Thursday, August 4, 2011

Sempat pesan ikan bakar sebelum ditemui mati

Kawasan tempat tinggal Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya dipercayai dibunuh di Ipoh, semalam.
________________________________________

IPOH 4 Ogos - Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim, sempat memesan ikan bakar sebagai juadah berbuka puasa semalam, sebelum ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapuri miliknya, awal pagi tadi.
Seorang bekas rakan sekerjanya, Roslizan Nikmat, 45, berkata, Rohani, 38, memesan kepadanya agar membelikan juadah tersebut untuk berbuka puasa semalam.
Menurut Roslizan, kali terakhir dia menerima panggilan daripada mangsa adalah pukul 4.15 petang sebelum gagal menghubunginya sekitar pukul 7.30 petang ke 8.30 malam.
"Saya ke rumahnya dalam pukul 7.15 petang untuk menghantar juadah itu tetapi apabila pintu diketuk, tidak berjawab. Saya kemudian menyangkutkan makanan itu di pintu di luar rumah mangsa.
"Tetapi, saya tidak sedap hati apabila melihat tingkap di luar dalam keadaan terbuka. Saya ada bertanyakan dua lelaki yang lalu di situ dan mereka kata mungkin dia (Rohani) keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, kakak mangsa, Ruzaina Kasim, 41, berkata, kali terakhir Rohani pulang ke kampung iaitu di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, ketika menyambut hari pertama berpuasa iaitu Isnin lalu.
Menurut Ruzaina, ketika itu, anak ketujuh daripada 10 beradik itu ada menceritakan bahawa rumahnya dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15,000.
"Dia (Rohani) memang tinggal seorang, kami memang hendak menjenguknya tetapi tidak sempat lagi kerana dia kata mempunyai banyak kerja dan jarang bersembang mengenai hal peribadi.
"Dia ada mengatakan sibuk menguruskan kes bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif," katanya.
Ibunya, Sharifah Razali, 72, pula berkata, Rohani tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga kembali ke Ipoh pada Isnin lepas selepas sahur bersama.
Menurut Sharifah, dia yang diberitahu mengenai kematian anaknya pagi ini, bergegas ke Ipoh untuk menuntut jenazah Rohani tanpa ditemani suaminya, Kasim Idris, 76, yang mengalami sakit usus.

2 lelaki ditahan bantu kes bunuh Rohani Kassim

IPOH 4 Ogos - Polis menahan dua lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat unsur jenayah.
Katanya, mayat Rohani, 38, ditemui dalam gulungan tilam oleh pengawal keselamatan di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, kira-kira pukul 4.30 pagi.
"Mangsa dipercayai mati dicekik dan polis masih menyiasat kes ini dengan teliti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Dzuraidi ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, motif kes masih disiasat memandangkan tiada sebarang kerugian yang dialami mangsa sekiranya ia melibatkan kes samun.
Beliau turut menolak kemungkinan kes itu bersangkut paut dengan bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif.
Mangsa yang masih bujang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sini bermula 1 Julai lalu selepas berkhidmat sebagai pegawai pendaftar di Kolej Pertanian Sintok, Kedah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Supritendan A. Nirmala di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2531500.

Remaja ditahan curi wang pelancong Perancis

JERANTUT 4 Ogos - Hanya lapan jam selepas mencuri wang dan dokumen perjalanan milik seorang pelancong warga Perancis dari sebuah hotel bajet di sini semalam, suspek yang merupakan remaja berusia 18 tahun berjaya diberkas polis.
Kejadian pada pukul 7.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Julie Dordilly, 26, melayari Internet di lobi hotel bajet terbabit dan hanya menyedari mengenai kehilangan itu ketika hendak membuat pembayaran.
"Puas saya mencari di semua tempat termasuk di bilik hotel dan dalam beg selain bertanyakan rakan, namun hampa.
"Dalam keadaan cemas memikirkan wang dan dokumen penting lesap, saya melaporkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Jerantut, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jerantut, Asisten Supritendan Tey Kong Seng.
Menurut Dordilly, dia sepatutnya berlepas ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini hari ini, namun terpaksa menangguhkannya disebabkan insiden itu.
"Saya amat berterima kasih kepada anggota polis yang bertungkus-lumus mengesan suspek dan mendapatkan semula wang serta dokumen penting," tambahnya.
Zakaria berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang hotel berkenaan.
"Kita mengambil masa tiga jam untuk meneliti rakaman CCTV itu dan berjaya mengecam suspek yang tidak menutup muka sedang mengambil barangan daripada beg pelancong berkenaan yang terletak berdekatan mangsa," katanya.
Katanya, hasil siasatan, suspek diberkas di rumahnya pada pukul 3.30 pagi tadi bersama barangan yang dicuri iaitu wang tunai berjumlah RM308 dan kad visa milik pelancong terbabit.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan," katanya.

Pelatih RTM, adik cedera diragut

KOTA BHARU 4 Ogos - Baru lima hari dua beradik cedera diragut di Terengganu, kisah hampir sama berlaku hari ini, apabila dua lagi beradik menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal di bulatan Kampung Kota, dekat sini.
Kejadian pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan untuk menjalani latihan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sebuah syarikat perunding.
Mangsa Siti Farizat Mustapha, 22, cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala kakaknya, Siti Sariza, 23, menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Siti Sariza berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya yang dalam perjalanan dengan motosikal tiba-tiba dihampiri dua lelaki juga bermotosikal yang dengan pantas meragut beg tangannya.
"Selepas diragut, saya gagal untuk mengawal motosikal sehingga menyebabkan kami berdua terjatuh dan adik saya tersungkur," ketika ditemui pemberita di wad kecemasan HRPZ II dekat sini, hari ini.
Siti Sariza ialah pelatih di RTM di Wakaf Che Yeh manakala adiknya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang membuat latihan praktikum di sebuah syarikat perunding di Telipot.
Dalam kejadian di Kuala Terengganu, 30 Julai lalu, dua beradik cedera dalam nahas ketika mengejar peragut di sini. Mangsa, Maleha Malik, 24, hampir putus tangan kanan manakala adiknya, Maizatul Akmal, 23, pula koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Siti Sariza yang juga pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia memberitahu, ekoran kejadian itu dia kehilangan wang tunai RM120, dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit.
Sementara itu, adik mangsa Siti Farizat berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas.
"Apa yang saya ingat, kakak menjerit dan meminta saya memberhentikan motosikal. Lepas itu saya tak ingat apa yang berlaku.
"Sedar-sedar saya sudah berada di dalam ambulans," ujarnya yang mengalami kecederaan di muka, tangan dan lulut serta sakit pada bahagian kepala.
Dalam pada itu, Ketua Balai Polis Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Polis kenal pasti identiti mayat dikerat

Oleh ABDUL HAKIM RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Penemuan anggota badan manusia yang dikerat-kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah di Apartmen Astaria di Taman Kosas, Ampang, semalam, dikenal pasti sebagai mayat seorang wanita dewasa dan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, identiti kedua-dua mayat itu dikenal pasti hasil bedah siasat yang dijalankan pihak hospital.
“Mayat ditemui merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun di dalam beg plastik. Satu lagi mayat ialah seorang wanita dewasa yang anggota badannya dikerat.
“Polis telah mengambil cap jari wanita dewasa berkenaan untuk semakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Amiruddin, polis bagaimanapun masih lagi menunggu laporan penuh untuk mengenal pasti bangsa dan identiti kedua-dua mayat berkenaan.