Thursday, August 4, 2011

Remaja ditahan curi wang pelancong Perancis

JERANTUT 4 Ogos - Hanya lapan jam selepas mencuri wang dan dokumen perjalanan milik seorang pelancong warga Perancis dari sebuah hotel bajet di sini semalam, suspek yang merupakan remaja berusia 18 tahun berjaya diberkas polis.
Kejadian pada pukul 7.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Julie Dordilly, 26, melayari Internet di lobi hotel bajet terbabit dan hanya menyedari mengenai kehilangan itu ketika hendak membuat pembayaran.
"Puas saya mencari di semua tempat termasuk di bilik hotel dan dalam beg selain bertanyakan rakan, namun hampa.
"Dalam keadaan cemas memikirkan wang dan dokumen penting lesap, saya melaporkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Jerantut, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jerantut, Asisten Supritendan Tey Kong Seng.
Menurut Dordilly, dia sepatutnya berlepas ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini hari ini, namun terpaksa menangguhkannya disebabkan insiden itu.
"Saya amat berterima kasih kepada anggota polis yang bertungkus-lumus mengesan suspek dan mendapatkan semula wang serta dokumen penting," tambahnya.
Zakaria berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang hotel berkenaan.
"Kita mengambil masa tiga jam untuk meneliti rakaman CCTV itu dan berjaya mengecam suspek yang tidak menutup muka sedang mengambil barangan daripada beg pelancong berkenaan yang terletak berdekatan mangsa," katanya.
Katanya, hasil siasatan, suspek diberkas di rumahnya pada pukul 3.30 pagi tadi bersama barangan yang dicuri iaitu wang tunai berjumlah RM308 dan kad visa milik pelancong terbabit.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan," katanya.

No comments:

Post a Comment