Sunday, March 6, 2011

Lelaki bakar rumah dipenjara 5 tahun

Lelaki bakar rumah dipenjara 5 tahun
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Gara-gara membakar rumahnya sendiri, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bersabit kesalahan itu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu setelah tertuduh, Maliki Mohamed 39, akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikenakan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api dan jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Tertuduh yang mengalami kecederaan di kaki serta tangan kanan akibat kejadian itu hanya menundukkan kepala ketika keputusan itu dibaca dan Maliki dihukum bermula tarikh dia ditangkap pada 27 Januari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 72, Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu pada pukul 12.30 malam, 26 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan nekad membakar rumahnya sendiri dengan menggunakan mancis setelah naik berang dengan isterinya ekoran pertengkaran yang berlaku antara mereka.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman terhadapnya diringankan kerana dia tidak berniat untuk membakar rumahnya sendiri.

"Saya hanya berniat nak bakar asap (ubat nyamuk).

"Tetapi masa nak keluar dari stor, saya tersepak tong petrol sampai minyak tumpah dan api merebak," katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mendapati alasan yang dikemukakan lelaki itu didapati tidak berasas serta kurang meyakinkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, ketika kejadian itu berlaku, isteri tertuduh yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pembantu di stesen minyak berhampiran tiada di rumah.

Wanita itu dilaporkan hanya ternampak kepulan asap tebal dari rumah mereka ketika berada di rumah jiran.

Dia mengesyaki kebakaran tersebut berpunca daripada suaminya kerana lelaki itu pernah mengugut berbuat demikian ketika mereka bertengkar sebelum ini.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah stor dan bengkel membaiki motosikal yang terletak berhampiran dan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM100,000

Menculik di Kuala Terengganu, diberkas di Kota Kinabalu

Menculik di Kuala Terengganu, diberkas di Kota Kinabalu
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Meskipun berjaya menyembunyikan diri selama lima tahun, seorang suspek yang dikehendaki polis negeri ini kerana menculik kanak-kanak berusia tiga tahun untuk tebusan di Kuala Ibai dekat sini, pada 2006, akhirnya berjaya diberkas di Sabah, Selasa lalu.

Suspek berusia 30 tahun yang merupakan juruelektrik ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, pukul 7.35 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejayaan itu diperoleh hasil kerjasama polis kedua-dua negeri tersebut.

"Hasil maklumat, kita berjaya mengenal pasti identiti dan alamat tempat tinggal suspek sebelum meminta bantuan polis Sabah untuk menahannya.

"Suspek yang berjaya ditahan itu dibawa ke Terengganu dan direman sehingga 9 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 22 Oktober 2006, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah dilarikan suspek ketika ibu bapa mangsa yang merupakan peniaga tidak berada di rumah.

Sejurus selepas kejadian, ibu bapa mangsa telah menerima panggilan yang menuntut wang tebusan RM200,000 untuk mendapatkan anaknya kembali.

Bagaimanapun, ibu bapa mangsa yang tidak mampu menyediakan wang itu, menyerahkan wang tunai RM20,000 selain cek bernilai RM22,800 kepada suspek.

Suspek kemudian melepaskan kanak-kanak berkenaan pada pukul 2 petang hari yang sama dalam keadaan baik sebelum menghilangkan diri.

Difahamkan, sebelum kejadian suspek dikatakan bekerja memasang wayar di rumah mangsa sebelum menculik kanak-kanak terbabit yang ketika itu tinggal bersama orang gaji.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Pesara tentera dibelasah curi beras, tong gas

Pesara tentera dibelasah curi beras, tong gas
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Seorang pesara tentera menerima padah dibelasah oleh orang ramai kerana mencuri tiga kampit beras dan satu tong gas memasak berhampiran sebuah pasar raya di Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

Lebih malang, suspek berusia 37 tahun dipukul sehingga cedera di muka dan badan di hadapan anak dan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, perbuatan jenayah suspek itu disedari seorang lelaki yang dipercayai pemilik sebuah kedai runcit.

Lelaki tersebut berjaya mengecam wajah suspek yang dikatakan pernah melakukan perbuatan sama di kedai runcitnya sebelum ini.

Menurut saksi yang ingin dikenali sebagai Hassan berusia 23 tahun, suspek terbabit pernah mencuri barangan keperluan asas seperti beras dan tong gas memasak dari beberapa buah kedai runcit di kawasan itu, beberapa hari lalu.

Katanya, berikutan itu, pemilik kedai runcit berkenaan mengecam wajah suspek dan kebetulan dia turut mengunjungi pasar raya berhampiran.

"Suspek mencuri beras dan tong gas memasak dengan memaklumkan kepada pekerja di sebuah kiosk berdekatan untuk tumpang meletakkan barang-barang berkenaan kerana sukar untuk membawanya menggunakan motosikal.

"Dia datang dengan sebuah kereta membawa isteri dan anak untuk ambil barang tapi selepas tahu barang itu dicuri, penduduk terus tangkap dan pukul dia," katanya ketika ditemui dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, semua barangan yang dicuri iaitu tiga kampit beras dan satu tong gas memasak berjaya dirampas daripada suspek.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah sama menggunakan modus operandi berpura-pura untuk membeli barang sebelum melarikan barang-barang terbabit ke kawasan lain," katanya.

Tambahnya, dalam kejadian berkenaan suspek yang bekerja sebagai buruh itu cedera di bahagian muka dan anggota badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia tidak mengambil dadah," katanya.

Wednesday, March 2, 2011

75 ditahan, tujuh pusat judi digempur

75 ditahan, tujuh pusat judi digempur


2011/03/03


ANGGOTA polis mengangkat peralatan judi di premis perjudian di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, semalam.KUALA LUMPUR: Berpuluh-puluh kaki judi bertempiaran lari selepas Polis Kuala Lumpur menggempur tujuh premis perjudian di Jalan Sri Sentosa 8, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, 68 orang yang bermain judi mesin komputer berusia 20 hingga 80 tahun serta tujuh penjaga premis berjaya diberkas ketika sedang leka bermain mesin judi. Kejayaan operasi itu dikatakan berikutan taktik digunakan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur yang membawa anggota dari luar daerah seperti Cheras, Sentul dan Dang Wangi untuk melakukan operasi. Dalam operasi itu, 79 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dirampas dalam serbuan ke atas lapan premis di Taman Sri Sentosa.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata ketujuh-tujuh premis itu disyaki sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Kita percaya, faktor kawasan perumahan yang banyak di sekitarnya mendorong dalang atau pemilik premis perjudian menjalankan aktiviti mereka dengan harapan mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya.

Ekoran kejayaan operasi itu, polis akan mengusulkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil langkah menyita semua premis perniagaan terbabit kerana menyalahgunakan bangunan mereka untuk operasi haram.
Semua ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, manakala mereka yang ditahan kerana bermain judi dibawa ke Balai Polis Sri Petaling bagi proses dokumentasi.

Polis Sabah berjaya tumpaskan Geng Mamat

Polis Sabah berjaya tumpaskan Geng Mamat
KOTA KINABALU 2 Mac - Polis Sabah berjaya menumpaskan 'Geng Mamat', kumpulan penjenayah warga asing yang terlibat dalam 28 kes rompakan bersenjata di negeri ini, Johor dan Terengganu, selepas menahan lima ahli anggotanya baru-baru ini.

Kelima-lima penjenayah lelaki itu diberkas hasil serbuan polis di sebuah rumah banglo di Taman Palma, Jambatan Putih di Tawau pada 14 Februari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kumpulan itu dikatakan terlibat dalam 22 kes rompakan bersenjata di Tawau, lima di Johor dan satu kes di Terengganu sejak 2009.

"Polis Sabah menubuhkan satu pasukan khas untuk memburu 'Geng Mamat' ini selepas mereka dikatakan terlibat dalam satu rompakan di Tawau membabitkan kerugian RM65,000 pada 11 Februari lalu.

"Susulan daripada itu, kita berjaya memberkas lima warga asing ahli kumpulan tersebut yang berusia 22 hingga 27 tahun dalam Ops Rantau di Tawau baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Menurut Hamza, siasatan lanjut mendapati hanya seorang daripada lima suspek itu memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Polis, kata beliau, sedang menyiasat bagaimana empat suspek lagi mampu bergerak di negeri ini selain memasuki Semenanjung untuk melakukan jenayah tersebut.

Ditanya mengenai modus operandi kumpulan itu, beliau berkata, mereka menggunakan pengumpil logam untuk memecah rumah mangsa sebelum merompak penghuni rumah itu dengan parang panjang atau pedang samurai.

Bagaimanapun, katanya, tiada kejadian bunuh yang dilapor melibatkan kumpulan penjenayah ini malah Geng Mamat juga tidak menggunakan senjata api ketika melakukan rompakan.

Kastam rampas rokok seludup RM4j

Kastam rampas rokok seludup RM4j

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my



ZULKIFLI Yahya (kiri) menunjukkan rokok yang dirampas dari sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara pada sidang media di Bukit Mertajam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 2 Mac – Cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM4 juta dengan memalsukan dokumen oleh satu sindiket gagal apabila taktik itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Sebuah kontena yang ditahan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) diikrarkan sebagai mengandungi kertas tebal untuk kulit buku seberat 24.1 tan menggunakan alamat sebuah kilang di Perai dekat sini.

Namun, hasil pemeriksaan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati kontena sepanjang 12.1 meter dari Thailand itu mengandungi 760 kotak atau 7.6 juta batang rokok putih jenama Zon King.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, kesemua rokok seludup itu dianggarkan bernilai RM836,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM3,888,160.

“JKDM bertindak hasil maklumat awam yang diterima pada pukul 3.10 petang pada 28 Februari lalu dan menahan kontena terbabit di NBCT.

“Berdasarkan Borang Kastam 1 yang diikrarkan, pengimport kontena itu adalah sebuah kilang di Perai namun hasil siasatan didapati syarikat terbabit tidak terlibat langsung dalam kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sindiket berkenaan dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengunakan alamat palsu pada borang ikrar. Pihaknya masih mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

Selain itu, beberapa kotak rokok yang diperiksa juga mempunyai tanda ‘Amaran Oleh Kerajaan Malaysia’ namun tiada setem cukai, dakwat keselamatan serta gambar amaran yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tambah Zulkifli, tiada tangkapan dibuat setakat ini namun ejen perkapalan itu sedang disoal siasat mengenai pengimportan tersebut.

“Pengimportan rokok adalah dilarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 kecuali dengan lesen yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 (Semakan 1980) iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau barang larangan,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, seseorang boleh didenda maksimum 40 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga Afrika Selatan monopoli sindiket pengedaran dadah

Warga Afrika Selatan monopoli sindiket pengedaran dadah
KUALA LUMPUR 2 Mac - Selepas kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran, kegiatan itu kini dikatakan didominasi oleh warga dari negara Afrika Selatan.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, berlaku peningkatan jumlah tangkapan dilakukan ke atas warganegara tersebut berbanding warga Iran yang kini dilihat semakin menurun.

Situasi ini berlaku berikutan perubahan modus operandi yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang tidak lagi tertumpu kepada penyeludup warga Iran.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim yang berkata, polis menyedari senario itu dan kini meningkatkan kawalan terhadap kemasukan warga dari negara tersebut.

"Tumpuan operasi tidak hanya tertumpu di lapangan-lapangan terbang sahaja malah pemantauan akan diadakan di perairan-perairan pintu masuk negara dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk memintas bekalan dadah masuk ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Rashid bagaimanapun tidak menyenaraikan jumlah tangkapan membabitkan warga Afrika Selatan dalam sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Beliau memberitahu, sepanjang dua bulan tahun ini, pihaknya berjaya melakukan tangkapan sebanyak 27,704 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik di seluruh negara.

Noor Rashid memberitahu, pihaknya juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM48.08 juta pada bulan Januari dan Februari tahun ini.

"Daripada jumlah rampasan tersebut tersebut, dadah jenis syabu mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM43.61 juta," ujarnya.

Noor Rashid memberitahu, pencapaian ini merupakan hasil kejayaan PDRM yang menjalankan pelbagai operasi bagi menggagalkan usaha penyeludupan masuk dadah selain membanteras segala aktiviti narkotik.