Wednesday, October 26, 2011

Gadis hilang ditemui mati dibunuh

Oleh FARIK SALLEH
pengarang@utusan.com.my
KOTA TINGGI 26 Okt. - Seorang gadis yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui mati di ruang dapur sebuah rumah, selang tiga pintu dari rumah keluarganya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedili, dekat sini hari ini.
Mangsa, Nurul Atikah Samsiah, 15, yang berpakaian kemeja dan seluar sukan dijumpai pada pukul 6.30 pagi dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.
Selain itu, terdapat kesan seret di permukaan lantai dapur dan sekitar tempat kejadian dipercayai kesan ketika mangsa dibawa masuk ke dalam rumah tersebut oleh pembunuhnya.
Datuk mangsa Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang tinggal di rumah kakitangan Ladang Kambau bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang semalam.
"Ahli keluarga dan jiran mencari mangsa sejak petang dan menemui mayat mangsa pagi tadi di rumah itu.
''Anak saya Rahimah (ibu mangsa) menelefon saya yang tinggal di Kampung Sungai Perepat, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian bahawa mayat Nurul dijumpai," ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi.
Difahamkan rumah tempat mayat mangsa ditemui itu didiami oleh seorang pekerja bujang yang jarang pulang ke rumah kecuali waktu tertentu untuk memasak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik di maklumkan penemuan tersebut diikuti sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan.
Menurut Abdul Samad, pihaknya percaya kes itu dapat diselesaikan dengan tertangkapnya seorang suspek yang merupakan seorang pekerja ladang warga tempatan berusia 41 tahun yang kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas jururawat warga Jepun edar syabu 3.5 kilogram dihukum mati

SHAH ALAM 25 Okt. - Seorang bekas jururawat warganegara Jepun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 3.5 kilogram, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariko Takeuchi, 37, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.
Mariko yang berjaket coklat muda dan berseluar jeans biru terus menangis teresak-esak apabila dimaklumkan tentang hukuman itu oleh seorang jurubahasa Jepun.
Dia juga dilihat menggelengkan kepala beberapa kali apabila cuba ditenangkan serta diminta memperlahankan tangisannya yang agak kuat oleh anggota polis memandangkan mahkamah masih bersidang.
Beberapa media asing dan wakil dari Kedutaan Jepun di Malaysia turut dilihat menghampiri Mariko sebelum wanita itu dibawa keluar menggunakan laluan bahagian belakang mahkamah.
Sementara itu, Hakim Siti Mariah dalam penghakimannya menyifatkan pembelaan tertuduh bahawa dia ke Dubai untuk berjumpa seorang lelaki bernama Alex dan mengambil wang bagi pihak kawan baiknya yang juga teman wanita lelaki itu adalah tidak logik.
Beliau turut mendapati keterangan Mariko bahawa dia berulang alik dari Kuala Lumpur ke Dubai sebanyak lima kali antara September dan Oktober 2009 dengan alasan tambang penerbangan itu lebih murah berbanding tinggal di Dubai, tidak dapat diterima serta mencurigakan.
Begitu juga tindakan tertuduh yang bersetuju menolong membawa beg milik rakan Alex yang tidak diketahui namanya tanpa sebarang syak sedangkan beg tersebut mempunyai berat yang luar biasa walaupun hanya dikatakan berisi pakaian.
Katanya, keterangan pembelaan tertuduh hanya rekaan dan tidak munasabah tanpa sebarang keterangan sokongan apabila dia gagal memanggil kawan baiknya untuk memberi keterangan sedangkan wanita itu tidak perlu takut kerana dia tiada kaitan dengan beg yang mengandungi dadah.
''Mahkamah tidak dapat menolak bahawa aktiviti keluar masuk tertuduh antara Dubai dan Kuala Lumpur sebanyak lima kali adalah dengan tujuan tertentu. Wang yang dibelanjakan untuk berulang alik lebih baik diberikan kepada kawan baiknya.
''Mahkamah juga tidak dapat menerima keterangan tertuduh bahawa beg itu tidak berkunci. Tidak ada sebab untuk saksi dalam kalangan pihak penguatkuasaan berbohong atau menganiaya tertuduh apabila mengatakan melihat dia yang membuka mangga (beg).
''Juga tidak munasabah untuk tertuduh menaiki penerbangan antarabangsa tanpa mengunci beg,'' kata beliau.
Mariko didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 9.55 malam, 30 Oktober 2009.
Wanita yang berasal dari Tokyo itu dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun dan Aimie Yusreena Yunus manakala Mariko diwakili peguam Mohd. Rafik Rahem.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam orang saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Penduduk parah dibelasah warga Nepal

MOHD. Zamri Alias (kiri) menunjukkan tangannya yang patah kepada Mohamed Arim akibat dibelasah warga Nepal di Pangsapuri Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
________________________________________


JOHOR BAHRU 26 Okt. – Niat baik seorang penduduk Tanjung Puteri Apartmen Resort, dekat sini, menegur sekumpulan warga Nepal yang membuat bising dan mabuk di kawasan kediaman membawa padah apabila dia dipukul sehingga cedera, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohd. Zamri Alias, 40, dibelasah kira-kira lima warga Nepal sehingga patah tangan kanan, patah gigi, calar dan bengkak di bahagian telinga serta diberi cuti sakit oleh pihak hospital selama 14 hari.
Mohd. Zamri berkata, dia menegur kumpulan pekerja asing tersebut yang membuat bising selain mabuk di kawasan terbuka kerana boleh mengganggu ketenteraman penduduk lain.
“Bila saya cakap sahaja macam itu, salah seorang daripada mereka menolak saya sehingga jatuh dan terus memukul saya bertubi-tubi. Waktu itu saya tidak ingat apa kerana hanya mampu melindungi muka daripada dipukul.
“Ketika dipukul itu juga, salah seorang daripada mereka mengugut akan membunuh saya. Saya menjerit meminta tolong dan syukurlah ada beberapa penduduk setempat segera memberi bantuan dan meleraikan pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Mohd. Zamri yang bekerja sebagai penyelenggara landskap Tanjung Puteri Golf Resort itu berkata, kejadian tersebut pertama kali berlaku di kawasan kediamannya yang mempunyai 16 blok bangunan.
Menurutnya, warga asing yang menetap di kawasan itu sering membuat kacau seperti bising dan mabuk terutama ketika cuti umum dan hari minggu.
“Lepas minum, mereka membiarkan sahaja botol dan tin minuman di merata-rata tempat dan ia mengundang rasa kurang selesa kepada penduduk terutama mereka yang mempunyai anak-anak berusia empat hingga 12 tahun.
“Kanak-kanak yang baru nak mengenal dunia itu bukan tahu ia baik atau buruk. Ada pernah terjadi kaki seorang kanak-kanak terkena serpihan kaca botol minuman keras yang dibuang merata-rata,” katanya.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Tanjung Puteri Apartmen Resort, Mohamad Arim meminta majikan kepada pekerja asing tersebut mengambil inisiatif memberi penjelasan tentang adat dan budaya masyarakat di negara ini.
“Kita harap ia kejadian pertama dan terakhir yang berlaku di sini. Pihak majikan wajar mengambil tahu perihal mereka di sini dan mengambil tindakan terhadap mereka sekiranya bersalah.
“Ini kerana keselamatan penduduk sering kali terancam dengan perbuatan kumpulan pekerja asing yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Dua pemuda rempuh sekatan diberkas

KEPALA BATAS 26 Okt. 2011 - Polis terpaksa mengejar sebuah kereta dinaiki dua pemuda sejauh kira-kira 12 kilometer selepas kenderaan itu merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Dua dekat sini hari ini, sebelum berjaya menahannya.
Pegawai Turus Unit Peronda Polis Negeri, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, pihaknya mengesan kereta Proton Wira itu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.
Namun, ujarnya, pemandu kereta terbabit terus memecut kenderaan itu menghala ke utara dan merempuh palang tol.
"Unit Peronda Elit Evolution X Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang terpaksa mengejarnya dan menahan kereta terbabit pukul 8.15 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya yang berusia 20-an mengaku datang dari Pendang, Kedah untuk berhibur di Pulau Pinang sempena Deepavali selain mendapatkan bekalan dadah daripada pembekal di negeri ini.
"Pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui satu peket serbuk kristal dipercayai syabu yang disorokkan di dalam kereta. Ia dipercayai untuk dijual di sekitar Pendang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rohizad, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan juga dadah.
Katanya, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sunday, October 23, 2011

Samun: Warga emas cedera ditoreh penagih

ABDUL Ghani Jusoh menunjukkan kecederaan di bahu serta dada kirinya akibat kejadian samun di Kampung Gong Nangka, Besut, Terengganu, kelmarin.
________________________________________

BESUT 23 Okt. - Seorang warga emas cedera di bahu dan dada kirinya akibat ditoreh dengan parang bengkok oleh seorang penagih dadah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Gong Nangka dekat sini malam tadi.
Abdul Ghani Jusoh, 69, yang tinggal bersama isterinya yang lumpuh ketika itu baru hendak melelapkan mata sebelum terdengar bunyi seakan-akan gelas pecah dari arah dapur.
Mangsa pada mulanya menyangka bunyi itu disebabkan oleh kucing namun sebaik sahaja bunyi itu sekali lagi terdengar, dia meluru keluar dari bilik dan terserempak dengan suspek berusia 27 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, suspek kemudian menerpa ke arah mangsa sambil memegang dua bilah parang milik Abdul Ghani yang diambil dari dapur.
Mangsa ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini memberitahu, dia terpaksa mempertahankan diri sebaik sahaja melihat suspek memegang dua bilah senjata.
Katanya, dalam pergelutan itu, dia tiba-tiba terasa sakit di bahagian bahu dan dada sebelum menyedari kedua-dua bahagian itu ditoreh dengan parang oleh suspek yang terus melarikan diri sebaik sahaja menumbuknya di muka.
Dia mengalami pendarahan yang banyak dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira sejam kemudian.
Berikutan kejadian itu, Abdul Ghani terpaksa menerima lapan jahitan dan dibenarkan pulang tengah hari ini sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, suspek meninggalkan telefon bimbit dan jam tangan miliknya.
Polis katanya, dengan kerjasama penduduk kemudian berjaya menahan suspek pada pukul 8.10 pagi ini ketika dia menyorok dalam semak di Kampung Bukit Kenak, kira-kira 2 kilometer dari tempat kejadian.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Pacakan, Pasir Putih, Kelantan cuba melawan menggunakan sebilah parang namun berjaya diberkas.
"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, dia didapati positif mengambil dadah jenis methamphetamine dan kini direman di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," kata beliau.

Rumah juruterbang TUDM sekali lagi disamun, bakar

Beginilah keadaan rumah Azhar Mohamad yang dibakar sekumpulan penyamun di Taman Tasik Kesuma, Semenyih, semalam.
________________________________________


HULU LANGAT 23 Okt. - Penghujung September lalu, Leftenan Kolonel Azhar Mohamad kerugian kira-kira RM20,000 setelah rumahnya di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih di sini disamun dan dibakar oleh sekumpulan penjenayah.
Dan 24 hari kemudian, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 46 tahun terbabit sekali lagi diuji apabila rumahnya disamun penjenayah dipercayai yang sama dan turut membakar keseluruhan rumahnya mengakibatkan dia kerugian RM500,000.
Kejadian menimpa Pegawai Laksana Pangkalan Udara di Gong Kedak, Jertih, Terengganu itu adalah kes kesembilan berlaku di kawasan Semenyih dan Kajang tahun ini dan ke-16 dalam tempoh dua tahun.
Mujurlah semasa kejadian pada pukul 2 pagi ini, rumah itu kosong kerana Azhar bersama isterinya berada di Terengganu manakala seorang anak mereka bermalam di rumah ibunya dan dua lagi tinggal di asrama.
Menurut Azhar, rumah berkembar dua tingkat yang dibeli pada 2006 itu disamun dan dibakar penjenayah pada 30 September lalu menyebabkan dia kerugian RM20,000 apabila suspek melarikan barang kemas dan perhiasan rumah diperbuat daripada tembaga.
"Suspek masuk melalui belakang dengan mengumpil pintu jeriji bilik tidur di tingkat bawah lalu menggeledah rumah, membakar ruang tamu, bilik tidur utama dan kedua sebelum melarikan barang-barang berharga.
"Dalam proses menguruskan tuntutan insurans bagi kebakaran pertama itu, saya tidak sangka penjenayah sama akan kembali menyamun dan membakar rumah saya pagi ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Azhar berkata, beliau mengetahui rumahnya sekali lagi terbakar setelah dihubungi jirannya, Kapten (B) Kamarunsaman Awang kira-kira pukul 3 pagi.
Katanya, beliau dan isteri terus mendapatkan penerbangan pertama dari Kota Bharu, Kelantan untuk pulang ke rumah mereka dan amat sedih apabila melihat semua barangan dalam rumah sudah menjadi abu.
Kamarunsaman pula berkata, beliau pada mulanya menyangka bunyi percikan api dari rumah jirannya itu adalah perompak yang ingin memecah masuk ke rumahnya sehinggalah ternampak api menjulang naik melalui tingkat atas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz ketika melawat tempat kejadian memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk dan polis untuk membincangkan cadangan supaya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di semua taman perumahan menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Saya difahamkan, kejadian menimpa Azhar adalah kes ke-16 yang berlaku di Kajang dan Semenyih dalam tempoh dua tahun," katanya sambil mengingatkan semua penduduk supaya melahirkan rasa bimbang dengan kejadian tersebut.