Thursday, July 29, 2010

4 lelaki, 1 wanita didakwa culik 2 along

2010/07/29
KULAI JAYA: Empat lelaki dan seorang wanita warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menculik dua "along" awal bulan ini, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM30,000 bagi setiap mangsa.

Rasman Ahmad, 42; Ismail Jaafar, 39; Wan Karmizi Muhamad, 28; Mohamad Awan A.Bakar, 23; dan Aida Jamhalie Samson, 32; didakwa menculik Leow Own Keong, 30; dan Lew Wei Your, 19; di kawasan Danga Bay, Johor Baharu pada 11.15 malam, 5 Julai lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Tiada sebarang pengakuan dicatatkan dan Majistret Siti Aishah Ab Rashid memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tanpa menetapkan sebarang tarikh untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, A Karthiyayini, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua lelaki dicari bagi membantu siasatan kes culik berkenaan.

"Kedua-dua mereka adalah Al Annaz Wahid @ Anas, bernombor kad pengenalan 921122-01-5283 yang beralamat terakhir di No 32, Felda Tenggaroh 2, Jemaluang, Mersing dan Mohd Hadi Hamdan @ Bai, bernombor kad pengenalan 811011-01-6497 dan beralamat terakhir di 199F, Felda Tenggaroh 3, Jemaluang, Mersing," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Beliau meminta, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu, menghubungi polis. - BERNAMA

3 lelaki dituduh bunuh pengurus kafe

PETALING JAYA 28 Julai 2010 - Seorang pekerja syarikat telekomunikasi dan dua lelaki warga Sri Lanka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengurus kafe, pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada E. Mahendran Pilly, 32; S. Jeyarupan, 27; dan D. Sivaingkaran, 22, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat bersama membunuh A. Anson Hemathilaka, 29, antara pukul 3 petang, 14 Julai lalu dan pukul 2 pagi keesokan harinya.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen dan Nur Aifaa Chee Abdullah, manakala Mahendran diwakili peguam bela, Puan Sri N. Saraswathy.

Kedua-dua lelaki warga asing itu tidak diwakili peguam bela.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam pemerhati, N. Ganesarajah bagi pihak keluarga mangsa.

Majistret Aishah Huriah Arshad menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Menurut laporan media sebelum ini, mayat Hemathilaka ditemui dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat serta lehernya dililit pita pelekat.

Mangsa yang merupakan pengurus Dome Cafe di pusat beli-belah Subang Parade dekat sini dikatakan cuba membantu kedua-dua lelaki warga asing itu untuk memperbaharui visa masing-masing.

3 pelajar dibelasah geng kongsi gelap

2010/07/29
AMPANG: Tiga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai, di sini, cedera apabila dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota kongsi gelap di depan sekolah mereka kira-kira jam 1.30 petang ketika mahu pulang, pada 26 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, C J Han, T C Fook dan N W Hao, masing-masing berumur 15 tahun, cedera di kepala, badan dan tangan apabila dipukul lebih 20 lelaki menggunakan kayu dan rotan selama kira-kira 30 minit hingga mereka pengsan. Petugas Khas kepada Ahli Parlimen Pandan, Cindy Leong, berkata tiga pelajar itu dipukul apabila enggan menyerahkan sejumlah wang yang diminta lelaki terbabit. Katanya, pada 22 Julai lalu, sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap memukul mereka di perkarangan sekolah apabila mereka enggan menyerahkan wang yang diminta.

Dalam kejadian 26 Julai lalu, dua pelajar ketika pulang didatangi sekumpulan lelaki menunggang dua motosikal serta lima kereta dan terus memukul mangsa di depan sekolah hingga tidak sedarkan diri.

Seorang rakan mangsa yang datang membantu turut dibelasah hingga patah tangan. Mereka dibawa polis ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, katanya di pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan, di sini, semalam.

Berikutan insiden itu, beliau berkata, tiga pelajar terbabit trauma untuk ke sekolah kerana bimbang menjadi mangsa kumpulan terbabit sekali lagi.
Kita meminta supaya pihak Kementerian Pelajaran dan polis menyiasat serta mengambil tindakan segera, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, pelajar itu dipukul apabila sekumpulan be-
kas pelajar sekolah terbabit enggan memberikan yuran perlindungan yang diminta.

Pelajar perempuan terselamat bila kereta penculik kemalangan

2010/07/29
JERTIH: Seorang pelajar perempuan terselamat daripada menjadi mangsa penculik apabila kereta yang digunakan penjenayah terbabit terbabas semasa membawa lari pelajar berkenaan di Kampung Limbongan, dekat sini, petang semalam.

Pelajar berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Nur Zahirah (SMKNZ), Besut, itu diculik dua lelaki ketika berada di luar pagar sekolah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Besut,DSP Noor Zainy Mohd Nor, berkata ketika kejadian jam 4.30 petang itu, pelajar terbabit sedang menunggu ibunya mengambil beliau pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolah berkenaan. "Bagaimanapun, ketika mangsa sedang menunggu ibunya, dua lelaki berusia 23 dan 15 tahun yang memandu Perodua Kenari memberhentikan kenderaan lalu turun mengheret pelajar terbabit ke dalam kereta.

"Namun, kereta yang dipandu seorang daripada lelaki terbabit terbabas lalu terjatuh ke dalam parit kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Noor Zainy berkata, polis yang sampai ke tempat kemalangan lima belas minit kemudian mendapati suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsang dalam kereta terbabit.

Katanya, pelajar itu yang cedera parah di kepala dan leher dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) jam 8.30 malam tadi.
"Berikutan kejadian itu, polis melancarkan gerakan mencari dan mengesan suspek dan bertindak atas maklumat awam polis berjaya menangkap dua lelaki berkenaan sejam kemudian di sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut," katanya.

Kerani wanita diikat, wang syarikat lebih RM3,000 dilarikan penyamun

29/07/2010 2:58pm


KUANTAN 29 Julai — Rutin seorang kerani wanita di sebuah syarikat pengeluar barangan elektronik yang tidak keluar makan tengah hari mengundang padah apabila dia diikat dalam satu kejadian samun di kawasan perindustrian Semambu di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Haris Daud berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun tinggal bersendirian selepas lima lagi rakan sepejabatnya keluar makan tengah hari.

Beliau berkata, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang cuba menyamun wang syarikat yang berada di dalam laci meja wanita berkenaan.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum tangan dan kaki wanita berkenaan diikat serta mulutnya ditutup dengan pita pelekat yang diambil di pejabat itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil wang syarikat itu yang berjumlah RM3,852 sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - Bernama

Tuesday, July 27, 2010

Makmal dadah diserbu, peralatan senjata api turut ditemui

27/07/2010 5:01pm



Oleh TAN MING WAI

HULU LANGAT 27 Julai – Polis menemui 11 penutup bom tangan dan 30 butir kelongsong peluru M-16 selepas menyerbu sebuah rumah teres yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Taman Paling Jaya, Semenyih, semalam.

Turut ditemui, 803 gram dadah jenis ketamin dan 791 gram pil ekstasi bernilai RM23,000 di rumah yang dihuni seorang duda berusia 40 tahun itu. – Utusan

Monday, July 26, 2010

UPP tahan pengedar dadah bersama 550 biji pil kuda

26/07/2010 4:01pm



Oleh AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my

PENGKALAN KUBOR 26 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah bersama 550 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah kawasan perkuburan Islam di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baru dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan anggota UPP telah membuat intipan di kawasan kubur berkenaan sebelum menahan suspek berusia 27 tahun.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, ketika melakukan pemeriksaan pihaknya telah menemui kira-kira 410 biji pil berwarna kemerah-merahan milik lelaki berkenaan.

Beliau berkata, selepas membuat pemeriksaan lanjut pihaknya menemui

140 biji pil lagi pada motosikal lelaki berkenaan.

"Kesemua pil tersebut disyaki dadah jenis methamphetamine atau pil kuda dianggarkan bernilai RM13,750, dan lelaki tersebut yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai pengedar dadah.

"Berdasarkan siasatan awal, dadah tersebut adalah untuk pasaran sekitar kawasan Pengkalan Kubor dan Wakaf Baru. Suspek dipercayai mengambil dadah itu daripada pembekal di Pasir Mas," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. - Utusan

Polis tumpas sindiket syabu, rampas minyak syabu RM40 juta

2010/07/26
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket antarabangsa didalangi warga Iran yang menjalankan aktiviti memproses dan mengedar dadah jenis syabu membabitkan nilai rampasan minyak syabu bernilai RM40 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhamad Sabtu Osman, berkata pasangan suami Isteri itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Sri Hartamas dan Damansara, minggu lalu. Katanya, polis kini memburu seorang lagi suspek yang juga anggota kumpulan berkenaan yang berjaya melarikan diri.

Sunday, July 25, 2010

Ditahan kali kedua bersama 100 kilogram daun ketum

BESUT 25 Julai 2010 - Meskipun pernah ditahan bersama 105 kilogram daun ketum sebulan lalu, seorang lelaki nampaknya masih tidak serik-serik melakukan perbuatan itu.

Kelmarin, dia bersama seorang rakannya sekali lagi ditahan oleh polis di Kampung Renek dekat sini bersama 100 kilogram bahan yang sama, dianggarkan bernilai RM25,000.

Lelaki itu yang berusia 31 tahun bersama rakannya berumur 47 tahun ditahan pukul 12 tengah hari ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai disewa.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan lelaki itu dan telah mengekori kenderaan dinaikinya.

Katanya, usaha mengekori kenderaan lelaki itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang diketuai oleh Inspektor Rumaizur Rahman Ab. Sattar.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian cuba meloloskan diri tetapi kenderaan mereka yang cuba mengundur terlanggar kereta peronda polis.

Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemui lapan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di dalam bonet dan tempat duduk penumpang kereta itu.

"Hasil siasatan mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu pernah ditangkap sebelum ini atas kesalahan yang sama dan kedua-dua mereka bekerja sebagai buruh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut semalam.

Menurut Noor Zainy, suspek dipercayai membawa bekalan daun ketum itu dari Perak untuk diedarkan kepada pengedar ketum di sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan.

"Keseluruhan daun ketum itu mampu mencecah RM25,000 berdasarkan harga pasaran RM25 sekilogram," ujarnya.

Kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 30(B) Akta Racun 1952 yang jika disabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga Nigeria ditahan seludup syabu

KOTA KINABALU 25 Julai 2010 - Seorang lelaki Nigeria yang baru tiba di negara ini gembira selepas melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa dikesan melakukan kesalahan.

Tanpa menimbulkan sebarang rasa syak, dia menaiki pula sebuah pesawat untuk ke Sabah dan turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kelmarin.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia 37 tahun itu terbongkar apabila dia akhirnya dikesan membawa sejumlah 2.7 kilogram dadah syabu bernilai RM688,000 dalam bagasinya.

Lelaki itu akhirnya ditangkap oleh anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah setelah mengesyaki tingkah lakunya yang mencurigakan sebaik sahaja tiba di KKIA.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, suspek menyorok dadah syabu tersebut di bahagian dalam bagasinya yang telah diubahsuai.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Md. Yusop Mansor berkata, pihaknya meragui barangan yang dibawa lelaki berkenaan selepas melakukan imbasan komputer.

"Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas bagasi lelaki berkenaan, kami menemui sejumlah dadah jenis syabu disembunyikan di satu sudut rahsia dalam bagasi tersebut.

"Keseluruhan dadah syabu yang ditemui itu dianggarkan seberat 2.7 kilogram dengan nilai pasaran mencecah RM688,000," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat KDRM Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah JKDM negeri, Janatan Kandok dan Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan JKDM Sabah, Hassan Ali.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejayaan terbaru ini, kata beliau, merupakan kes keempat pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah melalui lapangan terbang di negeri ini.

Bagi kes yang pertama, katanya, suspek telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati manakala dua lagi kes masih dalam prosiding pendakwaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya akan terus meningkatkan usaha mencegah aktiviti penyeludupan di negeri ini.

"Ini merupakan tanggungjawab kita dan JKDM akan terus berusaha lebih gigih mencegah kemasukan dan penyeludupan dadah ke negeri ini," katanya.

Lelaki main gitar maut kena tetak

Oleh Khairul Azran Hussin

2010/07/26
20 pemuda bawa parang serang pekerja kilang, 5 rakan

SHAH ALAM: Seorang pemuda mati manakala rakannya parah apabila diserang sekumpulan 20 lelaki menggunakan parang di Flet Valencia, Seksyen 25, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata ketika kejadian, Pasibal Julaini, 26, yang berasal dari Sabah dikatakan sedang bermain gitar bersama lima rakannya di tingkat bawah blok di flet itu sebelum diserang suspek. Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 malam itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di kawasan berdekatan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Kumpulan lelaki itu disifatkan ganas kerana menyerang mangsa tanpa belas kasihan sehingga menyebabkan kematian mangsa. Usaha menjejaki semua suspek giat dilakukan dan siasatan awal mendapati pergaduhan ini bermotifkan dendam.

Polis sedang menyiasat sebuah motosikal yang ditemui terbakar di padang permainan tidak jauh dari tempat kejadian, sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes itu atau tidak, katanya.

Noor Azam berkata, polis masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa yang cedera parah itu kerana tidak menemui dokumen pengenalan dirinya.
Beliau berkata, sejurus selepas kejadian, penduduk yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu, mula bertindak dengan berkumpul sehingga menimbulkan kekecohan, tetapi dapat dikawal.

Wednesday, July 21, 2010

Remaja 15 tahun dipercayai ketua kumpulan samseng

PULAU PINANG 21 Julai 2010 - Pelajar berusia 15 tahun yang ditahan bersama 15 rakannya bagi membantu siasatan dalam satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin, Sungai Dua kelmarin, dipercayai adalah ketua kumpulan tersebut.

Difahamkan, rakan kepada remaja itu semalam memanggilnya dengan gelaran "tai lou" dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud ketua kumpulan semasa mereka sedang disoal siasat di Balai Polis Jalan Patani di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut termasuk kebenaran panggilan yang digunakan 15 lelaki lain yang rata-rata berusia 20-an kepada remaja terbabit.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan gelaran itu baru diberikan kepada remaja terbabit dengan harapan mereka dilepaskan dan hanya dia dipersalahkan atas insiden itu.

"Mungkin ia hanya nama timangan untuk remaja berkenaan. Bagaimanapun, kita sudah memaklumkan perkara tersebut kepada keluarganya," kata Kong Meng kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, polis menahan 16 orang, termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin di Sungai Dua di sini malam semalam.

Sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang itu dikatakan bertindak ganas dengan menyerang dua lelaki yang sedang menjaja di taman berkenaan.

Kedua-dua penjaja tersebut sebelum itu dipercayai telah berselisih faham dengan salah seorang anggota kumpulan yang menyerang mereka.

Kesemua mereka ditahan berdekatan pusat beli-belah Queensbay Mall di sini empat jam kemudian setelah polis berjaya mengesan kenderaan mereka di kawasan tepi laut itu.

Polis Selangor berjaya selesai 4 kes bunuh

SHAH ALAM 21 Julai 2010 – Polis berjaya menyelesaikan empat kes bunuh di negeri ini dengan tertangkapnya beberapa suspek baru-baru ini.

Kes-kes tersebut melibatkan penemuan mayat seorang gadis Myanmar yang ditemui di Hulu Yam, mayat yang dipotong kepala di Hulu Selangor dan masing-masing mayat lelaki dicampak ke dalam sungai dan di bawah jambatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kes gadis Myanmar itu selesai apabila dua suspek diberkas selain turut melengkapkan siasatan 15 kes samun kafe siber.

‘‘Siasatan mayat lelaki warga India yang dirantai dan dicampak ke Sungai Klang juga berakhir dengan tiga suspek terlibat berjaya diberkas.

‘‘Kita percaya kes ini berpunca daripada rasa marah suspek setelah mangsa gagal menyiapkan kerja membaharui pasport seperti dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Khalid menambah, siasatan terhadap seorang warga Bangladesh yang ditemui mati dengan kepala dipotong di Hulu Selangor juga dianggap selesai apabila dua suspek warga Indonesia yang juga rakan sekerja mangsa diberkas.

Ujarnya, kes itu turut bermotifkan marah kerana mangsa kerap kali membuli kedua-dua suspek tersebut.

Menurutnya, polis juga berjaya menyelesaikan kes seorang lelaki tempatan yang dibunuh dan mayatnya dicampak di bawah jambatan di Sungai Way, Petaling Jaya baru-baru ini.

‘‘Kita berjaya memberkas lima suspek dan kes itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di tempat kerja,” kata beliau.

Awang Misai Merah digeruni terkencing bila ditangkap

2010/07/22


KETUA kumpulan penjenayah Geng Awang Misai Merah akhirnya ditahan.KUALA TERENGGANU: Ketua kumpulan penjenayah Geng Awang Misai Merah yang bersembunyi selepas meloloskan diri daripada beberapa serbuan polis sebelum ini, ditangkap selepas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu menyerbu sebuah rumah di Kemaman, pagi semalam.

Lelaki berusia 48 tahun yang benar-benar mempunyai misai lebat perang kemerahan dan nampak garang itu bagaimanapun tidak gah seperti disangka kerana ketika serbuan jam 7 pagi itu, dia dikatakan beberapa kali terkencing dalam seluar. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mengesahkan mengenai penahanan ketua kumpulan itu berkata, suspek ditahan bersama dua anak lelakinya berusia 17 dan 24 tahun. Beliau berkata, dalam serbuan hasil risikan dan maklumat orang ramai itu, polis menemui tiga kenderaan, termasuk yang mempunyai kesan ubah suai pada casis.

“Berikutan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan dirampas dan dibawa ke IPK untuk ujian forensik dan kita juga akan memohon perintah reman terhadap semua suspek,” katanya.

Geng Awang Misai Merah digeruni kerana dikatakan mempunyai rangkaian hampir di seluruh negeri ini dan kumpulan itu dipercayai menjadikan kawasan pedalaman sebagai lokasi pasaran kenderaan curi selain menjadikan pemilik kenderaan pacuan empat roda sebagai sasaran.

Difahamkan, beberapa siri serbuan ke bengkel kenderaan sudah dilakukan sebelum ini bagi menjejakinya namun ketua kumpulan berkenaan licik dan terlepas malah dia dipercayai berpindah-randah menyebabkan polis sukar menjejakinya.
Dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu, pihak berkuasa percaya satu kumpulan curi kenderaan berat yang bergiat aktif di negeri ini sudah dilumpuhkan.

Ragut: Pengawal keselamatan di penjara lima tahun

21/07/2010 2:28pm


SHAH ALAM 21 Julai - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima

tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah

meragut seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada minggu

lalu.

Hakim Latifah Mohd. Tahar memerintahkan hukuman terhadap Hairul Azuan

Abdul Rahman, 27, berkuatkuasa dari tangkap pada 15 Julai lalu iaitu

hari kejadian.

Tertuduh mengaku merompak Juliza Jamaludin, 23, dengan meragut beg

galas mangsa yang mengandungi telefon bimbit, dompet berisi kad ATM

Bank Islam, lesen memandu dan kad pelajar di Persiaran Raja Muda,

Seksyen 3 di sini pada pukul 8.15 pagi. - Utusan

Tuesday, July 20, 2010

Jual ganja dalam kedai keranda

KLANG 20 Julai 2010 – Kegiatan mengedar ganja dengan berselindung di sebalik perniagaan keranda akhirnya tumpas apabila polis menyerbu premis itu di Taman Sentosa di sini awal pagi Jumaat lalu.

Dalam serbuan pukul 2.30 pagi, polis menemui enam ketulan mampat ganja yang kesemuanya seberat 6.92 kilogram bernilai kira-kira RM21,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kesemua ganja ditemui dalam ruang pejabat dan di beberapa tempat dalam kedai keranda itu, dipercayai sedia untuk diedarkan kepada pembeli.

“Dalam serbuan, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 44 tahun yang sedang tidur di premis itu bagi membantu siasatan.

“Salah seorang daripada suspek merupakan pemilik premis berkenaan dan memiliki satu rekod jenayah berkaitan dengan pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, kegiatan pengedaran dadah di kedai keranda itu dipercayai bermula sejak tiga minggu lalu manakala bekalan ganja itu diperoleh daripada negara jiran.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Tukang kayu, anak ditahan edar dadah

SERDANG 20 Julai 2010 - Pendapatan yang tidak seberapa diperoleh hasil bekerja sebagai tukang kayu, mendorong seorang pemuda dan bapanya mengedar dadah meskipun menyedari perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Kesenangan hidup yang dikecapi kedua-duanya bagaimanapun hanya bertahan sebulan apabila dicekup dalam serbuan di rumah mereka di Taman Kantan, Batu 8 1/2, Kinrara, Puchong, di sini kelmarin.

Ketua Polis daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, ketika serbuan dilakukan pada pukul 7.15 petang itu, terdapat sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia 25 tahun.

Katanya, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, pemuda itu melarikan diri ke bilik bapanya.

"Polis yang memeriksa bilik tersebut kemudian menemui 210 gram dadah jenis ketamin dan 60 biji pil Eramin 5 disembunyikan dalam bilik berkenaan.

"Polis kemudian menahan tiga beranak terbabit untuk siasatan lanjut dan menjalani pemeriksaan air kencing," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan, katanya, suspek lelaki berusia 57 tahun itu merupakan seorang tukang kayu yang sudah bersara.

Beliau berkata, dua beranak itu baru sahaja berjinak-jinak mengedar dadah sebagai punca pendapatan tambahan sejak sebulan lalu.

"Mereka juga baru menjadi penagih dadah dan pemeriksaan air kencing mendapati mereka positif mengambil ketamin.

"Modus operandi dua beranak itu adalah dengan menerima tempahan melalui telefon sebelum menghantar dadah kepada penagih secara terus atau meminta mereka datang ke rumah," katanya.

Beliau berkata, tukang kayu bersama bapanya itu kini direman selama empat hari mulai semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala ibunya dibebaskan kerana didapati tidak terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.

Hukuman mati terhadap pembunuh pelakon Kipas Anggun dikekalkan

2010/07/20
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman mati terhadap dua lelaki kerana membunuh pelakon Singapura Una Angelia Oliveiro pada 2001.

Hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud membuat keputusan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai alasan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana hakim perbicaran telah menimbang dengan teliti bukti yang dikemukakan saksi pendakwa dalam kes itu. Panel tiga orang hakim itu menolak rayuan penganggur Mohd Fazli Ismail, 28, dan jurusolek Esma Faizul Zainul Nor, 39, untuk mengetepikan sabit kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Oktober tahun lalu.
Dua lelaki berkenaan didapati bersalah membunuh wanita tiga anak berusia 44 tahun itu di banglonya di Jalan Bukit Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada jam 11.15 pagi, 14 November 2001.

Oliveiro, wanita kacukan Cina dan Inggeris, yang memegang peranan ''Opah'' dalam drama sitcom tempatan ''Kipas Anggun'', ditemui mati di ruang makan rumahnya dengan enam kesan tikaman di dadanya. - BERNAMA

Monday, July 19, 2010

Pelajar menyamun ditahan

ALOR SETAR 19 Julai 2010 – Meskipun masih bergelar pelajar sekolah, sekumpulan remaja tidak serik-serik melakukan kegiatan samun, khususnya terhadap pekerja warga asing yang sering dijadikan sasaran.

Buktinya, mereka dikatakan terlibat dalam sekurang-kurangnya 33 kes samun tanpa senjata di sekitar Jitra dan Yan sejak awal tahun ini.

Namun, kegiatan kumpulan yang terdiri daripada remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun ini berakhir baru-baru ini apabila lima daripada mereka diberkas polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kumpulan itu dikatakan menyamun sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Taman Saujana Indah di Jitra kira-kira pukul 6.30 pagi 11 Julai lalu.

“Lanjutan daripada kejadian itu, polis melancarkan operasi memburu mereka sehingga berjaya menahan lima penjenayah remaja tersebut.

“Tiga daripada mereka masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Alor Setar. Polis sedang memburu beberapa lagi ahi kumpulan ini,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Manjeet Bimbang Maklumat Dalam Komputer Riba Mungkin Diubah

Oleh Dzulkarnain Taib

SHAH ALAM 20 Julai - Manjeet Singh Dhillon, salah seorang peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam berkata pihak yang mencuri komputer ribanya dalam kejadian pecah rumah semalam berkemungkinan akan merubah dan merekacipta maklumat yang terdapat dalam komputer riba beliau.

Dalam satu kenyataan media ringkas yang diemel kepada Suara Keadilan dari kotaraya itu lewat malam semalam melalui peguam Americk Sidhu, Manjeet berkata komputer riba itu adalah satu-satunya sasaran penceroboh yang memasuki rumah beliau.

"Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa rumah saya di Kuala Lumpur telah diceroboh. Sasaran utama penceroboh ialah komputer riba saya. Saya akan segera kembali ke tanahair untuk mengurus insiden ini.

"Ini adalah kejadian kedua yang berlaku kepada saya bila mana saya sedang mengendalikan urusan berhubung kes Bala. Rumah saya dibaling bom petrol sejurus temuramah Bala di Singapura da kini selepas memberi keterangan di London dan Paris rumah saya sekali lagi dimasuki penceroboh.

"Agak aneh banyak barangan berharga termasuk barang kemas kepunyaan isteri saya di dalam bilik di mana komputer riba saya berada tidak disentuh langsung," kata Manjeet dalam kenyataan beliau.

Manjeet berkata beliau akan membuat kenyataan lanjut mengenai insiden ini dan akan membuat laporan polis setibanya di ibu negara.

Dalam kejadian pertama pada 19 November 2009 beberapa bom petrol telah dibaling ke rumah Manjeet yang merupakan seorang peguam terkemuka dan juga bekas presiden Majlis Peguam, dipercayai ada kaitan dengan wawancara dengan Bala yang disiarkan dalam Youtube.

Kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam itu telah menyebabkan rumahnya di Damansara mengalami kebakaran yang merosakkan dinding garaj rumahnya.

Manjeet berkata ketika itu, insiden tersebut mungkin satu amaran dan ancaman diri dan keluarganya ekoran kehadirannya dalam satu rakaman wawancara dengan Bala di Singapura.

Lelaki berkopiah larikan Porsche

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk kerugian RM250,000 apabila kenderaan mewah jenis Porsche Cayenne miliknya dilarikan dua lelaki ‘alim’ di hadapan sebuah masjid di Jalan SS3 Sungai Way dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa yang juga bekas pegawai kerajaan sedang memandu kereta seorang diri sebelum kenderaannya tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh dua lelaki berkopiah yang menaiki kereta Toyota Ipsum.

Dia yang menyangka kedua-dua lelaki itu adalah orang baik kerana masing-masing berkopiah dan mungkin dalam perjalanan ke masjid, segera keluar menemui mereka untuk berbincang mengenai tuntutan berikutan kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila salah seorang daripada mereka tiba-tiba keluar dari kereta sambil membawa sebilah parang dan mengacu senjata itu kepadanya.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan kereta Porsche dan telefon bimbit kepada mereka sebelum melarikan diri dengan kenderaan tersebut.

Katanya, kedua-dua penjenayah berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bagaimanapun meninggalkan kereta Toyota Ipsum yang dinaiki mereka sebelumnya.

“Mangsa kemudian memandu kereta yang ditinggalkan penjenayah terbabit untuk pergi membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Way,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, mangsa berusia 76 tahun bernasib baik kerana tidak dicederakan oleh penjenayah berkenaan.

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati kereta Toyota Ipsum yang digunakan penjenayah untuk melanggar mangsa merupakan kenderaan curi.

Katanya, kereta terbabit pernah dilaporkan hilang di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini baru- baru ini.

“Suspek sengaja menukarkan kereta Totoya Ipsum dengan Porsche Cayenne kerana mengetahui nilai kereta Porsche itu lebih tinggi.

“Mangsa pula berjaya diperdayakan kerana penjenayah berlagak alim dengan berkopiah dan melakukan jenayah itu di depan masjid,” katanya.

Dadah RM112,000 dirampas

2010/07/20
JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis ganja dan heroin seberat 25 kilogram bernilai RM112,000 untuk jualan runcit, selain menyita harta rampasan bernilai RM92,000 dalam dua serbuan berasingan di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian pertama pada jam kira-kira jam 1.20 pagi Rabu lalu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik cawangan Seri Alam, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 24.46 kilogram bernilai RM75,000 dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha TZM 150 dengan nilai anggaran RM7,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini. Ekoran kejadian berkenaan, polis menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sendiri dan ujian air kencingnya disahkan positif dadah jenis methamphetamine (syabu), heroin serta ganja, selain suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata suspek dipercayai terbabit penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu dengan bekalan dadah disyaki ganja diperoleh dari Selatan Thailand dan kini ditahan reman selama seminggu bermula daripada tarikh ditangkap.

Sementara itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam, Jabatan Siasatan Jenayah negeri berjaya merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 555 gram bernilai RM37,000 serta menyita harta yang dirampas bernilai anggaran RM85,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Larkin Perdana di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan terbabit, antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Naza Citra bernilai RM50,000 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM30,000 selain sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM5,000.

Sehubungan itu, dua lelaki berusia 28 dan 36 tahun yang bekerja sendiri ditahan dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

Sunday, July 18, 2010

3 lelaki Aceh kena gantung

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2010/07/19
ALOR SETAR: Tiga lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 1,858.6 gram di Sungai Petani, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu terhadap ketiga-tiga tertuduh, Amri Alamsyah, 41; Iskandar Ibrahim, 33, dan Muhammadiah Hassan, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. Zamani berkata, selepas meneliti penghujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwa mempunyai kes cukup kuat dan melampaui keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Katanya, mahkamah mendapati banyak keterangan dikemukakan pembelaan meragukan.

“Mahkamah mendapati ketiga-tiga kamu bersalah dan mahkamah tidak mempunyai pilihan, melainkan mengenakan hukuman gantung mandatori sampai mati ke atas kamu,” katanya ketika membacakan keputusan kes itu, semalam.

Ketiga-tiga tertuduh semuanya berasal dari Aceh, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan pada jam 2.30 petang 6 April 2005 di depan Chin Hin Motor Sdn Bhd, No 10 Jalan Kampung Baru, Sungai Petani dengan niat bersama mengedar dadah jenis ganja seberat 1,858.6 gram.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Friday, July 16, 2010

Penuntut UiTM rempuh peragut

2010/07/17
SHAH ALAM: Tindakan pantas seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengejar lelaki yang meragut beg tangannya, berjaya menahan peragut itu dengan bantuan dua pegawai polis dan orang ramai yang melihat kejadian berkenaan.

Kejadian berlaku jam 8.15 pagi ketika pelajar itu menunggang motosikal di Persiaran Raja Muda, di sini sebelum seorang lelaki meragut beg tangan diletakkan dalam bakul motosikalnya. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaludin, berkata mangsa tekad mengejar peragut itu sejauh 1.5 kilometer sehingga Jalan Jati, Seksyen 3, di sini.
"Setiba di bulatan U berdekatan deretan kedai di Jalan Jati, mangsa merempuh motosikal suspek menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh. Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan disedari orang ramai termasuk dua pegawai polis yang minum di sebuah restoran berhampiran," katanya di sini semalam.

Nor Azam berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan sama ada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mangsa hanya luka ringan dan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Remaja sorok 150 paket dadah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/07/17


YAHYA (kiri) menunjukkan 150 paket dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Pekan semalam.Sembunyi heroin dalam plastik hitam di dapur rumah

PEKAN: Rahsia seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mampu hidup mewah dengan menyewa sebuah rumah teres seorang diri di Taman Shah Bandar, Peramu, di sini akhirnya terbongkar apabila ditahan sepasukan anggota polis kerana dipercayai mengedar dadah, Rabu lalu. Remaja terbabit ditahan pada jam 1 tengah hari kira-kira 20 meter dari rumah sewanya sebelum pemeriksaan di badannya menjumpai sepaket plastik di poket seluar dipercayai dadah jenis heroin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata suspek kemudian dibawa ke rumahnya dan pihaknya yang melakukan pemeriksaan lanjut menemui 150 paket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 280 gram.

Beliau berkata, dadah terbabit ditemui dalam satu plastik hitam dan disorokkan di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Dadah seberat 280 gram terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000 dan ditemui mesin pembungkus dan alat timbang elektronik di rumahnya.

“Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Kuala Lumpur baru menyewa di sini lebih sebulan dan mampu menyewa rumah sekitar RM400 tanpa mempunyai pekerjaan tetap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) di sini, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya mendapati suspek mendakwa dadah terbabit dibawa oleh rakannya dari negeri jiran bertujuan mencari pasaran baru di bandar ini.

“Difahamkan, dadah terbabit dijual RM100 bagi setiap paket dan polis akan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan secara berterusan bagi mengesan sama ada wujud sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu suspek kini direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

2 rakyat kita bawa dadah ditahan

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/17


Kristina Anak Luke NijuPelajar tunggu bicara di China, tukang masak cuba seludup ke Riau

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia masing-masing ditahan di China dan Indonesia kerana cuba menyeludup dadah termasuk pil khayal bernilai lebih RM600,000. Dalam kejadian pertama, pelajar perempuan Politeknik Kuching, Kristina Anak Luke Niju, 22, yang dilaporkan hilang selepas mengikut lelaki Afrika ke China atas urusan perniagaan sejak April lalu, kini ditahan di Pusat Tahanan Hainan's Danzhou kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tempatan ditahan pihak berkuasa Kepulauan Riau bersama 20,000 pil khayal Crimin 5 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu, Selasa lalu.

Kristina atau nama gelarannya Corie, ditahan Biro Narkotik Antipengedaran Dadah di sebuah lapangan terbang di China, dipercayai selepas dikesan membawa dadah yang disembunyikan dalam beg tangannya, pada 29 April lalu.

Pelajar dari Sandakan, Sabah itu ditahan di pusat tahanan berkenaan sementara menunggu tarikh perbicaraan kesnya yang difahamkan akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, mengesahkan penahanan pelajar itu dan pihaknya menerusi wakil kedutaan Malaysia di China bakal menga-dakan rundingan dengan pusat tahanan itu bagi membolehkan sekurang-kurangnya ibu bapa Corie melawatnya pada masa terdekat.
Terdahulu, pada sidang media, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, penahanan Corie dimaklumkan oleh Wisma Putra semalam selepas ibu bapa pelajar itu membuat laporan ke pejabatnya, tiga hari lalu.

“Buat masa ini, Konsulat Jeneral kita di Guangzhou sedang bekerjasama dengan pihak pentadbiran pusat tahanan Hainan bagi mengetahui keadaan Corie.

Tiga hari lalu, bapa gadis itu, Luke Niju Anak Panjang, 58, membuat aduan ke pejabat itu selepas rakan serumah anaknya, Ernie Yanti, 23, menerima e-mel Corie pada 10 Mei lalu yang menyatakan ‘Tolong bantu saya dalam kesusahan di China dan tiada wang untuk pulang ke Malaysia.’

Corie turut mendakwa rakan lelakinya, James yang dikenali menerusi Facebook, sudah meninggalkannya sebaik menerima wang daripada individu di China.

Michael berkata, pihaknya percaya James masih di Malaysia menggunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini dan menyasarkan pelajar kolej sebagai mangsa menerusi internet.

Katanya, pihaknya dimaklumkan wakil pejabat Konsulat di Guangzhou mengenai tujuh wanita Malaysia yang sudah disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Semua dipenjarakan seumur hidup termasuk bekas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Pasir Puteh, Kelantan, Umi Azlim Mohamad Lazim, 26.

Sementara itu, sumber berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai tukang masak di Kota Kinabalu, Sabah, ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia di Pelabuhan Tanjung Balai Karimun kira-kira jam 4 petang sejurus tiba dari Kukup, Pontian, menaiki bot ekspres, MV Zone 1.

Sumber memberitahu, suspek ditahan selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya sebelum diarah menjalani pemeriksaan lanjut yang membawa penemuan pil khayal berkualiti tinggi disembunyikan dalam bungkusan aluminium.

Dalam keterangannya kepada Unit Narkotik Polis Republik Indonesia (POLRI) Riau, lelaki terbabit mendakwa tidak mengetahui kewujudan dadah berkenaan dan mendakwa sekadar memenuhi permintaan rakan baiknya menghantar bungkusan kepada seseorang di pulau itu.

Penahanan itu yang kedua membabitkan warga Malaysia di Kepulauan Riau sepanjang tahun ini atas kesalahan menyeludup dadah. Pada 22 Januari lalu, seorang wanita berusia 45 tahun ditahan bersama 10 bungkusan berisi 10,112 pil ecstasy dan dua beg plastik kristal methamphetamine seberat dua kilogram bernilai lebih RM2 juta

Thursday, July 15, 2010

Balak bernilai RM250,000 dirampas

LENGGONG 15 Julai 2010 - Jabatan Perhutanan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mematahkan kegiatan pembalakan haram setelah merampas 800 batang balak bernilai lebih RM250,000 dalam serbuan di Hutan Simpan Bintang Hijau di sini, awal pagi ini.

Kayu-kayu balak termasuk yang telah siap digergaji ditemui di lapan lokasi berbeza di dalam hutan tersebut.

Turut dirampas, sebuah jentolak, sebuah jip dan mesin pemotong.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi yang bermula pukul 5 pagi ini dan berakhir kira-kira enam jam kemudian.

Antara kayu balak yang dirampas adalah jenis cengal, meranti, merbau dan balau.

Cengal merupakan spesies termahal di pasaran dengan harga RM8,000 satu tan manakala kayu balak jenis lain berharga antara RM4,500 hingga RM8,000.

Jurucakap Jabatan Perhutanan negeri berkata, seramai 21 pegawai jabatan berkenaan dan SPRM dari Putrajaya terlibat dalam operasi tersebut.

"Lokasi pembalakan haram ini membabitkan kawasan tadahan air," katanya kepada pemberita yang turut menyertai operasi itu di sini.

Berdasarkan kesan-kesan yang ditinggalkan sindiket pembalakan itu, katanya, kegiatan tersebut dipercayai bermula sejak beberapa minggu lalu.

"Melihat keadaan kawasan hutan yang ditebang, dianggarkan kayu balak bernilai kira-kira RM500,000 telah dibawa keluar dari hutan simpan ini," katanya.

Beliau memberitahu, tindakan sindiket pembalakan haram membawa keluar kayu balak yang siap digergaji adalah sebagai taktik untuk mengabui mata pihak berkuasa berikutan banyak operasi dijalankan.

Dadah RM530,000 dirampas

KUALA LUMPUR 15 Julai 2010 - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM530,000 serta menahan empat lelaki dalam tiga serbuan di ibu negara dan Selangor minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pada kes pertama, polis menahan dua lelaki berumur 41 dan 55 tahun dan merampas 38 ketulan dadah jenis ganja seberat 33.7 kilogram bernilai RM85,000.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan kaki kira-kira pukul 7.40 malam Rabu di Kampung Baru di sini.

Polis menemui enam ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 5.6 kilogram dalam beg yang dibawa lelaki itu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, suspek kemudian membawa polis ke parkir kenderaan di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang dan polis menemui 29 ketulan ganja seberat 27.2 kilogram dalam kereta jenis Volvo milik suspek.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek pula, polis menemui tiga ketulan yang disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 0.9 kilogram," katanya.

Tiga jam kemudian, polis menahan rakan lelaki itu, seorang pemandu teksi berusia 55 tahun di Taman Seri Gombak, Batu Caves yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Muhammad Sabtu berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Pada serbuan kedua, kira-kira pukul 10.30 malam Selasa lepas, polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 38 tahun di sekitar Taman Melati, Setapak dan merampas lima bungkusan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 2.3 kilogram bernilai RM65,000.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek di Batu Caves, Selangor telah membawa kepada rampasan satu botol plastik jernih yang mengandungi dadah jenis ganja dengan berat 0.21 kilogram.

"Di situ, kami juga rampas wang tunai berjumlah RM9,000, dua kereta Honda Civic dan Proton Wira," katanya. - BERNAMA

Pelajar antara ditahan edar syabu

2010/07/16
ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pelajar sebuah kolej swasta di Pulau Pinang, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Plaza Tol Sungai Petani, Selasa lalu.

Dalam serbuan pada kira-kira jam 6.30 petang itu, polis turut merampas syabu seberat 507.33 gram bernilai kira-kira RM140,000 daripada tiga lelaki berusia antara 22 dan 29 tahun itu. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata semua lelaki terbabit ditahan dalam serbuan terhadap sebuah kereta Honda Jazz dinaiki suspek yang dalam perjalanan dari arah selatan.
Ketika ditahan mereka dikatakan sedang menunggu sindiket lain datang mengambil dadah itu di tepi jalan berhampiran plaza tol berkenaan.

Hasil pemeriksaan anggota polis menemui satu beg berwarna hijau yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta itu mengandungi 10 bungkus plastik lutsinar, disyaki dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedar kepada sindiket lain di Pulau Pinang, katanya di sini, semalam.

Polis turut menyita pelbagai harta milik mereka hasil pengedaran dadah, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Wish, sebuah Proton Iswara Aeroback, barang kemas dan telefon bimbit.

Wednesday, July 14, 2010

Wanita nyaris dicabul

KUALA LUMPUR 14 Julai 2010 - Tidak cukup dengan barang-barang berharga disamun, seorang wanita yang menaiki teksi nyaris dicabul oleh pemandu kenderaan tersebut, baru-baru ini.

Kejadian berlaku lewat petang 9 Julai lalu ketika wanita itu yang berusia menahan sebuah teksi berhampiran Menara Millenium di Bukit Damansara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semasa menaiki teksi itu, pemandunya tiba-tiba membuat pusingan U sebaik sahaja tiba di bulatan Jalan Kuching menghala ke sebuah kawasan perumahan banglo.

"Mangsa langsung tidak tahu di mana dia berada namun suspek memberitahunya dia menggunakan jalan pintas," katanya di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, suspek memberhentikan kenderaannya di satu kawasan sunyi dan mengugut mangsa agar menyerahkan semua barang berharga miliknya.

Selepas itu, katanya, suspek turut cuba mencabul mangsa namun gagal setelah wanita itu berjaya melepaskan diri.

Suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dan tidak fasih berbahasa Melayu malah langsung tidak memahami Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, lelaki itu memandu teksi jenis Proton Iswara berwarna merah putih dan usaha mengesannya kini sedang giat dijalankan

Dua bayi, kanak-kanak diselamatkan

KUCHING 14 Julai 2010 - Kurang 48 jam selepas polis menyelamatkan seorang bayi perempuan daripada dijual di kawasan Bandar Baru Batu Kawa, polis hari ini berjaya menyelamatkan dua lagi bayi dan seorang kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini pagi ini.

Dalam serbuan pukul 10 pagi, polis turut menahan dua pasangan yang berada di kediaman tersebut bersama seorang bayi perempuan berusia 27 hari, bayi lelaki berusia tujuh bulan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, hasil maklumat daripada tiga suspek yang ditahan berhubung penemuan bayi berusia 23 hari malam kelmarin, polis bertindak menyerbu rumah itu sebelum menemui bayi dan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, hasil soal siasat, kedua-dua pasangan berkenaan mendakwa dua bayi dan seorang kanak-kanak itu merupakan anak mereka kerana mempunyai dokumen kelahiran masing-masing.

"Berikutan itu, polis akan melakukan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) ke atas semua tujuh suspek termasuk seorang wanita warga asing yang ditahan setakat ini bagi mengesahkan status bayi berkenaan.

"Bagaimanapun, kita masih belum dapat membuktikan sama ada tujuh suspek ini dalam satu sindiket atau bertindak sebagai orang yang menerima atau orang yang menjual. Kita masih menyiasat mengenai kemungkinan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malam kelmarin, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga asing setelah dipercayai cuba menjual seorang bayi perempuan berusia 23 hari di Bandar Baru Batu Kawa.

Huzir dalam pada itu memberitahu, setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan daripada tiga suspek yang ditahan sebelum ini termasuk seorang daripadanya isteri ahli perniagaan berpangkat datuk bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, kesemua bayi dan kanak-kanak yang dalam keadaan sihat kini dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum diletakkan di bawah penjagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh sementara waktu.

Buat masa ini, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, kata Huzir

2 ahli kumpulan samseng maut ditetak

JOHOR BAHRU 14 Julai 2010 - Dua lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan Cina di Jalan Hang Kasturi, Bandar Selesa Jaya di Nusajaya malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.45 malam ketika kedua-dua mangsa dikatakan sedang minum di restoran itu sebelum didatangi sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Aziz Ahmad berkata, kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat lelaki itu tiba-tiba bertindak menyerang dan menetak mangsa dengan menggunakan parang.

"Salah seorang daripada mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan manakala rakannya meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini.

"Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua mangsa menggunakan identiti palsu dan menganggotai satu kumpulan samseng manakala penyerang mereka datang dari kumpulan samseng berbeza," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aziz berkata, pihaknya yang menerima maklumat kemudian menahan sembilan lelaki di Bandar Selesa Jaya di sini tidak lama selepas kejadian.

Polis, katanya, turut menemui dua bilah parang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut termasuk salah satu daripadanya milik suspek yang ditahan

Polis tembak mati suspek curi kereta

PULAU PINANG 14 Julai 2010 - Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket curi kereta mewah jenis Toyota Alphard ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis ketika ditahan di Lintang Bukit Jambul di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 6.10 pagi, suspek yang berusia 38 tahun dan bersenjatakan sepucuk pistol jenis .22, mati ditembak dua das di bahagian dada.

Dia sebelum itu tidak menghiraukan satu tembakan amaran yang dilepaskan polis selain cuba menembak anggota polis dengan mengeluarkan pistol.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kejadian bermula apabila sepasukan anggota polis terserempak dengan Toyota Alphard berwarna putih di Bukit Jambul.

Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan itu dilaporkan dicuri di Simpang Pulai, Perak manakala nombor pendaftaran yang digunakan didaftarkan di Selangor untuk kenderaan jenis sama tapi berwarna hitam

"Berikutan itu, dua buah kereta polis kemudian mengekori kenderaan berkenaan dari arah yang berbeza sebelum mengepung kereta suspek di tempat kejadian.

"Sebaik sahaja dikepung, suspek kemudian memecut kenderaannya, namun terbabas ke dalam sebuah parit sebelum dia cuba melarikan diri dan akhirnya ditembak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kapal kargo dirompak lanun

KUCHING 14 Julai 2010 - Sekumpulan lanun bertindak nekad merompak sebuah kapal kargo, M.V Hornbill yang sedang dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Bintulu, awal pagi semalam.

Rompakan itu berlaku di Pulau Marundung, kira-kira 70 kilometer (40 batu nautika) dari sempadan Tanjung Datu dekat Lundu, kira-kira pukul 1 pagi.

Ketika kejadian, terdapat seramai 19 krew kapal warga Indonesia, Myanmar dan India sedang tidur dalam kapal berkenaan.

Kumpulan lanun itu yang terdiri daripada lapan lelaki menggunakan bot laju dan menaiki kapal kargo membawa pelbagai muatan yang ketika itu berada di perairan Indonesia.

Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Sarawak, Asisten Komisioner Taib Sabot berkata, kapal kargo itu didaftarkan di bandar raya ini dan sepatutnya singgah di Kuching.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum sempat tiba di sini, kapal itu diserang kumpulan lanun berkenaan.

Ketika kejadian, katanya, lanun itu bertindak mengikat kesemua krew kapal dan kapten kapal itu yang merupakan seorang warga Indonesia.

"Lanun itu kemudian merampas wang yang digunakan untuk membeli barangan keperluan berjumlah RM4,500, tiga unit telefon bimbit, dua buah teropong dan pelbagai barangan lain.

"Sejurus kemudian, kumpulan lanun berkenaan bertindak meninggalkan kapal tanpa mengapa-apakan kesemua krew berkenaan," katanya di sini hari ini.

Taib memberitahu, kapten kapal itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Gita petang semalam sebelum bertolak ke Bintulu untuk meneruskan perjalanan mereka hari ini.

Tambah beliau, PGM telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa Indonesia dan akan meningkatkan rondaan di kawasan perairan Malaysia sebagai langkah keselamatan

4 perompak mati ditembak polis

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my



T. Narenasegaran menunjukkan sebahagian daripada barangan samun yang ditemui semula dalam kereta yang digunakan oleh empat penyamun yang ditembak mati oleh polis Temerloh, Pahang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TEMERLOH 14 Julai - Tindakan penjenayah yang semakin berani melakukan kegiatan pecah rumah dan samun, mengundang padah apabila polis kini meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi berhampiran Kawasan Perindustrian Songsang, di sini awal pagi ini, empat penjenayah warga asing yang memecah masuk rumah seorang penduduk di Bangau Tanjong, ditembak mati kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Penjenayah yang berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam 20 kes pecah rumah dan samun di beberapa buah daerah di Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa setengah jam selepas disamun, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh terus menjalankan operasi memburu perompak berkenaan.

Katanya, polis yang mengadakan operasi memburu penjenayah tersebut terserempak dengan kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan, kira-kira lima kilometer dari lokasi rumah mangsa.

"Polis kemudian memberi arahan kepada pemandu kereta itu supaya memberhentikan kenderaan, namun tidak diendahkan, sebaliknya ia terus memecut laju.

"Pasukan polis yang mengejar kereta tersebut berjaya memintasnya berhampiran sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang," katanya pada sidang akhbar di IPD Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya, anggota polis kemudian mendapati empat lelaki berada dalam kenderaan tersebut. Tiba-tiba, kesemua mereka keluar dari kenderaan dan cuba menyerang polis dengan mengunakan parang.

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan keempat-empat suspek mati di tempat kejadian.

Beliau menambah, tiada pengenalan diri ditemui pada mayat kesemua suspek, namun polis menemui tiga unit komputer riba, 10 telefon bimbit, barang kemas seperti cincin dan gelang, tujuh utas jam tangan dan dua kamera digital dipercayai dicuri.

"Polis turut menemui senjata dan peralatan yang digunakan untuk memecah rumah antaranya empat bilah parang, pemutar skru, tiga pemotong besi, empat topeng muka dan sebilah keris.

"Kereta yang dinaiki empat suspek disahkan dicuri di Klang, Selangor pada 23 April 2008, milik seorang wanita yang beralamat di Kedah," katanya.

Ini merupakan kejayaan ketiga polis dalam tempoh tidak sampai sebulan menembak mati penjenayah yang terlibat dalam jenayah pecah rumah.

Pada 5 Julai lalu, empat daripada lima penjenayah 'Geng Tong Gas' mati ditembak selepas memecah masuk rumah Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Lima hari kemudian, tiga penjenayah 'Geng 66' mati ditembak ketika cuba memecah masuk rumah seorang peniaga di Kampung Tenai, Air Gelugor, Gemencheh.

Menurut Narenasegaran, mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh penjawat awam.

Beliau berkata, dengan tumpasnya kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes samun dan pecah rumah yang berlaku dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Antara lokasi sasaran penjenayah ini sekitar Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan pekan Raub.

Friday, July 9, 2010

Tujuh askar dipenjara tujuh tahun

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Julai 2010 - Gara-gara tidak pandai melipat baju, seorang prebet yang ditahan atas kesalahan tidak hadir bertugas, telah dipukul, ditumbuk, diterajang, dipijak sehingga terkencing dan dilastik kemaluannya sehingga cedera sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

Perbuatan kejam itu dilakukan terhadap Mohd. Shahrizal Mohd. Shaffie, 27, oleh tujuh prebet Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) lain yang turut ditahan dalam sel yang sama antara pukul 11 malam, 5 April dan 1 petang, 6 April 2008 di Bilik Tahanan Pasukan, Unit 1 RAMD, Kem Tentera Sungai Besi, Cheras di sini.

Mereka ialah Mahazir Hamad, Mohd. Azman Jabril dan Mazlan Awang Ngah masing-masing berusia 26 tahun serta Mohd. Bukhari Shawal, 25, bersama Shahrin Mat Rabu, Mohd. Khairi Abdullah @ Mohd. Khalrie Abdullah dan Syabramallisi Shahidan, kesemua berumur 28 tahun.

Hari ini tujuh prebet terbabit menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan itu apabila mereka dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan mereka.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak ketika menjatuhkan hukuman menegaskan bahawa mahkamah tidak dapat menerima sebarang alasan yang diberikan kerana mendera telah menyebabkan nyawa seorang pemuda tidak berdosa melayang.

Beliau memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu seminggu selepas kematian mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret pada 22 April 2008 selepas ditahan reman atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mengemukakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, para tertuduh dan mangsa telah mengadakan upacara yang dinamakan 'penyerahan tugas ketua chief khadam' dan selepas ia selesai, mangsa diminta melakukan senaman sebelum dipukul, ditumbuk dan diterajang pada pukul 11 malam, 5 April 2008 dan penderaan berlarutan.

Kemaluan mangsa turut dilastik menggunakan getah sementara salah seorang daripada tertuduh yang memakai kasut but telah memijak bahagian belakang mangsa sehingga terkencing.

Perbuatan itu hanya dihentikan setelah ditegur oleh seorang pengawal dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Hakim Mohd Sofian sebelum menjatuhkan hukuman berkata, RAMD mempunyai sejarah yang gemilang dan merupakan rejimen pertama sebelum Perang Dunia Kedua dan mereka sepatutnya merasa bangga.

Suami hakim didenda RM2,000

2010/07/10
BUTTERWORTH: Suami kepada bekas Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah mencederakan seorang hakim mahkamah sama, April lalu.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy yang mendengar prosiding semalam, berkata jika tertuduh Jamaluddin Ahmad, 36, gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara dua minggu. Jamaluddin yang juga ahli perniagaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Amernudin Ahmad, 52, di lobi kompleks Mahkamah Butterworth pada jam 5.20 petang, 22 April lalu, mengaku melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohammad Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafidi Mohamad.

Akhbar sebelum ini melaporkan Amernudin yang juga Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, pengsan selepas ditumbuk di muka oleh Jamaludin. Difahamkan, kejadian berpunca apabila Amernudin meminta jurubahasa bekas Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Ainul Shahrin Mohamad, membantunya dalam satu kes tetapi jurubahasa itu tidak berbuat demikian dengan alasan mempunyai tugas lain di mahkamah yang dikendalikan Ainul Shahrin.

Ainul Shahrin dipercayai mengadu perkara itu kepada tertuduh sehingga timbul rasa tidak puas hati yang membawa kepada kejadian terbabit. Berikutan kejadian itu, Ainul Shahrin ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedai emas rugi RM700,000

Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/07/10
Perompak lepas tembakan, ambil 3 minit larikan barang kemas

IPOH: Sekumpulan enam perompak bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa tukul besi memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Pertama, dekat sini sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dalam rompakan nekad tiga minit, pagi semalam. Pada insiden jam 9.50 pagi itu, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum melarikan diri. Dalam kejadian itu, perompak yang menaiki dua kereta meluru ke kedai emas terbabit sebelum seorang daripada mereka yang bertopeng, mengacukan senjata ke arah pengawal keselamatan.

Ketika itu, pengawal keselamatan terbabit bersama tiga pekerja sibuk membuka pintu kedai untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata perompak bersenjatakan pistol merampas senapang laras jenis Steven milik pengawal keselamatan berusia 65 tahun itu sambil mengugut mangsa dan tiga pekerja lain supaya jangan bising.

“Pada masa sama, tiga rakan perompak yang membawa tukul besi memecahkan cermin pameran untuk mengambil barangan kemas sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira.
“Perompak hanya mengambil masa tiga minit untuk melakukan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azisman berkata, polis kini mengumpul maklumat saksi iaitu pengawal keselamatan dan pekerja kedai emas terbabit untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit, Fauzi Kongsor, 65, berkata beliau terpaksa menyerahkan senapang kerana perompak mengacukan pistol ke arahnya dan bimbang dicederakan jika tidak menurut kehendak itu.

“Oleh kerana terlalu takut dengan tindakan mereka (perompak), saya dan tiga pekerja lain hanya mengikut arahan mereka dan berdiam diri.

“Ketika melarikan diri, perompak melepaskan satu das tembakan ke udara,” katanya.

Fauzi berkata, ia adalah kejadian rompakan pertama yang berlaku di kedai emas itu sejak beliau mula bertugas tiga tahun lalu.

Thursday, July 8, 2010

Pengedar dadah warga Thailand ke tali gantung

ABDULLAH Saofi (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati sementara isterinya, Yanidah Maerohkachi (kiri) dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 8 Julai - Seorang peniaga kedai makan warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar methamphetamine seberat 76.39 gram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Abdullah Saofi, 46, yang berasal dari Narathiwat, Thailand di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau bagaimanapun membebaskan isteri tertuduh, Yanidah Maerohkachi, 41, yang didakwa bersubahat dengan suaminya melakukan kesalahan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdullah didakwa mengedar methampethamine di stesen minyak Caltex Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, kira-kira pukul 7.10 malam, 15 Disember 2006.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Abdullah diwakili oleh peguam, Latifah Ariffin manakala Mohd. Azmi Tan Abdullah mewakili isterinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin

Geng Ah Guan tumpas, 20 kes pecah rumah selesai

KUALA LUMPUR 8 Julai 2010 - Setelah hampir setahun bermaharajalela melakukan jenayah pecah rumah dan samun berkumpulan, Geng Ah Guan akhirnya tumpas di tangan polis dengan tertangkapnya 13 ahlinya, dalam operasi sejak 30 Jun lalu sehingga semalam.

Kesemua suspek bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 20 kes pecah rumah dan samun berkumpulan di daerah Cheras dan Lembah Klang.

Suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, lima wanita warga China dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 40 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan seorang suspek wanita di Kondominium Sri Emas, Ampang, 30 Jun lalu.

Katanya, suspek ditahan selepas dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kerana menggunakan kad kredit milik orang lain.

"Hasil siasatan ke atas suspek berjaya membawa kepada serbuan kedua pada 6 Julai lalu di sekitar Hulu Klang dan menahan tiga lelaki tempatan," katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahim, susulan itu, polis menahan empat lagi lelaki tempatan bersama lima wanita warga China di sebuah rumah di Kampung Baru, Hulu Klang, kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Katanya, siasatan mendapati rumah yang disewa itu dijadikan tempat simpanan barang-barang hasil perbuatan jenayah mereka.

"Dua daripada suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau seperti pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

"Lima wanita warga China itu mempunyai dokumen perjalanan sebagai pelancong namun polis masih menyiasat kesahihan dokumen tersebut," katanya lagi.

Abdul Rahim berkata, modus operandi digunakan geng terbabit adalah dengan menggunakan kereta-kereta sewa mewah yang ditukarkan nombor pendaftaran untuk melakukan jenayah.

"Dengan menggunakan kereta itu, mereka akan membuat pemerhatian sebelum memecah masuk.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan buah TV plasma, peti sejuk (satu), komputer (satu), komputer riba (dua), telefon bimbit (17).

"Selain itu kad kredit bank, sejumlah nombor pendaftaran kenderaan palsu serta peralatan memecah rumah seperti pemotong besi, parang, tukul besi dan kuku kambing.

"Dengan penangkapan itu juga, polis turut merampas sebuah kereta BMW, Honda Accord dan Toyota Camry selain wang berjumlah lebih RM50,000," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman mulai hari ini dan akan di siasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan

Pengutip hutang mati ditembak ketika tunggang motosikal

2010/07/08
RAWANG: Seorang pengutip hutang mati ditembak oleh seorang lelaki ketika beliau sedang menunggang motosikal di Jalan Garing Utama di sini kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah, berkata S Ramesh, 38, mati di tempat kejadian akibat dua das tembakan yang menembusi bahagian dadanya. "Kami percaya suspek yang menaiki motosikal Honda EX-5 itu mengekori Ramesh dari rumah sebelum menembaknya di tempat kejadian. Suspek kemudian melarikan diri menghala arah Rawang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan pistol automatik .9mm dan dua kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan kes, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mayat Ramesh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

6 lelaki bertopeng rompak kedai emas di Ipoh

2010/07/08
IPOH: Enam lelaki bertopeng, seorang daripadanya bersenjatakan sepucuk pistol mengambil masa kira-kira lima minit merompak barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit dari sebuah kedai emas di Taman Pertama di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, berkata perompak yang semuanya memakai jaket memasuki kedai itu sejurus selepas ia dibuka pada 9.45 pagi. "Kumpulan itu tiba dengan dua kereta dan terus meluru masuk sambil seorang daripadanya mengacu pistol," katanya ketika dihubungi di sini. Azisman berkata, kumpulan itu terus merampas sepucuk senapang daripada pengawal keselamatan kedai emas itu sebelum memecahkan kaca pameran dengan tukul besi dan memasukkan barang kemas ke dalam karung.

Beliau berkata, sebelum beredar, perompak yang bersenjata melepaskan satu das tembakan. Tiga pekerja dan pengawal keselamatan yang ketika kejadian berada di dalam kedai itu tidak cedera.

"Kumpulan itu melarikan diri dengan dua kereta Proton," katanya.

Azisman berkata, polis menemui satu kelongsong peluru dalam kedai berkenaan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui nombor telefon 05-2415150 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Wednesday, July 7, 2010

Bekas atendan HKL dipenjara empat tahun

08/07/2010 12:29pm


KUALA LUMPUR 8 Julai - Bekas atendan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), S. Subramaniam dihukum penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan memalsukan daftar dan sijil kematian penjenayah Michael Soosai serta menipu seorang doktor, enam tahun lalu.

Turut didapati bersalah dan dikenakan hukuman yang sama ialah ahli perniagaan, V. Sanjeev Kumar dn bekas bakal menantu penjenayah itu, J. Kumaresan yang didakwa bersubahat dengan Subramanian untuk melakukan pemalsuan tersebut. - Utusan

Pemandu lori dipenjara miliki wang kertas palsu

08/07/2010 1:36pm


KUALA LUMPUR 8 Julai 2010 - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 376 keping wang kertas palsu bernilai RM25,250 di rumah sewanya,

tiga tahun lalu.


Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap Ng Kok Yu, 40, yang hukuman terhadapnya bermula hari ini.

"Mahkamah telah mengambil kira hujahan pihak pendakwaan bahawa kesalahan tertuduh adalah sangat serius, bagaimanapun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman belas kasihan berdasarkan mitigasi yang kukuh dari pembelaan," kata Komathy ketika menjatuhkan hukuman.


Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt memohon agar Kok Yu dikenakan hukuman berat di atas kesalahannya itu.

Dalam rayuan yang dikemukakan oleh peguam bela Kok Yu, Datuk N. Sivanathan berkata, anak guamnya itu perlu menyara keluarga termasuk anak kembarnya yang masih kecil selepas berpisah dengan isterinya.


Bapa tunggal itu didakwa memiliki 247 keping wang kertas RM50 dan 129 keping wang kertas RM100 yang dia ketahui adalah palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.


Kok Yu didakwa melakukan kesalahan itu di Blok B2, Pangsapuri Casa Magna, Jalan Prima 10, Metro Prima Batu 7, Jalan Kepong pada pukul 11.50 malam, 28 Mei 2007.


Dia dibicarakan mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan polis mendapati tertuduh telah menyimpan kesemua wang palsu itu di dalam laci almari di rumah sewanya itu. - Bernama

Pegawai kerajaan tidak sedar rumah dimasuki penyamun

08/07/2010 1:40pm



Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 8 Julai - Akibat `tidur mati,' seorang pegawai kerajaan tidak menyedari rumahnya dimasuki penyamun sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM35,000 di Lorong Galing, Jalan Haji Ahmad di sini awal pagi ini.

Kejadian itu hanya disedari mangsa yang berusia 56 tahun selepas dia bangun daripada tidur pada kira-kira pukul 7 pagi.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa percaya rumahnya dimasuki pencuri antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi ketika sedang nyenyak tidur.

Menurut beliau, mangsa yang baru bangun tidur terpinga-pinga apabila mendapati pintu rumahnya terbuka luas.

“Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati televisyen LCD berukuran 46 inci, sebuah komputer riba, empat utas jam tangan berjenama, telefon bimbit dan barang kemas lesap,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Noor Asyikin, ekoran kejadian terbabit mangsa mengalami kerugian keseluruhan bernilai kira-kira RM35,000 termasuk wang tunai sebanyak RM700.

Ketika kejadian, tambahnya, pegawai kerajaan terbabit tinggal berseorangan kerana isteri dan anak-anaknya tiada di rumah.

“Kita percaya suspek yang terlibat dalam kejadian ini lebih daripada seorang,'' katanya.

Tambahnya, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Utusan