Monday, December 20, 2010

10 ahli Geng Kangkar ditahan

JOHOR BAHRU 20 Dis. 2010 - Polis Johor berjaya menahan 10 anggota 'Geng Kangkar' yang disyaki terlibat dalam 46 kes jenayah termasuk samun, ragut dan curi motosikal di sekitar bandar raya ini Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dua daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Kangkar Tebrau di sini manakala lapan yang lain ditahan di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, geng terbabit dipercayai menyasarkan motosikal yang diletakkan di sekitar pusat beli-belah dan tepi jalan.

Motosikal curi tersebut kemudian digunakan oleh kumpulan penjenayah berkenaan untuk melakukan samun dan ragut, katanya.

"Selain sembilan buah motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri, turut dirampas daripada kumpulan terbabit termasuk sebatang besi berbentuk T, tujuh batang besi tajam dan dua besi berbentuk L yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Kita percaya penahanan ahli kumpulan ini berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi di sekitar negeri ini.

Menurutnya, kesemua 10 suspek berusia 18 hingga 27 tahun kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut.

Polis juga telah mengenal pasti saki-baki ahli geng terbabit dan akan melakukan tangkapan susulan dalam tempoh terdekat, katanya.

Suami isteri guna anak tipu mangsa

SEBAHAGIAN barangan yang berjaya dirampas daripada keluarga yang dipercayai memukau dan memperdayakan mangsanya pada sidang media di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 20 Dis. - Ibu bapa seharusnya menjadi pelindung kepada anak-anak, namun sebaliknya yang dilakukan oleh sepasang suami isteri ini apabila menggunakan anak perempuan mereka berusia lima tahun untuk menipu dan menyamun orang ramai.

Bagaimanapun, kegiatan kedua-dua suspek berusia 44 tahun itu terbongkar apabila mereka bersama anak perempuannya ditahan polis di dalam sebuah kereta di sekitar Jalan Wong Ah Fook di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, modus operandi pasangan itu adalah meminta simpati orang ramai termasuk menggunakan anak perempuannya sebelum menyamun mangsa.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa seolah-olah 'dipukau' oleh kedua-dua suspek sebelum barang berharga miliknya dilarikan.

"Setakat ini, kita syak pasangan itu terlibat dalam tujuh kes memperdayakan orang ramai di sekitar bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, susulan penahanan pasangan berkenaan, pihaknya merampas tiga utas rantai emas, lima cincin emas, dua subang emas, seutas jam tangan berjenama, dua utas gelang emas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM2,100 dipercayai milik mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati suspek lelaki memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk kes samun.

Pasangan itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala anak mereka diserahkan kepada ahli keluarga terdekat, katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun kerana disyaki terlibat dalam 27 kes pecah kereta di negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kerana mencuri itu ditahan dalam kereta Perodua Viva pukul 3.50 petang di Jalan Pantai Lido di sini semalam.

Polis turut menemui sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah berkenaan termasuk pemutar skru, katanya.

Anak Ketua Pemuda MCA Kuantan dibebaskan 2 jam selepas diculik

2010/12/20
KUANTAN: Anak perempuan Ketua Pemuda MCA Kuantan yang dipercayai diculik oleh dua lelaki ketika sedang bermain di hadapan rumahnya di Bukit Pelindung di sini petang semalam ditemui semula kurang dua jam selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata kejadian itu berlaku pada 5.45 petang ketika kanak-kanak itu bersama abangnya berusia 11 tahun sedang bermain di hadapan rumah mereka. "Ketika sedang leka bermain, dua lelaki bertopi yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva secara tiba-tiba berhenti dan melarikan budak perempuan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, 45 minit selepas kejadian, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis dan budak perempuan itu ditemui sedang menangis oleh orang awam pada 7.30 malam, tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya budak itu tidak dicederakan tetapi terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangannya.

Sehingga kini motif penculikan masih dalam siasatan, kata Narenasegaran.

Bapa kanak-kanak itu, Chiew Yoke Theng, berkata beliau mengetahui mengenai penculikan itu daripada isterinya pada pukul 5 petang semalam dan terus membuat laporan polis.
Katanya beliau gembira dan bersyukur sebaik menerima panggilan telefon mengenai penemuan anaknya itu daripada satu keluarga dari Bukit Setongkol di sini.

"Anak saya ingat nombor telefon saya, dia berikan kepada keluarga tersebut yang terus hubungi saya. Anak saya dalam keadaan baik dan tidak diapa-apa oleh penculik," katanya.

Sunday, December 19, 2010

Peniaga cedera dipukul pencuri

2010/12/20
SEREMBAN: Seorang peniaga cedera dipukul sekumpulan perompak yang cuba merampas wang hasil jualannya dalam satu kejadian di Kampung Baru Rasah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, mangsa yang hanya dikenali sebagai Chong, 23, cedera di kepala akibat dipukul menggunakan batang besi, manakala wang sebanyak RM500 bersama 10 karton kotak rokok dan telefon bimbit isterinya dilarikan perompak ketika dia mahu menutup restoran miliknya. Bagaimanapun, isteri Chong dan dua adik ipar yang berada dalam restoran itu tidak dicederakan perompak yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang dan batang besi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek terbabit.

Thursday, December 16, 2010

Wanita enggan beri nombor telefon ditikam

2010/12/16
KUANTAN: Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata ketika kejadian 9.30 pagi semalam itu, suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan. "Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa. "Mangsa enggan memberi dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan.

"Mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, mangsa kemudian meminta suspek membawanya ke hospital.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke hospital, namun wanita berkenaan menyedari suspek cuba melencong ke tempat lain dan bertindak terjun dari motosikal berkenaan sebelum suspek lari meninggalkan mangsa," katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tiga hadapi tuduhan culik pelajar kolej

2010/12/16
KUALA LUMPUR: Tiga orang, seorang daripadanya wanita, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang pelajar kolej, awal bulan ini.

Penganggur I Shatiruben, 22, dan pekerja kilang, Mujahidin Nazardin, 18, dan wanita itu, G Vasantha Kumari, 22, didakwa bersama-sama menculik dan mengurung M Vijaiya, 23, untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM30,000. Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Nurul Hafizah Kamaluddin menetapkan 21 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan Rumah No 10 A, Jalan 8A, Selayang Baru, pada jam 5.45 pagi, 1 Disember 2010.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Raihan Md Nasir manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Wednesday, December 15, 2010

Dua beranak curi dipenjara

Oleh Norliza Wasilan

2010/12/16


CHE ROSNANI (kanan) dan anaknya, Shazrina Shariz keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.Ibu, anak perempuan belajar jadi penyamun melalui majalah

KOTA BHARU: Seorang ibu dan anak perempuannya menangis selepas dijatuhi hukuman penjara semalam, setelah mengaku bersalah dan memberitahu mahkamah belajar menyamun daripada sebuah majalah mingguan tempatan.

Tertuduh, Che Rosnani Mohd Rawi, 47, dan anak sulungnya, Shazrina Shariz Kamaruzaman, 29, masing-masing dipenjara lima dan enam tahun selepas mengaku bersalah merompak dua rantai tangan, dua cincin, tiga rantai leher emas, sebuah telefon dan wang tunai bernilai RM20,000 daripada seorang pemilik kedai jahit, Asmah Ibrahim, 61. Dua beranak itu menyamun mangsa di Rumah Tamu Impiana dekat Flat Hijau Bandar Baru Kubang Kerian, antara jam 3 hingga 3.30 petang pada 1 Disember lalu. Mereka didakwa melakukan jenayah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hazimah Ghazali, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dasuki Ali, manakala dua beranak itu tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, jam 2.40 petang 1 Disember lalu, ketika mangsa berada di kedai jahitnya, tertuduh kedua yang memperkenalkan diri sebagai Juriah, mengajaknya ke rumah di Flat Hijau untuk mengukur langsir.

Mangsa kemudiannya pergi ke rumah berkenaan untuk mengukur tingkap dan pintu bilik dan ketika itu, tertuduh kedua menyemburkan sesuatu ke arah mata sehingga menyebabkan pengadu tidak dapat melihat.
Tertuduh pertama kemudiannya menyumbat mulut mangsa dengan kain, manakala anaknya mengikat tangan sebelum menyerkup kepala dengan baldi dalam bilik air.
Dasuki ketika penghakimannya berkata, tertuduh tidak seharusnya menjadikan majalah atau bahan bacaan sebagai bahan untuk mencontohi perlakuan jenayah.
Che Rosnani yang mempunyai sembilan anak memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya dengan alasan perbuatannya itu dilakukan dalam keadaan terdesak kerana dibebani hutang.

Sementara itu, Shazrina Shariz yang mempunyai enam anak mengemukakan alasan terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup selepas suaminya ditahan di pusat tahanan Simpang Renggam, Johor