Monday, October 4, 2010

Polis rampas dadah RM1.5 juta cuba diseludup dari India

04/10/2010 3:18pm


SHAH ALAM 4 Okt. – Polis Selangor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini yang dibawa dari India dengan nilai keseluruhan hampir mencecah RM1.5 juta, baru-baru ini.

Kejayaan itu berhasil setelah polis menahan dua lelaki, masing-masing warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Jumaat lalu dan di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang pada Khamis lalu.

Dua sahabat dihukum gantung edar heroin, morfin

2010/10/04
GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 50.3 gram dan morfin seberat 7.4 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas mendapati P Pathmanathan, 28, dan Bernard Louga Edward, 29, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dalam penghakimannya, Nurmala berkata pembelaan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata. Selain itu, beliau berkata mereka juga tampak seperti mereka-reka cerita supaya setiap keterangan yang diberikan, sama dengan apa yang terkandung dalam fakta kes.

Pathmanathan, seorang pengimpal dan Louga, seorang penternak kambing, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan rehat Juru pada 11.30 malam, 26 Februari 2007.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pathmanathan diwakili peguam Datuk Haniff Hashim dan Louga oleh peguam RSN Rayer, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan G Jaya Prem.
Selepas prosiding kes itu selesai, kedua-dua tertuduh yang memakai kemeja T putih dan berseluar jeans biru bertemu anggota keluarga masing-masing dan dilihat saling menangis sambil berpelukan.

Seorang wanita, dipercayai ibu Pathamanathan, jatuh pengsan sewaktu mengekori anaknya itu yang dibawa beberapa anggota polis untuk dihantar semula ke penjara.

Wanita itu kemudian ditenangkan beberapa anggota keluarga lain dan didudukkan di atas kerusi roda. -

Polis rampas 45,000 liter minyak syabu bernilai RM4.6 juta

2010/10/04
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah jenis syabu di negara ini yang didalangi warga Iran berikutan rampasan 45,000 liter minyak syabu yang boleh menghasilkan 27 kilogram syabu bernilai RM4.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Megah Kepong, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Kang Chez Chiang, berkata serbuan hasil maklumat pemilik rumah sewa teres dua tingkat kira-kira 9.20 pagi itu juga menemui pelbagai peralatan memproses dadah seperti dapur elektrik, mesin pengisar, penimbang digital dan cerek elektrik. "Kita (polis) kini menjejaki penyewa rumah itu iaitu seorang lelaki warga Iran berumur 30-an yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan serbuan makmal memproses dadah di sebuah rumah di Hartamas, Julai lalu. "Kita percaya lelaki Iran itu menghuni lokasi ini (Kepong) untuk memproses dadah, selepas rumah yang disewa rakannya yang juga warga Iran, pada 22 Julai lepas di Hartamas berjaya diserbu polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kang percaya lelaki paling dikehendaki itu masih berada dalam negara ini dan gerakan mencarinya giat dijalankan.

Pada 22 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas dan menemui sembilan tong plastik berisi cecair berwarna kehitaman disyaki minyak syabu sebanyak 72 gelen (327.6 liter) yang boleh diproses menjadi 200kg syabu.

Berikutan itu, lelaki Iran berumur 39 tahun berjaya ditahan berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong pada jam 8.50 malam.
Pada jam 2.50 petang esoknya, polis menahan isteri suspek itu yang juga rakyat Iran berusia 34 tahun di rumah milik mereka di Sunway SPK Damansara. - BERNAMA

Sembilan lelaki rompak gudang dipenjara 10 tahun

04/10/2010 2:35pm


SHAH ALAM 4 Okt. 2010- Sembilan lelaki termasuk seorang warganegara Myanmar dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas didapati bersalah atas tuduhan merompak sebuah gudang dengan melarikan minuman keras bernilai RM1.2 juta, lima tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas berpuashati bahawa kesemua tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan rompakan tersebut dengan bersenjatakan pisau dan kapak sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga orang pengawal keselamatan di Gudang Jasa Kita SVC Sdn. Bhd. di Pelabuhan Klang dekat sini pada 24 Oktober 2005.-Utusan

Rumah Ahli Parlimen Rasah dipecah masuk, mangsa selamat

04/10/2010 2:37pm


RASAH 4 Okt. – Kediaman Ahli Parlimen Rasah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Loke Siew Fook di Taman Yoon Chan di sini dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, tiga lelaki bertopeng dikatakan memasuki rumah teres dua tingkat mangsa dan melarikan sejumlah barangan berharga.

Mangsa dan keluarganya bagaimanapun terselamat. –

Sunday, October 3, 2010

Cederakan polis, pelajar didakwa

KUALA TERENGGANU 3 Okt. 2010 - Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melanggar seorang anggota polis, bulan lalu.

Pelajar tingkatan tiga itu dituduh dengan sengaja mencederakan Konstabel Arizan Mohamad dalam sekatan jalan raya di Jalan Masjid Zainal Abidin di sini kira-kira 11.45 malam, 15 September lalu.

Prosiding pendakwaan terhadap pelajar itu dijalankan secara tertutup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Aznika Mohd. Anas membenarkan pelajar itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.

Dalam kejadian berkenaan, anggota polis itu patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri selain menerima 10 jahitan di kepala setelah dirempuh sebuah motosikal.

Friday, October 1, 2010

Mekanik disyaki menyamar anggota polis, edar dadah ditahan di Kangar

2010/10/01
KANGAR: Seorang mekanik ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyamaran termasuk sebagai anggota polis pagi tadi.

Lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Sanglang itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. Penahanannya adalah selepas pemeriksaan dilakukan polis di kilometer 2, Jalan Kangar-Mata Ayer, dekat sini dan sepucuk pistol palsu ditemui, dua gari serta sejumlah dadah jenis syabu dalam pemilikannya. Selain tiga barangan itu, turut ditemui bersamanya beberapa barangan lain seperti dua alat penimbang kecil dan alat menghisap dadah, serta kad pengenalan milik individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua kegiatan jenayah terbabit.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata ketika ini, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah seperti samun terutama yang membabitkan penyamaran sebagai anggota polis.

Ia kerana, katanya, sepanjang tempoh sejak 2009 lalu, sejumlah lapan kes penyamaran polis dilaporkan berlaku di seluruh negeri, termasuk tiga daripadanya pada tahun ini.

"Masih terlalu awal untuk mengesahkannya. Namun, kita akan siasat jika semua lapan kes terbabit mempunyai kaitan, termasuk beberapa kes jenayah lain.
"Selain kes jenayah, kita juga percaya suspek turut memainkan peranan sebagai pengedar dadah berikutan penemuan empat paket syabu serta alat penimbang, selain alat menghisap dadah dalam milikannya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas kes berkenaan, Zull Aznam berkata, ketika ditahan suspek dikatakan tertidur di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback di pinggir Jalan Kangar-Mata Ayer, sebelum didatangi dua anggota MPV yang kebetulan melakukan rondaan.

Selepas diperiksa, katanya, polis menemui sepucuk pistol palsu jenis Colt Automatik dengan satu kelopak berisi bebola plastik, dua pasang gari, empat paket lutsinar berisi dadah jenis syabu, dua alat penimbang dan alat menghisap dadah, kad pengenalan milik individu lain, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM792 serta mata wang Singapura.

"Semua barang kemudian dirampas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api palsu dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pemilikan dadah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, atau pernah menjadi mangsa kepada suspek diminta menghubungi polis di talian Rakan Cop Perlis 04-9711999 untuk membantu siasatan," katanya