Friday, September 23, 2011

Lelaki parah diseksa kumpulan penculik

2011/09/23

MOHD Azufaizal menunjukkan kecederaannya selepas didera sekumpulan lelaki tidak dikenali di Kampung Bukit Mata Gergaji, Besut.
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki diseksa hingga parah selama sejam selepas diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Batang Gergaji, Besut, Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Azufaizal Ab Manah, 28, dari Kampung Buluh, Setiu, putus jari manis kanan, hampir putus telinga kiri, patah tangan kanan dan cedera di muka, tengkuk serta belakang badannya, dipercayai ditetak dan dikelar menggunakan senjata tajam.
Bapa mangsa, Ab Manah Muhammad, 52, berkata kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika anaknya berehat di rumah neneknya di Kampung Buluh, Setiu.
Beliau mendakwa, ketika menonton televisyen, sekumpulan lelaki tidak dikenali datang menculik Mohd Azufaizal dan dibawa ke satu tempat di Kampung Batang Gergaji.

“Anak saya dipukul termasuk ditetak dan dikelar badannya dengan senjata tajam termasuk di muka dan tengkuk serta diugut tidak melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum dihantar orang tidak dikenali ke rumah rakannya di Kampung Tasik, Setiu.

“Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Setiu (HS) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan,” katanya di pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, semalam.

Ab Manah berkata, dia tidak tahu motif kejadian itu tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan rasa tidak puas hati pihak terbabit.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Syeksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Katanya, polis menahan tiga lelaki berumur 28, 36, dan 45 tahun untuk membantu siasatan dengan seorang daripada mereka adalah rakan mangsa.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu seorang lagi lelaki berusia 34 tahun yang disyaki suspek utama kejadian itu.

“Siasatan awal polis juga mendapati semua suspek terbabit positif dadah,” katanya.

No comments:

Post a Comment