Tuesday, August 31, 2010

Dadah: 7 gadis Malaysia berjaya diselamatkan

PESHAWAR 31 Ogos 2010 - Tujuh gadis 'keldai dadahg' dari Malaysia yang nyaris ditahan pihak berkuasa di Karachi, Pakistan kerana menyeludup bahan larangan tersebut telah dihantar pulang ke tanah air.

Mangsa terbaru diperdaya warga Afrika di Kuala Lumpur itu termasuklah anak anggota polis yang berjaya diselamatkan Konsul Malaysia di sini pada April lalu.

Bilangan mangsa itu membuktikan masih ada gadis dan wanita Malaysia terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah warga asing tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd. Khalid Abassi Abdul Razak berkata, kebanyakan mangsa hanya menyedari ditipu dan digunakan sebagai 'keldai dadah' sebaik sahaja berada di negara ini.

Katanya, setelah menyedari ditipu, mereka meminta bantuan kakitangan konsul Malaysia daripada ditahan pihak berkuasa Pakistan.

"Anak-anak gadis itu bernasib baik kerana tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sini kerana mereka meminta bantuan pejabat konsul kita.

"Kebanyakan mereka terpedaya dengan upah lumayan mencecah RM10,000 setiap kali berjaya menyeludup kira-kira satu kilogram heroin.

"Pengedar pula mampu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada kegiatan tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khalid, setiap mangsa menghadapi risiko kematian apabila mereka hanya diberikan makan kacang sebelum diminta menelan bungkusan heroin yang diisi dalam kondom bagi mengelak dikesan.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa di Malaysia supaya menjalankan semakan status gadis-gadis tempatan di pintu keluar lapangan terbang sebelum dibenarkan keluar negara.

"Kita mesti menyemak tujuan mereka ke destinasi luar negara sama ada belajar atau melancong bagi mengelakkan daripada dijadikan keldai dadah," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mereka tidak terpedaya dengan ganjaran lumayan pihak-pihak terlibat. - Utusan

3 Suspek tembak exco Pemuda MIC ditahan

Ogos 31, 10 2:13am

Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes tembakan terhadap anggota exco Pemuda MIC Pusat yang sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun di Kajang, dua minggu lalu.

Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata ketiga-tiga suspek dalam lingkungan 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

"Motif sebenar kejadian masih belum diketahui, dan kita masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Isnin.

Dalam insiden 18 Ogos lepas, A Kalaiarasu, 49, cedera di perut dan tangan kiri setelah ditembak seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh serta jaket hitam.

Selepas melepaskan tiga das tembakan, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu.

Mangsa berjaya melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan dari Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, polis menahan dua wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Kajang pada 28 Ogos lepas.

Sakaruddin berkata kedua-dua wanita berusia 23 dan 31 tahun itu menawarkan khidmat pembantu rumah secara haram melibatkan 12 warga Indonesia dalam lingkungan 14 hingga 42 tahun.

Beliau berkata mangsa pada mulanya diperdaya dengan pendapatan lumayan sebelum mereka bersetuju datang ke Malaysia untuk bekerja.

"Namun, kesemua mangsa ini ditipu dan dipaksa melakukan kerja-kerja rumah tanpa apa-apa bayaran oleh majikan yang menjadi pelanggan kepada dua suspek tersebut," katanya lagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati aktiviti itu sudah berlanjutan selama sebulan dan kesemua mangsa dihantar ke sebuah pusat perlindungan di Bukit Ledang dekat sini untuk tujuan pengawasan.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyan 15 Akta Pemerdangangan Orang 2007.

Dalam perkembangan lain, polis merampas sejumlah wang palsu bernilai RM1 juta di sebuah rumah yang diduduki tiga pelajar kolej swasta warga Nigeria dalam linkungan 20-an, dalam satu serbuan kira-kira pukul 10 malam, Ahad lepas.


Sakarudin berkata polis menerima laporan daripada seorang warga Nigeria berikutan pergaduhan yang berlaku di antara mereka disebabkan salah faham.

"Polis kemudiannya menyerbu rumah terbabit dan menemui sejumlah wang palsu di dalam dua buah beg berasingan, berserta dengan peralatan membuat wang palsu tersebut seperti alat pengimbas dan botol-botol plastik," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kegiatan percetakan wang palsu itu berlaku sejak dua bulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 49(c) Kanun Keseksaan.

--Bernama

Pelajar parah ditikam penyamun

2010/09/01
AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera parah di leher manakala mukanya lebam apabila ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian samun di Jalan Bunga Tanjung 9, Taman Muda di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun ditemui orang awam sedang merangkak keluar dari sebuah kedai dalam keadaan lehernya berlumuran darah sebelum menghubungi polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kemudian membawa mangsa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan susulan. “Kita masih menyiasat kes ini selain perlu menemubual mangsa bagi mendapatkan kisah sebenar. Bagaimanapun perlu menunggu dia sembuh sepenuhnya,” katanya.

“Siasatan awal mendapati premis kedai itu tidak menyediakan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sekali gus menyukarkan proses siasatan. Hanya mangsa yang boleh membantu dalam menyelesaikan kes ini, ” katanya di sini, semalam.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil tetapi enggan bercakap apabila ditanya mungkin masih trauma dengan kejadian dialaminya itu

Michael Soosai ditahan di Chennai polis India

2010/09/01


Michael SoosaiPolis India jejak penjenayah dikehendaki guna teknologi canggih

CHENNAI: Michael Soosai, penjenayah Malaysia yang melarikan diri ke selatan India sejak beberapa tahun lalu, ditahan di sebuah hotel di sini Khamis lalu, selepas polis India menjejakinya menggunakan teknologi canggih. Pesuruhjaya Polis Bandaraya Coimbatore, C Sylendra Babu, berkata semalam, satu unit khas jenayah siber memantau pergerakan Soosai dengan mengesan nombor telefon bimbitnya kepada kenderaan yang dia naiki. “Dia tidak menyedari kami menjejakinya. Dia terkejut apabila kami menahannya di hotel itu. Dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Dia berada di Nepal, Bhopal dan Goa,” katanya.

Polis turut menahan isteri dan tiga anak lelaki terbabit dan merampas satu kilogram (kg) emas, dua komputer riba dan beberapa telefon bimbit dalam operasi mengesan selama tiga bulan.

Soosai bersembunyi daripada polis Malaysia hampir 10 tahun lalu. Dia dikehendaki kerana beberapa siri penipuan yang membabitkan hampir RM1 juta serta satu pembunuhan di selatan India.

Dia didakwa membunuh seorang rakyat Malaysia, N Subramaniam di Cheyyur, daerah Kancipuram pada 2002.
Soosai, 47, pernah memalsukan kematiannya sendiri di Malaysia dan kemudian menghilangkan diri dari polis untuk beberapa tahun, namun terus mencabar polis Malaysia untuk menahannya.

Menurut polis India, Soosai menjalankan aktivitinya di negeri Andra Pradesh, selatan India dan menyelinap masuk ke negeri lain dengan berpura-pura menjanjikan kerja lumayan di luar India kepada mangsanya.

“Dia tinggal di hotel mewah bagi mengelak dikesan pihak polis dan sering memujuk pelanggannya dengan menjanjikan mereka pekerjaan di luar negara, tetapi kemudian hilang bersama wang mereka.

“Selepas selesai menjalankan tugas, dia membuang sim kad telefon bimbit dan kembali semula ke Andra Pradesh,” kata Sylendra mengenai modus operandi Soosai.

Polis India merancang untuk menghantar cap jari suspek yang ditahan itu kepada polis Bukit Aman bagi memastikan sama ada suspek adalah Soosai.

Tiga anak Soosai, iaitu dua anak lelaki berumur 7 dan 3 tahun dan seorang anak perempuan berumur 15 tahun ditahan di sebuah pusat tahanan remaja di Coimbatore. – Bernama

Monday, August 30, 2010

Kes pertama berjaya didakwa bawah Akta Pemerdagangan Orang: Imigresen

2010/08/30
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen buat pertama kalinya berjaya mensabitkan kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan Orang apabila seorang lelaki bersama tiga anaknya dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memperdagangkan 12 warga Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata lelaki berkenaan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Permerdagangan Orang selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Baharu, Kelantan, semalam. "Dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya pula dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara di bawah seksyen dan akta yang sama. Mereka didapati bersalah memperdagangkan tujuh lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak," katanya di sini, hari ini. Abdul Rahman berkata, dengan kejayaan itu, beliau berharap selepas ini lebih banyak kes akan dapat dibawa ke mahkamah di bawah akta tersebut.

Sunday, August 29, 2010

Penyeludup makin berani

2010/08/30
RANTAU PANJANG: Penyeludup di kawasan sempadan kini bertindak agresif terhadap pasukan keselamatan dengan memandu kenderaan mereka dengan laju sehingga melanggar kenderaan pasukan keselamatan dalam usaha meloloskan diri dari ditahan.

Kejadian ganas itu berlaku ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) cuba menahan dua kenderaan yang digunakan untuk menyeludup kain batik dari Thailand, berdekatan Jalan Banggol Stol, dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 7 malam itu, sebuah daripada dua buah kereta yang digunakan untuk tujuan menyeludup itu rosak teruk pada bahagian tepi penumpang selepas melanggar kenderaan PGA dalam cubaan melepaskan diri. Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata pasukannya membuat pemantauan berhampiran pangkalan haram Jitong, Bukit Lata dan mengesan kereta Proton Wira serta Proton Wira Aeroback yang memecut laju menuju ke Pasir Mas.

“Penyeludup bertindak agresif untuk melepaskan diri dengan menghimpit kenderaan PGA menyebabkan berlaku pelanggaran kecil, sebelum pemandunya keluar melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya pada sidang media di Markas PGA Taman Bakti, di sini, semalam.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 4,000 kain batik dianggarkan bernilai RM140,000 dengan harga pasaran RM35 sehelai dan kesemua kain batik berkenaan diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya

Nekad terjun bangunan

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2010 - Dua lelaki mangsa culik warga Sri Lanka yang ingin melarikan diri daripada penculik, nekad terjun dalam keadaan berbogel dan tangan bergari dari tingkat dua sebuah rumah flat di Batu Caves dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 7 petang di Kampung Seri Temenggong, kedua-dua mangsa culik itu tidak bernasib baik.

Ini kerana, salah seorang daripadanya mati setelah tersangkut pada palang balkoni, manakala seorang lagi patah kaki kanan.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mangsa juga warga Sri Lanka berjaya menyelamatkan diri dan menemui pasukan polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Dia tidak mengikut jejak dua rakannya yang terjun bangunan itu kerana difahamkan keluarganya bersetuju membayar wang tebusan esok.

Difahamkan, suspek iaitu dua lelaki tempatan termasuk seorang anggota polis sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields meminta wang tebusan RM500,000 daripada setiap keluarga mangsa.

Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu sebelum diculik dan dikurung dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna hitam di rumah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, seorang penduduk yang tinggal berhampiran ternampak insiden tersebut semalam lalu segera memaklumkan kepada polis.

Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua suspek berusia 30 dan 32 tahun.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, seorang lelaki warga Sri Lanka yang patah kaki dilihat terbaring berhampiran sebuah van manakala mayat seorang rakannya ditemui dalam kenderaan tersebut.

"Kedua-dua mangsa dalam keadaan bogel dan tangan bergari. Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang menculik mangsa dan merampas dua gari dan sebuah telefon bimbit daripada mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Rosly berkata, pada masa sama, seorang rakan mangsa yang dikurung dalam bilik di tingkat atas, berjaya melepaskan diri dan turun menemui anggota polis dalam keadaan bogel dan tangan masih bergari.

Katanya, pemeriksaan pada telefon bimbit suspek menunjukkan terdapat rekod panggilan antara mereka dengan keluarga mangsa meminta wang tebusan.

"Mangsa yang cedera parah ialah Mohammad Mihiler, 32, kini dirawat di Hospital Selayang manakala identiti dua lagi rakannya sedang dikenal pasti.

"Dua suspek yang ditangkap akan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Harun Mat Hajar, 50, berkata, dia baru pulang dari kerja terkejut mendapati sepasukan anggota polis bersama mangsa yang mati dan cedera parah di flat kediamannya.

Harun berkata, dia tidak pernah mendengar mangsa meminta tolong atau melihat perkara mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu.

"Saya sempat tanya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu tentang apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertemu dengan suspek di KLIA, tiga hari lalu.

"Dia memberitahu mereka telah dibawa ke sebuah hotel dan dilayan baik pada hari pertama namun mula didera dan tidak diberi makan setelah dikurung di rumah tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa turut mendakwa penculik meminta wang tebusan RM500,000.

Lelaki belasah tunang hingga mati dihukum gantung

2010/08/30


RAJA SAIFUL diiringgi anggota polis selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung.ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang jurujual peralatan gas selepas didapati bersalah membunuh tunangnya dua hari sebelum tarikh mereka diijabkabulkan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah. Tertuduh, Raja Saiful Nizam Raja Ali, 28, dari Bandar Amanjaya, Sungai Petani, dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 12.01 tengah malam hingga 4 pagi, 29 Ogos 2006 di lereng bukit Tanjung Jaga, Yan. Dia dituduh dengan sengaja melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Rohayu Kasa, 28, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Hakim ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sebaik hakim membacakan keputusan kes itu, beberapa ahli keluarga terdekat tertuduh yang berada di dalam mahkamah kelihatan menangis dan berpelukan.

Raja Saiful Nizam yang berbaju kemeja kuning berkotak dan berseluar denim biru kelihatan tenang dan sempat memandang ke arah keluarganya sebaik hukuman dijatuhkan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dan Rohayu bertunang pada 22 Mei 2006 selepas sebulan mereka berkenalan dan ahli keluarga menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada Februari 2008 sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dengan belanja hantaran RM5,612.

Pada jam 8.30 malam 28 Ogos 2006, tertuduh dan mangsa keluar bersama dan pergi ke kawasan berhampiran sebuah banglo tinggal di Tanjung Jaga membincangkan hal perkahwinan mereka dan tertuduh memberitahu mengenai masalah wang hantaran yang tidak cukup sebanyak RM2,000 dan bertengkar sehingga menyebabkan tertuduh memukul mangsa dengan topi keledar di kepala serta badan menyebabkan tunangnya itu parah.

Tertuduh kemudian mengheret mayat mangsa ke dalam semak di lereng bukit di situ dan menutupnya dengan ranting dan daun kering. Beberapa jam selepas itu tertuduh menyerah diri kepada polis dan memaklumkan mengenai pembunuhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Ridha Abdah Subri, manakala tertuduh diwakili G Ravishankar

Mangsa bom buatan meletup meninggal dunia

Ogos 29, 10 11:40pm

Kongsi 4Pekerja wanita kafe siber, yang melecur teruk hampir seluruh badan apabila sebuah kotak mengandungi bom buatan sendiri meletup dalam kejadian di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di Kuala Lumpur meninggal dunia petang tadi.

Wong Siew Song, 51, disahkan meninggal dunia kira-kira 5.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia HUKM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata siasatan awal mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan parah yang dialami mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan teruk apabila hampir 70 peratus badannya melecur dan kita tidak menolak kemungkinan faktor ini yang menyebabkan kematiannya. Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar (kematiannya)," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi, mangsa dan seorang pekerja lelaki berusia 38 tahun telah diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri di depan rumahnya sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deretan bangunan yang sama turut pecah.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun, pekerja lelaki itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital yang sama.

"Pekerja lelaki itu masih dirawat dan polis sedang berusaha menyiasat kes ini dari setiap sudut bagi memberkas mereka yang terlibat," katanya.

- Bernama

Thursday, August 26, 2010

Rompak waktu sahur

ALOR SETAR 26 Ogos 2010 - "Mau hidup atau mati." Itulah pilihan yang diberikan dua penyamun kepada lima sekeluarga di Kampung Tanjung Musang, Jalan Langgar di sini semasa rumah mereka dipecah masuk awal pagi tadi.

Dalam kejadian antara pukul 3.30 dan 4 pagi itu, Mohd. Zahir Taib, 47; isteri, Siti Zauyah Arshad, 48; serta dua anak mereka, Nur Zaimah Mohd. Zahir, 16, dan Mohd. Zahiruddin, 13, sedang nyenyak tidur ketika suspek memasuki rumah mereka.

Menurut ibu Mohd. Zahir, Maryam Abdullah, 76, ketika kejadian dia yang berada sebilik dengan cucunya, Nur Zaimah tidak dapat tidur kerana mengalami gatal-gatal di seluruh badan.

"Tiba-tiba ada seorang lelaki masuk ke bilik saya. Saya ingatkan anak lelaki saya, Mohd. Zahir yang masuk untuk kejutkan saya namun lelaki tersebut adalah penyamun," katanya di sini, hari ini.

Maryam memberitahu, penyamun tersebut mengarahkannya diam dan terus menarik rantai tangan yang dipakainya.

"Cucu saya terjaga dan perompak itu terus menumbuk muka dan menghentak kepalanya dengan pemotong besi kerana cucu saya enggan memberikan telefon bimbitnya kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan

Pelajar perempuan cuba diculik lelaki bertelekung

IPOH 26 Ogos 2010 - Seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) di sini diculik seorang lelaki bertelekung yang menceroboh masuk melalui pintu depan rumah sewanya di Taman Cempaka sebelum ditinggalkan di Tambun, kira-kira 45 minit selepas kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 7.30 pagi itu turut mencederakan seorang lagi rakan serumahnya ekoran ditendang dan terkena pisau penculik tersebut.

Katanya, kedua-dua mangsa yang tinggal bersama enam lagi pelajar lain itu berada dalam ketakutan apabila penculik mengugut menggunakan pisau dari dapur rumah.

Tambahnya, suspek kemudian mengarahkan mereka mengumpulkan empat komputer riba dan empat telefon bimbit.

"Ketika kejadian, lima pelajar perempuan sedang tidur di tingkat atas rumah sementara tiga lagi sedang mengulangkaji pelajaran di bawah.

"Penculik tersebut memaksa tiga pelajar yang berada di bawah menyorok di bilik air sebelum dia mendapatkan lima yang lain untuk turun ke bawah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, salah seorang pelajar perempuan tersebut telah dilarikan dengan sebuah kereta Myvi berwarna kelabu oleh penculik berkenaan setelah dia berusaha mendapatkan kad sim telefon bimbitnya kembali.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun ditinggalkan di Tambun pada pukul 8.30 pagi sebelum ditemui oleh orang ramai yang membawanya ke Balai Polis Tambun.

Polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Perompak bersenjata pistol, parang tumpas

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/08/27


KHALID menunjukkan senjata yang digunakan oleh penjenayah yang mati di tembak di Banting, semalam2 ditembak mati selepas samun syarikat bas

BANTING: Polis menembak mati dua perompak bersenjatakan pistol dan parang di Kampung Sungai Lang Dalam di sini, kira-kira setengah jam selepas menyamun pejabat sebuah syarikat bas, tengah malam kelmarin. Seorang lagi perompak yang berjaya melarikan diri selepas kereta Proton Waja yang mereka naiki terbabas di kawasan tali air berdekatan ketika dikejar polis dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, kini diburu. Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berumur 41 dan 43 tahun yang ditembak mati itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes merompak, mencuri dan mendatangkan kecederaan.

Malah, seorang daripada mereka pernah ditahan di Simpang Renggam, Johor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya sudah melancarkan gerakan memburu suspek yang lolos dengan mendapatkan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum itu merompak sebuah syarikat di pekan ini pada jam 12 tengah malam ketika dua pekerja syarikat itu menutup pejabat. Polis yang mendapat maklumat 20 minit kemudian berjaya mengesan kereta dinaiki suspek dan cuba memintasnya.
“Selepas kereta itu terbabas, ketiga-tiga mereka keluar dari kenderaan dengan seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan ini memaksa polis membalas tembakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Khalid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemui dua pucuk pistol dan sebilah parang dipercayai digunakan untuk merompak, selain wang tunai berjumlah RM6,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang daripada perompak itu turut melepaskan dua das tembakan ke arah siling dan lantai pejabat ketika melakukan rompakan.

“Polis percaya kumpulan ini terbabit dalam beberapa rompakan sebelum ini termasuk satu rompakan di Klang tahun lalu,” katanya.

“Siasatan awal juga menunjukkan kereta yang digunakan perompak dilaporkan dicuri di Klang pada Mei lalu,” katanya

Tuesday, August 24, 2010

Budak lelaki tiga tahun mati disembelih di Kota Bharu

24/08/2010 4:20pm


KOTA BAHARU 24 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati dipercayai disembelih seorang saudara terdekat di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11.40 pagi tadi, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.

Menurut datuk mangsa, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, beliau menyedari kejadian itu setelah diberitahu oleh anaknya, Nik Suzila, 32 iaitu ibu kepada Adam Muzzaffar.

Nik Hashim, yang ketika itu sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa, terus menghubungi polis yang kemudian menahan lelaki itu dan merampas sebilah pisau di tempat kejadian.

Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 33 tahun dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Lelaki itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu, dipercayai sudah lama tidak makan ubat bagi rawatan penyakit mentalnya itu.

Adam Muzaffar adalah anak kedua daripada tiga beradik.

Ketika kejadian, adik bongsungnya, Suhaida, 2, ditinggalkan oleh ibunya di rumah Nik Hashim kerana menolong jirannya melapah ayam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim yang ke tempat kejadian, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh. - Bernama

Monday, August 23, 2010

Kereta guru hangus angkara khianat

2010/08/24
BACHOK: Seorang guru hanya mampu memendam perasaan apabila melihat dua kereta miliknya dan isteri musnah dalam kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat di rumah mereka dekat Jelawat di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran pada jam 4 pagi itu, memusnahkan kereta jenis Toyota Wish dan Perodua Myvi, bernilai RM150,000 milik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemudi dekat sini, Marzuki Ahmad Fatani, 35. Dalam kejadian ketika semua penghuni rumah sedang nyenyak tidur itu, kereta Perodua Kancil milik ibu mangsa, Nor Asyikin Awang, 53, terselamat apabila tidak diapa-apakan penyerang. Marzuki berkata, kebakaran kenderaan itu asalnya disedari adiknya, Siti Nor Farhana, 23, sejurus dikejutkan oleh bunyi letupan di halaman rumah.

Saya tinggal bersama ibu dan sembilan ahli keluarga. Kejadian disedari adik saya yang mendengar bunyi letupan kuat dari garaj kereta sebelum mengejutkan suaminya, Mohd Zain Husin, 34, untuk meninjau keadaan.

Sejurus menyedari api sedang marak, mereka bergegas mengejutkan kami. Saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kereta yang sedang terbakar kerana api marak dengan pantas.

Toyota Wish saya yang terbakar dulu, sebelum meletup dan menyambar Myvi milik isteri, menyebabkan seluruh keluarga menjadi cemas dan bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, katanya yang enggan gambarnya dirakam ketika ditemui, semalam.
Marzuki berkata, sejurus keluar menyelamatkan diri di jalan raya depan rumah, mereka mendapatkan bantuan dua remaja bermotosikal yang lalu di situ kira-kira 15 minit kemudian untuk menghubungi bomba.

Saya mengesyaki kejadian ini perbuatan khianat kerana selepas anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran, saya menjumpai dua bekas berisi petrol di belakang Toyota Wish, katanya.

Thursday, August 19, 2010

Sindiket seludup Eramin 5 terbesar bernilai RM15.2j tumpas

20/08/2010 11:42am



Oleh Hamimah Hamid

IPOH 20 Ogos – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran Eramin 5 terbesar tahun ini dalam tempoh seminggu, membabitkan nilai sebanyak RM15.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata, rampasan itu dibuat di Air Hitam, Johor, pada 12 Ogos lalu dan di sebuah gudang di Jalan Kuala Kangsar di sini petang semalam. – Utusan

4 ahli Geng Styer ditahan

KUALA LUMPUR 19 Ogos 2010 – Tidak sampai 24 jam menikmati hasil samun, empat perompak yang dipercayai saki baki ahli kumpulan ‘Styer’ berjaya dicekup pihak polis di sebuah hotel di Petaling Jaya dekat sini, awal pagi semalam.

Kesemua suspek sebelum itu baru sahaja menyamun kira-kira lapan orang awam di sebuah restoran makanan segera 24 jam di Seksyen 13, Shah Alam.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan suspek yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, suspek yang sebelum itu melakukan samun dipercayai telah melarikan diri dan bersembunyi di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Beliau berkata, atas maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu hotel tersebut dan berjaya menahan kesemua suspek serta sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

“Kita percaya kesemua mereka mempunyai hubungan dengan dua penjenayah kumpulan Styer yang ditembak mati di Kampung Orkid, Subang pada Julai lalu.

“Polis turut merampas kereta jenis Proton Waja, pelbagai barangan elektrik termasuk komputer riba dan telefon bimbit selain wang tunai serta kad ATM dipercayai milik mangsa yang disamun.

“Hasil siasatan turut mendapati kereta Proton Waja yang digunakan merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang pada 10 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 22 Julai lalu, polis menembak mati dua penjenayah yang cuba menyamun sebuah banglo milik seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Orkid, Kampung Melayu Subang.

Kedua-dua suspek itu dikatakan merancang memecah masuk ke rumah berkenaan namun tidak sempat berbuat demikian apabila menyedari kehadiran anggota polis

Tiga menyamar penarik kereta samun pasangan

2010/08/20
JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki selepas dipercayai cuba menyamun seorang lelaki dan isterinya dengan menyamar sebagai penarik kereta sebelum melakukan samun di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, tiga lelaki terbabit ditahan polis yang meronda di tempat letak kenderaan Pasar Raya Billion, di sini.
Ketika kejadian, suspek dipercayai merampas kunci kereta sebaik mangsa memasuki kereta di tempat letak kenderaan itu dan menarik keluar mangsa sebelum menumbuknya sehingga cedera di muka dan bibir. Suspek ditahan reman sehingga 21 Ogos ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan

Wednesday, August 18, 2010

Ketua Pemuda MIC Hulu Langat ditembak

HULU LANGAT 18 Ogos 2010 - Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat terpaksa menahan kesakitan sambil berlari sejauh 200 meter ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas ditembak dua das ketika minum di sebuah restoran di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang, A. Kalai Arasu, lingkungan 30-an, bertindak demikian bagi menyelamatkan dirinya selepas ditembak seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran yang terletak berhadapan IPD Kajang.

"Mangsa tiba-tiba dihampiri seorang lelaki memakai jaket hitam dan topi keledar yang bertindak melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

"Selepas terkena tembakan di perut dan paha, mangsa yang dalam keadaan parah berlari melalui pintu belakang restoran untuk ke IPD bagi menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau menambah, mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Kajang dan dia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Shakaruddin memberitahu, suspek melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di hadapan restoran tersebut menaiki sebuah motosikal.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek berdasarkan butiran awal yang sempat diberikan oleh mangsa.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Tuesday, August 17, 2010

Digantung kerana bunuh budak

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Ogos - Seorang penganggur terpaksa mengakhiri usia mudanya di tali gantung atas kesalahan membunuh seorang kanakkanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah bilik hotel murah, sembilan tahun lalu.

Ia ekoran keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang menolak rayuan akhir Aziz Mat Shah, 31, dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadapnya.

Mangsa, Nik Zarina Abdullah merupakan anak kekasihnya yang merupakan pekerja khidmat seks dan ketika kejadian, kanak-kanak itu di bawah jagaan Aziz ketika wanita tersebut tiada di rumah.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak itu ditampar dan ditumbuk dengan kuat di dada dan perut berkali-kali manakala mukanya ditekup dengan bantal setelah dia mengadu lapar dan mahukan ibunya.

Aziz selaku perayu disabitkan membunuh mangsa di antara pukul 10 malam, 1 Mei 2001 dan 12.20 malam keesokannya di bilik hotel yang mereka duduki di Jalan Tun H.S. Lee di ibu negara.

Hakim Zaki yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2004 yang menjatuhkan hukuman gantung terhadapnya.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Zaki menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa perbuatan Aziz memukul mangsa mempunyai niat membunuh melainkan perayu membuktikan bahawa dia tidak mengetahui langsung tindakannya itu boleh membawa kematian.

Beliau turut berkata, jalan terakhir untuknya merayu bagi meringankan hukuman adalah melalui lembaga pengampunan.

Aziz diwakili oleh peguam Mohamad Hanif Khatri Abdulla manakala Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili pihak pendakwaan.

Sabah & Sarawak: Tangkapan kes dadah meningkat 20 peratus

2010/08/18
KUCHING: Jumlah tangkapan kes dadah di negeri ini untuk tempoh Januari hingga 15 Ogos tahun ini meningkat hampir 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 2,529 kes dicatatkan berbanding 2,108 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala tangkapan pula meningkat 17 peratus iaitu sebanyak 2,727 berbanding 2,317 tahun lalu.

Peningkatan tertinggi iaitu lebih 200 peratus dicatatkan dalam kes mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati apabila 32 kes dicatatkan daripada 53 tangkapan. Tahun lalu, sebanyak 10 kes dicatatkan daripada 14 tangkapan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Moses Agat, berkata, bagi Seksyen 12 (2) ABD 1952, seramai 511 orang ditangkap dengan 399 kes dicatatkan sepanjang antara Januari hingga Ogos tahun ini dan jumlah itu juga menurun berbanding 449 orang yang ditahan dengan 315 dalam tempoh sama tahun lalu.
Turut mencatatkan penurunan, kes mengikut Seksyen 6B, apabila hanya satu tangkapan dan satu kes dicatatkan berbanding dua tangkapan dan satu kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan kes dicatatkan dalam Seksyen 6 akta itu yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tiga sebatan apabila sebanyak 46 kes dicatatkan berbanding 34 tahun lalu. Jumlah tangkapan bagi seksyen berkenaan ialah seramai 59 orang berbanding 61 tahun lalu.

"Bagi Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 pula, peningkatan sebanyak 12 peratus dicatatkan apabila sebanyak 1,755 kes dan 1,554 tangkapan dilakukan. Tahun lalu sebanyak 1,554 kes dan tangkapan dilakukan," katanya di sini.
Moses berkata, peningkatan ketara dicatatkan dalam rampasan dadah jenis ganja sepanjang Januari hingga 15 Ogos tahun ini apabila sebanyak 9.6 kilogram berjaya dirampas berbanding hanya 1.4 kilogram dirampas tahun lalu.

Peningkatan turut dicatatkan dalam rampasan dadah jenis syabu iaitu sebanyak 3.6 kilogram berbanding 537.72 gram tahun lalu, manakala rampasan ketamin pula meningkat lebih 500 peratus apabila sebanyak 1.1 kilogram dirampas berbanding hanya 172.03 gram tahun lalu.

Operasi berterusan pihak polis turut merampas 21,108 pil nospan dan jumlah itu meningkat lebih 300 peratus berbanding hanya 4,623 biji yang dirampas dalam tempoh lapan bulan tahun lalu. Bagaimanapun penurunan dicatatkan dalam rampasan pil psikotropik apabila 10,612 biji dirampas berbanding 63,101 biji yang dirampas tahun lalu.

Sementara itu, nilai harta benda yang dirampas turut meningkat apabila RM3.6 juta dicatatkan berbanding hanya RM1.04 juta tahun lalu. Daripada jumlah itu sebanyak RM32,357 wang tunai dirampas sepanjang Januari hingga 15 Ogos tahun ini, barang kemas (RM42,657), pembekuan akaun dan saham (RM97,572.68) kenderaan sebanyak 28 unit (RM1.17 juta), rumah (RM2.2 juta) dan tanah (RM59,200).

Mayat lelaki ditemui dengan tangan diikat

2010/08/17
SANDAKAN: Mayat seorang lelaki yang percayai dibunuh, ditemui dengan keadaan tangan diikat di sungai Kampung Mangkalinau, Batu 3 di sini, hari ini.

Mayat dengan kesan tetakan di bahagian belakang badan itu ditemui penduduk kampung pada jam 8 pagi ketika air sungai itu surut.
“Lelaki itu dipercayai mati dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui,” kata Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa. Beliau berkata, identiti lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu belum dikenalpasti dan tiada dokumen pengenalan ditemui.

Rosli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Monday, August 16, 2010

Tiga lelaki dihadap ke mahkamah atas dakwaan merompak, melepaskan tembakan

2010/08/17
ALOR SETAR: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan dengan niat ingin membunuh di sebuah kedai emas di Pendang dekat sini bulan lalu.

Marzuki Choo Abdullah, 30; Lim Kok Sin, 39, dan Zulkifly A. Rahman, 25, mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh itu. Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kedai emas Amigo, No. 27 Pekan Tanah Merah, Pendang dekat sini pada jam 12.30 petang, 4 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan yang berjadual, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret Nor Azah Idris menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi di sini.

Tiada jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Md Nor.

Terselamat jadi mangsa ragut

RAMLAH Baba menceritakan kejadian cemas menjadi mangsa ragut di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 16 Ogos - Seperti kebiasaan pada waktu pagi, pasangan suami isteri warga emas, Ramlah Baba dan Khamis Awang akan berehat di anjung rumah mereka di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang di sini.

Setelah berehat, Ramlah, 67, meneruskan rutin hariannya di rumah seperti menjemur pakaian dan membersihkan halaman rumah.

Bagaimanapun, ketenangan kedua-duanya hari ini dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki yang cuba meragut gelang tangan dipakai oleh Ramlah.

Tanpa mengetahui gelang tangan dipakai wanita itu bukan tulen tetapi hanya bersadurkan emas, suspek bertindak terus menyerangnya.

Akibatnya, wanita malang itu menerima tiga jahitan di tangan kirinya setelah penyerangnya merentap dengan kuat gelang tangan tersebut.

Ramlah berkata, dia tidak mengsyaki apa-apa ketika terlihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal berulang-alik di hadapan rumahnya pada pukul 9.30 pagi.

"Sewaktu sedang mencuci ikan, saya terkejut apabila tiba-tiba muncul seorang lelaki dari belakang dan bertindak merentap gelang tangannya.

"Rupa-rupanya, pembonceng motosikal tadi bersembunyi di belakang mak cik manakala rakannya menunggu di tepi rumah.

"Dia cuba tarik gelang tangan hingga mak cik terjatuh dan oleh kerana terlalu takut dan terkejut, mak cik menjerit dan mujurlah, pak cik menyedari kejadian itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Khamis yang berada di anjung rumah kemudian menjerit dan berjaya menakutkan penyerang Ramlah yang kemudiannya melarikan diri tanpa memperoleh gelang tangan tersebut.

Kedua-dua penjenayah terbabit melarikan diri bersama penunggang motosikal terbabit tanpa memperolehi gelang tangan tersebut.

Ramlah yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi itu kemudian dibawa oleh salah seorang anaknya mendapat rawatan di Klinik Mawar Ayer Molek di sini.

Selepas itu dia membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kandang pada pukul 11.30 pagi.

Isteri, sepupu diserang kerana cemburu

2010/08/16
KUANTAN: Seorang suri rumah warga Indonesia dan sepupunya cedera selepas diserang oleh suami wanita berkenaan yang cemburu dalam satu kejadian di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.

Mangsa wanita yang berusia 25 tahun itu cedera di lengan dan badan manakala sepupu lelakinya, 25, menerima tujuh jahitan di bahagian kepala selain cedera di bahu dan mulut selepas diserang dengan sebilah pisau.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, dalam kejadian jam 1 tengah hari Jumaat lalu itu, wanita terbabit dikatakan baru saja pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya berdekatan. "Mangsa dikatakan telah keluar untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya berdekatan sebelum terjumpa sepupunya yang kemudian menemaninya pulang ke rumah.

"Ketika itu juga suami mangsa yang baru balik dari kerja dipercayai naik angin secara tiba-tiba kerana cemburu selepas melihat isterinya berada bersama lelaki itu di ruang tamu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan marah, suspek terus ke dapur mengambil sebilah pisau sebelum menyerang kedua-dua mangsa.

"Wanita dan sepupunya itu kini dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Abdul Razak berkata, suspek yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh ladang di kawasan berkenaan telah melarikan diri.

"Siasatan awal dikatakan kerana cemburu. Pihak masih memburu suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Bernama

Polis tahan 9 individu termasuk suami isteri, dipercayai sindiket proses dan edar heroin

2010/08/16
BATU PAHAT: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin di Johor selepas menahan sembilan individu termasuk sepasang suami isteri dalam tiga serbuan di sini dan Muar, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib, berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Sri Penggaram yang dipercayai turut menjadi makmal memproses dadah.
"Dalam serbuan itu polis merampas 15.18 kilogram (kg) heroin nombor tiga, 1.15 kg heroin nombor empat, 25 kg kafein, 940 pil eramin 5 serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses heroin," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini, hari ini. Susulan itu, katanya, polis membuat dua lagi serbuan dan menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia di sini dan Muar.

Beliau berkata, polis turut menemui 100 gram ketamin, 152 gram syabu dan 11.4 gram heroin ketika menahan tujuh lelaki berkenaan.

Hasil siasatan, mereka membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Indah, Muar yang didapati dijadikan stor simpanan dadah dan menemui 4.41 kg heroin nombor tiga, 109.58 kg kafein, 13 botol cecair kimia dan 12 botol serbuk eno.

"Semua heroin yang dirampas itu mencecah harga pasaran sehingga RM500,000. Polis turut menyita lima kereta termasuk Toyota Estima, Honda, Saab, Proton Iswara dan Wira serta dua motosikal.
"Turut disita adalah wang tunai dengan matawang Malaysia, Indonesia dan Singapura, tiga jam tangan berjenama, dua komputer notebook serta sejumlah barangan kemas," katanya.

Kesemua yang ditahan itu berumur antara 22 dan 38 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Thursday, August 12, 2010

Remaja lari dikesan di Afrika

Oleh Hardi Effendi Yaacob

2010/08/13
KUALA LUMPUR: Selepas 72 jam dilaporkan hilang, seorang gadis remaja berusia 19 tahun dikesan berada di Cape Town, Afrika Selatan kerana mengikut seorang lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di ibu negara.

Mangsa, Nur Dhiya Ain Rosman dari Jalan Tun Sambanthan 4, Brickfields yang sedang mencari pekerjaan dikatakan mula mengenali lelaki itu sejak pertengahan bulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya. Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata anak perempuannya itu tidak pernah menimbulkan masalah, malah sering menghabiskan masa di rumah membantu menjaga adiknya. Kelakuannya sedikit berubah selepas mengenali lelaki itu. Dia tidak lagi mendengar kata dan lebih suka menghabiskan masa di luar. Dhiya pernah menyatakan hasratnya mahu melancong ke luar negara tetapi saya melarang kerana bimbang sesuatu buruk berlaku ke atasnya, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu menemui Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh, di pejabatnya di sini bagi meminta bantuan mengesan dan menyelamatkan anak perempuannya itu.

Kali terakhir beliau mendengar suara anak gadisnya itu melalui panggilan telefon pada awal pagi hari kehilangannya.

Dhiya menghubungi saya kira-kira jam 12.10 pagi, ketika saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Melaka. Dalam panggilan telefonnya itu, Dhiya memberitahu sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bersama kenalannya, seorang lelaki warga Afrika, katanya.

Lagi gadis tempatan diperalat sindiket dadah antarabangsa

2010/08/12
KUALA LUMPUR: Seorang gadis Malaysia dilaporkan hilang sejak 9 Ogos lalu dan dipercayai diperalatkan sebagai penyeludup dadah antarabangsa di Capetown, Afrika Selatan.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh mendedahkan perkara itu dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tuesday, August 10, 2010

Pemilik pasar raya rugi RM165,000 disamun empat lelaki

KUANTAN 10 Ogos 2010 - Seorang pemilik sebuah pasar raya bersama seorang pekerjanya cedera di kepala selepas dibelasah empat lelaki dalam kejadian samun di hadapan premis perniagaannya di Kampung Padang 2 dekat sini semalam.

Mereka dipukul dengan cota kayu apabila cuba mempertahankan wang tunai hasil kutipan perniagaannya kira-kira RM273,000 dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu.

Mangsa dan pekerjanya yang berusia lingkungan 40-an bagaimanapun gagal mempertahankan sebahagian wang miliknya apabila sempat disamun kumpulan penyamun terbabit.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, semasa pergelutan itu, suspek hanya sempat melarikan RM165,000 manakala selebihnya berjaya diselamatkan.

"Ketika berada di hadapan pasar raya itu, kedua-dua mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki yang menaiki sebuah kereta.

"Mangsa kemudian bergelut dengan suspek untuk mempertahankan wangnya sebelum suspek bertindak ganas membelasah mereka dengan kayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Jasmani, mangsa dan pekerjanya itu membawa wang tunai hasil kutipan perniagaannya selama tiga hari untuk disimpan di sebuah bank di sini.

"Walaupun mangsa cuba bergelut untuk mempertahankan wang itu namun mereka tidak berdaya menghalang serangan suspek seramai empat orang," katanya.

Tambah beliau, keempat-empat penyamun terbabit melarikan diri manakala mangsa yang cedera ringan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Pemuda ke tali gantung

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my



T. Manimaran dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh majikannya.

--------------------------------------------------------------------------------



RASAH 10 Ogos – Seorang pemuda termangu-mangu seketika apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini, hari ini setelah disabitkan dengan tuduhan membunuh majikannya yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya, tiga tahun lalu.

T. Manimaran, 22, didapati bersalah membunuh V. Raju, 58, di rumah pekerja di Kilometer 16, Ladang Cheng Kiau, Jalan Kepis Dangi, Kuala Pilah antara pukul 10 dan 12 tengah malam, 22 Disember 2007.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dia sebelum ini dibicarakan atas tuduhan itu bersama rakannya, A. Supramaniam, 35, yang juga merupakan menantu kepada mangsa.

Supramaniam bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan berkenaan pada Julai lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Manimaran.

‘‘Tertuduh telah mengaku kepada saksi (isteri Supramaniam) bahawa dia telah memukul mangsa dengan kayu. Dia juga mengaku bahawa ketika kejadian dia sedang mabuk bagaimanapun ia tidak dibuktikan oleh pihak pembelaan,’’ katanya.

Ahmad Nasfy juga menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima keterangan yang kedua-dua tertuduh bersama-sama melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.

Berdasarkan fakta kes, Raju dikatakan sedang tidur ketika diserang oleh Manimaran yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada.

Terdahulu, Wan Shaharuddin yang berhujah di akhir kes pembelaan menyatakan, walaupun tidak ada saksi yang melihat kejadian berkenaan namun tertuduh telah mengaku melakukan pembunuhan itu kepada isteri Supramaniam.

‘‘Tertuduh juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa dan seluar jeansnya juga mengandungi kesan darah,’’ katanya.

Peguam bela, S. Puspanathan yang mewakili Manimaran ketika ditemui oleh pemberita memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ibu bapa berjaya gagalkan cubaan culik

MELAKA 10 Ogos 2010 - Suasana awal pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini semalam tidak seperti biasa.

Tatkala sebuah keluarga sedang sibuk untuk bersiap-sedia untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah, mereka dikejutkan dengan kehadiran empat 'tetamu tidak diundang'.

Sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier muncul di depan rumah keluarga itu dan cuba menculik salah seorang anak perempuan keluarga tersebut yang berusia 11 tahun.

Ketika itu, ibu mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang memasuki kereta, juga jenis Toyota Harrier untuk menghantar anaknya ke sekolah rendah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.55 pagi apabila kereta Toyota Harrier berwarna hitam tiba-tiba berhenti di hadapan rumah mereka.

"Empat lelaki yang memakai topeng ski dan bersenjatakan parang keluar dari kereta itu dan terus menyerbu ke arah dua beranak tersebut.

"Salah seorang daripada suspek bertindak memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu manakala tiga lagi rakannya membuka pintu bahagian penumpang depan untuk melarikan anak mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam keadaan cemas, katanya, ibu mangsa sempat menjerit meminta tolong sambil membunyikan hon kereta.

Jeritan wanita, tambah Mohd. Adnan, menyebabkan suami dan dua anak lelakinya berusia belasan tahun yang ketika itu berada di dalam rumah, keluar memberi pertolongan.

"Mereka bertindak pantas dan berjaya menarik mangsa yang ketika itu sedang dibawa masuk ke dalam kereta suspek yang berhenti di luar pagar rumah," ujarnya.

Menurut Mohd. Adnan, berlaku pergelutan antara keluarga mangsa dan suspek sebelum keempat-empat lelaki tersebut bertindak melarikan diri.

"Dalam pergelutan itu, suami wanita terbabit bengkak di kaki kanan akibat terkena tayar ketika suspek cuba melarikan diri manakala wanita itu mengalami luka di siku kedua-dua tangan akibat ditolak.

"Murid perempuan itu dan dua abangnya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya sambil memberitahu bapa mangsa merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat swasta manakala ibunya seorang kakitangan kerajaan.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada penjaga yang sah.

Kematian bekas ADUN, polis sahkan bunuh, bunuh diri

Ogos 10, 10 4:53pm

Kongsi 22Polis mengesahkan kematian bekas ADUN Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor, dan pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat sebagai kes bunuh dan bunuh diri.

K
etua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata hasil siasatan pihak polis mengesahkan perkara berkenaan tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut termasuk motif pembunuhan itu.

Beliau berkata kertas siasatan sedang dikemaskini dan dalam peringkat akhir untuk diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi persetujuan menutup kes.

"Tiada keperluan untuk dedahkan motif (kejadian) itu. Tiada suspek, individu mahupun orang ketiga yang dicari. Kes dianggap selesai dan diklasifikasi sebagai bunuh dan bunuh diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sistem Anti Hijack di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada kawan dan anggota keluarga kedua-dua mangsa dan mendapati tiada kejadian misteri berlaku.

Pada kejadian pada jam 11 pagi Selasa lalu di kilometer 455.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh, Abdul Aziz, 64, ditemui terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya.

Polis juga menjumpai kesan tembakan di kepala kedua-dua mangsa.

Polis juga menjumpai sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru milik Abdul Aziz, di celah tempat duduk depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.

A
ziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008 apabila beliau menewaskan calon PKR Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd Razak bertanding mewakili Umno.

Aziz adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Tanjung Karang manakala Siti Rohana merupakan Naib Ketua Wanita Umno bahagian itu.

Ketua kampung ditembak

Oleh Ravale Savarinathan

2010/08/11
TELUK INTAN: Setiausaha Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Bagan Datoh, Syed Shabahar Syed Mohamad, cedera terkena tiga das tembakan senjata api dilepaskan seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Kampung Kota, Hutan Melintang, dekat sini, malam kelmarin.

Lebih malang, dalam kejadian jam 10.15 malam itu, Syed Shabahar, 45, yang juga Ketua Kampung Kota dan kontraktor terpaksa memandu keretanya bersendirian dalam kesakitan hampir 10 kilometer dari rumahnya ke Hospital Sabak Bernam (HSB) untuk mendapatkan rawatan. Mangsa cedera di paha kiri dan betis kanan kemudian dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut. Syed Shabahar berkata, sebelum kejadian, beliau menerima SMS daripada nombor telefon tidak dikenali menyatakan mahu membunuhnya, tetapi tidak dihiraukannya.

Pada mulanya saya menganggap SMS itu satu gurauan atau mainan kawan-kawan. Bagaimanapun, pada kira-kira jam 10.15 malam sebaik pulang dari kedai runcit tidak jauh dari rumah, saya lihat kereta Toyota Camry berwarna gelap berhenti di depan rumah dan sejurus kemudian, suspek turun dari kereta itu sambil tangannya dilihat memegang sesuatu.

Suspek kemudian terus melepaskan tiga das tembakan yang mengenai paha kiri dan dua lagi pada betis kanan. Lelaki itu kemudian beredar bersama seorang lagi rakannya yang memandu kereta itu, katanya di HTI di sini, semalam.

Syed Shabahar berkata, isteri dan empat anaknya berada di rumah ketika kejadian tetapi beliau terpaksa memandu sendiri keretanya ke hospital.
Saya bersyukur kerana kecederaan tidak serius dan keluarga selamat. Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada penduduk kampung, katanya.

Sementara itu, isterinya, Sharifah Ahmad, 45, berkata beliau dan anaknya menonton televisyen di ruang tamu terkejut dengan bunyi dentuman dari arah depan rumah.

Saya sangkakan bunyi mercun, tetapi terkejut melihat suami terduduk di tangga sambil meraung kesakitan, katanya. Komen AndaGuna Facebook id anda.

Wednesday, August 4, 2010

Dua sahabat kes ragut dipenjara 7 tahun, sebat

2010/08/05
KOTA BHARU: Dua sahabat dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah merompak beg tangan seorang wanita, tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh pertama, Muhamed Affandi Mohamed Nor, 30, dan Khairul Anuar Muhammad, 31, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan beg tangan Zalina Mohamed, 26, mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk kad pengenalan, wang tunai RM330, seutas gelang tangan emas dan tiga kerongsang. Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Kedai Emas Hanapi, Jalan Hospital Pasir Mas, pada jam 3.30 petang, 26 September tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Terdahulu ketika prosiding, kedua-dua tertuduh merayu dijatuhkan hukuman ringan bermula tarikh mereka ditangkap selain mengaku insaf dengan perbuatan mereka.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman berat dikenakan kepada buruh binaan itu kerana kesalahan rompakan itu adalah serius.
"Mohon mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan sering dilakukan terhadap masyarakat yang memerlukan perlindungan, oleh itu, hukuman setimpal perlu untuk memberikan pengajaran," katanya

Polis Serdang tahan dua pengedar dan rampas RM60,000 dadah

04/08/2010 5:25pm


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar serta merampas dadah bernilai hampir RM60,000 dalam dua operasi berasingan di Puchong dan Bandar Sunway semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt. Abdul Razak berkata, dalam operasi pertama, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Kancil di sebuah pangsapuri di Bandar Puchong Jaya.

"Dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu, kami memeriksa sebuah beg yang disembunyikan di dalam kereta milik suspek terbabit dan menemui 19 paket lutsinar berisi dadah jenis heroin dan sebungkus dadah jenis ganja seberat 20 gram.

"Turut ditemui ialah tiga plastik dadah jenis syabu seberat tiga gram dan wang tunai sebanyak RM8,490,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki yang merupakan rakan kepada suspek terbabit di Bandar Sunway. - Bernama

Tentera kerugian RM15,000, rumah disamun tiga lelaki

04/08/2010 1:57pm


KUANTAN, 4 Ogos — Seorang anggota tentera kerugian wang tunai dan barangan berharga bernilai RM15,000 selepas rumahnya di Taman Cendor Utama dekat sini dimasuki tiga lelaki, awal pagi semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika lelaki berusia 31 tahun itu sedang tidur di ruang tamu rumahnya, manakala isteri dan anak lelaki yang berusia dua tahun tidur di dalam sebuah bilik.

"Mangsa dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki di dalam rumahnya, seorang daripada lelaki itu kemudian mengacu pisau ke arahnya sebelum kumpulan suspek mengikat mangsa dengan dawai,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan suspek juga bertindak mengikat isteri mangsa sebelum dua daripada mereka menggeledah rumah itu dan melarikan wang tunai berjumlah RM480, barangan kemas, telefon bimbit dan komputer riba.

Kesemua mangsa tidak dicederakan, katanya. — Bernama

Monday, August 2, 2010

Warga Iran sorok syabu RM25 juta

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/08/03
Miliki kereta mewah, sewa Semi-D RM13,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Rahsia kehidupan mewah seorang lelaki warga Iran terbongkar selepas polis menahannya bersama 113 kilogram syabu bernilai hampir RM25 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kiara di sini, Sabtu lalu. Difahamkan, suspek berusia 26 tahun itu menjadikan rumah jenis Semi-D yang disewanya pada harga RM13,000 sebulan sebagai pusat penyimpanan dan pembungkusan dadah.
Suspek yang turut memiliki kereta mewah Mercedes-Benz E250 bernilai RM550,000, dipercayai memasuki negara ini sejak awal tahun ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata suspek ditahan sepasukan anggota dan pegawai polis bersama seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dalam serbuan jam 3 petang, hasil maklumat risikan.

Katanya, pemeriksaan awal, polis menemui lapan bekas berbentuk silinder setiap satunya berisi 14 kilogram dadah jenis syabu di dalam rumah terbabit.
Beliau berkata, turut ditemui beberapa gulung plastik dipercayai digunakan membungkus dadah berkenaan sebelum dijual kepada pembeli.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM260,000, dipercayai hasil penjualan dadah berkenaan dan menyita kenderaan mewahnya itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Othman berkata, siasatan awal mendapati dadah terbabit dibawa masuk ke negara ini melalui laluan udara menggunakan perkhidmatan kurier dan kargo sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Katanya, semakan terhadap rekod syarikat terbabit mendapati kargo yang diisytiharkan sebagai bungkusan ais itu tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.

Beliau berkata, polis kini menyiasat tempoh kegiatan sindiket terbabit serta kaitannya dengan serbuan sindiket dadah membabitkan pasangan suami isteri warga Iran di Hartamas, minggu lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan dua kes terbabit mempunyai kaitan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan. Kedua suspek kini direman sehingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis sebelum ini memberkas sepasang suami isteri warga Iran berusia 39 dan 34 tahun dalam dua serbuan berasingan pada 22 dan 23 Julai lalu, masing-masing di sebuah rumah teres tiga tingkat yang dipercayai dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan kimia bagi pemprosesan syabu di Sri Hartamas dan banglo mewah di Sunway SPK Damansara.

Sementara itu, Othman berkata, seramai 108 individu termasuk 13 wanita warga Iran ditahan sejak Januari hingga kini kerana terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membabitkan jumlah rampasan dadah sebanyak 270 kilogram.

Pada 2009, katanya, hanya 20 tangkapan membabitkan warga Iran dengan jumlah rampasan dadah 13 kilogram, sekali gus menunjukkan peningkatan permintaan di negara ini serta negara di sekitar Malaysia.

“JSJN Bukit Aman dengan bantuan KLIA sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menangani perkara ini,” katanya.