Wednesday, November 9, 2011

Kastam rampas 14.25kg dadah

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

M. Govinden (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang disorokkan di dalam bagasi pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, Sepang, semalam.
________________________________________


SEPANG 9 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan empat percubaan menyeludup 14.25 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh 24 jam.
Antara kes berjaya ditumpaskan pada Sabtu dan Ahad lepas itu adalah cubaan licik dua warga Eropah menyeludup 8.5kg dadah jenis syabu bernilai RM2.21 juta dalam dua tangkapan berasingan menggunakan bagasi yang direka khas agar tidak dapat dikesan oleh mesin pengimbas.
Pengarah JKDM KLIA, Datuk M. Govinden berkata, suspek pertama melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 53 tahun yang ditahan Sabtu lepas, pada pukul 10.20 malam oleh sepasukan pegawai kastam di KLIA.
"Bagasi suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai itu pada awalnya telah diimbas melalui mesin pengimbas tetapi gagal menunjukkan sebarang imej yang meragukan.
"Setelah diteliti, pegawai kami menemui 4.25kg syabu dianggarkan bernilai RM1.06 juta tersembunyi dalam ruangan yang direka khas pada bahagian bawah bagasi tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Govinden berkata, suspek kedua pula melibatkan penahanan lelaki berusia 42 tahun yang juga merupakan rakan kepada suspek pertama melalui modus operandi sama selang sepuluh minit selepas itu.
"Bagasi suspek kedua ini juga diimbas pada mulanya gagal menunjukkan imej yang meragukan.
"Namun setelah menjalani pemeriksaan yang teliti, dadah dengan berat kuantiti yang sama berjaya ditemui dalam ruang direka khas di bawah bagasinya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga pula melibatkan cubaan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun menyeludup masuk 5.4kg dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM102,600 melalui penerbangan dari Hong Kong pada hari yang sama.
"Penahanan terhadap suspek yang dilakukan pada pukul 1.15 petang itu telah menemui syabu berkenaan disembunyikan di dalam 15 bungkusan putih yang ditutupi dengan karbon dalam sebuah beg tarik," katanya.
Beliau menambah, kes keempat pula melibatkan penahanan seorang lelaki warga Nigeria berusia 33 tahun pada Ahad lepas yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu dengan berat 0.35kg dianggarkan bernilai RM87,500.
Berikutan itu, beliau berkata, mereka semua kini ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang minggu lepas, pihaknya berjaya menangkap enam orang pesalah dalam percubaan membawa masuk dadah melibatkan kuantiti sebanyak 32.46kg dengan nilai hampir RM7 juta.

Mayat kesan tetak di Tanah Perkuburan Cina Sungai Buloh

10/11/2011 2:53am

Oleh ILLAH HAFIZ AZIZ
GOMBAK 10 Nov. – Satu mayat dengan kesan tetak di leher dan perut yang hampir terburai ditemui di kawasan lereng bukit di Tanah Perkuburan Cina Sungai Buloh, di sini, malam tadi.
Mayat yang ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 9 malam itu dipercayai warga asing berusia antara 20 hingga 30 tahun
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek kemungkinan warga asing tetapi penduduk awam serta pekerja asing yang dipanggil untuk melakukan pengecaman tidak mengenali mangsa.
“Kita percaya mangsa telah dibunuh di kawasan itu tetapi tiada pergelutan di kawasan sekitar. Oleh itu siasatan awal mendapati mangsa kemungkinan telah dibawa ke tanah perkuburan ini untuk dibunuh,” katanya, di sini malam tadi.
Jelasnya, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan polis meminta saksi yang melihat kejadian supaya tampil membantu pihak berkuasa. - Utusan

Kumpulan sama larikan mesin ATM - Polis

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Polis percaya kumpulan penjenayah yang melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Maybank cawangan Taman Midah di sini semalam, pernah melakukan jenayah yang sama di sebuah bank di Ampang tahun lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah (gambar), kemungkinan itu dibuat berdasarkan modus operandi yang sama digunakan penjenayah dalam kedua-dua kejayaan berkenaan.
"Kita dapati, penjenayah dalam kedua-dua kes itu memakai topi besbol, menggunakan gas untuk memecahkan cermin bank sebelum menggunakan kabel untuk mengikat dan menarik mesin ATM keluar dari premis berkenaan.
"Ketika ini, kita sedang mengesan jenis kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mesin itu sejauh 10 kilometer sebelum ditemui di Taman Pinggiran, Jalan Hulu Klang semalam," katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kes enam lelaki yang melarikan sebuah mesin ATM sejauh 10 kilometer berisi wang tunai RM316,000 dari Maybank cawangan Taman Midah awal pagi semalam.
Kurang lapan jam selepas kejadian itu, mesin ATM tersebut ditemui, namun semua wang tunai dalam mesin tersebut lesap.
Polis turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung

2011/11/10
GEORGETOWN: Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Amin Firdaus Abdullah membuat keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan awam dan pembelaan tertuduh R Nadarajan, 38, yang meragukan.
R Nadarajan dituduh mengedar dadah seberat 456.3 gram iaitu 238.2 gram heroin dan 218.1 gram monoacetylmorphine.
Dia ditahan di 304 Hotel Prai Jaya, 2791 Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih, Seberang Jaya pada jam 3.30 petang, 30 April 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa, Raya Nur Sarah Dina Baharudin manakala Nadarajan diwakili Latsmanan Punnusamy. - BERNAMA

Polis percaya penemuan tulang ada kaitan kes culik

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Polis percaya penemuan tengkorak dan rangka manusia di sebuah kawasan kebun terbiar di Kampung Bumi Hijau, Kundang, dekat sini, pada 6 Ogos lalu, ada kaitan dengan satu kes culik dan bunuh seorang mangsa yang dilaporkan hilang oleh keluarganya tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan ujian ke atas spesimen tulang tersebut bagi mengenal pasti identiti mangsa.
"Hasil ujian ujian DNA (asid dioksiribonukleik) mendapati tengkorak dan rangka manusia yang ditemui merupakan milik mangsa lelaki berusia 19 tahun dan berketurunan India.
"Ujian itu menunjukkan terdapat persamaan DNA antara spesimen tersebut dengan ahli keluarga mangsa yang membuat laporan kehilangan anak mereka pada 20 Disember lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan merupakan mangsa culik dan bunuh oleh dua suspek yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, kira-kira dua minggu lalu.
"Dua suspek dipercayai turut terlibat dengan beberapa kes jenayah seperti culik dan bunuh di beberapa daerah lain.
"Siasatan awal juga mendapati suspek berkenaan mempunyai kaitan dengan kehilangan mangsa yang dipercayai diculik sebelum dibunuh," katanya.
Kata beliau, pihaknya menjalankan siasatan lanjut kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tengkorak dan rangka manusia berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan kebun terbiar di Kampung Bumi Hijau, Kundang pada 6 Ogos lalu.
Rangka manusia yang ditemui pukul 6.30 petang itu dipercayai telah berada di kawasan tersebut kira-kira lapan bulan lepas berdasarkan siasatan awal polis.

Rompak: Warga emas maut ditikam bertubi-tubi

ALOR GAJAH 9 Nov. - Seorang warga emas maut, manakala seorang pemilik kedai telefon bimbit parah akibat ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki yang merompak dua buah kedai di Kampung Parit Melana di sini, hari ini.
Teh Ah Key, 64, maut setelah ditikam tujuh kali oleh suspek dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang.
Mangsa dikatakan ditikam tiga kali di rusuk kanan, dua kali di pangkal paha serta satu tikaman masing-masing di perut dan dada.
Kira-kira 30 minit selepas kejadian itu, suspek dipercayai lelaki yang sama, telah merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit di Taman Kasawari, Gangsa kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama dan menikam pemilik kedai itu sehingga parah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Sharuddin berkata, suspek yang berusia lewat 20-an menaiki sebuah motosikal ketika merompak kedua-dua premis.
"Di lokasi pertama, berlaku pergelutan antara suspek dan pemilik kedai runcit sebelum dia menikam mangsa bertubi-tubi sehingga mati.
"Bagaimanapun, seorang penduduk ternampak mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah menyebabkan suspek melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Setengah jam kemudian, kata Umar Ali, suspek cuba merompak kedai telefon bimbit di Gangsa mengakibatkan pemiliknya, Alvin Chan Boon Chuan, 32, parah akibat ditikam di rusuk kiri dan kanan.
"Polis percaya dua rompakan ini dilakukan oleh suspek yang sama berdasarkan motosikal dan baju yang dipakainya," kata beliau.
Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua kejadian tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Rompak kakak timbalan menteri

Oleh Nurhasyima Hasim

2011/11/10
Lima termasuk warga Indonesia didakwa

AYER KEROH: Lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan merompak harta milik kakak dan anak saudara seorang timbalan menteri di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, pada 21 September lalu.

Mereka adalah Azlan Azmi, 29, dari Bukit Katil; Mohd Afandi Hassan, 24, dari Bemban; Mohd Nizam Mohd Shahadan, 24, dari Tiang Dua; Mohd Azrul Aminrashid Jasmin, 26, dari Paya Dalam dan Muhamad Yusuf Rahmat, 22, dari Indonesia.
Bagi tuduhan pertama, lima lelaki terbabit didakwa merompak wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah telefon bimbit milik Samidah Yusop, 74, di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, kira-kira jam 11.30 malam.

Pertuduhan kedua pula, kelima-limanya didakwa merompak dua rantai leher emas dan dua cincin milik Rosiah Mansor, 54, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama bagi kedua-dua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Azlan, Mohd Afandi, Mohd Nizam, Mohd Azrul dan Muhamad Yusuf mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua dakwaan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Katar.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahmoodah kemudian menawarkan mahkamah wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh kecuali Muhamad Yusuf.

Ketika merayu jaminan dikurangkan, Azlan memberi alasan terpaksa menanggung seorang isteri dan dua anak manakala Mohd Afandi pula tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kadang kala bergantung kepada bapanya.

Mohd Nizam memohon mahkamah mempertimbangkan dirinya yang terpaksa menjaga ibu yang tinggal berseorangan sementara Mohd Azrul pula tiada pendapatan tetap dan berharap kepada keluarganya untuk menyara hidup.

Abu Bakar kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh kecuali Muhamad Yusuf dan menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan pada 14 Disember ini bagi lantikan peguam.