Thursday, May 26, 2011

Cedera dilibas budak dengan benda tajam

Cedera dilibas budak dengan benda tajam


AZLINA Ahmad mangsa kelar seorang kanak-kanak di Seri Era Apartment, Desa Latania, Seksyen 36 Shah Alam, kelmarin.
________________________________________

SHAH ALAM 26 Mei - Seorang gadis cedera di tangan kiri dan muka setelah dilibas dengan benda tajam dipercayai pisau lipat oleh seorang budak berusia 12 tahun di tempat letak kenderaan rumahnya di Apartmen Seri Era, Desa Latania Seksyen 31 di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa, Azlina Ahmad, 24, berada dalam keretanya sementara budak itu yang merupakan jirannya sedang menunggu ketibaan bas sekolah.
Difahamkan, murid tahun enam itu bertindak demikian kerana tertekan akibat sering dibuli oleh rakan sebayanya.
Azlina ketika ditemui berkata, semasa dia baru menghidupkan enjin kereta dengan cermin tingkap terbuka, kanak-kanak itu tiba-tiba menghampirinya.
"Dia bertanya adakah saya kenal mana-mana tukang urut yang boleh mengurut ibunya yang sedang sakit dan saya berjanji untuk menolongnya mencari tukang urut.
"Tiba-tiba, budak itu mengeluarkan sesuatu daripada poket belakang sebelum melibas-libaskan benda tajam ke arah muka saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azlina kemudian segera memandu kenderaannya ke arah surau berhampiran sebelum menghubungi abang iparnya, Amin Olah, 28, untuk memaklumkan kejadian itu.
Dia yang baru setahun tinggal bersama Amin dan kakaknya, Zuraina, 29, di Seri Era Apartment kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebelum membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam.
Kejadian tragis itu menyebabkan dia kini takut untuk memandu kenderaan bersendirian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Dadah RM2j: 7 lelaki, 2 wanita didakwa

Dadah RM2j: 7 lelaki, 2 wanita didakwa
GEORGETOWN 26 Mei - Tujuh lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan berasingan mengedar dan memiliki dadah bernilai lebih RM10 juta, kira-kira dua minggu lalu.
Bagi kes pertama, Tan Beng Tatt, Ooi Kean Wah, Koay Heng Chong, Fiteli Mohamat Saadin, Lisa Md. Kassim dan Mastura Mohd. Fudzi dituduh mengedar 2,015 gram methamphetamine di Blok 77-23A-5 Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat di sini pada pukul 7.30 malam, 12 Mei lalu.
Beng Tatt, 48, Kean Wah, 42, Heng Chong, 27, Fiteli, 40, Lisa, 28, dan Mastura, 20, juga dituduh mengedar 15,261 gram heroin pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Beng Tatt dan Kean Wah juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar 18,071 gram methamphetamine, 54,539 gram cecair methamphetamine dan 9,817 gram ketamine pada pukul 9.20 malam di tempat dan hari yang sama.
Kean Wah juga menghadapi satu lagi pertuduhan bersama-sama Tan Choo Seng, 35, mengedar 4,855 gram heroin di Taman Lembah Sungai, Jalan S.P. Chelliah di sini pada pukul 10.30 malam pada hari yang sama.
Dalam kes kedua, Keong Gim Chye, 51, dan Ng Chun Haw, 31, dituduh mengedar 32,387 gram heroin di Lengkok Lumba Kuda Air Itam di sini, pada pukul 7.45 malam, 12 Mei lepas.
Kedua-dua mereka turut menghadapi dua lagi pertuduhan mengedar 965 gram amphetamine dan 18 gram methamphetamine pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kesemua mereka hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof dan tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh. - BERNAMA

Pelajar cedera telinga dibelasah 20 rakan

Pelajar cedera telinga dibelasah 20 rakan


TELINGA kiri Abdul Rahman Abdul Ghani koyak akibat terkena cermin tingkap selepas dibelasah sekumpulan pelajar, kelmarin.
________________________________________

KUALA TERENGGANU 26 Mei - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini mendakwa cedera di telinga kiri dan terpaksa menerima tujuh jahitan selepas diserang sekumpulan 20 pelajar sekolah yang sama, semalam.
Selain cedera di telinga, Abdul Rahman Abdul Ghani, 14, dari Kampung Bukit Kandis dekat sini turut mengalami luka di belakang badan setelah dipukul dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik- beradik baru memasuki kelas petang di sekolahnya.
Abdul Rahman mendakwa, sekumpulan pelajar tingkatan dua tiba-tiba menghampirinya yang kemudian bertindak memukul dan menendangnya, menyebabkan dia terjatuh selain telinga kirinya tersangkut pada cermin kelas.
Berikutan kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan terpaksa menerima tujuh jahitan setelah telinga kirinya terkoyak.
Susulan kejadian itu, mangsa bersama abangnya membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Utusan Malaysia difahamkan, polis telah menahan seorang pelajar sekolah tersebut pada petang hari kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Ngah, 54, ketika ditemui di rumahnya berkata, dia terkejut dan hampir pengsan sejurus melihat kecederaan teruk yang dialami anaknya itu sebaik sahaja dia pulang ke rumah.
"Ketika dia pulang, baju sekolahnya dipenuhi darah. Saya sedih dengan kejadian yang menimpanya," ujarnya.

Monday, May 23, 2011

Lagi kejadian simbah cecair

Lagi kejadian simbah cecair
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Mei – Sejak beberapa hari lalu, kes simbah cecair dipercayai asid di sekitar Lembah Klang dilihat kian reda namun, ia dikatakan kembali berlaku di ibu negara pada Jumaat lalu.
Modus operandi suspek dalam kejadian terbaru ini adalah sama dengan lelaki bermotosikal yang kini diburu polis kerana terlibat dalam 22 kes menyimbah asid terhadap wanita sebelum ini.
Namun, suspek kali ini tidak menggunakan cecair asid sebaliknya, cecair berwarna merah yang tidak mendatangkan kesan kecederaan kepada mangsa.
Sumber berkata, kejadian terbaru itu dilaporkan berlaku di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Jalan Silang pada pukul 7 pagi Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, katanya, seorang kakitangan wanita sebuah bank berusia 28 tahun telah disimbah cecair berwarna merah oleh seorang lelaki bermotosikal ketika memandu kereta melalui jalan berkenaan.
“Suspek dikatakan menghampiri kereta Proton Persona dipandu mangsa sebelum menyimbah cecair merah ke arah kenderaannya.
“Simbahan cecair itu bagaimanapun tidak terkena mangsa kerana semasa kejadian, dia tidak menurunkan cermin kenderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Subang Jaya dekat sini bagaimanapun hanya membuat laporan mengenai insiden tersebut di Balai Polis Subang Jaya kelmarin.
Beliau berkata, kes berkenaan kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memandangkan kejadian dilaporkan berlaku di ibu negara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Siasatan yang dijalankan mendapati cecair digunakan dalam kejadian itu bukan asid atau bahan kimia tetapi hanya air berwarna merah.
“Motif suspek menyimbah cecair terbabit masih disiasat termasuk jika ia mempunyai kaitan dengan suspek yang sedang dicari kerana terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair sebelum ini atau individu lain yang mahu meniru modus operandi sama,” katanya.

Wednesday, May 18, 2011

Bakar bit polis: Empat lelaki dihadapkan ke mahkamah

Bakar bit polis: Empat lelaki dihadapkan ke mahkamahMei 19, 11 1:21pmKongsi 0Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan membakar Pondok Kawalan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Merak, Simpang Ampat, dekat Butterworth minggu lalu.

M Parameswaran, 32, M Gobinath, 30, M Veran, 23, dan M Jeganathan, 30, dituduh mencapai niat bersama telah melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan api iaitu minyak petrol dengan niat menyebabkan kemusnahan Pondok Kawalan JKKK yang di dalamnya turut menempatkan Pondok Bit Polis.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Merak 1, Taman Merak, Simpang Ampat, dekat Butterworth kira-kira pukul 11 malam, 9 Mei lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Zairan Aman.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili semua tertuduh, K Mangaleswari, memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan itu kerana tertuduh tidak berkemampuan berikutan tiga daripada mereka bekerja sebagai buruh manakala seorang lagi adalah kerani.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Syabu RM2.41j dalam ubi kayu, keledek

Syabu RM2.41j dalam ubi kayu, keledek
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2011/05/17

NORDIN (kanan) menunjukkan ubi kayu digunakan untuk menyeludup syabu di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.
2 warga Nigeria ditahan cuba seludup di KLIA

SHAH ALAM: Selepas beberapa kali percubaan menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini, menemui kegagalan, sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan helah terbaru dengan memasukkan syabu dalam ubi kayu dan ubi keledek.
Modus operandi itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing berumur 31 dan 32 tahun yang menyorokkan 11 bungkusan dadah jenis syabu bernilai RM2.41 juta dalam hasil tanaman terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata kedua-dua lelaki itu tiba dari Lagos, Nigeria dan ditahan dalam dua tangkapan berasingan di KLIA iaitu pada jam 3.45 petang Sabtu lalu dan jam 7.30 pagi kelmarin.

Katanya, jumlah berat keseluruhan dadah itu dianggarkan 9.64 kilogram.

“Sebanyak 800 gram syabu ditemui dalam tangkapan pertama manakala selebihnya tangkapan kedua. Semua suspek ditangkap selepas mereka dilihat berkelakuan mencurigakan dan agak pelik apabila membawa tanaman terbabit dari luar negara.

“Ubi kayu dan ubi keledek ini diletak dalam beg plastik. Apabila suspek ditanya oleh polis mengapa membawa tanaman ini, alasan yang diberikan ialah rakan mereka mengirimnya.
“Polis yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena bertindak memecahkan tanaman ini sebelum menemui syabu disorok dalam ubi kayu dan ubi keledek yang sudah dibuang isinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Nordin berkata, hasil tanaman itu dibelah dua sebelum suspek menggunakan beberapa besi halus untuk dicucuk di bahagian dalam tanaman berkenaan yang berfungsi sebagai pengikat bagi mengelakkan ia terlerai ketika dibawa.

Selain membawa pakaian, katanya, suspek turut membawa ikan masin untuk mengelirukan polis,” katanya.

Geng Sham Botak tumpas

Geng Sham Botak tumpas
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


CHUAH Ghee Lye (tengah) bersama dua pegawainya, Deputi Supritendan Sandra Monica (kanan) dan Asisten Supritendan Aniesah Ahmad (kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka, semalam.- UTUSAN/AZLI AHAD
________________________________________

MELAKA 18 Mei - Kecekapan pihak polis berjaya menahan lima lelaki menyamar anggota pasukan itu, dikenali 'Geng Sham Botak', 33 jam selepas mereka menyamun dan mencabul seorang wanita warga Indonesia di Taman Melaka Raya, di sini baru-baru ini.
Tangkapan pertama pada 12 Mei lalu membabitkan ketua kumpulan geng itu yang dikenali sebagai Sham berusia 41 tahun, hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Hilir, Banda Hilir.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, susulan penahanan suspek, polis melakukan empat serbuan dan berjaya menahan empat lagi suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun.
"Dalam semua serbuan itu, kami merampas dua vest mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia, satu set 'walkie-talkie' dan sekeping risalah perniagaan menjual peralatan pasukan beruniform.
"Turut dirampas, dua beg sandang, wang tunai kertas dan syiling bernilai RM170, tiga bilah parang, dua bilah pedang samurai, 11 unit telefon bimbit, dua ketul emas yang disamun dan telah dileburkan dan sebuah kereta Proton Waja curi berwarna perak yang digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi 11 Mei lalu, pihaknya menerima laporan kes samun melibatkan tiga lelaki tempatan menaiki sebuah Proton Waja ke atas pasangan warga Indonesia.
Suspek yang bersenjatakan parang dan memakai vest polis semasa menyamun mengikat mangsa sebelum mencabul mangsa perempuan.
Tambahnya, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000.
Menurut Ghee Lye, siasatan polis setakat ini mendapati, empat daripada ahli kumpulan penjenayah tersebut memiliki rekod jenayah lampau, malah seorang daripadanya memiliki 19 rekod jenayah.
"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun dan curi kenderaan di negeri ini," katanya.
Beliau menambah, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

6 ditahan kes samun bersenjata, edar dadah

6 ditahan kes samun bersenjata, edar dadah
KUALA LUMPUR 18 Mei - Enam individu termasuk seorang warga Iran yang terlibat dalam jenayah samun jalanan bersenjata dan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, dekat sini, awal pagi ini.
Mereka terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan pukul 2.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai dalang kegiatan tersebut bersama dua wanita sedang berehat dalam unit kondominium itu.
"Pihak polis terpaksa menunggu selama 10 minit sebelum pintu dibuka. Pada masa yang sama, anggota polis yang berkawal di bawah mendapati suspek telah mencampakkan sepucuk pistol dan satu bungkusan hitam mengandungi 14 biji peluru.
"Kira-kira setengah jam kemudian, tiga lagi suspek mengunjungi rumah tersebut sebelum ditahan selepas hasil pemeriksaan dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dekat sini, hari ini.
Menurut Zakaria, polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek turut menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan jenayah hasil penemuan sepasang gari, buku catatan polis dan sepucuk pistol.
Katanya, kumpulan itu dipercayai menyasarkan pemandu yang baru meletakkan kenderaan sebelum diserang menggunakan senjata dan melarikan barangan berharga.
"Dalam kejadian terbaharu Isnin lalu, seorang mangsa cedera disamun di Jalan Duta, dipercayai dilakukan kumpulan tersebut," katanya.
Jelas beliau, pemeriksaan polis di dalam rumah tersebut menemui pelbagai jenis senjata berbahaya digunakan untuk kegiatan samun.
"Empat bilah parang, tiga bilah pedang samurai, tiga bilah pisau dan alat pemedih mata.
"Selain itu turut dirampas 79 gram dadah jenis syabu, sebuah kereta Mercedes C200, wang tunai Rm37,000 dan lebih 10 buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.
Tambah Zakaria, dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah samun di daerah Sentul.

Taktik baru seludup dadah guna kotak bijirin

Taktik baru seludup dadah guna kotak bijirin


ANTARA kotak makanan bijirin yang mengandungi syabu yang dirampas di LTAB Bayan Lepas, kelmarin.
________________________________________

PULAU PINANG 18 Mei - Penguatkuasaan ketat pihak berkuasa di lapangan terbang menyebabkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan pelbagai taktik lain untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke negara ini.
Terbaru, sindiket yang didalangi warga Iran cuba menyeludup masuk dadah menggunakan kotak makanan bijirin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun, taktik itu berjaya dikesan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini semalam.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dua lelaki warga Iran berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 7.40 petang di lapangan terbang berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui dua bagasi berisi 13 kotak makanan bijirin yang mengandungi 27.8 kilogram syabu yang bernilai RM 5.6 juta.
"Kita percaya ini taktik terbaru yang dikesan digunakan oleh sindiket dadah. Ini kerana sebelum ini, cubaan mereka menyeludup masuk dadah melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sering gagal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, kedua-dua suspek kini direman sehingga 24 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis rampas dadah RM10.5 juta

Polis rampas dadah RM10.5 juta
Oleh MALINDA ABDUL MALIK
pengarang@utusan.com.my


NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.
________________________________________

PULAU PINANG 18 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini bernilai RM10.5 juta selepas membongkar enam buah makmal dadah dalam tempoh empat hari.
Hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, seramai 10 lelaki dan empat wanita termasuk dua wanita warga China dipercayai dalang sindiket tersebut ditahan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, selain pelbagai jenis dadah, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan terlarang itu, sepucuk pistol dan 77 butir peluru hidup.
"Kita percaya dadah ini untuk pasaran tempatan. Kejayaan ini menunjukkan aktiviti memproses dadah kini dipelopori warga tempatan dan mungkin berpunca daripada kesukaran menyeludup masuk dadah ke Malaysia sejak kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita aset milik suspek terdiri daripada 11 buah kenderaan pelbagai jenis, barang kemas, jam tangan, wang dalam akaun dan wang tunai bernilai lebih RM23,355.
Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan ke atas pangsapuri mewah memandangkan lokasi itu sering dijadikan pusat operasi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kita percaya trend sindiket makmal dadah kini sudah berubah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket itu," ujarnya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun kini direman sehingga esok.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Lelaki didakwa memiliki senjata api dan pedang

Lelaki didakwa memiliki senjata api dan pedang
KOTA BHARU 18 Mei - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki pistol, peluru dan sebilah pedang panjang tanpa lesen sah pada bulan lalu.
Aminudin A. Rahman, 36, didakwa memiliki barang-barang tersebut di kawasan bukit Gong Genor, Laloh, Kuala Krai, dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam, 16 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki pistol revolver .38 SPL 4" tanpa nombor siri mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali.
Aminudin turut didakwa memiliki enam butir peluru jenis rds .38 SPL CCI dan sebutir peluru jenis rds .38 SPL. Rai tanpa lesen atau permit.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang masih bujang itu juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu memiliki sebilah pedang panjang tanpa lesen atau permit.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan.

Seludup dadah guna motosikal

Seludup dadah guna motosikal
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/05/19
Sindiket ambil kesempatan ketika kesibukan seberangi Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil semua langkah berjaga-jaga, termasuk menempatkan pengintip di pintu masuk sempadan negara terutamanya di Tambak Johor di sini, bagi membanteras penyeludupan dadah antara dua negara.
Ia adalah susulan kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah ke Singapura, hasil tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita bersama lebih 4.8 kilogram heroin, selain menyita enam kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM1.1 juta awal bulan ini.
Kejayaan melumpuhkan sindiket terbabit hasil siasatan polis terhadap kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan modus operandi membawanya dengan motosikal, mengambil kesempatan pada kesesakan ribuan motosikal menyeberangi Tambak Johor pada waktu pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen menerusi perkongsian maklumat.

“Kita sedang mengesan saki baki anggota sindiket terbabit yang dipercayai cuba merekrut atau mengupah penunggang motosikal baru sebagai pembawa dadah upahan untuk menyeludup bahan larangan terbabit ke Singapura.

“Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah ini. Kita sudah merangka perancangan teliti termasuk menempatkan pegawai sebagai pengintip di pintu masuk sempadan negara bagi memudahkan polis mengesan mereka yang disyaki," katanya di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga meningkatkan kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Biro Narkotik Pusat Singapura bagi mengesan dan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berkenaan.

Berhubung penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, Mohd Mokhtar berkata, semua suspek masih dalam tahan reman bagi membantu siasatan.

“Kita mahu masyarakat juga memainkan peranan dan bekerjasama dengan polis dalam memerangi kegiatan ini. Apa saja maklumat yang mereka ketahui, boleh disalurkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kastam Johor, Harun Ishak, berkata pemeriksaan berkala sering dilakukan di Tambak Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

“Kita akan meningkatkan lagi pemeriksaan, malah setiap kenderaan akan diperiksa secara teliti supaya penjenayah tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menyeludup bahan terlarang itu," katanya.

Sunday, May 15, 2011

Remaja dihukum gantung

Remaja dihukum gantung
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Ridzuan Taib dibawa keluar setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh neneknya di Mahkamah Tinggi, Alor Setar, Kedah, semalam.
________________________________________

ALOR SETAR 15 Mei – Tiga tahun lalu, seorang remaja sanggup menikam dan menjerut leher neneknya sehingga mati setelah gagal memperoleh wang RM50 untuk keluar bersama kekasih.
Di sebalik kekesalan kerana membunuh darah daging sendiri itu, remaja terbabit hari ini pasrah apabila dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Mohd. Azman Husin setelah tertuduh, Ridzuan Taib, 21, disabitkan atas pertuduhan yang dihadapinya selepas keterangan pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Terdahulu, Hakim Mohd. Azman sempat bertanya kepada tertuduh sama ada pada firasatnya dia akan didapati bersalah dan akan menerima hukuman gantung sampai mati atau sebaliknya dan dijawabnya: “Saya pasrah tuan hakim.”
Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, tertuduh dilihat teresak-esak di kandang tertuduh, sementara di galeri awam beberapa ahli keluarga termasuk ibunya turut mengalirkan air mata.
Mengikut pertuduhan, Ridzuan didakwa membunuh Basah Ahmad, 75, di rumah No. 15, Taman Berlian, Jitra antara pukul 9 pagi hingga 3.15 petang pada 11 Mei 2008.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ridzuan yang berasal dari Kampung Pulau Pak Ubin, Jitra dalam pembelaannya sebelum ini menyatakan, pembunuhan tersebut dilakukan oleh bekas teman wanitanya, Norain Mutalid.
Mohd. Azman dalam penghakimannya bagaimanapun menyifatkan keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dengan meletakkan kesalahan kepada teman wanitanya.
Mengikut fakta kes, Ridzuan yang berusia 18 tahun ketika kejadian, pergi ke rumah neneknya untuk meminta wang RM50 bagi membolehkan dia keluar bersama teman wanita.
Keengganan wanita tersebut menyerahkan wang itu menyebabkan tertuduh bertindak di luar kewarasan dengan menjerut lehernya dengan tali selain menikam menggunakan pisau di bahagian abdomen.
Warga emas tersebut turut ditemui dengan kesan lebam pada badan selain mengalami patah tulang rusuk akibat dipukul objek keras.
Tertuduh ditahan beberapa jam selepas kejadian dan hasil pemeriksaan ke atasnya polis berjaya menemui semula kesemua barang kemas milik mangsa seperti gelang dan rantai yang dilaporkan hilang.
Sementara itu, wang RM150 yang disamun tertuduh dikatakan digunakan untuk membeli belah termasuk membeli barangan kosmetik teman wanitanya.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Sharif Mat akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan kes tersebut.

Wanita disyaki simbah asid ditahan polis

Wanita disyaki simbah asid ditahan polis
KANGAR 15 Mei - Polis menahan seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dalam kes serangan asid ke atas seorang pemandu lori di Kampung Sentang, Utan Aji dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Noordin berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditahan awal hari ini selepas dia menyerah diri di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1 pagi.
Polis menahan reman wanita tersebut yang dipercayai merupakan bekas teman wanita kepada mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Dalam kejadian itu, Muhamd Hanif Sunai @ Shuaib, 24, cedera parah dan melecur 50 peratus pada muka dan badannya selepas dikatakan disimbah asid di rumahnya. - BERNAMA

Penoreh edar dadah dihukum gantung

Penoreh edar dadah dihukum gantung
ALOR SETAR 15 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah kerana mengedar 381 gram dadah jenis kanabis empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Nasarudin Mohd. Nopiah, 44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Tertuduh yang berkemeja T putih dan berseluar biru dilihat tenang menerima keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Menurut pertuduhan, Nasarudin didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 381 gram di hadapan sebuah kedai bunga di Taman Wira Mergong di sini pada pukul 5.45 petang 14 Januari 2007.
Hakim dalam prosidingnya memberitahu, keterangan pembelaan tertuduh merupakan satu penafian semata-mata.
Katanya, tertuduh ketika ditangkap membawa plastik hijau berisi dadah itu dan tertuduh memang terlibat dengan jual beli dan pengedaran dadah.
"Tertuduh ada berbincang dengan salah seorang saksi pendakwaan iaitu polis yang menyamar sebagai pembeli untuk memproses jual beli dadah pada 13 Januari 2007 dan serahan akan dibuat pada 14 Januari," katanya.
Peguam tertuduh, Sharif Mat dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan tujuh anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang sakit.
Katanya, ia juga adalah kesalahan pertama dan tertuduh sudah insaf serta berjanji tidak mahu mengulangi kesalahan sama.
Norhayati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana dadah adalah antara musuh utama negara.
Katanya, pengedaran dadah bukan berlaku secara biasa tetapi wujud transaksi melalui penyamaran yang dibuat oleh polis.
"Keperibadian tertuduh hanya boleh diambil sedikit berbanding implikasi akibat dan kemudaratan yang besar kepada masyarakat berikutan pengambilan dadah itu," katanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta bakal pembeli itu berjumpa di sebuah medan selera di Mergong dan kemudian meminta mengikutnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kawasan perniagaan di Taman Wira.
Sejurus tiba di situ, sepasukan polis membuat serbuan dan tertuduh melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam longkang.
Ketika ditarik dari longkang, sebungkus plastik hijau berisi dadah jenis kanabis masih terlilit pada tangan kanan tertuduh.

Retak kepala kena rempuh mat rempit

Retak kepala kena rempuh mat rempit


2011/05/16

KEADAAN Ahmad Fakri yang dilanggar mat rempit di Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu, kelmarin.
Budak main basikal jadi mangsa elak polis

KUALA TERENGGANU: Seorang mat rempit yang cuba meloloskan diri daripada sekatan polis merempuh budak lelaki yang sedang menunggang basikal di depan rumahnya menyebabkan murid Tahun Lima itu parah di Kampung Seberang Baruh di sini, kelmarin.
Ahmad Fakri Azni, 11, patah tulang belakang, retak tempurung kepala dan menerima tujuh jahitan selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Fakri, murid Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga, dirempuh motosikal ditunggang remaja berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen motosikal dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat, berkata remaja itu yang mendaftar sebagai anggota RELA sejak dua tahun lalu menunggang motosikal dengan melawan arus bagi mengelak sekatan polis di Simpang Empat Tok Ku, di sini.

“Tindakannya yang cuba melarikan diri menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa yang bermain basikal di situ. Rempuhan itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak sejauh 10 meter, manakala remaja itu berjaya ditahan orang awam yang berada di situ.

Kazahari berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan tercicir pelajaran sejak Tingkatan Tiga dan dikenakan tindakan saman atas empat kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal tanpa lesen, memandu melawan arus, melanggar lampu isyarat dan cuba mengelak pemeriksaan polis.
“Selain dikenakan saman, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh juga dipenjara tidak lebih 12 bulan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Azni Arif, 44, berkata, beliau kesal dengan kejadian itu dan bimbang pelajaran anaknya terjejas akibat kemalangan itu.

Cicak tokek punca Nazarudin diculik?

Cicak tokek punca Nazarudin diculik?
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mei – Penculikan seorang ahli perniagaan Malaysia di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu dipercayai berpunca daripada keinginan mangsa untuk mencari tiga ekor cicak tokek yang kononnya dipelihara di sebuah perkampungan di pulau itu.
Mangsa, Nazarudin Saidin, 38, yang baru beberapa bulan berjinak-jinak dalam perniagaan cicak tokek dikatakan sanggup mengeluarkan wang perbelanjaan sebanyak RM4,500 untuk pergi ke Filipina menemui pemilik cicak itu yang dikenali sebagai Ghafar.
Perkara itu didedahkan oleh rakan mangsa, dikenali sebagai Ali yang mendakwa, Nazarudin dipercayai terpedaya dengan pelawaan Ghafar untuk pergi ke Filipina dan melihat koleksi cicak tokek milik lelaki terbabit untuk dijual.
Ali mendakwa, mereka dan beberapa lagi rakan pada mulanya melabur dalam perniagaan itu bersama seorang lagi kenalan dari Filipina yang dikenali sebagai Dr. Rodi, namun kerana kesempitan duit, Ghafar dilihat begitu berminat untuk membantu.
“Menurut Ghafar, dia mempunyai tiga ekor cicak tokek yang disimpan di rumah ibu mertuanya di Zamboanga dan atas galakan Dr. Rodi, kami mahu melihat sendiri haiwan itu.
“Bagaimanapun, Ghafar kemudian datang sendiri ke Kuala Lumpur memberitahu, cicak itu tiada di Zamboanga sebaliknya disimpan di sebuah perkampungan di Pulau Jolo dan saya bersama Dr. Rodi merasakan ada sesuatu yang tidak kena lantas mahu membatalkan hasrat itu,” kata Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun, dakwa Ali, Nazarudin tetap mahu ke sana dan berlepas pada 27 April lalu setelah menyediakan perbelanjaan sebanyak RM4,500 kerana mahu melihat sendiri koleksi cicak tokek milik Ghafar.
“Dia kemudian menghubungi saya beberapa hari kemudian dan memberitahu tidak melihat cicak itu lagi kerana ia berada di atas gunung di Pulau Jolo.
“Malangnya, pada 8 Mei lalu, Dr. Rodi menghubungi saya dan memberitahu, Nazarudin diculik dan ketika itu barulah kami tahu bahawa semua ini berkemungkinan perangkap Ghafar,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Ali mendakwa, dia diminta menyediakan 80 juta Peso (RM5.6 juta) untuk membebaskan Nazarudin ketika menghubungi penculik itu.
“Mereka meminta 5 juta Peso (RM348,317) sebagai duit pendahuluan dan disediakan beberapa hari ini jika tidak mahu melihat nyawa kawan saya itu terancam.
“Jumlah itu terlalu besar untuk disediakan keluarga Nazarudin mahupun kami kawan-kawannya. Apa yang kami pinta, penculik itu menangguhkan waktu serta bantuan dari kerajaan Malaysia untuk membebaskan dia,” katanya.

Isteri mangsa culik bingung terima SMS
Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/05/16
Wanita kenal ‘orang’ KDN tawar bincang wang tebusan

KUALA LUMPUR: Isteri kepada ahli perniagaan Malaysia yang diculik di Wilayah Sulu, Filipina pada 8 Mei lalu, kebingungan selepas menerima SMS daripada wanita mendakwa ‘orang tengah’ bagi berbincang dengan kumpulan penculik untuk membebaskan suaminya.
Malah, dalam SMS dihantar kepada isteri mangsa, Mazlina Mohamad, 38 kelmarin, wanita itu mendakwa mengenali ‘orang kuat’ Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi berbincang mengurangkan jumlah wang tebusan.
Ibu kepada enam anak itu berkata, sejak suaminya Mohd Nazarudin Saidin, 38, dilaporkan diculik, beliau tidak berpeluang ber-cakap dengannya bagi mendapatkan kesahihan berhubung wang tebusan seperti didakwa wanita itu.

“Wanita itu mendakwa pegawai KDN mahu berjumpa saya di Pandan Indah selepas Maghrib (malam kelmarin). Namun, atas nasihat ibu mentua, saya tidak pergi ke sana.

“Bagaimanapun, selepas itu wanita terbabit tidak menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kumpulan penculik menuntut wang tebusan 80 juta Peso (RM5.6 juta) bagi membebaskan Mohd Nazarudin yang disampaikan kepada Mazlina menerusi ‘orang tengah’ yang juga ejen cicak gecko di negara ini.
Mohd Nazarudin berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April lalu bersama lelaki warga Filipina yang juga ejen cicak gecko atas urusan perniagaan reptilia itu.

Mengulas lanjut, Mazlina berkata, wanita itu mendakwa suaminya ditahan lanun dan dia diminta menjadi orang tengah bagi mengumpul wang membebaskan Mohd Nazarudin.

“Namun, saya tidak bertemu ejen itu dan hanya berhubung melalui telefon. Kalau betul suami saya diculik dan mahu wang, kenapa perlu menggunakan ejen dan tidak menghubungi saya terus,” katanya.

Mazlina berkata sejak mengetahui berita suaminya diculik, Selasa lalu melalui Buletin Utama TV3, keluarganya kini tidak tenteram memikirkan keselamatan suami.

Saya buntu - Isteri mangsa
KUALA LUMPUR 15 Mei - Isteri kepada ahli perniagaan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu, Mazlina Mohamad, 38, mengaku dia kini buntu serta hilang arah bagi mencari jalan untuk membebaskan suaminya.
Meskipun pihak berkuasa Malaysia dan Filipina kini berusaha membebaskan suaminya, Nazarudin Saidin, dia berkata, adalah mustahil untuknya mengumpul wang tebusan berjumlah 80 juta Peso (RM5.6 juta) seperti yang dituntut kumpulan penculik berkenaan.
"Saya buntu dan tidak tahu untuk lakukan apa lagi. Sekarang saya cuma bergantung harap pada pihak berkuasa dan menunggu apa tindakan mereka.
"Saya amat berharap pihak berkuasa melakukan apa sahaja cara untuk membebaskan suami kerana kami sekeluarga amat memerlukan dia dan kami tidak berupaya untuk melakukan itu semua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nazarudin, 38, bapa kepada enam orang anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina pada 8 Mei lalu bagi menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di negara tersebut.
Kumpulan penculik itu dikatakan meminta wang tebusan pendahuluan berjumlah 5 juta Peso (RM348,317) yang perlu dijelaskan selewat-lewatnya esok.
Polis Diraja Malaysia semalam mengesahkan pihaknya kini sedang berunding dengan pihak berkuasa Filipina untuk membebaskan ahli perniagaan tersebut.
Menurut Mazlina, hatinya dilanda kebimbangan apabila diberitahu bahawa Wisma Putra tidak menyediakan sebarang dana bagi membebaskan orang tebusan yang diculik sebegitu.
"Tetapi ada seorang wanita yang menawarkan bantuan untuk berjumpa 'orang kuat' Kementerian Dalam Negeri dikenali sebagai 'Encik Din' yang boleh membincangkan mengenai harga pembebasan suami. Bagaimanapun, saya belum membuat keputusan lagi," ujarnya.
Mazlina hari ini turut membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai berhubung penculikan suaminya itu.

Dadah: Lelaki Uganda ditahan

Dadah: Lelaki Uganda ditahan
ALOR SETAR 15 Mei - Seorang lelaki warga Uganda ditahan bersama dadah jenis heroin dan ganja bernilai RM353,000 yang disorok dalam dua buah beg berhampiran stesen minyak di Tanah Merah, Jitra, dekat sini malam tadi.
Suspek yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan operasi di situ selepas mendapat maklumat awam pada pukul 11.55 malam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, melihat gelagat warga asing itu dalam keadaan mencurigakan, polis menghampirinya dan memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
Kata beliau, polis menemui 15 ketulan mampat daun kering dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja seberat 15 kilogram dalam salah sebuah beg suspek berusia 34 tahun itu.
"Pemeriksaan ke atas beg yang digalas pula menemui 43 pelet plastik lutsinar disyaki dadah heroin gred tinggi.
"Kita menganggarkan nilai ganja yang dibawa suspek adalah RM53,000 manakala heroin pula bernilai RM300,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Pemuda serah diri

Pemuda serah diri


2011/05/16
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang wajahnya mirip lakaran gambar suspek kes simbah asid yang menyasarkan wanita dan pelajar sekolah, tampil ‘menyerah diri’ di balai polis di Petaling Jaya, kelmarin, selepas dinasihatkan ahli keluarganya.

Lelaki berusia 25 tahun itu ke balai polis selepas dinasihatkan abangnya selepas mendapati gambar lakaran suspek kes simbah asid disiarkan media, Jumaat lalu, hampir menyerupainya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata selepas siasatan menyeluruh termasuk mengenalpasti latar belakangnya, polis membebaskannya kerana tiada bukti mengaitkannya dengan kes itu.
“Lelaki yang juga pemandu lori datang secara sukarela ke balai polis.
Bagaimanapun, dia tidak ditahan selepas tiada bukti yang mengaitkannya dengan kes berkenaan,” katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata lakaran suspek boleh menyamai beberapa orang, namun tahap kemiripan mungkin berbeza.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek sebenar atau kes terbaru diminta menyalurkan maklumat kepada polis melalui Rakan Cop di talian 03-2115999 atau SMS ke 32728.

Rompak stesen minyak: Tujuh sekeluarga ditahan

Rompak stesen minyak: Tujuh sekeluarga ditahan
JOHOR BAHRU 15 Mei - Seorang pemandu teksi dan kesemua enam anggota keluarganya ditahan polis berhubung kes kejadian tetak, membawa senjata berbahaya di tempat awam dan merompak stesen minyak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata tujuh sekeluarga itu ditahan polis pada kira-kira 2.05 petang di Taman Pelangi selepas berjaya dipujuk oleh polis supaya menyerah diri.
Katanya, insiden bermula dengan kejadian seorang lelaki berusia 25 tahun ditetak di kepala dengan sebilah pedang oleh bapa saudaranya yang berusia 49 tahun di rumah bapa saudaranya di Bandar Baru Permas Jaya pada 9 malam, Jumaat lalu.
Mangsa yang menerima empat jahitan membuat laporan polis pada 12.05 tengah hari semalam, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bertindak atas laporan itu, polis telah pergi ke rumah suspek namun mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi telah membawa isterinya yang berusia 37 tahun, bayi perempuan 16 bulan serta empat anak lelaki masing-masing berusia lapan, 12, 14 dan 15 tahun menaiki teksi menghala ke Bandar Baru Permas Jaya.
Katanya, kereta peronda polis yang mengekori teksi itu melihat suspek dan anggota keluarganya melibas-libaskan beberapa bilah pedang melalui tingkap yang terbuka.
Beliau berkata, teksi itu kemudiannya berhenti di sebuah stesen minyak di mana suspek, dua anaknya yang bersenjatakan pedang masuk ke stesen itu, menyamun empat bungkus rokok dan coklat manakala anak lelaki suspek yang berusia lapan tahun berjaga di luar kedai dengan bersenjatakan sebilah parang.
Polis telah cuba memujuk keluarga tersebut untuk menyerah diri agar tiada siapa dicederakan namun tidak diendahkan malah cuba menyerang polis sebelum teksi itu beredar, katanya.
Namun kenderaan mereka berjaya dihentikan oleh polis di Jalan Pasir Pelangi, Taman Pelangi sebelum mereka ditenangkan dan berjaya dipujuk untuk menyerah diri.
Zainuddin berkata, polis merampas enam bilah pedang, sebilah pisau sayur dan sebatang cotar daripada keluarga tersebut.
Katanya siasatan mendapati pemandu teksi dan dua anak lelakinya itu telah merompak barang makanan, minuman dan lima bungkus rokok dari stesen minyak yang sama pada 1.30 petang, Jumaat lalu. - BERNAMA

10 remaja 'merempit' dengan basikal ditahan

10 remaja 'merempit' dengan basikal ditahan
SHAH ALAM 15 Mei - Operasi Lumba Haram yang dijalankan oleh polis trafik biasanya akan memberkas penunggang motosikal yang berlumba di jalan raya.
Tetapi lain pula ceritanya dalam operasi sama yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor awal pagi ini apabila 10 remaja berbasikal turut ditahan kerana berpeleseran di jalan raya.
Kesemua remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun itu ditahan oleh pasukan trafik ketika sedang 'merempit' dengan basikal masing-masing di Jalan Persiaran Masjid, Seksyen 10 di sini kira-kira pukul 2 pagi.
Kumpulan itu sanggup berbasikal selama tiga jam dari Sijangkang, Banting ke Shah Alam semata-mata untuk berpeleseran dan ada di antara mereka yang keluar tanpa pengetahuan ibu bapa serta memiliki rokok.
Penguat Kuasa Trafik IPK Selangor, Asisten Supritendan Hambazi Abd. Rahman berkata, kesemua remaja itu ditahan kerana berpeleseran dan menunggang basikal dari Sijangkang ke Shah Alam tanpa lampu yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudian dibawa ke balai polis dan diberi nasihat agar tidak mengulangi kesalahan sama.
"Polis kemudian menghubungi ibu bapa mereka untuk memaklumkan penahanan tersebut. Kita juga minta ibu bapa remaja terbabit datang ke balai dan membawa mereka semua pulang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hambazi, operasi yang turut memburu samseng jalanan itu merupakan rutin biasa bagi membanteras aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas yang disertai kira-kira 20 anggota trafik dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tambahnya, sepanjang operasi hampir tiga jam yang bermula pukul 1.30 pagi itu, sebanyak 131 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebanyak 21 motosikal dan tiga buah kereta disita atas kesalahan antaranya tiada perlindungan insurans dan cukai jalan serta pemandunya tiada lesen memandu.
Katanya, pihaknya akan terus menjalankan operasi yang sama dengan lebih kerap bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.

2 blok kuarters guru sasaran vandalisme, pencuri

2 blok kuarters guru sasaran vandalisme, pencuri


2011/05/16
MERSING: Dua blok bangunan bekas kuarters guru yang terbiar tanpa dihuni dekat Air Tawar di sini, kini menjadi sasaran vandalisme serta pencuri yang mengambil kesempatan melarikan komponen yang boleh dijual sebagai besi buruk.

Penduduk berdekatan mendakwa kuarters itu sering diceroboh berikutan keadaannya yang tidak dikawal sejak ia dibiarkan kosong dan tiada pemantauan.
Beberapa bekas guru yang pernah tinggal di kuarters terbabit mengakui banyak barangan berharga termasuk perabot yang masih ada dalam bangunan di situ diangkut keluar pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penduduk, Pujiman Kahar, 40, mendakwa ketiadaan kawalan menyebabkan perumahan itu menjadi lokasi penagih dadah melepaskan gian mereka.

Beliau mendakwa, ramai kakitangan pelajaran di daerah ini enggan tinggal di kuarters berkenaan, kerana lokasinya yang jauh dari pekan, selain kebanyakan mereka sudah memiliki rumah sendiri.

“Ketika ia siap sekitar 1990an dulu, ramai petugas pendidikan tinggal di situ tetapi berikutan kedudukannya yang agak jauh, jumlah mereka semakin berkurangan.

Penduduk, Ismail Awang, 35, mendakwa ketiadaan kemudahan lain termasuk kedai di kawasan itu menyebabkan guru yang tinggal di situ berpindah menyewa di kawasan berhampiran sekolah tempat mereka mengajar.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Md Jais Samat, berkata dua blok yang mempunyai 20 unit kediaman itu sudah diserahkan kepada Institut Latihan Guru untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, ketiadaan penghuni yang mahu tinggal di kuarters berkenaan menyebabkan pihaknya mengambil keputusan menyerahkan kemudahan itu kepada pihak berkenaan untuk dimanfaatkan.

“Bagi kita, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu bagi mengelak perumahan terbabit dicerobohi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan segera," katanya

Lelaki Iran didakwa seludup 4.5kg heroin

Lelaki Iran didakwa seludup 4.5kg heroin


Masood Abbasitorghi Alireza dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa memiliki dadah di Mahkamah Majistret, Kulaijaya, semalam.
________________________________________

KULAIJAYA 11 Mei - Seorang lelaki warga Iran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar heroin seberat 4.5 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI), Senai bulan lalu.
Masood Abbasitorghi Alireza, 22, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat mengambil bagasi, kawasan ketibaan antarabangsa LTASI pada pukul 4.45 petang, 27 April lalu.
Dia dituduh mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ziton Annuar.
Ziton kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Karthiyayini manakala tertuduh diwakili peguam Pritam Singh Doal

Polis lepas 5 das tembakan

Polis lepas 5 das tembakan
BUKIT MERTAJAM 11 Mei – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu laju dari Batu Feringghi menghala ke Perai sebelum kenderaan itu berjaya dihentikan di Kilometer 0.3 Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kereta Kia Optima yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama empat wanita berusia 18 hingga 50 tahun itu terbabas ke pembahagi jalan selepas tayarnya terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut sebelum itu terserempak dengan kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Batu Feringghi.
Menurutnya, sebuah kereta peronda polis cuba menahannya di Jalan Tanjung Tokong tetapi lelaki itu terus memecut laju kenderaannya sejauh hampir 20 kilometer.
“Polis terpaksa menghimpit kereta itu ketika berada di atas jambatan menghala susur keluar Perai dan melepaskan tembakan amaran yang mengenai tayar kereta.
“Kereta itu berpusing dan terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum kesemua mereka berjaya ditahan pihak polis.
“Hasil pemeriksaan menemui sebungkus dadah dipercayai syabu serta peralatan menghisap dadah di dalam kereta terbabit, selain nombor plat dan cukai jalan didapati palsu,” katanya ketika ditemui pada Kempen Sayangi Kanak-kanak di Sungai Pinang dekat George Town hari ini.

Culik: Bantuan Interpol, Filipina

Culik: Bantuan Interpol, Filipina
SHAH ALAM 11 Mei - Polis akan mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Filipina bagi mengesan seorang ahli perniagaan negara ini yang dilaporkan diculik oleh 10 orang lengkap bersenjata api ketika berada di Pulau Jolo, Selatan Filipina, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, bantuan tersebut juga bagi mendapatkan maklumat latar belakang mangsa dan keadaan sebenar yang berlaku selain kemungkinan lelaki tersebut mempunyai masalah perniagaan atau sebaliknya.
"Setakat ini kita telah dapatkan laporan daripada Kedutaan Filipina di Malaysia untuk membantu kita. Kita juga akan berurusan dengan Interpol dan pihak berkuasa republik itu untuk membantu kita dari segi sudut penyiasatan," katanya.
Laporan akhbar pada 9 Mei lalu memetik Ketua Pengarah Polis Wilayah (Selatan Filipina), Felicisimo Khu sebagai berkata, Mohammad Nasaruddin Bensaidin, 38, diculik di sebuah bandar kecil di Pulau Jolo, Sabtu lalu.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang pula berkata, Mohammad Nasaruddin merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan sudah berada di pulau itu selama sebulan.
Penyiasatan awal mendapati Mohammad Nasaruddin terlibat dengan perniagaan dagangan cicak.

Wanita 80 tahun kena rompak, rogol

Wanita 80 tahun kena rompak, rogol


2011/05/12
NIBONG TEBAL: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun trauma selepas dibelasah, dirompak dan dirogol lelaki yang memecah masuk rumahnya berhampiran ladang kelapa sawit dekat sini, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan terkejut apabila disergah seorang lelaki menutup muka menggunakan kain.
Sumber berkata, lelaki itu yang memecah masuk rumah mangsa kemudian mengugutnya menggunakan pisau sebelum menyelongkar barang peribadi mangsa.
“Mangsa cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan, namun tidak berjaya apabila lelaki itu berjaya menangkapnya dan membelasahnya di muka sehingga cedera sebelum merogolnya.

“Selepas merogol mangsa yang tidak berdaya untuk melawan, suspek melarikan diri dengan mengambil seutas jam tangan dan telefon bimbit wanita itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dan lebam di beberapa bahagian muka kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Risau akan keselamatan mangsa, seorang anaknya membawa mangsa pulang ke rumahnya di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, anaknya yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian beliau keluar rumah untuk berjumpa rakan kira-kira sejam dan apabila pulang mendapati ibunya cedera kerana dipukul, dirompak dan dirogol.

Katanya, ini kali ketiga rumah ibunya dipecah masuk dengan yang pertama kira-kira 10 tahun lalu dan terbaru sebulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Padah asmara isteri orang

Padah asmara isteri orang
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12
Tangan hampir putus kena libas

KODIANG: Bahana memadu kasih dengan isteri orang, seorang lelaki hampir putus tangan akibat ditetak suami kekasihnya yang berang selepas mengetahui hubungan sulit mereka di Kampung Palas di sini, pagi kelmarin.
Kejadian itu berlaku jam 7.30 pagi ketika mangsa berusia 40-an dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Palas ke tempat kerjanya di Pekan Kodiang di sini, apabila keretanya ditahan seorang jiran lelaki.
Suspek yang berada di kawasan berhampiran, kemudian dikatakan menarik mangsa keluar dari kereta dan mengheretnya ke kereta suspek yang terletak tidak jauh dari tempat itu.

Suspek kemudian mengambil sebilah parang yang diletak di atas but keretanya dan melibas ke arah mangsa.

Mangsa cuba mempertahankan diri dengan menepis tetakan itu, tetapi ia terkena ke sikunya sehingga menyebabkan tangan kiri mangsa hampir terputus.

Mangsa kemudian dikatakan cuba lari untuk mendapatkan pertolongan penduduk kampung, namun ditetak sekali lagi di bahu dan perut.
Bagaimanapun, tindakan segera penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu berjaya menahan suspek daripada terus menyerang mangsa. Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Kodiang.

Anak lelaki sulung mangsa berusia 20-an yang tiba di lokasi kejadian membawa bapanya ke Hospital Jitra (HJ).

Mangsa yang mempunyai empat anak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berikutan kecederaan serius.

Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada dendam lama dan mengakui suaminya pernah bercinta dengan isteri suspek.

“Mungkin tindakan suami saya pernah beberapa kali menghantar SMS kepada isteri suspek, menyebabkannya naik berang.

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kodiang dan menyerahkan kepada polis untuk ambil tindakan terhadap penyerang suami saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, polis sudah menahan lelaki berusia 47 tahun untuk membantu siasatan.

Dua dituduh edar 7.1kg kanabis

Dua dituduh edar 7.1kg kanabis


2011/05/12
KANGAR: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perlis didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar 7.1 kilogram dadah jenis kanabis di Bukit Keteri di sini, bulan lalu.

Ismail Mansor, 42, dari Taman Kastam, Kuala Perlis dan Nazni Seman, 46, dari Tebing Tinggi di sini, dituduh melakukan kesalahan itu kawasan tempat letak lori di sebuah kilang simen di Bukit Keteri jam 9.30 malam, 27 April lalu.
Kedua-dua mereka bertugas di KDRM cawangan Kuala Perlis ditahan ketika sedang menunggu pelanggan mengambil dadah itu.
Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Anbanathan Yathiraj, mengangguk faham sebaik pertuduhan itu dibacakan. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Noor Syazwani kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan baru sementara menunggu keputusan laporan kimia berhubung dadah yang dirampas.
Nurshahida menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

Tuesday, May 10, 2011

13 ditahan bantu siasatan kebakaran pondok polis

Polis menahan 13 lelaki bagi membantu siasatan terhadap kejadian kebakaran pondok polis dan pusat operasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Taman Merak di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka yang ditahan di sekitar Taman Merak itu berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun dalam satu operasi besar-besaran mengesan suspek.

Katanya, pada kejadian kebakaran pukul 11.10 malam tadi itu, pondok polis yang terletak dalam pusat operasi JKKK itu turut terbakar.

Beliau berkata, perbuatan khianat membakar pusat operasi JKKK itu dipercayai berpunca dari kes membalas dendam terhadap seorang lelaki yang parah kerana diserang oleh anak salah seorang anggota JKKK di kawasan itu minggu lepas.

"Akibat tidak puas hati ekoran insiden serangan tempoh hari, sekumpulan lelaki dipercayai anggota keluarga dan rakan mangsa itu bertindak membakar pusat operasi termasuk pondok polis yang berada dalam pusat itu," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.

Mereka yang terbabit kini ditahan reman di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dikenali sebagai Tan Choon Wei atau dikenali Ah Wei, 26, dan M.Jeganathan, 30, bagi membantu siasatan.

Tan mempunyai alamat terakhir di No 2, Lorong 44, Taman Merak, Simpang Ampat dekat sini manakala Jeganathan di No 36, Lorong 33 di taman perumahan yang sama.

"Kita memberi amaran kepada pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan," katanya.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mengakibatkan cedera parah dan mengikut Seksyen 436 Kanun keseksaan kerana khianat dengan api jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda.

- Bernama

Monday, May 9, 2011

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah
KUALA LUMPUR 9 Mei - Meskipun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata akibat disimbah cecair jenis 'thinner' oleh seorang lelaki, seorang ibu yang kini sarat mengandung trauma untuk keluar rumah seorang diri.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 30, masih tidak dapat melupakan kejadian bagaimana suspek yang menaiki motosikal tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menyimbah cecair itu mengenai muka dan badannya.
Kejadian itu, menurut Yati, berlaku di hadapan sebuah vila yang disewa keluarganya untuk menjalankan aktiviti riadah di Persiaran Titiwangsa di sini, pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
"Ketika itu, semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah. Saya keluar sekejap ke tempat letak kereta untuk mengambil lampin pakai buang anak saya.
"Sebaik sahaja saya membuka pintu kereta, datang seorang lelaki bermotosikal dari belakang dan menyimbah cecair itu menyebabkan muka dan badan saya basah.
"Saya kini takut untuk keluar rumah kerana masih terbayang kehadiran lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampang, hari ini.
Yati ialah salah seorang mangsa simbahan cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini.
Polis sedang mengesan dua lelaki bermotosikal yang dipercayai menyasarkan golongan wanita di daerah Dang Wangi, Sentul dan Brickfields sebagai mangsa simbahan cecair itu.
Yati memberitahu, simbahan cecair tersebut mengenai bahagian matanya dan amat memedihkan sehingga tidak dapat membukanya.
"Saya menjerit meminta tolong dan segera masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Suaminya yang terkejut melihat keadaannya segera keluar rumah untuk menangkap suspek, bagaimanapun lelaki itu sempat menghilangkan diri.
Katanya, dia dihantar ke Pusat Rawatan Pusrawi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan

22 kes simbah asid, polis tingkat kawalan
KUALA LUMPUR 9 Mei - Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).
"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.
"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.
Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.
Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.
"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.
"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.
Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.
"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.

Mayat mangsa bunuh disangka dilanggar komuter

Mayat mangsa bunuh disangka dilanggar komuter


2011/05/10
SHAH ALAM: Seorang lelaki dengan kesan kecederaan di leher, pipi kiri, belakang kepala dan badan, disyaki mati dibunuh ditemui terbaring di landasan komuter di Kilometer 12.87 berhampiran Stesen Komuter Batu 3 Shah Alam, di sini, malam kelmarin.

Mangsa dipercayai warga Indonesia berusia 24 tahun berdasarkan dokumen yang ditemui.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki dilanggar komuter di tempat kejadian, pada jam 10.55 malam tetapi siasatan di tempat kejadian kemudian mendapati mangsa dipercayai mati akibat dibunuh dengan senjata tajam.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian turut menemui senjata tajam kira-kira 80 meter dari lokasi mayat itu,” katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu bunuh.

Penemuan mayat pada jam 9.45 malam itu menyebabkan operasi komuter antara laluan Shah Alam ke Pelabuhan Klang, dekat sini, tergendala selama lebih tiga jam.

Thursday, May 5, 2011

Pelajar antara 21 remaja ditahan curi motosikal

Pelajar antara 21 remaja ditahan curi motosikal


2011/05/05
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 21 orang remaja, kebanyakannya pelajar sekolah dan merampas 18 motosikal dalam Operasi Lejang yang dijalankan pada 25 hingga 30 April lalu di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 25 tahun itu adalah beberapa anggota kumpulan yang bergiat aktif dalam mencuri motosikal di sekitar SPT.
Katanya, polis juga percaya berjaya menumpaskan beberapa kumpulan curi motosikal termasuk kumpulan yang dikenali sebagai Geng Sayuti Mengkuang dan merampas empat rangka motosikal sepanjang Operasi Lenjang itu.
“Kita menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras kumpulan berkenaan kerana kes curi motosikal dikenal pasti semakin meningkat di SPT dan dengan penahanan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar SPT,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah dengan menggunakan ‘allen key’ yang diubah suai dan mencuri motosikal sebelum menjual komponennya kepada pihak tertentu manakala rangkanya dibuang ke dalam sungai.

Sementara itu, polis menemui semula 355 unit komputer riba 1Malaysia untuk kegunaan pelajar sekolah di Seberang Prai Selatan (SPS) yang dilarikan ketika dalam proses penghantaran pada 28 April lalu.

Komputer riba bernilai RM324,825 itu ditemui semula pada hari barangan berkenaan dilaporkan hilang susulan penahanan dua lelaki termasuk pemandu lori yang membawa komputer itu ketika dicuri di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Juru.
Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi, 28 April lalu, pemandu lori yang membawa barangan itu dari Butterworth ke SPS mendakwa lori membawa komputer riba dilarikan ketika berhenti di R&R Juru.

Berikutan itu, pemandu lori berusia 45 tahun membuat laporan polis, namun polis berjaya membongkar tipu muslihat pemandu lori berkenaan selepas keterangannya bercanggah.

“Polis menahan pemandu lori terbabit dan setelah disoal siasat dia mengaku merancang melarikan komputer berkenaan bersama seorang rakannya berusia 47 tahun dengan memberi kunci pendua lori kepada lelaki itu,” katanya.

Wednesday, May 4, 2011

Eramin 5 RM7.1 juta dirampas

Eramin 5 RM7.1 juta dirampas
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Mei - Polis menyerbu sebuah makmal memproses dadah di Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, dekat sini Isnin lalu dan menemui 317,130 biji pil dan sejumlah serbuk Eramin 5 bernilai RM7.1 juta.
Makmal yang beroperasi di salah sebuah premis lot kedai itu diserbu kira-kira pukul 3 petang.
Ini merupakan kejayaan pertama polis Selangor mengesan makmal dadah di negeri itu tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, melalui serbuan tersebut, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan seorang ahli kimia warga Taiwan berusia 41 tahun yang pakar memproses Eramin 5.
Selain itu katanya, polis turut merampas wang tunai RM21,000 dan pelbagai mata wang asing iaitu Dolar Taiwan 101,800 (RM10,575), Dolar Singapura 7,572 (RM18,397), Yuan China 1,440 (RM660) dan Dolar Hong Kong 450 (RM172) serta merampas enam mesin memproses Eramin 5.
"Kita percaya makmal tersebut milik sindiket antarabangsa dan membekal Eramin 5 untuk pasaran tempatan dan luar negara.
"Siasatan kita mendapati makmal tersebut telah beroperasi sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Nordin Kadir.
Menurut Tun Hisan, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Janda muda mati ditikam tunang

Janda muda mati ditikam tunang
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my


Karimah Jusoh
________________________________________

BUKIT MERTAJAM 4 Mei – Angkara cemburu, seorang janda muda beranak dua mati ditikam bertubi-tubi di dada, perut dan leher oleh tunangnya di sebuah stesen minyak di Jalan Perusahaan Perai, di sini hari ini.
Mayat Karimah Jusoh, 25, yang juga pekerja stesen minyak berkenaan ditemui dalam keadaan menyayat hati, terbaring serta berlumuran darah di sebuah bilik salin pakaian di premis tersebut sekitar pukul 7.30 pagi ini.
Kira-kira tiga jam kemudian, tunang mangsa yang berusia 35 tahun pula dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini dipercayai akibat meminum racun.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku tidak lama selepas mangsa memasuki bilik berkenaan untuk menyalin pakaian kerana dijadual memulakan tugas pukul 7.30 pagi.
“Terdapat saksi di premis berkenaan ternampak suspek masuk dan keluar dari bilik berkenaan ketika mangsa hendak menyalin pakaian sejurus tiba untuk memulakan tugas.
“Curiga kerana mangsa tidak muncul memulakan tugas walaupun sudah pukul 8 pagi, saksi pergi ke bilik berkenaan dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, Karimah yang berasal dari Perlis, mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan berusia lima dan tujuh tahun yang kini dijaga oleh kakaknya.
Mangsa yang bercerai pada 2009, bertunang sejak tujuh bulan lalu dan berhasrat melangsungkan perkahwinan pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Abdul Rahim memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sebilah pisau sepanjang kira-kira 30 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Polis kemudian menerima laporan bahawa tunang mangsa dikejarkan ke HSJ kira-kira pukul 11.30 pagi selepas dipercayai meminum racun. Petang ini, lelaki itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut berikutan keadaannya semakin tenat.

Pasangan suami isteri dibunuh kejam

Pasangan suami isteri dibunuh kejam
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Sanak-saudara dan jiran tetangga sedih dengan kejadian kontaktor, Mohammad Yusof @ Abdul Rashid Samang dan isterinya, Timah @ Fatimah Pachu yang mati dibunuh di Kampung Gemeti, Bentong, Pahang, semalam.
________________________________________

BENTONG 4 Mei - Seorang kontraktor warga emas bersama isterinya ditemui mati dibunuh kejam, dipercayai dengan menggunakan cangkul dan objek tajam di bilik tidur rumah mereka di Kampung Gemeti di sini awal pagi ini.
Mayat Mohammad Yusof @ Abdul Rashid Samang, 71, ditemui dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan perut manakala isterinya, Timah @ Fatimah Pachu, 68, maut dengan kesan kecederaan di tengkuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, polis menerima panggilan penduduk mengenai kejadian itu pada pukul 1.30 pagi setelah terdengar bunyi bising dan jeritan kuat dipercayai oleh kedua-dua mangsa.
"Ketika kejadian, keadaan di sekitar kawasan itu gelap. Ada jiran mendakwa mereka terdengar bunyi seseorang melarikan diri dari bahagian belakang rumah mangsa," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Narenasegaran, sebaik sahaja tiba di rumah itu, polis menemui mayat pasangan terbabit dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat milik mereka yang terletak berhampiran jalan utama.
Katanya, mayat Mohammad Yusof ditemui terlentang di tepi pintu tandas bilik tidur itu dengan kesan tikaman di bahagian dada dan perut sementara isterinya ditemui di tepi katil dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan di tengkuk.
Kata beliau, polis turut menemui cangkul yang dipercayai diguna untuk membunuh pasangan itu hasil pemeriksaan di sekitar bilik mangsa.
Narenasegaran memberitahu, selain cangkul, polis juga masih mengesan satu lagi objek tajam yang dipercayai diguna dalam pembunuhan tersebut.
"Tiada kesan pecah rumah dan hasil pemeriksaan dijalankan, senapang milik mangsa juga tidak diambil suspek.
"Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian ini melibatkan seorang suspek yang dikenali oleh mangsa namun setakat ini identiti suspek terbabit belum dikenal pasti," ujarnya.
Beliau turut menolak motif pembunuhan pasangan itu melibatkan kes samun atau dendam kerana tiada barangan berharga hilang.
Pihak polis, katanya, akan meneruskan siasatan lebih menyeluruh termasuk mendapatkan keterangan jiran, ahli keluarga dan pekerja mangsa bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kes ini.

Tuesday, May 3, 2011

Wanita dibunuh kerana tolak lamaran

Wanita dibunuh kerana tolak lamaranMei 3, 11 2:46pmKongsi 117Hanya kerana enggan berkahwin dengan teman lelakinya, seorang wanita berumur 23 tahun ditikam hingga mati di bilik sewaan lelaki itu di Taman Mahkota, Jalan Stadium di Alor Setar, malam tadi.

Mayat Ratna Sufizzah Riyanti Omar ditemui pada pukul 11 malam dengan kesan tikaman di perut, dada dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian dikatakan berlaku ekoran wanita itu menolak lamaran teman lelakinya yang berusia 50 tahun menyebabkan lelaki terbabit berang dan bertindak luar kawalan.

"Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini sejak sebulan lepas menyerah diri di balai polis di sini kira-kira pukul 1.30 pagi dengan membawa pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa setelah dinasihatkan oleh majikannya.

"Suspek mengenali mangsa sejak lima hingga enam tahun lepas. Suspek telah mempunyai keluarga di Johor," katanya pada sidang akhbar di Alor Setar hari ini.

Difahamkan wanita yang berasal dari Kampung Balik Bukit, Tobiar, Pendang itu bekerja di sebuah kilang di Gurun selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Nukleas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ogos lepas.

Adzaman berkata lelaki itu akan direman bagi membantu siasatan. Kes akan di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara itu, keluarga wanita berkenaan yang ditemui di bilik mayat HSB enggan ditemubual.

--Bernama