Sunday, September 18, 2011

Bunuh kontraktor: Lima ditahan

KLUANG 18 Sept. - Polis menahan lima suspek termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan pembunuhan seorang kontraktor syarikat perkapalan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tangkapan terakhir dilakukan pada 14 September lalu.
"Dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
"Kita turut menahan dua suspek wanita di Kedah pada 10 September lalu yang dipercayai terlibat dalam merompak mangsa," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Sembrong di sini hari ini.
Media melaporkan pada 8 September lalu, empat penyamun bersenjatakan parang telah menceroboh masuk rumah mangsa, S. Vijayaratnam, 47, di Seri Alam, Johor Bahru.
Mangsa yang sedang bersembahyang di rumahnya telah ditetak beberapa kali oleh penjenanah tersebut sehingga maut. Isteri mangsa turut ditetak dan telah dihantar untuk dirawat di hospital.
Mohd. Mokhtar berkata, polis menyiasat kes itu dari semua aspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment