Wednesday, April 28, 2010

Pemandu teksi dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

28/04/2010 3:58pm


KUALA LUMPUR 28 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas seorang pemandu teksi sambilan kerana merompak sebuah telefon bimbit dan mencederakan seorang jurujual, dua tahun lalu.


Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Balamurali, 30, yang juga seorang kelindan lori selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebat sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, setelah mendengar hujahan daripada peguam, beliau mengakui kes itu memiliki banyak faktor berat dan tindakan Balamurali telah menyusahkan banyak pihak.

"Awak telah merompak wanita muda dan awak telah mencederakan wanita itu yang terpaksa menerima banyak jahitan dan melakukan perkara itu di tempat yang sunyi sebelum awak melarikan diri semata-mata untuk satu habuan telefon bimbit yang hanya bernilai beberapa ringgit saja,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tindakan tertuduh bukan sahaja menyebabkan mangsa takut malahan turut memberi impak kepada orang ramai yang menggunakan teksi awam. - Bernama

Mayat lelaki dikerat tiga ditemui di pusat pengumpulan sampah

2010/04/28
JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki yang dikerat tiga dan dimasukkan ke dalam tiga beg plastik sampah ditemui di pusat pengumpulan sampah, Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mayat itu ditemui seorang pekerja pusat pengumpulan sampah ketika mengasingkan longgokan sampah, pada jam 11.15 pagi. "Mayat itu dikerat tiga bahagian dan diletakkan di dalam tiga beg plastik sampah. Bahagian kepala ditemui pekerja berkenaan dalam satu beg plastik sampah lalu menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu," katanya ketika dihubungi. Ruslan berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui bahagian badan dan kaki mangsa di dalam dua beg plastik sampah lain.

Beliau berkata, polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing dan identitinya sedang dikenal pasti.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mayat itu dibuang di dalam tong sampah di sebuah pasar raya besar di Tampoi, di sini, sebelum lori pusat pengumpulan sampah itu mengangkutnya bersama-sama sampah lain ke pusat pengumpulan itu.

Sementara itu, pekerja pusat pengumpulan sampah yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 40, berkata dia mengesyaki sesuatu di dalam beg plastik sampah itu lalu tergerak hati untuk membukanya.
"Saya terkejut apabila menemui satu kepala lelaki dan terus membuat laporan di Balai Polis Larkin," katanya ketika ditemui. - Bernama

Lelaki mati dibelasah jiran kerana tegur buang sampah

28/04/2010 4:56pm

KUALA LUMPUR 28 April 2010 – Seorang lelaki mati dibelasah dengan kayu besbol oleh jirannya sendiri, hanya kerana marah dengan perbuatan lelaki itu yang menegur perbuatan jirannya yang membuang plastik mengandungi sampah di hadapan rumahnya di Flat Sri Sentul, Bandar Baru Sentul awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki yang dikenali sebagai Chung Sin, 51, itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas dihentak dengan kayu besbol dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi.

Beliau berkata, kejadian itu bermula dengan perbalahan Chung Sin dengan seorang jirannya yang memuncak sehingga membuatkan jirannya yang bekerja sebagai pemandu lori itu masuk ke dalam rumah dan mengambil kayu besbol.

"Chung Sin pada mulanya menegur jirannya yang berusia 51 tahun itu kerana membuang sampah di hadapan rumahnya, namun suspek terus berang dan memarahi Chung Sin,” katanya kepada pemberita di Dataran Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini hari ini.

"Apabila perbalahan mereka menjadi bertambah panas, suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk mengambil kayu besbol, dan memukul Chung Sin hingga dia cedera parah,” tambahnya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, polis menahan seorang suspek bersama anak lelakinya yang berumur 23 tahun di sebuah rumah di sini bagi membantu siasatan. – Bernama

Tuesday, April 27, 2010

Geng Tiga Bersaudara tumpas, polis tahan empat ahli

SUBANG JAYA 27 April 2010 - Sebuah kumpulan dikenali 'Geng Tiga Bersaudara' yang aktif menyamun penunggang motosikal dan pejalan kaki pada waktu subuh tumpas dengan tertangkapnya empat ahlinya termasuk dua beradik dalam beberapa serbuan di sekitar Serdang dan Cheras, dekat sini semalam.

Penjenayah yang menjalankan kegiatan dengan menggunakan motosikal Yamaha RXZ itu menjadikan penunggang motosikal lain atau pejalan kaki sebagai sasaran.

Mereka mengambil kesempatan keadaan sunyi dan gelap antara pukul 4 dan 6 pagi untuk melakukan jenayah.

Namun, mereka yang merupakan penagih dadah serta aktif menjalankan kegiatan samun sejak Oktober tahun lalu itu akhirnya tumpas.

Kejayaan diperoleh apabila seorang daripada mereka diberkas polis kira-kira setengah jam selepas menyamun seorang lelaki di Jalan PPS, Taman Perindustrian Bukit Puchong di sini, pukul 5.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, dalam kejadian samun tersebut, mangsa yang menunggang motosikal ke tempat kerja telah ditahan dua lelaki menaiki dua buah motosikal Yamaha RXZ.

Beliau berkata, suspek yang bersenjatakan parang memaksa mangsa menyerahkan dompet dan barang-barang berharga dianggarkan bernilai RM650.

Katanya, selepas menyamun mangsa pertama, suspek pergi ke Jalan SR7/2 Serdang Raya dan merompak seorang lagi penunggang motosikal dan melarikan wang serta barang-barang berharga bernilai RM1,400.

"Pada pukul 6 pagi, sepasukan anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda telah menemui mangsa pertama di tepi jalan lalu memaklumkan kejadian itu.

"Selepas mengetahui suspek menghala ke Bukit Serdang, polis mengejar mereka dan memberkas seorang daripadanya selepas motosikal yang dinaiki terbabas.

"Seorang lagi rakannya dapat melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan, di sini hari ini.

Hasil maklumat daripada suspek pertama yang ditahan, katanya, pada pukul 9 pagi polis telah menyerbu sebuah rumah di Batu 9, Cheras, dan menahan seorang lagi ahli kumpulan penjenayah berkenaan.

Dalam serbuan itu, kata beliau, polis turut merampas tiga bilah parang, sebilah pisau, 13 dompet pelbagai jenama, dua telefon bimbit, tiga kad ATM dan lima buah motosikal Yamaha RXZ.

"Pada pukul 10.30 pagi, polis menyerbu sebuah hotel di Balakong dan berjaya memberkas dua lagi suspek termasuk adik kepada suspek pertama yang ditangkap sebelum itu," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas iaitu abang kepada dua beradik terbabit.

Katanya, keempat-empat suspek berusia antara 20 dan 27 tahun kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

6 penyamun nyaris terkurung

KUALA LUMPUR 27 April 2010 - Perancangan rapi sekumpulan enam penyamun untuk melarikan barangan kemas bernilai puluhan ribu ringgit dari sebuah kedai emas dekat Puchong Jaya hari ini, bukan sahaja gagal malah nyaris membuatkan mereka terkurung di dalam premis tersebut.

Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu berlaku apabila pintu utama automatik di premis tersebut tiba-tiba tertutup apabila suspek mula memecahkan cermin pameran.

Meskipun kumpulan penjenayah itu telah merancang rapi menggunakan tangga lipat setinggi 1.2 meter yang dibawa mereka, namun gagal menghalang pergerakan pintu itu.

Perkara itu menyebabkan kesemua mereka panik lantas bergegas melarikan diri tanpa sebarang hasil.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kejadian berlaku ketika premis berkenaan dikatakan baru hendak memulakan perniagaan.

Katanya, bagaimanapun enam lelaki yang menaiki tiga buah motosikal tiba-tiba datang ke kedai emas tersebut. Tiga daripada mereka meluru masuk ke dalam premis manakala bakinya berkawal di luar.

''Semasa kejadian, terdapat lima pekerja yang sedang melayan dua pelanggan memilih barang kemas.

''Tiga penjenayah meluru dan memecahkan cermin pameran barangan kemas dengan kapak dan tukul. Mereka juga meletakkan tangga lipat bagi menghalang pintu kedai itu daripada tertutup.

''Namun, dipercayai tangga itu gagal menahan pintu tersebut lalu terbalik. Bimbang akan terkurung, kesemua mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kok Chin memberitahu, hasil penelitian pada kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati tiga penyamun berkawal di luar bagi menghalau orang ramai yang cuba mendekati.

Menurutnya, turut kelihatan seorang daripada suspek yang menunggu di luar sambil memegang objek seperti pistol.

''Kumpulan penyamun itu juga tidak bercakap bagi menyembunyikan identiti mereka," ujarnya sambil memberitahu kesemua pekerja dan pelanggan kedai tersebut tidak dicederakan.

Kok Chin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak motosikal yang dinaiki suspek-suspek supaya tampil menyalurkan maklumat.

Pesara tentera maut ditetak di dalam masjid

Mohamad Abdullah menunjukkan tempat di mana Allahyarham Che Ismail Che Hussin maut dalam satu pergaduhan di Masjid Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------
BACHOK 27 April 2010 - Akibat perselisihan faham, seorang pesara tentera mati ditetak oleh seorang lelaki di dalam Masjid Pauh Sembilan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Che Ismail Che Hussin, 55, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini.

Rakannya berusia 43 tahun, bagaimanapun terselamat dan hanya cedera di pergelangan tangan kirinya akibat ditetak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, berikutan itu, lelaki terbabit yang juga dirawat di HUSM, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, pihaknya masih menyiasat motif perselisihan sehingga membawa kepada pembunuhan itu.

"Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan dalam masjid berdasarkan kesan darah.

"Kita menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mazlan berkata, pesara tentera itu bekerja sebagai penarik kereta dan berasal dari Jalan Sabak, Pengkalan Chepa dekat sini, manakala lelaki terbabit tinggal di kampung tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan tampil memberikan maklumat.

Sementara itu, seorang penduduk, Yaakob Mat, 63, berkata, sebelum kejadian, lelaki terbabit berada di dalam masjid berkenaan seorang diri selepas menunaikan solat Zuhur.

Katanya, beberapa minit kemudian, kira-kira tujuh lelaki termasuk pesara tentera itu yang dikenalinya datang ke pekarangan masjid tersebut dengan menaiki beberapa buah kereta.

"Saya nampak pesara tentera yang bersenjatakan parang masuk ke dalam masjid sementara beberapa rakannya menunggu di luar.

"Selepas beberapa minit saya terdengar bunyi bising dan lelaki terbabit tiba-tiba berlari keluar dengan tangannya berlumuran dadah.

"Pesara tentera yang mengalami kecederaan diusung oleh rakan-rakannya masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke HUSM untuk rawatan," katanya.

Sementara itu, bilal masjid, Mohamad Abdullah, 65, berkata, lelaki tersebut menunaikan solat Zuhur berjemaah bersamanya dan beberapa makmum yang lain.

Bagaimanapun selepas solat, katanya, lelaki itu terus berada dalam masjid seorang diri.

"Saya tidak tahu bagaimana kejadian berlaku kerana selepas solat saya terus pulang ke rumah.

"Saya tidak mengunci pintu masjid kerana melihat dia masih berada di dalamnya seorang diri dan hanya mengetahui kejadian itu selepas datang ke masjid kira-kira pukul 3.30 petang," katanya.

Monday, April 26, 2010

Suami isteri disamun lima lelaki bersenjata

KUANTAN 26 April 2010 - Sepasang suami isteri melalui detik-detik menakutkan apabila rumah mereka dipecah masuk lima lelaki warga asing bertopeng dan bersenjata parang di Indera Mahkota 5, awal pagi ini, mengakibatkan mereka kerugian RM50,000.

Mangsa yang enggan dikenali dan berusia 60-an, bersama isterinya, 50-an, dipercayai turut dipukul dan tangan serta kaki mereka diikat dengan dawai langsir dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu.

Suspek kemudiannya mengarahkan dia menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga miliknya, kata mangsa ketika ditemui di sini hari ini.

"Tidak cukup dengan itu, salah seorang suspek mengetuk kepala saya dengan objek keras sambil menyuruh kami duduk diam serta menurut segala arahan," katanya.

"Pada masa sama tangan dan kaki kami diikat. Saya percaya semua suspek berusia 30-an itu warga Indonesia berdasarkan pertuturan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, T. Narenasagaran berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang nyenyak tidur.

Katanya, ketika kejadian hanya pasangan itu berada di dalam rumah, manakala semua anak mereka berada di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang diumpil dan dipecahkan.

"Suspek kemudian memecahkan pintu bilik tidur mangsa menggunakan tong gas lalu mengacukan parang kepada mangsa dan isterinya.

"Setelah itu, kedua-dua mangsa diikat kaki dan tangan dengan dawai langsir lalu diarah duduk diam dan menurut segala arahan," katanya.

Ekoran kejadian itu, tambahnya, mangsa kehilangan barang kemas, beberapa jam tangan berjenama, telefon bimbit dan wang tunai hampir RM4,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan di atas kesalahan samun berkawan bersenjata.

"Pihak polis kini giat memburu semua suspek," ujarnya.

Dua beradik diberkas

ALOR SETAR 26 April 2010 - Polis menahan dua beradik lelaki yang bergiat aktif mencuri kereta di sekitar daerah Kota Setar dalam serbuan di Bukit Pinang, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang , kedua-duanya berusia 23 dan 25 tahun diberkas di sebuah rumah sewa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketika ditahan, mereka sedang leka meleraikan kereta Nissan Sentra yang dilaporkan dicuri kira-kira pukul 7 pagi semalam.

Katanya, tiga lagi rakan mereka yang berada di dalam rumah tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Tambahnya, hasil pemeriksaan menemui sebuah lagi kereta Toyota Corolla yang dilaporkan hilang di Kerpan, Ayer Hitam dekat sini, pada 6 April lalu.

"Hasil siasatan, kita yakin kedua-dua suspek telah lama aktif dalam kegiatan itu. Mereka mencuri, meleraikan kenderaan sebelum menjualnya di kedai alat ganti," katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Ghafar, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau yang melibatkan kes mencuri dan pecah rumah.

"Suspek yang berusia 23 tahun baru sahaja tiga hari dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri.

"Kedua-duanya akan ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya

Penjenayah parah ditembak ahli perniagaan

ALOR GAJAH 26 April 2010 - Tindakan empat penjenayah 'bersukaria' dengan minum minuman keras selepas memecah masuk banglo mewah milik seorang ahli perniagaan memakan diri apabila seorang daripadanya parah ditembak oleh mangsa.

Lebih malang, penjenayah yang berlubang di tangan kirinya akibat tembakan itu ditinggalkan oleh rakan-rakannya di kawasan hutan kira-kira 250 meter dari tepi jalan di Kilometer 214.2 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi itu berlaku, apabila empat lelaki memecah masuk bilik di tingkat atas banglo terbabit di Simpang Ampat, yang digunakan oleh anak ahli perniagaan terbabit, menantu dan cucunya.

Mendengar bunyi bising dan mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku, ahli perniagaan itu, E Lai Choon, 60, yang juga Ketua Platun Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, bingkas bangun daripada tidur lalu mencapai senapang patah dari bawah katil.

Dia kemudiannya segera ke tingkat atas dan mendapati anak lelakinya sedang diacukan pisau oleh dua penjenayah di dalam bilik. Tanpa berfikir panjang, Lai Choon terus melepaskan empat das tembakan ke arah dua rakan suspek yang berada di luar bilik.

Akibat tembakan itu, kesemua suspek bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof ketika ditemui di tempat kejadian hari ini berkata, hasil siasatan, polis menemui seorang suspek lelaki berusia 30-an di kawasan hutan terbabit.

Katanya, suspek berasal dari Jawa Timur, Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Tambahnya, polis memburu tiga lagi suspek dengan dua daripadanya dipercayai masih bersembunyi di kawasan hutan itu manakala seorang lagi melarikan diri menggunakan kereta.

"Operasi mencari akan diteruskan termasuk mendapatkan kerjasama polis di sempadan Negeri Sembilan, Johor dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, Lai Choon dan semua ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Lai Choon ketika ditemui berkata, tiada barang berharga miliknya dilarikan suspek.

Dia bagaimanapun terkejut melihat beberapa tin minuman keras di peti sejuknya bertaburan di lantai dipercayai angkara penjenayah terbabit.

"Tidak sangka, sebelum merompak, mereka masih sempat menikmati minuman keras sebelum membawa tong gas untuk memecahkan pintu bilik anak saya di tingkat atas," katanya.

Tambahnya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sejak dia tinggal di situ, sembilan tahun lalu.

Lai Choon ketika menceritakan detik-detik cemas itu berkata, dia cuma memikirkan keselamatan ahli keluarganya apabila mengambil keputusan menembak suspek.

"Saya masuk tidur kira-kira pukul 2 pagi sebelum tersedar pada pukul 4.45 pagi apabila terdengar suara lelaki menjerit meminta menyerahkan wang jika mahu selamat,'' katanya.

Lai Choon berkata, kesemua penjenayah itu mungkin tidak menyangka dia berada di rumah kerana kenderaannya diletakkan di kediaman jiran.

Nelayan warga Thailand mati kena serang lanun

2010/04/27
GEORGETOWN: Seorang nelayan warga Thailand mati dalam perjalanan ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung di sini, semalam, selepas terkena tiga das tembakan apabila botnya diserang sekumpulan lelaki, dipercayai lanun di perairan Gertak Sanggul, malam kelmarin.

Aung Sirichai, 24, yang kehilangan banyak darah selepas terkena dua tembakan di pinggang dan satu di kaki dalam kejadian jam 8.20 malam, meninggal dunia kira-kira jam 7.20 pagi. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakan senegara menaiki bot nelayan PFKA 9655, kira-kira tujuh batu nautika dari Gertak Sanggul. Difahamkan, mangsa dan rakannya yang sudah lapan hari keluar menangkap ikan, dalam perjalanan pulang ke Jeti Teluk Intan.

Secara tiba-tiba sebuah bot dinaiki tujuh lelaki muncul dengan seorang daripada mereka melepaskan empat das tembakan ke arah bot nelayan Thailand itu.

Tiga tembakan mengenai mangsa tetapi empat lagi rakannya yang berusia 20-an dan 30-an terselamat.

"Tiga daripada lelaki terbabit naik ke atas bot nelayan dipercayai untuk menyamun nelayan tetapi tidak meneruskannya setelah melihat mangsa berlumuran darah dan melarikan diri," katanya di sini, semalam.
Mohd Hatta berkata, Pasukan Polis Marin (PGM) Wilayah Satu berpangkalan di Batu Uban di sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian itu.

Berikutan itu, sepasukan PGM dikejarkan ke lokasi dan terserempak dengan bot nelayan berkenaan yang dalam perjalanan ke jeti LKIM. Setelah melakukan pemeriksaan anggota PGM mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati suspek cuba menyamun bot yang dinaiki mangsa dan usaha mengesan pemilik bot yang dinaiki nelayan itu sedang dilakukan," katanya sambil menambah siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara itu, tekong bot, Ahchai Swana, 36, berkata pihaknya tidak menyedari bot yang dinaiki lelaki terbabit menghampiri bot mereka sehinggalah terdiri bunyi tembakan dan jeritan Aung.

Ketika itu, Aung berada di bahagian belakang bot manakala rakannya berada di dalam kabin.

"Selepas itu tiga lelaki naik ke atas bot kami tetapi melarikan diri selepas melihat Aung berlumuran darah," katanya

Pelajar dapat nospan daripada guru

Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2010/04/27
12 penuntut sekolah menengah digantung 2 minggu air kencing positif dadah

KUCHING: Polis percaya 12 pelajar sebuah sekolah menengah di Pusa, Betong yang digantung sekolah sejak minggu lalu, kerana mengambil dadah mempunyai kaitan dengan guru sekolah itu yang ditahan kerana disyaki mengedar dadah, petang kelmarin. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat dan menyiasat sama ada pelajar terbabit hanya penagih dadah atau turut menjadi orang tengah kepada guru itu. “Setakat ini hanya lima pelajar disoal siasat berhubung kes itu dan dengan maklumat yang diperoleh daripada mereka, kita dapati mereka mendapat bekalan dari guru berkenaan.

“Polis menghadapi masalah untuk meneruskan siasatan terhadap baki pelajar terbabit kerana mereka masih digantung sekolah.

"Kita akan menjalankan ujian air kencing mengejut terhadap semua mereka untuk kali kedua sejurus kembali ke sekolah minggu depan.

"Mereka digantung sekolah sejak minggu lalu, selepas ujian air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati positif," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, polis Betong menahan guru lelaki itu yang berasal dari Semenanjung kerana menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sekolah berkenaan. Polis turut menjumpai 1,862 pil nospan bersamanya.

Ketika tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang, suspek yang berusia 26 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya berusia setahun enam bulan selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.

Bukhori berkata, suspek disyaki mengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, ketika ditahan suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatannya.

"Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja,” katanya.

Guru itu kini sedang ditahan reman empat hari, bagi membolehkan siasatan lanjutkan dijalankan. Bagaimanapun, isterinya akan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 hari ini kerana anaknya masih menyusu badan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata dua pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Betong sudah dihantar untuk mendapatkan maklumat mengenai penahan guru terbabit untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan susulan.

Beliau berkata, mengikut undang-undang, jika guru didapati bersalah kerana memiliki dan mengedar dadah oleh mahkamah, dia boleh dibuang kerja

Tebuk dinding curi barang kemas

2010/04/27

ANGGOTA polis memeriksa lubang yang ditebuk perompak di sebuah kedai emas dekat Bangsar, semalam.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah menebuk dinding premis kedai emas sebelum melarikan barang kemas yang diletakkan di dalam peti besi, bernilai hampir setengah juta ringgit, dalam kejadian di Jalan Telawi 5, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada pemilik kedai yang baru menyedari kes itu sejak menutup perniagaannya Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata kumpulan penjenayah terbabit dikesan menebuk dinding di lorong tangga untuk ke tingkat atas bangunan dua tingkat itu. “Pemilik kedai meletakkan semua barang kemas di dalam peti besi dan sebaik membuka perniagaannya tadi (semalam) dia mendapati peti besi bersama peralatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hilang.

“Polis percaya kes ini mungkin berlaku pada Sabtu atau Ahad dan mempunyai kaitan dengan pekerja kedai berhampiran. Kami akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang bahan bukti dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tikam kekasih akibat cemburu

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/27
Tukang kayu kemudian minum racun anai-anai

AMPANG: Seorang tukang kayu disyaki menikam teman wanitanya empat kali di perut sehingga mati sebelum cuba membunuh diri dengan meminum racun anai-anai dipercayai kerana cemburu di Kondominium Pandan Perdana di sini, awal pagi semalam. Mayat Chung Yoke Mun, 27, dengan empat kesan tikaman ditemui di atas katil bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah, manakala teman lelakinya berusia 26 tahun dikenali Chang dijumpai dalam keadaan kritikal bersebelahan mayat kekasihnya dipercayai akibat meminum racun. Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 10 pagi kelmarin hingga 12.30 pagi semalam.

Katanya, kedua-dua mangsa ditemui ibu Chang selepas ke rumah sewa anaknya yang didiami bersama Chung berikutan anaknya gagal dihubungi kali terakhir jam 10 pagi kelmarin.

“Apabila Chang tidak menjawab telefon, ibunya ke rumah sewa pasangan itu lewat malam dan mengetuk pintu biliknya beberapa kali. Apabila tiada jawapan, dia menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta bantuan untuk membuka pintu bilik mereka.

“Apabila dibuka, anggota dan pegawai bomba menemui Chung terlantar di atas katil dengan berlumuran darah.

“Pemeriksaan mendapati wanita itu sudah mati, manakala teman lelakinya masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri dipercayai kesan meminum racun. Polis turut menemui botol racun dan pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Abdul Jalil berkata, siasatan awal polis mendapati pasangan yang sudah setahun tinggal bersama itu dikatakan berselisih faham dipercayai kerana suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

“Akibat cemburu, suspek dikatakan menikam mangsa bertubi-tubi di perut sebelum meminum racun dengan harapan mati bersama,” katanya.

“Polis turut menahan tiga rakan serumah pasangan itu yang berada di bilik masing-masing ketika kejadian untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan suspek yang masih dalam keadaan koma dirujuk ke Hospital Ampang untuik rawatan susulan

Sunday, April 25, 2010

Lelaki maut ditetak penjenayah, kenderaannya dilarikan

26/04/2010 1:48pm


KUALA LUMPUR 26 April - Seorang lelaki maut ditetak dan kenderaan Toyota Hilux miliknya dilarikan sekumpulan penjenayah di hadapan sebuah bank di Jalan Ipoh, di sini pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Chui Fook Lim berusia 32 tahun berasal dari Alor Setar. - Utusan

Guru KAFA ditahan miliki 17 peket dadah

TENOM 25 April 2010 - Polis menahan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana memiliki dadah jenis syabu di kilometer 1 jalan Tenom-Keningau dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Supritendan Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis pada pukul 10 pagi hasil maklumat orang awam.

"Polis yang sudah lama memerhatikan gerak geri suspek menahan suspek dan rakan wanitanya di hadapan sebuah stesen minyak di sini semalam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 17 paket dadah jenis syabu seberat 0.6 gram, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM1,285," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang mengajar di sebuah sekolah di daerah ini ditahan reman selama empat hari mulai kelmarin untuk siasatan lanjut.

Katanya, melalui ujian air kencing yang dijalankan, suspek turut disahkan positif dadah.

Dalam pada itu Mazlan berkata, beliau amat kesal kerana kes dadah tersebut membabitkan seorang guru agama yang sepatutnya memberi tunjuk ajar yang baik.

"Penangkapan kes membabitkan dadah jenis syabu ini adalah yang pertama di daerah ini pada tahun ini.

"Jadi kita akan terus mempergiatkan usaha dan intipan dari masa ke semasa bagi menahan pesalah terbabit dalam membendung penyalahgunaan dadah di daerah ini," katanya.

Sementara itu beliau berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan memberi maklumat kepada pihak polis bagi mengatasi penyalahgunaan najis dadah.

Polis lumpuhkan sindiket pengedaran DVD cetak rompak, lucah

Sum Chang Keong menunjukkan mesin mencetak DVD cetak rompak dan lucah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang Kecil pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Melaka, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA 25 April 2010 - Satu sindiket menggunakan warganegara asing sebagai jurujual cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di bandar ini berjaya dibongkar dengan penahanan empat orang dalam empat serbuan berasingan di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Supritendan Sum Chang Keong berkata, dua daripada mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 54 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai dalang sindiket pengedaran DVD berkenaan sejak setahun lalu.

Menurutnya, dua wanita lain yang ditahan ialah jurujual warganegara China berusia 34 tahun dan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 25 tahun.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas pelbagai peralatan seperti mesin pencetak, komputer riba, lima unit mesin penyalin dan enam botol dakwat.

Katanya, selain itu, turut dirampas 363 keping DVD lucah dan 20,716 keping DVD cetak rompak dengan keseluruhannya bernilai RM120,000.

"Dengan penahanan empat orang tersebut, polis percaya telah melumpuhkan sindiket mencetak dan mengedar DVD cetak rompak serta lucah yang bergiat aktif di sekitar bandar ini sejak setahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.

Chang Keong berkata, dalam serbuan pertama yang diketuai oleh Asisten Supritendan Dzulkahiri Mukhtar pada pukul 10.50 pagi itu, polis berjaya menahan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga tempatan di Taman Perindustrian Merdeka, Batu Berendam.

"Hasil pemeriksaan di tempat letak barang di belakang kereta, polis menjumpai sebanyak 13 keping DVD lucah dan 624 keping DVD cetak rompak.

"Kira-kira 10 minit selepas serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang warganegara China berhampiran tempat kejadian dan menemui 84 keping DVD cetak rompak dan 20 keping DVD lucah," katanya.

Katanya, hasil siasatan ke atas dua orang itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Klebang Kecil yang digunakan sebagai tempat menghasilkan DVD berkenaan untuk diedarkan di sekitar bandar ini.

Menurutnya, hasil serbuan itu polis menemui 19,830 DVD cetak rompak dan 320 keping DVD lucah termasuk pelbagai peralatan lain.

"Polis juga turut menemui 178 keping DVD cetak rompak dan 10 keping DVD lucah yang disimpan lelaki terbabit di tempat letak keretanya di kondominium tersebut," katanya.

Sehubungan itu katanya, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2002.

2 wanita ditangkap cuba seludup dadah

2010/04/26
TUMPAT: Dua wanita termasuk seorang ibu tunggal ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) ketika cuba menyeludup masuk 10 botol kecil dipercayai berisi dadah dalam serbuan di sebuah pangkalan haram Nibong dekat Pengkalan Kubor di sini, awal malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.40 malam itu, sepasukan anggota PGM Pengkalan Kubor membuat intipan terhadap sebuah bot dari negara jiran dikendali seorang lelaki dengan dua wanita sebagai penumpangnya naik menerusi pangkalan itu. Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Superitendan Tan Cheng San, berkata menyedari kehadiran anggota PGM di situ, pengendali bot terbabit bergegas memecut kembali ke negara jiran, meninggalkan dua wanita berusia 26 dan 33 tahun yang berjaya ditahan. “Ketika ditahan, seorang daripada wanita terbabit dilihat cuba membuang satu balutan akhbar. Ketika itu, wanita terbabit memberi alasan balutan itu sekadar sampah. Namun, curiga terhadap dakwaan itu, anggota PGM memeriksa kandungan balutan akhbar terbabit sebelum mendapati ia berisi 10 botol kecil berisi bahan disyaki dadah.

“Kami percaya dadah itu diperoleh dari negara jiran kerana harganya yang murah, sekitar RM420 sebotol, berbanding harganya di sini yang mampu dijual hingga mencapai RM2,000 sebotol,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Tan berkata, susulan tangkapan dua wanita terbabit, seorang pemuda berusia 24 tahun dipercayai teman lelaki, kemudian tampil untuk memohon pembebasan seorang wanita terbabit yang juga ibu tunggal.

“Curiga dengan keadaan lelaki itu, anggota PGM menjalankan ujian kencing terhadapnya sebelum dia didapati positif dadah menyebabkan pemuda terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dua wanita yang ditahan itu kini disiasat mengenai mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya

Guru edar pil khayal kena tahan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/04/26
Suspek berusia 24 tahun guna rangkaian pelajar sebagai orang tengah

BETONG: Kegiatan seorang guru lelaki dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan, di sini, petang semalam. Dalam tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin, dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.
“Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja seberat 10 gram. Suspek dan keluarganya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, suspek yang berkahwin dengan isterinya, seorang warga tempatan, bertugas lebih lima tahun di sekolah berkenaan selain kerap ke Kuching bagi mendapatkan bekalan dadah pelbagai jenis bagi dijual kepada pelajar sekolah.

Bukhori berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mempercayai suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak setahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu tempatan lagi yang dipercayai menjadi orang tengah kepada suspek.

“Siasatan ke atas suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 6 dan 30 Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan perintah tahanan reman akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Betong,” katanya.

Tangkapan ini adalah yang pertama di Betong membabitkan guru yang bertugas di kawasan pedalaman mengedar dadah.

Bulan lalu, seorang bekas guru berasal dari Kedah ditahan di Kuching kerana cuba menyeludup daun ketum.

Wednesday, April 21, 2010

Ketua ajaran sesat, enam pengikut mula dibicara Jun

2010/04/22
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 10 Jun, 30 Jun dan 6 Julai ini untuk membicarakan ketua kumpulan ajaran sesat Abdul Rajab Ahmad, Abdul Rajab Ahmad, 50, yang menghadapi lima pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz menetapkan tarikh berkenaan selepas Abdul Rajab, yang berasal dari Bukit Beruntung, Hulu Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan. Nassir mengekalkan bon jaminan berjumlah RM5,000 bagi tuduhan pertama dan kedua dan memerintahkan tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap tuduhan ketiga, empat dan lima dengan penjamin berlainan. Sementara itu, enam lagi pengikut Abdul Rajab, iaitu Abdul Hamid Lateh, 43; Hakimah Abu Samah, 45; Fazilah Md Saleh, 37; Rodiah Yahya, 66; Rohayu Abdul Hamid, 37, dan Amirul Syafiq Rushdan Abdul Hamid, 17, dituduh mengikut Seksyen 4(1) dan Subseksyen 43(b) akta yang sama.

Mereka dituduh mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambah nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu' di akhir lafaz selawat dan bersubahat dengan Abdul Rajab membuat pernyataan palsu yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Nassir menetapkan 28 Jun dan 7 Julai tarikh perbicaraan keenam-enam mereka.
Kecuali Amirul Syafiq yang dibebaskan dengan jaminan RM2,000, yang lain dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM3,000.
Bagaimanapun, semua tertuduh gagal membayar wang ikat jamin dan ditahan di lokap sementara menunggu penjamin.

Hakim juga memerintahkan semua tertuduh mendapatkan peguam syarie bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan kelak.

Terdahulu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya, Abdul Rajab yang memakai kemeja-T hijau dan seluar hitam menyatakan dia mahu memberikan jawapan bertulis terhadap semua pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Putrajaya, Mohd Hafiz Idris manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, pendakwa memohon penangguhan sebutan semula terhadap tiga tertuduh iaitu Norazreen Abdul Rejab, 23; Norsuhadha Abdul Rejab, 19, dan Nor Azua Mohd Yusof, 44, kerana ingin memberi tumpuan kepada kes ketua kumpulan ajaran sesat itu.

Mengikut fakta kes, Abdul Rajab mendakwa kubur di Presint 20, Putrajaya dijaga oleh roh Asri Rabbani (penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani) dan Asri menceritakan kepadanya bahawa banyak ular besar di kubur Putrajaya.

Semua tertuduh ditahan dalam satu serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sebuah apartment di Presint 17, di sini, pada 10 Februari lalu.
Tuduhan terhadap Ahmad Rajab.

1. Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 kerana membuat pernyataan palsu yang bertentangan dengan ajaran Islam antara lain boleh berkomunikasi secara terus dengan Nabi Muhammad dan nabi-nabi lain, dapat melihat Nabi Sulaiman dan ada bersama mereka dan sedang tersenyum, mempunyai lesung pipit, bermuka cerah dan berbadan tegap serta mendakwa bahawa Allah telah menurunkan 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad telah memberinya 550 trilion pembantu, tetapi beliau hanya mengambil 20 trilion sahaja terlebih dahulu.

2. Seksyen 6(b) akta sama, mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambahkan nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu‘ di akhir lafaz selawat.

3. Seksyen 6(a), akta sama, membuat penyataan palsu bahawa nabi, rasul memanggil beliau dengan nama kekasih Allah.

4. Seksyen 11(1) akta sama, didakwa mengajar tanpa tauliah pada 5 Januari lalu pada jam 2 pagi hingga 3.30 pagi di sebuah rumah di Presint 17, Putrajaya.

5. Seksyen 6(b) mendakwa beliau ditabal oleh Rasulullah sebagai pemimpin umat di seluruh dunia dan Nabi Muhammad telah memberi tempoh kepadanya untuk menyiapkan dokumen ajaran yang dikurniakan oleh Nabi Muhammad untuk dihantar kepada Jakim, Perdana Menteri dan Agong

Pekerja bunuh majikan tak bayar gaji

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/04/22
Buruh ladang ayam ditahan disyaki campak mayat tauke sebelum rumah mangsa dibakar

JITRA: Berang kerana tidak dibayar gaji, seorang pekerja ladang ayam disyaki membunuh majikannya sebelum membakar mayatnya di dalam rumah mangsa di Kampung SC Jalan Kampung Pochan, Mukim Hosba, Changlun di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, suspek rakyat tempatan berusia 24 tahun dikatakan membunuh majikannya, Tan Ah Yee, 64, di luar rumah sebelum mengheret mayat mangsa ke dalam rumah. Suspek kemudian dikatakan membakar rumah papan satu tingkat milik majikannya dengan mayat mangsa didalamnya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawalludin Hamenudin, berkata suspek muncul secara tiba-tiba ketika polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas pasukan bomba dan penyelamat memaklumkan penemuan mayat rentung di dalam rumah itu.

“Dia tiba-tiba muncul dan memberitahu dia adalah pekerja mangsa, tetapi mendakwa tidak sedarkan diri ketika kejadian kerana dia turut diserang dan dipukul tiga lelaki bertopeng.

“Bagaimanapun selepas disoal balas kita mendapati banyak keraguan dalam keterangan yang diberikannya.
“Berikutan keraguan itu dan berdasarkan siasatan awal kita mendapati suspek cenderung untuk melakukan jenayah dan menahannya bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut menemui objek dipercayai selaras senapang berdekatan dengan mayat rentung mangsa.

“Kita belum boleh sahkan objek itu kerana ia musnah dalam kebakaran, bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita percaya ia adalah senapang patah milik mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohamad Darus, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan mangsa mengenai kebakaran pada jam 9.55 malam.

Katanya, rakan mangsa itu sendiri yang menunjukkan kepada anggota bomba arah ke rumah mangsa kerana ia terletak di kawasan yang agak terpencil.

“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian,” katanya.

Penjenayah asing jadikan Malaysia tempat sembunyi: Zahid

2010/04/22
KUALA LUMPUR: Selepas dijadikan negara transit sindiket penyeludupan manusia dan dadah antarabangsa, Malaysia kini menjadi tumpuan penjenayah asing sebagai lokasi persembunyian mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkannya berkata walaupun ia kes terpencil, namun perhatian serius harus diberikan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam. “Memang ada penjenayah luar melarikan diri ke negara kita sebelum ini tetapi hanya untuk bersembunyi, bukan mahu menjadikan Malaysia sebagai markas operasi, termasuk merancang kegiatan jahat mereka. “Bagaimanapun, usaha sentiasa dilakukan bagi membendung kejadian ini, termasuk memperketat kawalan di semua pintu masuk dan kawasan negara sebab tidak mahu anasir jahat dari luar bertapak di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA2010) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Difahamkan, penjenayah asing menggunakan pelbagai taktik licik untuk memasuki negara ini, termasuk menggunakan dokumen perjalanan palsu dan laluan haram di kawasan sempadan bagi mengelak pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa.

Pada 28 Januari lalu, 10 warga Timur Tengah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Sungai Chincin, Gombak kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Pada 14 Disember tahun lalu, polis memberkas tiga lelaki warga Thailand, dipercayai anggota pemisah di selatan negara itu, selain menemui pelbagai bom buatan sendiri di sebuah rumah usang di Kampung Gebeng, Pasir Mas, Kelantan

Lelaki Australia dihantar pulang hadapai kes bunuh rakyat Malaysia

21/04/2010 5:38pm


MELBOURNE 21 April - Seorang lelaki warga Sydney yang dituduh membunuh kekasih ibunya sebelum melarikan diri ke Singapura, memberi persetujuan kepada polis untuk membawanya pulang ke Australia bagi menghadapi satu pertuduhan bunuh.

Peguam bela bagi Andrew Iskandar, 20, menaiki penerbangan ke Singapura minggu lepas, iaitu tempat dia ditahan selepas membunuh seorang pekerja di pejabat konsul, Mohd. Shah Saemin, rakyat Malaysia , menurut laporan The Sydney Daily Telegraph.

Mohd. Shah, 43, dikatakan dibelasah dengan tukul besi dan ditikam dengan sebilah pisau di luar flat penginapannya di Leichhardt, Sydney, pada Februari lepas berikutan pendedahan mengenai hubungan sulitnya dengan Nita Iskandar.

Polis akan mendakwa suami Nita, Hazairin Iskandar, 55, dan anak lelaki mereka yang mendapat tahu tentang hubungan sulit itu dan melakukan pemerhatian ke atas Mohd. Shah buat beberapa ketika sebelum melakukan pembunuhan itu.

Hazairin didakwa melakukan pembunuhan itu dan kini berada di penjara, manakala isterinya pula didakwa bersubahat dan menghalang siasatan polis. Dia dibebaskan dengan ikat jamin. - Bernama

Tuesday, April 20, 2010

Rumah SUS Yang Dipertuan Besar dirompak

TELUK KEMANG 20 April 2010 - Kediaman Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Bandar Springhill dekat sini dipecah masuk sekumpulan lelaki, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, Datuk Abdullah Abas dikatakan mengalami kerugian lebih RM30,000.

Penjenayah dipercayai warga Indonesia melarikan barang kemas, pingat anugerah, dua bilah keris, sebuah komputer riba, koleksi jam tangan dan wang tunai RM2,800.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, hasil siasatan awal, polis percaya kumpulan penjenayah itu terdiri daripada empat lelaki warga Indonesia.

Katanya, penjenayah terbabit memotong pagar belakang rumah mangsa sebelum memecah masuk dari pintu belakang.

"Suspek dipercayai naik ke tingkat atas rumah lalu menangkap anak lelaki mangsa sebelum mengikatnya dan membawa turun ke bilik mangsa di tingkat bawah.

"Mangsa yang sedang tidur ketika itu tergamam dengan kehadiran suspek dan cuba melawan tetapi dicederakan di bahagian paha dengan pemutar skru dan batang besi. Suspek kemudian bertindak mengikat mangsa dan isteri," katanya.

Baljeet berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut menemui sebilah pisau, pemutar skru dan alat pemotong di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah berkenaan.

"Kita percaya kumpulan itu datang ke kawasan rumah terbabit dengan menaiki kenderaan bermotor. Polis sedang menyiasat dan memburu kumpulan penjenayah berkenaan," jelasnya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Bekas jaga digantung edar dadah

PULAU PINANG 20 April 2010 - Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 51.5 gram heroin dan monoacetylmorphine, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Yaacob Md. Sam menjatuhkan hukuman ke atas Albert Joseph, 36, selepas pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah atas kes pendakwaan.

''Selepas menimbangkan dan mengambil kira keterangan semua saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes terhadap kamu, Albert tanpa sebarang keraguan.

''Oleh itu tiada hukuman lain yang boleh saya berikan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Albert yang memakai baju T berwarna merah dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepala ketika hukuman itu dijatuhkan manakala seorang wanita dipercayai isterinya terus menangis.

Albert dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 4.03 petang, 15 Januari 2008, di Jalan Lintang Bayan Lepas 4, Bayan di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan ke atas Albert yang diwakili peguam, Jagdeep Singh Deo dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng.

Polis kenal pasti warga asing samun kapal tangki

2010/04/21
KUALA TERENGGANU: Kumpulan warga asing yang bersenjatakan parang dan senjata api yang menyamun sebuah kapal tangki membawa bitumen dari Thailand ke Kemaman awal pagi kelmarin dipercayai warga Indonesia berasal dari kawasan Jawa Barat.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Superintendan Mohd Zani Che Din, berkata identiti kumpulan penyamun itu dikenal pasti berdasarkan loghat percakapan ketika mereka menawan dan mengikat 14 krew kapal dagang itu. “Kapal dagang itu berdaftar di Tanjung Pinang, Indonesia dan kapten serta anak kapal berkenaan juga berasal dari Indonesia. “Bagaimanapun, mereka tidak dapat memahami bahasa pertuturan kumpulan penyamun itu, tetapi mengagak mereka menggunakan dialek Jawa Barat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian kira-kira jam 2 pagi apabila kapal Cosmic 5 seberat 500 tan dalam yang perjalanan dari Thailand menuju ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dipintas dan dihalang sebuah bot laju dinaiki 12 lelaki.

Suspek kemudiannya mengugut serta mengarahkan kapten supaya menghentikan kapal sebelum mengikat kru kapal itu dan melarikan beberapa dokumen penting, wang tunai, jam tangan dan komputer riba bernilai lebih RM10,000.

Mohd Zani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 16 batu nautika di tenggara Pulau Kapas dan ketika kejadian kapal itu dipandu dengan kelajuan sembilan batu nautika sejam dan semua anak kapal sedang tidur.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata, gerakan memburu semua suspek yang masih bebas sedang dipergiatkan dan polis turut memanggil semua mangsa untuk dirakam keterangan mereka bagi membantu siasatan.

“Kita juga sudah pergi ke kapal berkenaan dan mengambil sampel cap jari suspek terbabit,” katanya.

Mohd Zaini berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan

Pencuri peralatan masjid diberkas polis

TELUK KEMANG 20 April 2010 - Seorang penganggur tergamak menjadikan masjid dan surau di beberapa buah negeri termasuk sekitar Port Dickson di sini sebagai sasaran untuk dia melakukan kegiatan jenayah curi.

Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan terlebih dahulu menumpang teduh di masjid atau surau tersebut sebelum bertindak mencuri peralatan elektronik untuk kegunaan kariah di situ.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki tersebut berjaya dihidu polis apabila dia diberkas ketika cuba menjual peralatan yang dicurinya kepada orang ramai di Taman Orked di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, pihaknya menahan suspek kira-kira pukul 11.15 pagi pada Khamis lalu hasil maklumat orang ramai.

"Kita percaya hasil penangkapan lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian di masjid dan surau di sekitar daerah ini termasuk Salak Tinggi dan Kapar, Selangor; Tanjung Keling, Melaka dan Muar, Johor.

"Hasil daripada tangkapan ini juga, polis menemui empat unit amplifier, sebuah pemain cakera video digital (DVD), sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda daripada suspek," katanya.

Baljeet berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Menurut Baljeet, kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai hampir RM25,000 mengikut harga pasaran semasa.

"Suspek kini ditahan reman selama enam hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan pecah rumah," jelasnya.

Ditanya sama ada aktiviti lelaki berkenaan didalangi kumpulan sindiket, Baljeet memberitahu, lelaki yang berasal dari Johor itu dipercayai menjalankan kegiatannya secara bersendirian.

Monday, April 19, 2010

Dua remaja kena tahan selepas ragut wanita

2010/04/20
JOHOR BAHRU: Dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditahan selepas meragut seorang suri rumah di tepi Jalan Dato Daud, Tampoi di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 40 tahun sedang berjalan berseorangan sambil membawa beg tangan berisi wang berjumlah RM27. Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua remaja terbabit yang kemudian bertindak menarik beg tangan miliknya. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mangsa yang terkejut dengan insiden berkenaan, menjerit meminta tolong sehingga menarik perhatian orang ramai di jalan berkenaan.

“Orang awam yang menyedari kejadian membantu mengejar mangsa sebelum kedua-dua remaja terbabit berjaya ditangkap beberapa meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Ruslan berkata, pihaknya turut menghantar unit peronda MPV ke tempat kejadian selepas menerima panggilan berhubung penangkapan dua suspek itu.

“Berdasarkan siasatan, suspek adalah dua remaja tidak bersekolah berusia 15 dan 16 tahun manakala motosikal digunakan adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Batu Gajah, Perak.

“Suspek kini dikenakan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Ruslan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana dipercayai terbabit dalam kes samun terhadap seorang wanita di Hotel Fern Lodge, Jalan Besi, Taman Sri Putri, Skudai, di sini, kelmarin.

Katanya, lelaki yang menaiki motosikal sambil bersenjatakan sebilah parang menyamun mangsa mengakibatkan kerugian sebanyak RM33 dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari.

6 warga Iran ditahan dipercayai ahli sindiket syabu

2010/04/20
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam warga Iran termasuk sepasang kekasih dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa dalam dua serbuan di dua lokasi bersaingan di sini, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut dirampas tujuh kilogram syabu bernilai RM2 juta dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, selain pelbagai mata wang asing bernilai RM400 dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata kejayaan itu hasil risikan sejak beberapa bulan lalu yang dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota Cawangan Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur. “Serbuan pertama dilakukan jam 8.30 malam di sebuah hotel mewah, dekat Ampang, Rabu lalu di mana seorang lelaki warga Iran ditahan ketika membawa bekalan dadah keluar daripada bilik hotel, diikuti penahanan pasangan kekasih di sebuah pusat beli-belah.

“Hasil penahanan ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 35 tahun itu, polis menemui 6.5 kilogram syabu bernilai RM1.5 juta yang dibawa masuk pasangan kekasih itu dari Dubai dan dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pasangan itu dipercayai tiba di negara ini, Rabu lalu dan menginap di sebuah hotel sebelum keluar ke pusat beli-belah. Sejurus kemudian, seorang lelaki dipercayai rakan mereka masuk ke bilik itu dan membawa keluar beg komputer riba diisi tiga kilogram dadah jenis syabu, manakala 3.5 kilogram lagi dadah ditemui di kediamannya di Jalan Putra,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam serbuan berasingan jam 4.30 petang, di sebuah hotel mewah di sini, Khamis lalu, polis menahan tiga lagi lelaki berusia 23 hingga 35 tahun dan merampas dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi 224 kapsul disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM500,000.
Katanya, ujian X-ray terhadap semua suspek mendapati ada tanda ketulan kecil berbentuk kapsul di dalam perut mereka.

“Kita berjaya mengeluarkan 11 kapsul daripada ketiga-tiga mereka melalui pembuangan air besar,” katanya

Suami isteri dicekup edar dadah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/20
Misteri hidup mewah buruh terbongkar selepas polis serbu banglo proses ecstasy

KUALA LUMPUR: Misteri kehidupan mewah seorang buruh dan isterinya seorang suri rumah yang tinggal di banglo dan memperoleh pendapatan kira-kira RM90,000 sebulan, terbongkar selepas ditahan di rumah mereka di Taman Teratai, Ampang, Khamis lalu.

Pasangan berusia 58 dan 38 tahun ini didapati mendalangi kegiatan memproses dan mengedar pil ecstasy di kediaman mereka. Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, polis turut menemui sebuah makmal mini memproses pil berkenaan selain membongkar taktik baru pemprosesan pil ecstasy dengan mencampur viagra bagi menguatkan kesan pengambilannya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata penahanan pasangan suami isteri itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan sepasukan anggota dan pegawainya, sejak empat bulan lalu.

“Hasil serbuan di kediaman dua tingkat itu, polis merampas tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin sebanyak 2,720 gram bernilai RM8,000, 156 biji ecstasy, serbuk pelbagai warna seberat 757 gram dipercayai bahan untuk menghasilkan pil berkenaan.

“Turut dirampas pelbagai peralatan digunakan untuk memproses pil itu sebelum diedarkan di kelab malam, di sekitar ibu negara,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek lelaki bekerja sebagai buruh dan mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala isterinya tidak bekerja. Hasil ujian kencing juga mendapati pasangan itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Pasangan itu yang mempunyai dua anak dipercayai bergiat aktif dalam memproses dadah sejak awal tahun ini dan menjadikan kediaman mewah mereka untuk menghasilkan pil berkenaan.

“Kita juga mendapati mereka mencampur serbuk ecstasy dengan pil viagra serta menjualnya pada harga RM40 sebiji.

“Siasatan kita mendapati pasangan itu mampu menghasilkan 100 biji pil sehari dengan jumlah pendapatan bulanan mencecah kira-kira RM90,000,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Tiga termasuk pasangan adik beradik didakwa merompak

19/04/2010 8:34pm

JOHOR BAHRU 19 April 2010 - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan merompak secara berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam, bulan lepas.

Mohamad Fadzil Jamaludin, 26, Mohd Hedayat Salleh, 29, dan Mohamad Rizuan Salleh, 32, didakwa merompak wang tunai RM550 dan sebuah telefon bimbit Nokia serta Samsung bernilai RM1,500 milik Liew Yun Choy, 42, selain menyamar sebagai polis ketika melakukan perbuatan tersebut terhadap lelaki berkenaan.

Mohamad Fadzil serta pasangan adik beradik, Mohd. Hedayat dan Mohamad Rizuan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Jalan Beladau 9, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, kira-kira pukul 7.30 malam, 24 Mac lepas.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa merompak sebuah telefon bimbit Nokia dan wang tunai RM1,800 milik Wong Woei Jian, 28, serta menyamar sebagai polis di tepi Jalan Kebudayaan 16, Taman Universiti, Skudai, kira-kira pukul 9 malam, 16 Mac lepas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Hakim Aliman Musri menetapkan wang jaminan RM16,000 setiap seorang bagi kesemua tuduhan serta 6 Julai depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Penyamun minta maaf, beri wang saku kepada mangsa

19/04/2010 8:36pm


KUANTAN 19 April - Tiga penyamun bertopeng sempat meminta maaf dan memberi wang saku kepada mangsa dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Kuala Lepar, Paloh Hinai dekat Pekan, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, tiga penyamun yang memasuki sebuah rumah milik seorang peniaga kedai makan memberikan wang sebanyak RM50 kepada anak gadis mangsa sebelum melarikan wang tunai dan barangan bernilai RM3,000. - Utusan

Sunday, April 18, 2010

Suspek kes rogol remaja kena tahan

2010/04/19
ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan sebuah sekolah agama di Baling, di rumah suspek di Jeniang, Sik, Khamis lalu.

Difahamkan suspek berkenalan dengan mangsa yang berusia 13 tahun melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), dua minggu sebelum itu. Dia kemudian mengajak pelajar itu datang ke rumahnya dan tinggal selama empat hari di situ. Pada masa sama, keluarga mangsa yang mendapat tahu anak mereka hilang dari asrama sekolah, membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun sebaik mengetahui mangsa dihantar pulang oleh seorang lelaki tak dikenali, bapanya menyoal berkali-kali sehingga kejadian sebenar terbongkar.

10 geng samseng masih mengganas

Oleh Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2010/04/19
Kumpulan jadikan pendatang orang suruhan

KUALA LUMPUR: Polis mengesan sekurang-kurangnya 10 kumpulan samseng dan kongsi gelap masih bermaharajalela di bandar raya ini, malah turut diklasifikasikan sebagai berbahaya kerana sanggup bertindak ganas jika berasa terancam.

Difahamkan, kumpulan berkenaan amat dikehendaki kerana terbabit pelbagai kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah, sindiket pelacuran, perjudian haram, ceti haram dan peras ugut, selain kes rompakan serta samun bersenjata. Antaranya Geng Tiger, Kumpulan Aman, Hartamas, AA0, Modesto, Ah Tok, Ah Meng dan Kumpulan Netagi yang dikenal pasti hasil maklumat risikan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur sebelum ini. Sumber memberitahu Berita Harian, kumpulan itu dipercayai turut membuka keanggotaannya kepada pendatang asing untuk dijadikan orang suruhan melakukan jenayah.

Menurut sumber itu, walaupun polis berjaya menumpaskan beberapa kumpulan, ada yang menghidupkan kembali kumpulan oleh saki baki ahlinya.

“Hasil risikan mendapati, kumpulan berkenaan dikendalikan secara profesional, malah mempunyai struktur pentadbiran dan kepemimpinan tersendiri. Sebelum ahli baru diambil atau diterima, mereka mengadakan upacara khas pentauliahan.

“Turut dianjurkan majlis angkat sumpah dan ikrar taat setia kepada pemimpin. “Polis menganggap mereka bukan hanya sebagai penjenayah biasa, sebaliknya lebih kepada organisasi terancang,” katanya.

Sumber berkata, kebanyakan kumpulan memiliki senjata api malah sanggup menggunakannya jika diancam, selain menunjukkan kuasa dan mempertahankan kawasan masing-masing.

Dalam operasi sebelum ini, polis merampas pelbagai pistol milik samseng itu termasuk Revolver, Glock, Smith & Wesson dan Pietro Beretta Gardone bersama peluru hidup termasuk parang daripada mereka

Polis mula awasi hotel bajet

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my



Amer Awal (tengah) beramah mesra sambil mengedarkan risalah kepada seorang pelanggan restoran ketika mengadakan lawatan sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 18 April - Ekoran peningkatan kes-kes jenayah yang berlaku di hotel-hotel bajet, polis negeri ini akan melaksanakan lebih banyak Program Kepolisan Berprofil Tinggi untuk mengawasi premis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal berkata, statistik menunjukkan premis itu kini menjadi pilihan penjenayah melakukan kegiatan mereka.

Katanya, antara faktornya adalah disebabkan hotel bajet tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Kegiatan jenayah dikesan termasuklah menghisap dadah, maksiat selain menjadi tempat persembunyian selepas merompak.

"Hotel-hotel itu juga menjadi tempat kepada remaja yang melarikan diri dari rumah," katanya kepada pemberita sebelum melakukan rondaan di hotel bajet di sekitar Taman Pelangi, di sini hari ini.

Amer berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta agar pemilik hotel berkenaan supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa menyalurkan sebarang maklumat.

Kata beliau, dengan kerjasama dua hala antara polis dan masyarakat, pihaknya yakin pencegahan jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Apabila perjumpaan seumpama itu kerap diadakan, orang ramai dapat mendampingi polis dengan lebih dekat.

"Kehadiran polis di lokasi tumpuan orang ramai ini juga diharap memberi keyakinan kepada orang ramai," ujarnya.

Dalam operasi empat jam bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seramai 16 pegawai dan 30 anggota terlibat dalam program berkenaan yang antara lain mengedarkan risalah pencegahan jenayah.

Tambah Amer, program Kepolisan Berprofil Tinggi merupakan satu daripada inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah khususnya jenayah jalanan seperti disasarkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Pegawai kanan polis dikehendaki bersama-sama anggota di barisan hadapan 'menyapa' orang awam di lokasi dan masa secara sistematik," katanya.

Mayat ditemui dalam kotak

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/04/19
Pencari barang lusuh dipercayai mati dipukul

SHAH ALAM: Pekerjaannya adalah mencari dan membeli kotak serta barang lusuh dan akhir kehidupannya juga di dalam kotak apabila mayatnya ditemui dalam sebuah kotak televisyen yang diletakkan di atas motosikalnya di hujung deretan kilang di sebuah taman perindustrian perusahaan kecil dan sederhana di Batu 9, Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 pagi itu, lelaki warga Myanmar, Myint Shwe Sava, 40, yang memegang dokumen pelarian UNHCR, ditemui mati dengan kecederaan di kiri kepalanya yang dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata polis mengesyaki mangsa dibunuh lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui berdasarkan topi keledar mangsa yang ditemui di tempat kejadian dipenuhi air hujan. Katanya, mangsa juga disyaki dibunuh dan dirompak penyerangnya berdasarkan kepada beg duit dan wang tunai serta telefon bimbit miliknya yang tidak ditemui.

"Isteri mangsa memberitahu polis, ketika keluar, beliau membawa wang tunai RM1,500 untuk digunakan membeli kotak terpakai dan besi buruk," katanya di sini, semalam.

Monday, April 12, 2010

Polis tumpas enam kumpulan jenayah jalanan

12/04/2010 3:23pm

JOHOR BAHARU 12 April 2010 - Enam kumpulan jenayah jalanan yang bergiat aktif di sekitar bandaraya ini berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan 31 anggota kumpulan itu sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata, kesemua mereka yang merupakan rakyat tempatan dan berumur lingkungan 30-an itu ditahan berasingan dalam beberapa operasi.

"Enam kumpulan yang terlibat itu dikenali dengan nama kumpulan Aman, Fatah, Nesa, Jajam, Mat Ozzy Pandan dan Yaya,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, hari ini.

Zainuddin berkata, enam kumpulan jenayah jalanan itu aktif di beberapa lokasi panas terutama di pusat bandar dan Taman Pelangi, di sini.

Beliau berkata, polis kini sedang menggiatkan usaha memburu satu lagi kumpulan jenayah jalanan yang masih bebas yang dipercayai dianggotai kira-kira 20 individu. - Bernama

Friday, April 9, 2010

Lima ditahan edar dadah RM250,000

JOHOR BAHRU 9 April 2010 - Tiga lelaki dan dua wanita ditahan dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Dalam serbuan itu baru-baru ini, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, syabu, heroin dan ganja seberat hampir tiga kilogram bernilai RM250,000, dipercayai untuk diedarkan kepada 50,000 pelanggan di sekitar negeri ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 38 tahun dipercayai orang bawahan yang bertindak mengagihkan bekalan dadah berkenaan kepada para pelanggan.

Serbuan pertama diadakan di Taman Johor Jaya pada pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, diikuti serbuan di sebuah rumah di Kampung Seri Jaya Tampoi kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama.

Susulan daripada itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Uda di sini kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dirampas adalah wang tunai RM20,000 dan beberapa kenderaan seperti Proton Perdana, Proton Wira, Honda Civic dan motosikal Yamaha LC.

"Polis percaya kenderaan itu digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya lagi, hasil ujian air kencing mendapati, salah seorang daripada suspek dikesan positif mengambil dadah jenis ganja.

Beliau seterusnya berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Peragut makin ganas, kejar mangsa dalam pagar

KUALA LUMPUR 9 April 2010 - Seorang wanita terpaksa memanjat pagar rumah jirannya semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada serangan seorang peragut ganas yang nekad mengejarnya sehingga ke dalam kawasan rumah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi semalam, Mary Rose a/p Joseph James, 63, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mutiara, Jinjang di sini selepas berjoging.

Menyedari dirinya diekori dua lelaki bermotosikal yang mencurigakan, mangsa cuba memasuki pekarangan rumah jirannya dengan memanjat pagar untuk menyelamatkan diri.

Dia tidak menyangka seorang daripada penjenayah yang bersenjatakan parang sanggup mengikut memanjat pagar sebelum mengugutnya menyerahkan barang kemas yang dipakai.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berjaya mendapatkan rantai leher mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar rumah menaiki sebuah motosikal.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat di tempat kejadian, kita percaya suspek merupakan dua lelaki Melayu berusia lingkungan 25 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria berkata, tempat kejadian dikenal pasti bukan kawasan panas jenayah tetapi orang ramai tetap dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak memakai barang kemas serta berjoging sendirian bagi mengelak menjadi mangsa samun.

Ke tali gantung akibat cemburu

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

MOHD. Naki Mohd. Yusuf disabitkan kesalahan membunuh kekasih isteri dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 9 April – Akibat rasa cemburu yang meluap-luap, seorang pengawal keselamatan warga Myanmar bertindak memukul kekasih isterinya dengan sebatang besi tiga tahun lalu.

Apabila mangsa tidak lagi bernyawa, Mohd. Naki Mohd. Yusuf, 44, menyumbat mayat rakan senegaranya yang hanya dikenali sebagai Nowshad 27, ke dalam tangki air di belakang kilang tempat dia bekerja dan tinggal bersama keluarganya.

Dia kemudiannya bertindak melarikan diri ke Johor dengan alasan untuk berkerja selain menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyuruh isterinya mencari mayat mangsa yang telah dibunuh dan dicampak di lebuh raya.

Hanya kira-kira sebulan selepas kejadian, mayat Nowshad yang telah reput ditemui dan Mohd. Naki kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.

Selepas 23 saksi pendakwa dan pembela termasuk tertuduh, dua anak dan isterinya memberi keterangan, dia disabitkan dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas menolak pembelaan tertuduh yang disifatkan sebagai penafian semata-mata.

Beliau dalam penghakimannya berkata, keterangan anak tertuduh yang berusia 16 tahun menunjukkan mangsa dijemput datang ke rumah mereka untuk membaiki motosikal.

Jelas beliau, walaupun saksi enggan memberi keterangan lanjut kerana takut bapanya dihukum gantung, namun dia mengakui melihat tertuduh memukul mangsa selepas berlaku pergaduhan antara kedua- duanya.

‘‘Keterangan membuktikan perkahwinan tertuduh dan isterinya kucar-kacir dan isterinya rapat dengan mangsa.

‘‘Tahap cemburu dan cara menanganinya berbeza-beza. Saya tolak pembelaan tertuduh dan sabitkan dengan pertuduhan yang mempunyai satu hukuman sahaja iaitu gantung sampai mati,’’ katanya.

Mohd. Naki disabitkan dengan tuduhan membunuh Nowshad yang juga pengawal keselamatan di kilang Sin Guat Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang pada pukul 9.30 malam, 14 April 2007.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamad.

Sengaja bakar lori selepas ditahan JPJ

2010/04/10
SERI ISKANDAR: Dua lelaki membakar lori dipercayai milik mereka selepas kenderaan itu ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Lambor Kanan, berhampiran Kampung Rimba Raja, dekat sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Kejadian berlaku setengah jam selepas seorang daripada lelaki berkenaan yang juga pemandu lori itu melarikan diri apabila pegawai JPJ mahu memeriksa kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Muhamad Fakri Che Sulaiman, berkata laporan pegawai JPJ menyebut mereka mahu menahan lori itu untuk diperiksa selepas melihatnya dalam keadaan mencurigakan. “Belum sempat pegawai penguat kuasa bertindak, pemandu lori yang menyedari perkara itu melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan.

“Setengah jam kemudian lelaki itu kembali ke situ bersama seorang rakannya dengan menaiki motosikal lalu membakar lori berkenaan sebelum beredar,” katanya di sini, semalam.

Muhamad Fakri berkata, pegawai JPJ yang berada di situ tidak sempat bertindak kerana ia berlaku begitu pantas.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pegawai JPJ berkenaan membuat laporan di Balai Polis Seri Iskandar dan lori itu dibawa ke balai untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati, nombor pendaftaran lori itu adalah palsu selain cukai jalannya sudah tamat tempoh.

“Kita masih menyiasat sama ada lori itu dicuri dan motif tindakan lelaki itu yang begitu tegar bertindak membakar lori berkenaan walaupun pegawai JPJ berada di kawasan terbabit,” katanya

'Isteri Benjy dihalau dari rumah sewa'

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/10

Safiya StephanieAlami trauma teruk susulan penahanan suami

KUALA LUMPUR: Isteri Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, dilaporkan mengalami kesan trauma yang teruk susulan penahanan suaminya mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 atas dakwaan memiliki dadah.

Difahamkan, Safiya Stephanie, 27, juga tidak sanggup keluar rumah kerana bimbang dicemuh masyarakat, termasuk difitnah bersubahat. Berikutan itu, beliau dan anak tunggalnya, Firdauz Juan, 4, tidak pernah kelihatan setiap kali pelakon berkenaan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) berhubung kes berkenaan.

Safiya juga dikatakan tidak pernah melawat suaminya sepanjang ditahan di Pusat Tahanan Reman, Bukit Jalil sebelum ini.

Ibu mentuanya, Azean Irdawaty ketika menghubungi Berita Harian, berkata bukan menantunya itu tidak menyayangi suaminya tetapi sikap masyarakat yang memaksanya bertindak demikian.

“Isteri mana tidak sayang suami. Kak Yan pasti dia dan anaknya merindui Benjy. Namun, apa pilihan yang mereka ada. Jika ke mahkamah atau balai (polis), belum tentu boleh jumpa dan macam-macam orang cakap nanti,” katanya.

Lebih menyedihkan, beliau berkata, menantunya yang bekerja sebagai guru tadika turut diberhentikan majikannya tanpa dinyatakan sebabnya, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kes Benjy.

“Dia diberhentikan kerja tanpa alasan kukuh. Bila sampai ke pejabat (tadika), dia terus dapat surat berhenti. Ini sekali gus menyebabkannya kehilangan sumber pendapatan, termasuk untuk menyara anak mereka.

“Malah, menantu dan cucu Kak Yan turut dihalau dari rumah sewa mereka di Jalan Segambut kononnya atas alasan kes itu yang mendapat liputan meluas media menjejaskan reputasi pemilik rumah itu,” katanya sambil menahan kesedihan.

Azean mengakui terpaksa menjaga segala keperluan menantu dan cucunya walaupun beliau sendiri sudah kehilangan sumber pendapatan kerana tidak lagi menerima tawaran berlakon apabila disahkan menghidap kanser payu dara tiga tahun lalu.

“Kak Yan sendiri pun terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai. Bayangkan, bagaimana Kak Yan mampu menampung perbelanjaan menantu dan cucu dengan sumber kewangan yang terhad ini.

“Duit menjamin Benjy pun kawan-kawan yang tolong. Kak Yan sedih mengapa masyarakat mahu menghukum menantu dan cucu Kak Yan yang tiada kaitan langsung dengan kes ini. Lagipun, Benjy belum dibuktikan bersalah dan kes masih berjalan,” katanya.

Lelaki terlepas hukuman mati, bunuh adik kandung

09/04/2010 3:27pm


KUANTAN 9 April 2010 - Seorang penganggur terlepas hukuman mati atas tuduhan membunuh adik kandungnya selepas Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan dia menjalani rawatan sakit mental di Hospital Permai Johor Bahru, Johor.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya memerintahkan Mohd. Azman Abd. Latif, 34, menjalani rawatan sakit mental selepas mendapati lelaki itu menghidap penyakit paranoid schizophrenia semasa membunuh adiknya tiga tahun lalu.

Mariana dalam penghakimannya berkata, keterangan laporan perubatan daripada pakar psikiatri Hospital Permai Johor Bahru mengesahkan tertuduh berada dalam keadaan tidak sedar semasa menikam adiknya, Mohd. Azmil yang berumur 26 tahun semasa kejadian sehingga menyebabkan luka parah dan membawa kematian. - Utusan

Lebih 2 ribu gram heroin, 14 gram syabu dirampas

09/04/2010 5:36pm

JOHOR BAHARU 9 April 2010 - Polis merampas 2,263 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM70,000 daripada seorang lelaki di Kampung Seri Jaya, Tampoi pada Selasa lepas.

Yang turut dirampas ialah 14 gram syabu bernilai RM3,500.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dadah tersebut dipercayai untuk edaran di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, dua buah kereta milik suspek dan wang tunai sebanyak RM4,300 turut dirampas.

"Kesemua harta milik suspek akan disita untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, lelaki terbabit yang berusia 27 tahun yang mempunyai rekod jenayah ditahan reman sehingga Isnin ini. - Bernama

Cemburu: Buruh dibunuh dengan kepala hampir putus

09/04/2010 6:47pm


KUALA LUMPUR 9 April – Mayat seorang pekerja kontrak warga Indonesia ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hampir terputus di sebuah rumah teres setingkat di Kampung Setia Kuang, Rawang malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Makrus, 40, ditemui kira-kira pukul 9 malam dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan kecederaan pada anggota badan termasuk kaki dan tangannya.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa dilibas dengan parang berulang kali hingga mati oleh teman senegaranya yang dipercayai bermotifkan cemburu.

"Suspek yang berusia 26 tahun, mengesyaki Makrus yang menetap di Kundang, menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya sebelum menghubungi mangsa agar datang ke rumah sewa suspek kononnya untuk berbincang.

"Apabila mangsa tiba di rumah tersebut, suspek memasang radio dengan kuat dengan harapan jiran tidak mendengar pertengkaran mereka sebelum bertindak melibas mangsa di ruang tamu menggunakan parang panjang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. – Bernama

Pelajar cedera selamatkan guru daripada diserang

2010/04/09
SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki cedera selepas dibelasah dengan topi keledar oleh dua lelaki yang menceroboh kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 di sini sebelum sesi sekolah bermula pagi ini.

Kedua-dua lelaki itu berumur 18 dan 23 tahun itu kemudian diberkas di sebuah pangsapuri di Subang Jaya tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin, berkata suspek yang dipercayai bekas pelajar sekolah itu telah memasuki kawasan sekolah kira-kira 7 pagi sebelum terserempak dengan seorang guru wanita. "Apabila disoal oleh guru itu, suspek dikatakan telah memberitahu bahawa mereka mahu berjumpa dengan sepupu salah seorang daripada suspek.

"Guru berkenaan kemudiannya meminta mereka supaya menunggu di ruang menunggu. Tetapi suspek berang dengan kenyataan guru itu lalu memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap guru berkenaan," katanya.

Noor Azam berkata, melihat kekecohan itu, tiga pelajar mendapatkan guru mereka dan turut meminta suspek yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol supaya tidak membuat kecoh dan memarahi guru mereka.

"Tetapi suspek menolak seorang pelajar dan menghayun topi keledarnya sebelum mereka bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya.

Noor Azam berkata, guru berkenaan kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam. - Bernama

Thursday, April 8, 2010

Dua lelaki ditembak mati di Taiping

2010/04/09
IPOH: Dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati di Jalan Kamunting, Taiping, malam tadi selepas mereka melepaskan tembakan ke arah polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah polis selepas diarah memberhentikan kereta mereka.

Kedua-dua mereka mati di tempat duduk hadapan kereta berkenaan

Bunuh kekasih isteri: warga Mynmar dihukum gantung

09/04/2010 1:04pm

SHAH ALAM 9 April 2010 - Seorang pengawal keselamatan warga Mynmar dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh kekasih isterinya yang mayatnya ditemui dalam tangki air, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman itu terhadap Mohd. Naki Mohd. Yusuf, 44, selepas beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh kerana ia penafian semata-mata.

Mohd. Naki didakwa membunuh Nowshad, 27, yang juga warga Mynmar di kilang Sin Guat Huat, Jalan Perusahaan 3, Beranang, Kajang, dekat sini pada pukul 9.30 malam, 14 April 2007. - Utusan

Lelaki hasilkan ribuan dokumen palsu ditahan

MELAKA 8 April 2010 - Hanya mengenakan caj 50 peratus lebih murah daripada harga asal, seorang lelaki mengaut keuntungan lumayan apabila berjaya menghasilkan ribuan dokumen palsu untuk dijual kepada orang ramai di negeri ini.

Bersembunyi di sebalik kedai percetakan, lelaki berusia 46 tahun itu juga menjalankan aktiviti menghasilkan dokumen palsu sejak dua tahun lalu tanpa disedari pihak berkuasa.

Namun, kegiatan suspek di sebuah premis di Taman Bahagia di sini akhirnya terbongkar setelah diserbu sepasukan polis, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Sum Chang Keong berkata, dalam serbuan itu, polis mendapati hampir kesemua dokumen yang dirampas adalah palsu.

Menurutnya, hampir 99 peratus dokumen tersebut menyerupai dokumen tulen termasuklah pemalsuan nombor sirinya.

"Pihak kami menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan suspek dan hasil intipan beberapa anggota operasi, kami berjaya menangkap suspek.

"Siasatan mendapati, kesemua proses membuat dokumen palsu berkenaan dilakukan oleh suspek dan tidak menolak kemungkinan, suspek dibantu oleh pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas beberapa helaian dokumen palsu seperti cukai jalan, lesen memandu kenderaan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sijil perakuan pendaftaran kontraktor bumiputera, penyata bank dan sijil-sijil persekolahan.

Menurutnya, polis juga turut merampas sebuah komputer dan mesin cetak yang digunakan menyimpan data untuk membuat dokumen palsu.

Tambah beliau, polis percaya kebanyakan pelanggan suspek adalah pelanggan tetap yang disifatkan 'sudah biasa' berurusan dengan suspek.

"Siasatan awal juga mendapati, kebanyakan pelanggan suspek terdiri daripada rakyat di negeri ini yang memohon pelbagai dokumen terutama cukai jalan dan pembaharuan lesen," katanya.

Ujar Chang Keong, kegiatan itu sebelum ini sukar dihidu disebabkan premisnya berselindung di sebalik kedai cetakan.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula kelmarin dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda.

Pelanggan hotel sasaran 2 penyamun Amerika Selatan

KUALA LUMPUR 8 April 2010 - Dua lelaki dari Amerika Selatan dikesan menjadikan pelanggan hotel-hotel mewah di ibu negara sebagai sasaran jenayah mereka.

Kumpulan itu aktif mencuri bagasi milik penghuni hotel tanpa disedari dengan menyamar sebagai pelancong asing.

Mereka dikesan sering berlegar-legar di lobi hotel lima bintang untuk memantau gerak geri pelanggan dan mengambil kesempatan melarikan bagasi mangsa ketika mendaftar masuk atau keluar dari hotel.

Kegiatan licik kumpulan penjenayah asing itu terbongkar selepas polis menerima beberapa laporan daripada pelanggan hotel yang menjadi mangsa.

Kes terbaru, seorang pengurus syarikat berusia 51 tahun menjadi mangsa apabila bagasi miliknya dilarikan penjenayah terbabit ketika sedang mendaftar keluar dari sebuah hotel mewah di Jalan Lumut, di sini.

Sumber polis berkata, dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa yang juga pelancong warga Bangladesh berada di lobi hotel untuk membuat pembayaran bilik yang disewa.

"Semasa membuat pembayaran, dia tanpa mengesyaki apa-apa telah meletakkan bagasi miliknya berhampiran kaunter pertanyaan.

"Dia bagaimanapun terkejut apabila menyedari beg miliknya itu hilang sebaik sahaja selesai membuat pembayaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kerugian mangsa meliputi kehilangan tiket penerbangan, wang tunai RM5,000 dan dokumen penting.

Katanya, berdasarkan laporan mangsa, polis kemudian menjalankan siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel tersebut dan mengesan perbuatan jenayah itu dilakukan oleh dua lelaki warga asing.

"CCTV tersembunyi yang dipasang di hotel berkenaan berjaya mengesan gerak geri mencurigakan dua lelaki dipercayai suspek yang melarikan beg mangsa.

"Kedua-dua suspek berusia sekitar 40-an, berpakaian kemas dan dipercayai dari Amerika Latin berdasarkan raut wajah dan gaya mereka," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit merupakan suspek sama dikehendaki dalam berpuluh-puluh kes yang dilaporkan sebelum ini

Polis tembak mati dua penjenayah

09/04/2010 2:44am


IPOH 9 April 2010 - Dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati di Jalan Kamunting, Taiping malam tadi selepas mereka melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC II Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 10 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah polis selepas diarahkan memberhentikan kereta mereka.

Kedua-duanya mati di tempat duduk hadapan kereta berkenaan. - Utusan

Polis tumpas kegiatan sindiket jual dokumen palsu

2010/04/08
MELAKA: Polis berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket membuat, mencetak dan menjual dokumen palsu kepada orang ramai dalam serbuan di sebuah kedai percetakan di Jasin, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt Sum Chang Keong, berkata dokumen palsu itu ialah cukai jalan dan lesen memandu kenderaan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pas letak kereta Majlis Perbandaran Jasin.

"Dokumen palsu lain ialah sijil perakuan pendaftaran kontraktor bumiputera, penyata bank, sijil persekolahan dan duti setem," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini. Sum berkata, dalam serbuan jam 4 petang itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan kini dia ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan seperti komputer, mesin pencetak dan telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan sejak dua tahun lalu membabitkan ramai pelanggan yang kebanyakannya dari negeri ini," katanya.

Sum berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 468 akta sama kerana memalsukan dokumen dengan niat untuk menipu jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda. - Bernama

Dua lelaki gaduh guna pistol dan parang ditahan

08/04/2010 5:35pm


KUALA LUMPUR 8 April 2010 - Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol serta sebilah parang dalam satu kejadian pergaduhan di belakang sebuah kilang di Taman Desa Minang dekat Taman Greenwood, Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua lelaki tempatan yang berusia 30 dan 49 tahun itu tidak sempat melarikan diri sejurus melihat ketibaan kereta peronda.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu pergaduhan membabitkan dua lelaki sebelum dua anggota polis peronda dikejarkan ke tempat tersebut bagi meleraikan pertengkaran.

"Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis tidak sempat melarikan diri dan tiada sebarang pergelutan berlaku dengan pihak polis ketika kami menggari mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek berusia 49 tahun itu bagaimanapun pada mulanya cuba membuang pistol semi auto yang dipegangnya dan melarikan diri dengan memanjat pagar di kawasan kilang berkenaan namun gagal sebelum diberkas.

Katanya, polis merampas pistol semi auto .38 tersebut beserta enam butir peluru. Polis juga merampas sebilah parang panjang 21 inci daripada suspek berusia 30 tahun.

"Hasil siasatan mendapati suspek berusia 49 tahun itu memiliki 12 rekod jenayah yang melibatkan kes dari tahun 1979 hingga 1998 termasuk kes samun dan pecah rumah. Suspek berusia 30 tahun pula memiliki lima rekod jenayah termasuk samun bersenjata,” katanya.

Abdul Rahim berkata, polis sedang menyiasat sekiranya kedua-dua mereka terlibat dengan mana-mana kes samun dan jenayah lain di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. — Bernama

Remaja lelaki mati ditikam

08/04/2010 4:11pm


SANDAKAN 8 April- Seorang remaja lelaki maut akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Tiga, Bandar Sandakan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rosli Mohd. Isa berkata, mangsa yang dikenali sebagai Asdi Anwar, 18, seorang warga Indonesia ditemui terbaring di lantai berhampiran sebuah kedai pakaian dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan tetapi meninggal dunia dua jam kemudian akibat cedera parah di perut.

Siasatan masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh. - Bernama

Wednesday, April 7, 2010

Benjey kemukakan permohonan habeas corpus

08/04/2010 1:38pm


KUALA LUMPUR 8 April - Peguam Benjey, Amer Hamzah

Arshad hari ini memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah

Tinggi di sini hari ini untuk mendapatkan perintah supaya anak

guamnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim dibebaskan serta merta.


Benjey yang kini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah

Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selaku

pemohon memohon perisytiharan bahawa penangkapan dan

penahanannya adalah tidak sah, salah dan bersifat berniat jahat.

Amer Hamzah bersama ibu Benjey, seniwati Azean Irdawaty

hadir di Pejabat Pendaftaran Jenayah mahkamah tersebut pada

pukul 12.15 tengah hari.

Menurut Amer, beliau telah memfailkan sijil perakuan segera

agar notis usul permohonan tersebut dapat didengar secepat

mungkin.

Pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam

Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku

responden. - Utusan

Sebutan semula kes Benjy 16 Mei depan

2010/04/08
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, pagi ini menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang menghadapi tuduhan memiliki dadah.

Majistret Hafizza Sauni menetapkan tarikh itu selepas peguam Benjy, Amer Hamzah Arshad memohon tarikh sebutan untuk menghantar representasi kepada pihak pendakwaan bagi mendapatkan sebahagian dokumen berkaitan kes seperti gambar bewarna dan gambar rajah kasar.

Majistret juga membenarkan Amer berjumpa anak guamnya selepas beliau mendakwa dihalang pihak polis untuk bertemu Benjy dan hanya dapat menemui tertuduh selama 10 minit, Isnin lalu. Benjy menghadapi tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2 Jalan 1/38B, Jalan Segambut di sini pada jam 4 petang, 11 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dadah: pengimpal besi dihukum gantung

08/04/2010 1:39pm


KUANTAN 8 April 2010 - Seorang pengimpal besi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 10.12 gram heroin dan 14.23 gram monoacetylmorphines pada Julai tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian terhadap Tan Teck Yong, 49, selepas mendapati tertuduh dalam keterangan pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu. - Utusan

Tertuduh ubah pengakuan, mahkamah tangguh hukum

KUALA LUMPUR 7 April 2010 - Akibat menyamun dua buah telefon bimbit milik seorang doktor menggunakan parang dan pisau, dua lelaki kini berhadapan dengan kemungkinan meringkuk di penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ahmad Fikri Husman, 27, dan Azim Mazlan, 21, terpaksa menunggu sehingga 6 Mei ini bagi mengetahui hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka.

Ini kerana peguam bela mereka, Maznah Kamaruddin memohon penangguhan bagi menyediakan rayuan untuk kedua-dua tertuduh yang menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menyamun tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tersebut.

Hari ini, Ahmad Fikri, seorang pekerja katering dan Azim, penjaga kedai sepatutnya dibicarakan atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 2 April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyamun Othman Zakaria kira-kira pukul 11.02 malam, 23 Mac 2009 di Internet Cafe Powerlink Station, &0, Blok B, Plaza Sinar Apartment, Jalan 8/38D, Taman Sri Segambut di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama.

Menurut fakta kes, mangsa berada di tempat kejadian bersama-sama isterinya ketika tiga lelaki secara tiba-tiba menyerbu masuk ke premis tersebut.

Ahmad Fikri kemudian telah mengacukan sebilah pisau ke arah Othman sambil meminta kedua-dua telefon bimbit mangsa sementara tertuduh kedua yang berada di pintu masuk mengacukan pisau ke arah penjaga kafe siber itu.

Selepas menyamun mangsa, kesemua tertuduh melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Pelajar dakwa diculik tuntut RM15,000 kena tahan polis

2010/04/08
SHAH ALAM: Helah pelajar perempuan sebuah kolej swasta menggunakan alasan diculik dengan menuntut RM15,000 daripada keluarganya gagal selepas ditahan polis bersama teman lelaki dan rakan teman lelakinya di Gombak, dekat sini, kelmarin.

Pelajar jurusan Diploma Farmasi sebuah kolej kejururawatan itu ditahan bersama teman lelakinya di Gombak pada jam 8 malam manakala rakan teman lelakinya ditahan di lokasi sama pada jam 11.50 malam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata semua suspek berumur 21 tahun itu ditahan sebaik polis mengesyaki tujuan pelajar mahu memperdayakan ibu dan bapanya bagi menuntut wang. "Bapa suspek bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya tidak bekerja menerima satu panggilan telefon pada 3 April lalu daripada seorang suspek meminta wang tebusan sejumlah RM15,000 selain mengarahkan ia dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sleangor di sini, semalam.

Berikutan itu, abang pelajar terbabit membuat laporan polis di balai polis berhampiran kerana khuatir dengan kehilangan adiknya yang didakwa diculik suspek di belakang sebuah pasar raya di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar itu berbuat demikian kerana mahu membantu teman lelakinya yang menghadapi masalah kewangan.

Ibu, anak jadikan rumah pusat dadah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com
2010/04/08
Polis rampas heroin, ganja bernilai RM128,883

KUANTAN: Tindakan licik seorang ibu berusia 65 tahun bersama anak lelakinya yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat pengedaran dadah sejak setahun lalu, terbongkar apabila polis menemui sejumlah heroin dan ganja bernilai kira-kira RM128,883 dalam serbuan di Jalan Makbar, di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan hasil maklumat awam kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menangkap warga emas dan anak lelakinya berusia 38 tahun terbabit sebelum menemui dadah yang disembunyikan dalam bilik dan mesin pemotong rumput di rumah berkenaan. Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata pemeriksaan menemui dadah jenis heroin seberat 1,375.5 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 381.3 gram yang masing-masing diisi dalam kotak dan plastik lutsinar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati heroin yang dirampas bernilai RM116,173 manakala ganja terbabit bernilai kira-kira RM12,710 dan dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran.

“Polis turut menyita harta milik suspek termasuk barang kemas, wang tunai, kenderaan dan wang simpanan dalam bank dengan kesemuanya berjumlah kira-kira RM117,800.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini mereka direman selama enam hari bermula kelmarin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, Sharifuddin berkata, seorang pengedar dadah wanita berusia 25 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di persimpangan Lorong Alor Akar 2, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam beg sandang dibawa suspek menemui 73 paket lutsinar berisi heroin dengan berat kasar sejumlah 154 gram.

“Harga pasaran dadah yang dirampas bernilai RM18,250 dan siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif sejak tiga bulan lalu.

“Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya