Friday, September 23, 2011

Lelaki parah diseksa kumpulan penculik

2011/09/23

MOHD Azufaizal menunjukkan kecederaannya selepas didera sekumpulan lelaki tidak dikenali di Kampung Bukit Mata Gergaji, Besut.
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki diseksa hingga parah selama sejam selepas diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Batang Gergaji, Besut, Isnin lalu.

Mangsa, Mohd Azufaizal Ab Manah, 28, dari Kampung Buluh, Setiu, putus jari manis kanan, hampir putus telinga kiri, patah tangan kanan dan cedera di muka, tengkuk serta belakang badannya, dipercayai ditetak dan dikelar menggunakan senjata tajam.
Bapa mangsa, Ab Manah Muhammad, 52, berkata kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika anaknya berehat di rumah neneknya di Kampung Buluh, Setiu.
Beliau mendakwa, ketika menonton televisyen, sekumpulan lelaki tidak dikenali datang menculik Mohd Azufaizal dan dibawa ke satu tempat di Kampung Batang Gergaji.

“Anak saya dipukul termasuk ditetak dan dikelar badannya dengan senjata tajam termasuk di muka dan tengkuk serta diugut tidak melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum dihantar orang tidak dikenali ke rumah rakannya di Kampung Tasik, Setiu.

“Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Setiu (HS) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan,” katanya di pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, semalam.

Ab Manah berkata, dia tidak tahu motif kejadian itu tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan rasa tidak puas hati pihak terbabit.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Syeksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Katanya, polis menahan tiga lelaki berumur 28, 36, dan 45 tahun untuk membantu siasatan dengan seorang daripada mereka adalah rakan mangsa.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu seorang lagi lelaki berusia 34 tahun yang disyaki suspek utama kejadian itu.

“Siasatan awal polis juga mendapati semua suspek terbabit positif dadah,” katanya.

Tuesday, September 20, 2011

Peniaga kedai kopi diserang kumpulan lelaki mabuk

21/09/2011 2:27am

PULAU PINANG 21 Sept. – Seorang pemilik kedai kopi cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang dipercayai mabuk di Lorong Delima 5, Greenlane di sini malam senmalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku setelah peniaga tersebut menegur sekumpulan lelaki yang membuat bising tidak jauh dari kedainya.
Mangsa yang berusia 60 tahun cedera teruk di pergelangan tangan termasuk seluruh anggota badan akibat dipukul tujuh lelaki berkenaan.
Selain dipukul tanpa belas kasihan, suspek turut melarikan wang tunai bernilai RM1,000 dari mesin juruwang di premis itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa didatangi sekumpulan lelaki berusia antara 18 hingga lingkungan 20-an yang bersenjatakan parang dan kayu ketika mangsa sedang berniaga.
Beliau memberitahu, suspek turut bertindak membaling kerusi dan meja di premis terbabit sebelum salah seorang daripada mereka datang menyerang mangsa.
“Mangsa kini di rawat di Hospital Pulau Pinang. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati kesemua suspek memakai topi keledar,” katanya di sini semalam.
Selain itu, sebatang besi keluli turut ditemui anggota unit forensik di lokasi kejadian.
Polis sudah mengenal pasti identiti kesemua suspek yang berasal dari Gelugor dan Padang Tembak.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata ketika merusuh. – Utusan

Empat 'Geng Dol' mati ditembak polis

Mohd. Shukri Dahlan menunjukkan pistol dan parang dalam kejadian samun yang melibatkan warga asing di IPD Ipoh, Perak, semalam.
________________________________________


IPOH 20 Sept. - Polis percaya dapat menyelesaikan sejumlah 18 kes samun di beberapa buah daerah di negeri ini termasuk di sini, Batu Gajah, Sungai Siput, Manjung dan Perak Tengah dengan tumpasnya empat penjenayah warga asing yang ditembak mati malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, empat lelaki warga asing yang dikenali sebagai 'Geng Dol' itu ditembak mati setelah cuba menyerang anggota polis sebaik sahaja kenderaan yang mereka naiki terperangkap di jalan mati di Kampung Changkat Larang, Batu Gajah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu dinaiki empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan ke atas kereta tersebut di tepi jejantas jalan Kampung Changkat Larang, pemandu kereta itu terus memecut.
"Sebaik sahaja tersekat ketika dikejar, kereta tersebut kemudian cuba mengundur dengan laju dan melanggar kereta pasukan polis di bahagian hadapan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Shukri berkata, seorang suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah kereta polis sementara tiga lagi keluar dari kenderaan dengan bersenjatakan parang panjang untuk menyerang anggotanya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
Beliau berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan balas ke atas suspek bagi mempertahankan diri menyebabkan keempat-empat mereka mati di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan, polis mendapati kereta itu adalah kereta curi.
"Selain itu, polis menemui dua unit komputer riba, satu telefon bimbit, pelbagai jenis barang kemas, tiga utas jam tangan, sepucuk pistol buatan sendiri, tiga bilah parang serta wang tunai bernilai RM1,870 di dalam kenderaan dinaiki mereka," katanya.
Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa samun oleh kumpulan itu tampil membuat pengecaman barang curi tersebut pada pukul 5.30 pagi tadi untuk mengesahkan sebahagian daripada barang itu miliknya.

Lelaki mati ditembak dalam bilik hotel, tiga suspek diburu polis

ANGGOTA polis mengangkat mayat Mohd. Nasir Ishak yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah, semalam.
________________________________________


SUNGAI PETANI 20 Sept. - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala manakala tangan serta kakinya diikat dengan tuala di sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah di sini hari ini.
Mayat Mohd. Nasir Ishak, 35, dari Kampung Tengah Abi, Perlis ditemui berlumuran darah di atas katil dalam sebuah bilik di tingkat tiga oleh kakitangan hotel kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, mangsa yang memakai seluar panjang dan tidak berbaju dipercayai mati beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.
"Mangsa mati kerana mengalami pendarahan yang teruk selepas terkena tembakan di kepala. Polis bagaimanapun belum menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak hotel menghubungi polis sebaik sahaja menemui mayat mangsa.
Beliau berkata, sebelum itu kakitangan hotel membuat panggilan beberapa kali ke bilik mangsa namun tiada jawapan.
Setelah mengesyaki sesuatu, katanya, mereka menggunakan kunci utama untuk memasuki bilik dan menjumpai mayat mangsa kemudian.
Mohd. Zakaria itu memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu.
Selain itu, katanya, polis yang memeriksa mayat itu mendapati tiada barangan mangsa hilang.
Beliau memberitahu, Mohd. Nasir dikatakan menginap di hotel tersebut sejak petang semalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

OKU cedera ditumbuk perompak

Oleh Izwan Jaafar
bhnews@bharian.com.my
2011/09/21

MOHD RIDWAN menunjukkan bagaimana dia tersungkur selepas dibelasah perompak.
Penjenayah acu parang rampas beg sandang, ragut rantai adik permpuan

KUALA LUMPUR: Bukan hanya diacukan parang, seorang lelaki kurang upaya (OKU) turut ditumbuk dan ditendang sekumpulan enam penjenayah bertopeng dalam kejadian rompakan di depan rumahnya di Jalan Marmar 2, Taman Melewar, di sini, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Mohd Ridwan Razali, 28, yang juga adik ipar wartawan ekonomi Berita Harian, Mohd Zin Ali, sedang membantu kakak dan adiknya memunggah barang perniagaan ke dalam kereta di depan rumah, manakala ibu mangsa, Saadiah Karim, 57, berada di bilik tidur.
Saadiah berkata, kejadian berlaku ketika beliau berbaring merehatkan diri selepas menunaikan solat Zohor sebelum terdengar suara seperti berlaku pergaduhan di depan rumah dan terus bergegas keluar.

“Saya terkejut melihat seorang lelaki sedang mengacukan parang pada leher Mohd Ridwan, manakala lima lagi sedang menunggu di luar rumah dengan motosikal.

“Dua lagi anak perempuan saya berlari masuk dalam rumah menyelamatkan diri, tetapi seorang daripada penjenayah itu berjaya merentap rantai leher yang dipakai anak saya itu,” katanya.

Saadiah berkata, ketika itu juga, dua lagi penjenayah meluru ke arah mereka sambil mengacukan parang, menyebabkannya tergamam.
“Penjenayah itu mengugut mahu menetak saya anak beranak jika melawan sebelum meminta kami menyerahkan cincin dan gelang tangan yang dipakai.

“Pada masa sama, saya turut melihat Mohd Ridwan tersungkur di tepi longkang rumah dalam keadaan kesakitan akibat dibelasah,” katanya.

Beliau berkata, beg sandang milik Mohd Ridwan yang mengandungi beberapa dokumen penting dan kunci kereta turut dirampas, menyebabkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM8,000.

“Walaupun kami selamat dan kejadian itu berlaku dalam masa lima minit, tetapi ia menyebabkan kami sekeluarga trauma,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ridwan bersama kakak dan adiknya membuat laporan di Balai Polis Setapak sejurus selepas kejadian.

Bunuh pegawai: 3 ditahan, 6 diburu

KOTA KINABALU 19 Sept. - Tiga lelaki tempatan ditahan manakala enam lagi diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pegawai kanan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Ali Jamal di Lahad Datu dekat sini, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia awal 20-an ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian itu di sekitar Lahad Datu.
Menurutnya, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa daripada suspek utama kes ini, selain menemui kesan darah pada baju yang dipakai suspek.
"Polis turut mengesan enam lagi suspek lain yang terlibat dalam kes pukul dan bunuh pegawai kanan itu. Kesemua identiti mereka sudah dikenalpasti," katanya.

Wanita mati ditikam pengkid

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

ANGGOTA polis memeriksa tempat kejadian seorang wanita maut selepas ditikam pengkid dalam kejadian di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT
________________________________________


SUNGAI PETANI 19 Sept. - Akibat cinta tiga segi, seorang wanita maut dipercayai selepas ditikam kekasihnya iaitu seorang pengkid.
Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku di ruang tamu rumah sewa pasangan tersebut di Taman Semarak Fasa 1, di sini.
Ketika kejadian, mangsa, Suriani Md. Saad, 29, berada di rumah itu bersama kekasihnya yang berusia 25 tahun.
Kedua-dua mereka dikatakan bertengkar dan keadaan menjadi agresif apabila suspek mengeluarkan pisau memotong buah lalu menikam mangsa berkali-kali.
Dalam pergelutan itu, suspek turut cedera parah di dada dan cuba melarikan diri namun rebah di hadapan rumah jirannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, dengan bantuan orang ramai, suspek dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan.
Menurut beliau, pihaknya percaya kejadian bermotifkan cemburu dan siasatan polis kini menjurus ke arah itu.
"Polis menemui pisau yang dipercayai dijadikan sebagai senjata pembunuhan. Dengan penahanan suspek di hospital, polis menganggap kes ini selesai," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, malam ini.
Menurut Mohd. Zakaria lagi, pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Yan itu ditikam sebanyak dua kali di perut.
"Berdasarkan keterangan jiran, kedua-dua mereka bekerja di sebuah kilang berdekatan dan menyewa rumah di situ sejak empat tahun lalu," katanya.

Sunday, September 18, 2011

Bunuh kontraktor: Lima ditahan

KLUANG 18 Sept. - Polis menahan lima suspek termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan pembunuhan seorang kontraktor syarikat perkapalan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tangkapan terakhir dilakukan pada 14 September lalu.
"Dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
"Kita turut menahan dua suspek wanita di Kedah pada 10 September lalu yang dipercayai terlibat dalam merompak mangsa," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Sembrong di sini hari ini.
Media melaporkan pada 8 September lalu, empat penyamun bersenjatakan parang telah menceroboh masuk rumah mangsa, S. Vijayaratnam, 47, di Seri Alam, Johor Bahru.
Mangsa yang sedang bersembahyang di rumahnya telah ditetak beberapa kali oleh penjenanah tersebut sehingga maut. Isteri mangsa turut ditetak dan telah dihantar untuk dirawat di hospital.
Mohd. Mokhtar berkata, polis menyiasat kes itu dari semua aspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran.

Orang minyak' disyaki tidak siuman

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Lelaki warga Indonesia yang berbogel seperti 'orang minyak' dan mengganggu sebuah keluarga di tingkat bawah perumahan di Flat Pinggiran Putra, Batu Caves, Selayang, awal pagi semalam, disyaki tidak siuman.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ini berikutan tindakan pemuda berusia lingkungan 20-an itu sanggup berbogel dan menunjukkan aksi silat di hadapan rumah tersebut.
"Bagaimanapun, polis masih lagi menjalankan siasatan dan sedang mengenal pasti motif lelaki itu.
"Kita juga akan serahkan kepada pihak hospital bagi menentukan tahap kesihatan mentalnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, seorang remaja perempuan dari keluarga yang diganggu tersebut, Nurul Afikah Adla, 14, berkata, sebelum kejadian itu, lelaki terbabit juga dilihat berlari dalam keadaan bogel pada awal pagi kelmarin.
"Saya melihat lelaki itu berlari dalam keadaan berbogel semasa menjemur pakaian kira-kira pukul 8 pagi (kelmarin)," katanya.