membawa mangsa pulang ke rumahnya di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, anaknya yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian beliau keluar rumah untuk berjumpa rakan kira-kira sejam dan apabila pulang mendapati ibunya cedera kerana dipukul, dirompak dan dirogol.

Katanya, ini kali ketiga rumah ibunya dipecah masuk dengan yang pertama kira-kira 10 tahun lalu dan terbaru sebulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Padah asmara isteri orang

Padah asmara isteri orang
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12
Tangan hampir putus kena libas

KODIANG: Bahana memadu kasih dengan isteri orang, seorang lelaki hampir putus tangan akibat ditetak suami kekasihnya yang berang selepas mengetahui hubungan sulit mereka di Kampung Palas di sini, pagi kelmarin.
Kejadian itu berlaku jam 7.30 pagi ketika mangsa berusia 40-an dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Palas ke tempat kerjanya di Pekan Kodiang di sini, apabila keretanya ditahan seorang jiran lelaki.
Suspek yang berada di kawasan berhampiran, kemudian dikatakan menarik mangsa keluar dari kereta dan mengheretnya ke kereta suspek yang terletak tidak jauh dari tempat itu.

Suspek kemudian mengambil sebilah parang yang diletak di atas but keretanya dan melibas ke arah mangsa.

Mangsa cuba mempertahankan diri dengan menepis tetakan itu, tetapi ia terkena ke sikunya sehingga menyebabkan tangan kiri mangsa hampir terputus.

Mangsa kemudian dikatakan cuba lari untuk mendapatkan pertolongan penduduk kampung, namun ditetak sekali lagi di bahu dan perut.
Bagaimanapun, tindakan segera penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu berjaya menahan suspek daripada terus menyerang mangsa. Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Kodiang.

Anak lelaki sulung mangsa berusia 20-an yang tiba di lokasi kejadian membawa bapanya ke Hospital Jitra (HJ).

Mangsa yang mempunyai empat anak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berikutan kecederaan serius.

Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada dendam lama dan mengakui suaminya pernah bercinta dengan isteri suspek.

“Mungkin tindakan suami saya pernah beberapa kali menghantar SMS kepada isteri suspek, menyebabkannya naik berang.

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kodiang dan menyerahkan kepada polis untuk ambil tindakan terhadap penyerang suami saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, polis sudah menahan lelaki berusia 47 tahun untuk membantu siasatan.

Dua dituduh edar 7.1kg kanabis

Dua dituduh edar 7.1kg kanabis


2011/05/12
KANGAR: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perlis didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 7.1 kilogram dadah jenis kanabis di Bukit Keteri di sini, bulan lalu.

Ismail Mansor, 42, dari Taman Kastam, Kuala Perlis dan Nazni Seman, 46, dari Tebing Tinggi di sini, dituduh melakukan kesalahan itu kawasan tempat letak lori di sebuah kilang simen di Bukit Keteri jam 9.30 malam, 27 April lalu.
Kedua-dua mereka bertugas di KDRM cawangan Kuala Perlis ditahan ketika sedang menunggu pelanggan mengambil dadah itu.
Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Anbanathan Yathiraj, mengangguk faham sebaik pertuduhan itu dibacakan. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Noor Syazwani kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan baru sementara menunggu keputusan laporan kimia berhubung dadah yang dirampas.
Nurshahida menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

Tuesday, May 10, 2011

13 ditahan bantu siasatan kebakaran pondok polis

Polis menahan 13 lelaki bagi membantu siasatan terhadap kejadian kebakaran pondok polis dan pusat operasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Taman Merak di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka yang ditahan di sekitar Taman Merak itu berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun dalam satu operasi besar-besaran mengesan suspek.

Katanya, pada kejadian kebakaran pukul 11.10 malam tadi itu, pondok polis yang terletak dalam pusat operasi JKKK itu turut terbakar.

Beliau berkata, perbuatan khianat membakar pusat operasi JKKK itu dipercayai berpunca dari kes membalas dendam terhadap seorang lelaki yang parah kerana diserang oleh anak salah seorang anggota JKKK di kawasan itu minggu lepas.

"Akibat tidak puas hati ekoran insiden serangan tempoh hari, sekumpulan lelaki dipercayai anggota keluarga dan rakan mangsa itu bertindak membakar pusat operasi termasuk pondok polis yang berada dalam pusat itu," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.

Mereka yang terbabit kini ditahan reman di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dikenali sebagai Tan Choon Wei atau dikenali Ah Wei, 26, dan M.Jeganathan, 30, bagi membantu siasatan.

Tan mempunyai alamat terakhir di No 2, Lorong 44, Taman Merak, Simpang Ampat dekat sini manakala Jeganathan di No 36, Lorong 33 di taman perumahan yang sama.

"Kita memberi amaran kepada pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan," katanya.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mengakibatkan cedera parah dan mengikut Seksyen 436 Kanun keseksaan kerana khianat dengan api jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda.

- Bernama

Monday, May 9, 2011

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah
KUALA LUMPUR 9 Mei - Meskipun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata akibat disimbah cecair jenis 'thinner' oleh seorang lelaki, seorang ibu yang kini sarat mengandung trauma untuk keluar rumah seorang diri.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 30, masih tidak dapat melupakan kejadian bagaimana suspek yang menaiki motosikal tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menyimbah cecair itu mengenai muka dan badannya.
Kejadian itu, menurut Yati, berlaku di hadapan sebuah vila yang disewa keluarganya untuk menjalankan aktiviti riadah di Persiaran Titiwangsa di sini, pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
"Ketika itu, semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah. Saya keluar sekejap ke tempat letak kereta untuk mengambil lampin pakai buang anak saya.
"Sebaik sahaja saya membuka pintu kereta, datang seorang lelaki bermotosikal dari belakang dan menyimbah cecair itu menyebabkan muka dan badan saya basah.
"Saya kini takut untuk keluar rumah kerana masih terbayang kehadiran lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampang, hari ini.
Yati ialah salah seorang mangsa simbahan cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini.
Polis sedang mengesan dua lelaki bermotosikal yang dipercayai menyasarkan golongan wanita di daerah Dang Wangi, Sentul dan Brickfields sebagai mangsa simbahan cecair itu.
Yati memberitahu, simbahan cecair tersebut mengenai bahagian matanya dan amat memedihkan sehingga tidak dapat membukanya.
"Saya menjerit meminta tolong dan segera masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Suaminya yang terkejut melihat keadaannya segera keluar rumah untuk menangkap suspek, bagaimanapun lelaki itu sempat menghilangkan diri.
Katanya, dia dihantar ke Pusat Rawatan Pusrawi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan
KUALA LUMPUR 9 Mei - Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).
"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.
"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.
Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.
Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.
"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.
"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.
Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.
"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.